WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM SEMPURNAKAN MATLAMAT PEMBINAAN NEGARA-BANGSA

Oleh Dr. Ghazali bin Basri.

Perkara pokok yang dibincang tentang tajuk yang diberi ialah Pendidikan Islam. Dua aspek yang berkaitan dengannya ialah ‘falsafah’ dan ‘objektif’. Oleh kerana falsafah, selain daripada penjelasan konsep dan ciri-ciri, falsafah juga membahas persoalan: Apa?, Mengapa? dan Bagaimana?

Mengenai objektif pendidikan Islam, dengan menyenaraikan beberapa objektif sahaja tentulah tidak memadai tanpa memberikan penjelasan: apa itu Pendidikan Islam?, Apa yang membezakan pendidikan  Islam dengan bukan Islam?, Mengapa ia diperlukan?, Bagaimana perlaksanaannya dan apa natijahnya?

Perbincangan Definisi Falsafah

Falsafah berasal daripada perkataan  Latin “Philo” bermaksud “love” atau cinta dan “Sophia” bermaksud “wisdom” kebijaksanaan atau ilmu. Yang demikian Philosophia membawa maksud “cintakan kebijaksanaan”. Kebijaksanaan merupakan aras tertinggi bagi ilmu. Falsafah wujud dalam domain aktiviti/kerja akal. Sumber Barat mencatatkan aktiviti berfalsafah sudah berkembang pada zaman Socrates (470-399 SM), Plato (428-348 SM) dan Aristotles (384-322 SM).

Namun pada tradisi Islam jelas menunjukkan falsafah bukan sesuatu yang asing dan baru. Al-Qur’an merakamkan peristiwa Nabi Allah Ibrahim ‘a.s (1997- 1882 SM) berfalsafah tentang usaha mencari kebenaran dalam mentauhidkan Tuhan (QS  al-An‘am: ayat 76 – 79).

Berpegang pada pengertian berfalsafah sebagai memanfaatkan fungsi akal pada tahap tinggi, hal ini juga tidak asing bagi Islam.  Dalam bentuk ‘katakerja’ bagi perkataan ‘aql    عـقـل)), al-Qur’an sebut: ta‘qilūn  ( تعـقـلون ) sebanyak 24 kali,  ya‘qilūn (يـعـقـلون ) 22 kali, na‘qilu      (نـعـقـل ) 1 kali, ya’qiluha (  يـعـقـلهـا ) 1 kali dan ‘aqalūh (   عـقـلوه ) 1 kali.

Dapat  dirumus bahawa ilmu falsafah adalah sebahagian daripada beberapa juzuk korpus ilmu dalam tradisi keilmuan Islam. Perkembangan falsafah hanya diberi perhatian setelah selesai/sempurna bidang fiqh/sharī ‘ah Islam pada abad kedua- hingga awal ketiga Hijrah/ke8-9 Masihi  diikuti dengan ilmu Hadīth pada penghujung abad  ketiga Hijrah/ke9 Masihi. Sesuudah itu baharulah bidang falsafah berkembang pada abad keempat Hijrah/ke10 Masihi ke atas seperti al-Biruni (973-1052M)   Ibn Sina (980-1037M)  Ibn Rushd  (1126-1198M), al-Ghazali (1056 – 1111M) dan beberapa lagi.

Beberapa Ciri Ilmu Falsafah

Tidak semua aktiviti akliah dianggap falsafah. Bardasakan definisi falsafah sebagai menekuni ilmu (kebijaksanaan), usaha ke arah mendapatkan kebenaran menjadi kriteria utama. Dalam konteks ini, ia melibatkan usaha mempastikan fakta/hakikat menerusi penyelidikan, menjalani proses pemilhan, asosiasi, analisis/kritikan dalaman dan luaran sehingga ke tahap terbentuknya tesis. Daripada huraian umum ini dapat dirumus ciri-ciri falsafah seperti berikut:

  1. Universal: menyeluruh mencakup seluruh aspek dan segenap ufuk, khususnya dalam menjawab persoalan “mengapa” hendaklah bersifat universal, segala fakta menepati  ciri kesahan (validity) dan kebolehercayaan (reliability).
  2. Jauh jangkauan: befikir secara lateral (di balik kebiasaan). Penjelasan/jawapan dalam multi-levels dan dimensi.
  3. Radikal: menerobos sampai ke akar umbi (root-cause) dalam mendatangkan jawapan- berfokus dan meyakinkan.
  4. Meditatif: memaksimumkan keupayaan berfikir secara konsentrasi malah membiarkan fenomena berimajinasi/berteori.
  5. Analitikal: maklumat atau fakta hendaklah sesuatu yang dapat dianalisis secara akali dan akalbudi.
  6. Koheren: setiap fakta/maklumat yang didatangkan ada pertautan antara satu sama lain,  lengkap melengkapi, serta berurutan.
  7. Kebijaksanaan: keupayaan melakukan proses penelitian, pengesahan, pemilihan dan penganalisisan serta membuat rukusan sehingga membentuk teori.

Fungsi Falsafah & Hubungannya dengan Agama (Islam)

            i) Pendekatan falsafah  dapat hindari unsur keraguan, ketidakpastian, sebaliknya mempercepat untuk sampai

kepada kebenaran (fakta/maklumat).

            ii) kaedah falsafah membantu pencari kebenaran (failasuf) berada dalam landasan inkuiri yang lebih

meyakinkan.

            iii) Islam tidak menolak Falsafah. Menurut Islam, ilmu terbahagi kepada dua: ilmu wahyu (yang diberi/given)

dan ilmu yang diperoleh/acquired menerusi pancaindera dan akal. Akal terus berfungsi bagi memahami

wahyu, selagi mana ilmu akal itu tidak bertentangan dengan wahyu, selagi itulah hubungan intim antara

keduanya wujud seperti yang terpakai dalam ilmu Tauhid: kaedah menggunakan dalil ‘aqli dan dalil naqli.

Bagi memaknai pendidikan sebagai sebuah disiplin, bukan sahaja persoalan apa, mengapa dan bagaimana pendidikan itu? yang harus dijawab, malah ia melibatkan persoalan siapa yang dididik, dan juga siapa yang mendidik. Setiap satunya memerlukan huraian serta melibatkan pula bidang-bidang ilmu tertentu seperti psikologi, sosiologi, pedagogi-andragogi dan banyak lagi.

Mengapa Falsafah Pendidikan Islam ?

Kedaulatan sesebuah bangsa dan negara dibina atas dasar sistem pendidikan yang diamalkan menurut falsafah yang dianut. Misalnya negara komunis-sosialis akan memakai falsafah komunisme-sosialisme, atau atheisme negara sekular akan memakai falsafah secularism, negara yang menganut faham liberal akan mamakai falsafah liberalism.

Oleh kerana Falsafah pendidikan sesebuah negara menentukan corak dan matlamat negara bangsa, amat wajarlah umat Islam mengamalkan sistem pendidikannya sendiri yang dipandu dengan pernyataan falsafah secara tersurat dan tersirat.

Falsafah Pendidikan Islam (FPI) dan perbezaannya dengan falsafah yang lainnya terletak pada tiga faktor:  i) sumber,  ii) memaknai hakikat alam, manusia dan ilmu,  iii) hubungan manusia-Tuhan, manusia-alam jagad.

        i) sumber: al-Qur’an yang Allah anugerahkan kepada manusia dan seluruh makhluk di dunia (QS al-Raḥmān ayat

1-4; al-Fatiḥaḥ ayat 1-2)

        ii) hakikat alam: memahami alam dalam dua bentuk: makro dan mikro. Manusia adalah alam mikro (‘ālam ṣagīr)

berinteraksi dengan alam mikro (termasuk persekitaran) melakukan pemindahan nilai-nilai murni menerusi ilmu

yang diperoleh daripada sumber al-Qur’an.

        iii) hubungan manusia dengan Tuhannya, manusia sesama manusia dan alam jagat (QS3: 112 – ḥablum min al-

Llāh wa ḥablum min al-nās).

Prinsip-prinsip Asas Falsafah Pendidikan Islam

  1. Meyakini bahawa Allah SWT adalah Pendidik (Murabbi) Maha Agung (al-Murabbi al-a‘ẓam) bukan sahaja bagi makhluk manusia bahkan juga bagi seluruh alam dengan segala isinya. Manusia sentiasa diperingatkan tentang pengakuan (janji) yang telah dimeterai dengan Tuhannya tentang tanggungjawab- pasrah sepenuhnya sebagai hamba Allah (rabbāni) (QS33:72).

2. Meyakini kesempurnaan ciptaan Tuhan mengenai alam semesta, daripadanya dibangun kurikulum pendidikan yang bersifat holistik dan komprehensif.

3. Menyedari bahawa manusia adalah makhluk terbaik ciptaan Tuhan, diberi fakulti akal di samping deria lainnya: pendengaran, penglihatan, hati nurani. Pendidikan diperlukan bagi memelihara status manusia sebagai makhluk terbaik.

5. Menyedari bahawa fenomenon alam (dunia) terus bergerak menurut sunnatulLāh, justeru ilmu keduniaan juga turut berkembang. Hal yang demikian Pendidikan Islam bersifat seumur hidup (life-long education).

6. Menyedarkan manusia tentang kedudukannya sebagai makhluk individu dan dalam wakktu yang sama sebagai makhluk sosial, menyedarkan tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat  dan negara- tanggungjawab bersifat fardu ‘aiyn, dan fardu kifayah.

7. Menyedari kehidupan di dunia adalah medan beraksi menampilkan diri yang terbaik akhlaknya di sisi Allah SWT (ayyukum aḥsanu ‘amala), pendidikan Islam semestinya bermatlamatkan bagi melahirkan perwatakaan di atas atau dalam bahasa yang mudah difahami: manusia berilmu, beriman, bertaqwa dan beramal ṣāliḥ.

Mengapa Pendidikan Islam?

Pendidikan Islam amat diperlukan kerana ia paling sesuai bagi manusia – selaras dengan fitrah manusia yang menghimpun aspek jasmani (jasad, indera dan akal) dengan aspek rohani (ruh, dan hati nurani). Sistem pendidikan bukan Islam memberi tumpuan hanya kepada aspek jasmani mengabaikan aspek ruhani, kalau pun ada, pengandaliannya secara terpisah. Pendidikan Islam bersifat komprehensif dan holistik dalam semua aspek: mengenai ilmu dan nilai, kurikulum, pengajar, pelajar,  bahan pengajaran. Perinciannya adalah seperti berikut:

Mengenai ilmu dan nilai epistemologi Islam, pendidikan Islam terbina atas kesepaduan lima aspek: i) sumber ilmu, ii) jenis-jenis ilmu, iii) peroloehan ilmu  iv) hieraki ilmu dan v) aplikasi ilmu.

Bidang ilmu yang  disajikan (terbina dalam kurikulum tersepadu) merupakan pemaduan antara aspek epistemologi (ilmu), aksiologi (nilai), ontologi (kejadian)  dan teleologi (kesudahan).

Tradisi keilmuan Islam berkait rapat antara pendidik dengan anak didik ( pengajaran-pembelajaran). Beberapa nama diberi kepada pendidik misalnya: murabbi, muaddib, mursyid, mu’allim dan mudarris- semua ini memberi gambaran kepelbagaian pendekatan dan penekanan seorang pendidik dalam pembinaan sakhsiah diri anak didik.  Kaedah yang paling ideal adalah menggabungkan kelima-lima pendekatan tersebut di atas.

Kesesuain kaedah pengajaran-pembelajaran amat diberi perhatian. Apa jua kaedah  berkesan yang terpakai dalam dunia pendidikan, sudah pun diperjelas melalui kisah-kisah dalam al-Qur’an misalnya kaedah inkuiri,  diskusi, terapan, targhīb wa tarhīb, contoh dan teladan, pembelajaran kendiri, kalobrasi/amal jama’iy dan kaedah refleksi.

Mengenai pemakaian kaedah berkesan dalam pembelajaran yang baru ditemui oleh mana-mana pihak, Islam bersikap terbuka berpegang dengan prinsip” memelihara nilai-nilai lama yang baik dan mengambil yang baru yang lebih baik”:  المحافظة على القديم الصالح والأخذ بالجديد الأصلح

Objektif Pendidikan Islam

Objektif utama pendidikan Islam ialah membangun manusia seutuhnya dalam semua aspek: jasmani, ruhani, emosi, berakhlak mulia dan bertrampilan. Pencapaian objektif ini terakam dalam pernyataan Falsafah Pendidikan Islam yang telah digubal dan diterima pakai di negara ini:

Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berlandaskan al-Qur’an dan al-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan Negara kea rah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat”.

Sebagai rumusan, kegagalan sistem pendidikan di negara-negara umat Islam dalam melahirkan manusia rabbani adalah disebabkan tidak berjalnnya sistem pendidikan Islam sepenuhnya.Umumnya negara-negara Islam berhadapan dengan sistem pendidikan dualisme: dua sistem pendidikan iaitu sekular dan Islam berjalan serentak, berlaku pertembungan nilai dan pandangan hidup.

Hasil Persidangan Pendidikan Islam Sedunia yang pertama di Makkah al-Mukarramah pada  31 Mach hingga 08 April 1977 telah membuat rekomendasi agar semua negara Islam segera membetulkan keadaan dengan memberhentikan sistem dualisme terus berjalan dan diganti dengan sistem pendidikan Islam. Beberapa negara umat Islam termasuk Malaysia telah cuba mengamalkan secara bersepadu, namun hasil yang diharapkan masih jauh daripada matlamat sebenar yang mahu dicapai disebabkan pelbagai halangan.

Penulis ialah Pengarah, Akademi Kajian Ketamadunan (AKK), Kolej Dar al-Hikmah.

Nota: Huraian serta penjelasan lanjut tentang perbincangan konsep pendidikan, boleh diikuti menerusi buku  Ghazali Basri (2017) Pendidikan Islam: Huraian Konsep dan Aplikasi. Kata Pengantar: Siddiq Fadzil Terbitan:  Institut Darul Ehsan Selangor.

Akal licik Yahudi untuk menangkap ikan pada hari Sabtu dan siksaan bagi para penentang

Ayat 163 hingga 166 beserta terjemahannya. وَسۡ‍َٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara