WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

JEJAK DAN SUSUR GALUR BANI ISRAEL, AGAMA YAHUDI DAN ZIONIS

Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

Istilah nama yang terkenal dalam agama Yahudi ialah al-Ibrani, Israel dan Yahudi. Nama Ibrani nisbah kepada Nabi Ibrahim al-Khalil. Dalam kitab Taurat, beliau disebut  dengan Abram orang Ibrani (Perjanjian Lama). Dalam Bahasa Ibrani, “Ibri” bermaksud orang yang berpindah atau orang yang melakukan perjalanan atau orang yang menyeberang suatu tempat ke tempat lain. Sebahagian pengkaji mengatakan  bahawa nama Ibri ini diambil daripada kata Eber. Salah seorang seorang datuk Nabi Ibrahim a.s ada juga menyebutkan ia salah satu nama kabilah – Kabilah Aram dan kabilah yang tinggal di utara Semenanjung Arab dan Syam.

Istilah Israel iaitu nisbah kepada Nabi Yaakub bin Ishak bin Ibrahim. Israel merupakan Bahasa Ibrani dan terdiri daripada dua kalimah. ‘Isra’ dan ‘eil’. ‘Isra’ bermaksud kumpulan pilihan dan ‘eil’ bermakna Allah. Oleh itu, Israeil bermaksud pilihan Allah. Sementara Yahudi adalah kaum yang bertaubat dari penyembahan anak lembu dan ada sebahagian menyatakan nisbah kepada Yahuda anak kembar nabi Yaakob yang berjaya memegang kekuasaan kerajaan . Pendapat ini disepakati oleh para pengkaji.

Penggunaan istilah ‘Ibri, Israel dan Yahudi memiliki makna yang bersifat khusus. Istilah ‘Ibri digunakan untuk menunjukkan bahasa dan sastera. Istilah Isreal pula memiliki tujuan politik iaitu kekuasaan Zionisme di Palestin sedangkan Yahudi pula adalah orang yang menyakini agama Yahudi yang mana penggunaannya terbatas untuk tujuan keagamaan semata-mata. Menurut al-Tantawi dalam karyanya ‘Banu Israel fi al-Quran’ mengatakan nama Bani Israel disebabkan kehidupan mereka di padang pasir Sahara dalam mencari rezeki dan hidup berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain. Ia bukan diambil daripada nama seseorang atau kabilah tertentu atau peristiwa tertentu.

Sejarah Yahudi

Sejarah Yahudi terbahagi kepada beberapa bahagian. Pertama, ia bermula sejak hijrah Yaakob a.s serta keluarganya dari Palestin ke Mesir pada kurun 19 sebelum Masehi kesan musim kebuluran di sana ketika itu. Menurut Perjanjian Lama, Tuhan telah memerintahkan Yaakob berpindah ke Mesir. Pada zaman Yusuf, baginda menjadi pembesar di Mesir. Perjanjian lama menyebutkan kisah Musa a.s dalam buku bertajuk “Keluaran” (book of Exasdus) yang mengandungi 40 fasal khususnya mengenai Musa. Keluaran menceritakan peristiwa sejak kelahiran Musa hinggalah diutus menjadi Nabi, menghadapi Firaun, membebaskan kaumnya dari perhambaan dan membawa mereka keluar dari Mesir. Bani Israel tinggal sehingga zaman Musa dan kaum Bani Israel mengalami penindasan di sana, mereka keluar ke Syam/Palestin melalui semenanjung Sinai.

Firaun telah menyeksa mereka kerana menyuruh penyembahan kepada tuhan-tuhan mereka yang menyebabkan Bani Israel berhijrah ke bumi Syam, tempat sejarah datuk nenek mereka Yaakub dan Ibrahim a.s. Malah ada yang menyebutkan agama Yahudi telah wujud sebelum itu iaitu zaman Ibrahim a.s. Pada zaman ini dikenali zaman leluhur yang merangkumi Ibrahim, Yaakob dan anak-anaknya. Malah ada yang memasukkan Adam dan Nuh dalam kategori ini. Ibrahim dikaitkan dengan suatu agama tersendiri yang menjadi permulaan sejarah dan agama Israel kuno dan dikaitkan pula dengan perjanjian-perjanjian agama yang banyak ditentukan bersama Tuhan. Ada yang mengatakan Yahudi berketurunan yang berasal daripada masyarakat semi nomad yang hidup di kawasan Teluk Parsi. Kumpulan manusia ini telah bergerak kebahagian barat pada awal millennium kedua sebelum Masihi.

Cerita-cerita mengenai Nabi Ibrahim, Ishaq, Yaakob dan Yusuf lahir pada waktu itu. Sebahagian daripada mereka mungkin menetap di Kana’an (nama lama bagi Palestin), tetapi kebanyakan mereka pergi ke Mesir untuk mencari makanan sewaktu berlaku kebuluran. Kemudian sebagai pendatang-pendatang yang tidak dijemput mereka dilayan seperti hamba. Bangsa Yahudi juga mendakwa kewujudan mereka sebagai satu bangsa di bawah pimpinan Nabi Ibrahim dan mereka telah berpindah ke Palestin kira-kira 2000 tahun sebelum Masehi.

Peristiwa perpindahan ini amat bererti dalam kontek hubungan awal bangsa Yahudi dengan bumi Palestin dan mereka mendakwa bahawa merekalah yang berhak mewarisi bumi tersebut. Pada zaman Nabi Yusuf a.s, mereka telah berpindah ke Mesir. Mereka berada di Mesir selama empat abad dan bilangan mereka semakin ramai yang menyebabkan kemarahan Raja Mesir dan baginda mula bertindak kejam terhadap bangsa Yahudi. Pada masa yang sama, Nabi Musa lahir untuk memimpin kaumnya yang tertindas dan seterusnya membawa mereka keluar dari Mesir. Peristiwa tersebut berlaku pada sekitar abad ke-13 sebelum Masihi.

Pada zaman Ramsis II (Firaun), Bani Israel ditindas dan diseksa. Banyak ayat al-Quran menceritakan perkara ini seperti penindasan Bani Israel ditindas seperti dalam surah al-‘Araf: 127 dan Nabi Musa meminta kaumnya bersabar dan keluar bersamanya dari kezaliman Firaun dalam surah  al-Araf: 128-129. Bani Israel keluar dari Mesir kira-kira pada tiga belas kurun sebelum Masihi. Mereka keluar dari Mesir untuk pulang ke tempat asal mereka iaitu tempat Yaakub dan Ibrahim (Palestin).

Asas Usul Zionis Dalam Agama Yahudi

Dr Ismail al-Faruqi menulis dalam buku yang bertajuk “ Usul al-Sahiwiniyyah fi al-Din al-Yahudi (Asal usul Zionis dalam agama Yahudi) (cetakan pertama pada 1964, Kaherah, cetakan Maktabah Wahbah pada tahun 1988). Beliau menerangkan perbezaan Zionis sebagai gerakan keagamaan dengan Zionis bersifat gerakan politik yang diasaskan oleh Theodore Hetzl dalam kurun ke 19.

Al-Faruqi menjelaskan dalam buku ini mengenai Zionis  bentuk keagamaan. Sementara dalam artikel yang lain, al-Faruqi turut menyebutkan bahaya Zionis yang menjadikannya sebagai akidah perkauman yang sempit mengancam kedudukan  manusia sejagat.

Beliau menyebutkan bahawa tujuan Zionis politik ialah menghimpunkan orang Yahudi  untuk berhijrah ke Palestin untuk membina Kerajaan Yahudi  yang beragama Yahudi. Sementara Zionis keagamaan adalah menguatkan unsur-unsur agama Yahudi dalam menunaikan tanggungjawab agama mereka. Agama Yahudi ini hanya berpandukan kepada kitab Taurat. Taurat yang ada sekarang telah mengalami perubahan dan penyelewangan pada tahun 425 sebelum Masehi.

Sesetengahnya berpendapat, ajaran Zionis ini terdapat  dalam agama Ibri iaitu agama yang dianuti oleh bangsa Yahudi awal. Ia merupakan agama yang dianuti oleh orang Yahudi sebelum kejatuhan Jerusalem di tangan Babylon. Pada masa tersebut ia belum dikenali sebagai agama Yahudi tetapi dikenali agama Ibri. Pada asalnya, ajaran Zionisme bertujuan untuk mengekal keasliannya bangsa Yahudi atau ibri. Zionisme bukan berasal dari dalam agama Yahudi atau Taurat. Agama Yahudi merupakan agama bagi penduduk yang tinggal di Jerusalem pada 587 sebelum Masehi. Nama ini diberikan diberikan seperti agama Hindu yang dinisbahkan kepada benua India berdasarkan geografi tempat.

Nama Yahudi adalah salah kabilah yang tinggal di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, Zionisme adalah satu gerakan untuk kembali ke Eretz Israel (Israel raya yang meliputi kawasan yang menganjur dari Syria di utara, Iraq di timur, Sinai dan lembah Nil di sebelah barat dan Jazeerah Arab hingga Hijaz di Selatan) dan mendirikan sebuah negara milik eksklusif bangsa Yahudi dengan Baitulmaqdis sebagai pusatnya dengan mengnyahkan ‘orang asing (bukan Yahudi) yang berada di sana sejak zaman pendudukan Rom (kemusnahan ke-2 Baitulmaqdis pada zaman Nabi Isa a.s diutus.).

Gerakan Zionisme

Gerakan Zionisme semakin menyerlah pada tahun 1880an di mana tokoh-tokoh pemikiran Zionis berkempen untuk berhijrah ke Palestin sebagai reaksi balas kepada diskrimasi ke atas etnik Yahudi terutama di Eropah tengah dan timur. Theodore Hetzl yang mempelopori gerakan Zionis Antarabangsa pada tahun 1887 agak terbuka dengan pilihan tempat untuk dijadikan negara Yahudi (Jewish National Home) tersebut. Tempat-tempat tersebut antaranya ialah Uganda, Tanzania, Argentina dan lain-lain. Apabila Theodore Hetzl meninggal pada tahun 1904, idea untuk kembali ke Baitulmaqdis semakin padu disepakati oleh tokoh-tokoh Zionis. Doktrin kembali ke Baitulmaqdis ini ada dalam agama Yahudi.

Namun ia hanyalah satu ‘prophecy’ kepercayaan agama Yahudi apabila kembalinya juru penyelamat ‘the Messiah’. Justeru ada orang Yahudi yang menolak Zionisme dan Israel kerana telah menunggang kepercayaan agama untuk agenda politik. Kepercayaan ini juga merupakan doktrin agama Kristian Protestan (kelompok ini kini dikenali dgn Kristian-Zionis). Inilah sebabnya George Llyod Perdana Menteri Britain kabinet perang dunia pertama menyokong kuat ideologi Zionisme ini dan merujuk kepada penduduk Palestin sebagai orang-orang Arab dengan sentimen kebencian. Idea penghijrahan ke zon ini mula dilaksanakan dan penghijrah pertama (disebut sebagai aliyah) sampai pada tahun 1881. Mereka melihat orang-orang tempatan (penduduk Palestin) sama sekali tidak akan menjadi penghalang kepada proses penubuhan negara Yahudi yang mereka impikan.

Pengisytiharan negara Israel pada tahun 1948 telah meluaskan peranan Zionisme dalam percaturan politik di Tebing Barat dengan kekerasan militer yang dikerahkan untuk mengusir dan menghapuskan penempatan Palestin dan membungkam elemen-elemen penentangan dan protes daripada massa. Perkara yang dicetuskan oleh kebiadapan Zionis ini dikecam keras oleh masyarakat dunia dengan perampasan wilayah dan perampokan ganas terhadap tanah, rumah dan harta yang dipusakai umat Islam secara sah. Gerakan Zionis yang menggunakan kekerasan tentera untuk bertindak ke atas penduduk Islam dan Kristian di Sempadan Gaza dan meneruskan keganasan dan pembantaian ke atas masyarakat sivil, jelas bertentangan dengan semangat yang dipertahankan dalam Deklarasi Balfour.

Penulis ialah pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Akal licik Yahudi untuk menangkap ikan pada hari Sabtu dan siksaan bagi para penentang

Ayat 163 hingga 166 beserta terjemahannya. وَسۡ‍َٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara