Oleh Ab Halim Ismail
Pencerdasan: Apakah rasional di sebalik penubuhan WADAH?
WADAH adalah pentas aktivis Islam sebagai lanjutan dari gerakan ABIM atau post-ABIM. Kemunculannya adalah gambaran kematangan pimpinan ABIM yang menjangka situasi-situasi baru selepas ABIM. Setelah 30 tahun penubuhan ABIM, pimpinan baru perlu ditampilkan bagi memberi tenaga baru. Proses reenergize dan rejuvenate tidak akan berlaku sekiranya pimpinan lama masih kekal menduduki kerusi kepimpinan. WADAH dibentuk bagi memberi ‘laluan keluar’ bagi memudahkan proses ‘pemudaan kepimpinan ABIM’.
WADAH juga dibentuk bagi memanfaatkan lautan ilmu, pengalaman dan kebijaksanaan sebahagian mantan pimpinan ABIM. Penyertaan mereka dalam wadah baru; WADAH, membolehkan kelebihan-kelebihan mereka digembleng secara efektif bagi tujuan-tujuan dakwah, advokasi dan gerakan reformasi masyarakat. Adalah sesuatu yang merugikan masyarakat dan negara sekiranya kelebihan-kelebihan ini tidak dimanfaatkan.
Pencerdasan: Apakah kepentingan penubuhan WADAH terhadap pembangunan dakwah di Malaysia?
Kehadiran WADAH, tidak sekadar menambah bilangan badan dakwah. Kemunculannya diharap membantu mengangkat gerakan dakwah negara ke tahap yang lebih tinggi, dengan pendekatan yang lebih praktis dan lebih memberi impak. WADAH mengambil daya usaha bagi ‘mengangkat martabat umat melalui proses pencerdasan akal, berasaskan ilmu dan pengetahuan’ kerana mempercayai bahawa pendekatan ini akan memberi kesan lebih mendalam dan lebih kekal ke atas masyarakat.
Pengalaman yang diperoleh sepanjang hampir 30 tahun penglibatan para pimpinannya dalam Angkatan Belia Islam (ABIM), dijangka membantu WADAH untuk melihat dakwah, perubahan dan reformasi masyarakat dalam perspektif yang lebih luas, serta membolehkan pimpinan baru mengenalpasti sisi-sisi dakwah yang masih terabai dan perlu diberi perhatian.
Kita percaya, bersama badan-badan dan pertubuhan Islam lain, WADAH mampu memberi impak besar ke atas masyarakat terutama dalam membentuk masa depan masyarakat yang lebih adil dan sejahtera serta mengangkatnya ke persada dunia.
Pencerdasan: Apakah kelainan pendekatan dakwah WADAH berbanding ABIM?
Selain dari kerja-kerja dakwah dan tarbiyah serta kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan, ABIM sebagai sebuah gerakan belia, mengekalkan aktivismenya sebagai kumpulan pendesak terutama dalam menyatakan protes terhadap polisi-polisi pemerintah yang dilihat tidak wajar dan merugikan masyarakat, sama ada yang melibatkan negara mahupun dunia antarabangsa.
WADAH adalah wadah pasca-ABIM. Sebahagian besar pimpinannya terdiri dari mantan-mantan dan aktivis ABIM. Sudah sewajarnya WADAH, sebagai badan yang muncul kemudian, memilih pendekatan yang sedikit berbeza dari ABIM. Antara lain bertujuan mengelak pertindihan yang mungkin merugikan, di samping memanfaatkan kelebihan pengkhususan masing-masing dalam bidang-bidang tersendiri.
WADAH, sesuai dengan namanya ‘pencerdasan umat’ akan memberi perhatian yang lebih terhadap usaha meningkatkan kefahaman umat terhadap agama dan peranan serta tanggungjawab mereka terhadap masyarakat dan negara. WADAH berusaha mengikis kefahaman yang mengelirukan dan naratif yang salah terhadap berbagai agama dan isu-isu penting dalam masyarakat. Sebagai ganti, WADAH akan memberi pandangan dan naratif alternatif dari perspektif Islam.
Dalam menjayakan cita-cita ini, WADAH mengambil pendekatan mendidik masyarakat (tarbiyyah) melalui pernyataan-pernyataan sikap, penulisan, bahan-bahan bacaan, dialog, wacana dan seminar. Ini sesuai dengan kelebihan yang ada pada para pimpinan WADAH yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas. Apatah lagi sebahagian besar dari mereka merupakan ahli-ahli akademik yang berwibawa dalam bidang masing-masing.
Pencerdasan: Apakah cita-cita besar WADAH?
WADAH berhasrat mengangkat masyarakat menjadi masyarakat terbaik (khayr al-umma) dan umat contoh dan teladan (ummat al-wast) dengan mendidik mereka dengan ilmu dan kefahaman yang benar tentang kehidupan dunia dan akhirat. Masyarakat seperti ini diharap berupaya menghasilkan para pimpinan negara yang ikhlas, lebih bertanggungjawab, amanah dan benar-benar berkhidmat untuk kebaikan rakyat.
WADAH bercita-cita untuk menyumbang kepada pembentukan Bangsa Malaysia dengan kemajmukan warganya, menjadi sebuah negara contoh dengan keamanan dan kemakmuran yang dinikmati bersama sesuai dengan konsep baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur (negara yang baik dan memperoleh keampunan Tuhan).
Pencerdasan: Apakah pencapaian dakwah terbesar WADAH sejak ditubuhkan?
WADAH turut memainkan peranan besar dalam meningkat kesedaran masyarakat tentang semangat demokrasi, nilai-nilai keadilan dan keberanian membuat perubahan. Peristiwa penting berlaku pada 9 Mei 2018 adalah hasil kerja keras dan gemblengan usaha berbagai pihak, termasuk WADAH. Ini merupakan titik-titik perubahan yang diharap dapat dikembangkan bagi kesedaran yang lebih mendalam dan meluas, agar nilai-nilai kebenaran dan keadilan, rahmah dan kasih sayang menjadi ciri dan budaya yang mengakar dalam masyarakat.
Kita juga bersyukur kerana dimensi pemikiran masyarakat mulai berkembang menerima keluasan ilmu Islam melalui konsep-konsep yang diperkenalkan. Konsep-konsep al-`adalah al-ijtimaiyyah (keadilan sosial Islam), siyasah al-syar`iyyah (politik Islam), maqasid al-syar`i (tujuan-tujuan utama syari`at Islam) atau konsep al-taayush al-silmi (hidup damai bersama menurut Islam) mulai dirangkul oleh masyarakat dan mereka melihat sebagai cita-cita murni (ideals) yang praktis dan perlu diperjuangkan.
Temubual bertulis oleh Muhamad Razak Idris, Ketua Pengarang Pencerdasan dengan Hj Ab Halim Ismail, Timbalan Presiden WADAH bersempena 15 tahun penubuhan WADAH.