WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

PENCAPAIAN GERAKAN ISLAM HARI INI DAN CABARAN MENDATANG

Oleh Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali

Antara cabaran besar gerakan Islam ialah kejahilan mengenai Islam di kalangan umat Islam dan juga bukan Islam. Antara kejahilan dengan Islam ialah mengaitkannya dengan kefanatikan, keganasan, kemunduran, penentangan terhadap kebebasan individu dan demokrasi. Cabaran kedua ialah politik diktator dalam dunia Islam. Pemerintahan diktator ini tidak mengenal Islam, demokrasi, hak-hak kemanusiaan sepertimana pemerintahan dalam kebanyakan negara Islam.

Rashid al-Ghanoushi mentakrifkan gerakan Islam sebagai sejumlah aktiviti-aktiviti yang tersusun dalam mempertahankan Islam bagi mencapai matlamatnya dengan melihat perubahan yang berterusan dan cabaran lingkungannya dan meraikan realiti sekeliling. Hal ini kerana agama Islam datang bersesuaian dengan setiap zaman dan tempat  dan  risalah ini sentiasa fleksible dengan perubahan zaman dan tempat dan perkembangan ilmu  dan teknologi. Oleh itu, matlamat, strategi serta perancangan gerakan Islam akan berbeza dengan perbezaan tempat dan masa. Beliau amat optimis masa depan gerakan Islam walaupun menghadapi serangan sekularisme yang kuat dalam negara umat Islam. Di samping itu, beliau menolak menggunakan kekuatan dalam merubah malah menyarankan penggunaan pendekatan tadarruj (berperingkat) dan wasilah yang selamat. 

Menurut al-Qaradawi, gerakan Islam ialah satu gerak kerja masyarakat yang dilakukan secara berkumpulan dan tersusun bertujuan mengembalikan Islam kepada kepimpinan masyarakat dan menentukan hala tuju kehidupan. Gerak kerja tersebut perlu berasaskan cetusan naluri, kerelaan individu dengan penuh keimanan dan keinsafan dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan bukannya mengharapkan keredhaan manusia. Al-Qaradawi menegaskan bahawa gerakan ini wajib dilaksanakan secara berkumpulan dan tersusun. Beliau menyebutkan bahawa gerakan Islam adalah kerja secara berkumpulan dan tersusun. Tidak mencukupi hanya dibangunkan  oleh individu-individu tertentu di sana-sini dengan dakwaan ikhlas kerana Islam sedang mereka bekerja bertaburan untuk Islam. Kerja-kerja amal secara perseorangan dalam  konteks umat Islam kini kurang memberi kesan.  Oleh itu, kerja secara berkumpulan inilah yang diwajibkan oleh agama serta bersesuaian dengan keadaan dan realiti.

Gerakan Islam dan Manhaj Perubahan

Antara kejayaan gerakan Islam ialah membebaskan negara-negara Islam dari penjajahan Barat kecuali beberapa negara sahaja seperti Palestin dan Kashmir. Generasi kini harus mengiktirafkan kegigihan generasi terdahulu dalam jihad pembebasan negara umat Islam dan menyisihkan tentera asing dalam bumi negara Islam. Gerakan Islam perlu memperkasakan ekonomi Islam terutama dalam melawan sistem ekonomi kapitalis dan sosialis. Hal ini kerana ekonomi Islam berasaskan keadilan sosial dan nilai-nilai Islam yang lain. Oleh itu, penubuhan bank-bank Islam merupakan asas dalam membebaskan ekonomi tersebut dalam dunia Islam

Menurutnya lagi, tugas gerakan yang masih berterusan sehingga kini ialah menyebarkan ilmu pengetahuan dan membebaskan akal, jiwa, undang-undang dan perangai dari pengaruh Barat dan kemunduran yang melanda umat Islam. Oleh kerana manusia adalah makhluk yang berfikir, Islam amat prihatin dalam pembentukan pemikiran yang merupakan asas dalam pembentukan keperibadian seseorangan. Malah manhaj perubahan Islam bermula dalam diri manusia. Kepercayaan, nilai-nilai murni dan perasaan sebagai asas dalam perubahan sikap seseorang. Firman Allah (mafhumnya) :

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (al-Ra’d :11)

Gerakan Islam perlu memfokuskan jihadnya dalam membebaskan fikiran, ilmu pengetahuan, kebudayaan dari pengaruh serangan pemikiran Barat. Gerakan Islam perlu membina pembentukan pemikiran Islam dan pengetahuan ilmu Islam dalam segala bidang sama ada dalam ilmu sejarah, ilmu kemasyarakatan, ilmu psikologi, muamalat , ekonomi, undang-undang dan kesusasteraan. Al-Ghanoushi memberi faktor-faktor  membantu gerakan Islam dalam kebangkitannya:

  1. Kekuatan Islam itu sendiri iaitu agama yang fitrah dan menyinari hati-hati dengan sifat-sifat mulia.
  2. Kejatuhan sekularisme dan ideologi barat yang lain serta kelemahan ideology tersebut dalam membina kebahagian manusia. Malah ia membawa kepada  kerosakan dalam membina tamadun manusia sejagat.
  3. Kesedaran Islam yang mendalam dalam kehidupan umat Islam terutama  dikalangan pemuda dan belia.
  4. Kekayaan hasil bumi Islam yang perlu dimanfaatkan umat Islam.
  5. Kemajuan teknologi maklumat dengan ada internet, satelit dan lain-lain lagi.
  6. Perkembangan Islam di Barat yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini walaupun tidak diingini oleh sesetengah pemerintah Barat. Perkembangan ini memberi peluang dakwah Islam di bumi Eropah .

Cabaran Gerakan Islam Hari Ini

Antara halangan dan cabaran dalam gerakan Islam ialah :

  1. Berada dalam kondisi jumud pemikiran dan tidak terbuka, amat sedikit berlaku berlaku pembaharuan dan tajdid. Mereka amat menyukai mengikut taklid yang tidak relevan lagi dan tidak memahami realiti semasa. Hal ini disentuh oleh Dr Sidiq Fadzil akan keperluan umat Islam memahami fiqh realiti dengan menyebutkan bahawa memahami waqi`  dalam konteks masyarakat sekarang bukan suatu yang mudah.  Masyarakat hari ini sudah menjadi sedemikian kompleks dan  canggih sehingga untuk memahaminya diperlukan bantuan para ilmuwan berpengkhususan  dari pelbagai disiplin  –   sejarah, sosiologi, kebudayaan, ekonomi  dan lain-lain lagi.   Zaman sekarang adalah zaman pengkhususan.  Ijtihad tidak lagi dapat dilakukan sendirian,  sebaliknya ia harus dilakukan secara kolektif (jama`iy) dengan melibatkan pakar-pakar  dari pelbagai bidang yang berkaitan.    Sumbangan  pelbagai disiplin ilmu  kepada pembentukan fiqh al-waqi`  jelas sangat penting kerana  yang dinamakan fiqh al-waqi`   adalah kefahaman yang mendalam  tentang serba-serbi yang menyangkut kehidupan nyata  sesebuah masyarakat   –    tamadunnya, sejarahnya,  kebudayaannya, wataknya, politiknya, ekonominya dan lain-lain sebagainya.    Kegagalan  memahami dan menghayati fiqh al-waqi`  yang sedemikian sifatnya itu  boleh menimbulkan  keadaan haru-biru  seperti yang paparkan oleh Dr.Yusuf al-Qaradawiy,  “Kita telah menyaksikan bagaimana para fuqaha’  kertas (fuqaha’ al-awraq)  berperang besar hanya kerana hal-hal yang sebenarnya boleh ditoleransi, atau kerana isu-isu yang boleh diperselisihkan atau ditangguhkan ke waktu yang lain,   dengan mengabaikan  isu-isu  besar yang menentukan hidup-mati dan untung nasib Islam keseluruhannya. 
  2. Perlu meraikan semangat berbangsa-bangsa atau nasionalisme dalam skop yang dibenarkan untuk membela agama Islam dan mengeratkan ukhuwah Islamiah.
  3. Kesukaran gerakan Islam untuk menerima kepelbagaian jamaah dan partai yang lain dalam kepelbagaian pendekatan dalam dakwah dan sistem demokrasi.
  4. Gerakan Islam kurang memberi perhatian kepada isu-isu wanita dan peluang untuk mereka dalam berperanan dalam gerakan Islam.
  5. Gerakan Islam tidak berupaya untuk berintraksi dengan keseniaan dan kebudayaan dengan baik malah melihat kesenian ini sebagai keburukan dari barat semata-mata. Gerakan Islam gagal memberi alternatif kesenian dan kebudayaan Islam kepada masyarakat. Di samping itu, kepentingan ahli-ahli gerakan Islam berterusan mempunyai ikatan yang kuat dengan Allah melalui solat, zikir, bacaan al-Quran dan bekerja secara amal jama’iyy .

Sumbangan Gerakan Islam

Menurut al-Qaradawi, antara kejayaan dan jasa gerakan Islam ialah :

  1. Gerakan Islam telah berjaya mengemukakan fahaman Islam yang sebenar dan tulen membetulkan gambaran salah terhadap Islam oleh musuh-musuh Islam.
  2. Gerakan Islam banyak membekalkan buku-buku, risalah-risalah Islam dan sebahagiannya dalam berbagai-bagai ilmu Islam sangat diperlukan oleh masyarakat.
  3. Gerakan Islam  berjaya mengembalikan semula semangat keperibadian dan keaslian Islam yang berasaskan kepada anugerah Ilahi yang menjadikan umat Islam sebagai sebaik-baik umat.
  4. Gerakan Islam berjaya melahirkan satu generasi muslim yang benar-benar iltizam kepada ajaran agama.
  5. Gerakan Islam berjaya mencetuskan satu aliran pemikiran Islam di kalangan umum yang terarah membantu menegakkan Islam dan menanamkan rasa cinta kepada Islam.
  6. Gerakan Islam telah memberi sumbangan besar kepada kebangkitan Islam masa kini yang merangkumi sebilangan besar belia dan golongan pelajar di seluruh dunia Islam. Al-Ghanoushi menyebutkan antara kejayaan gerakan Islam ialah kejayaan mengeluarkan umat Islam dari zaman kemunduran dan taklid kepada tasawur Islam yang menyeluruh dari segi akidah, akhlak dan kemasyarakatan, membebaskan umat Islam dari budaya dan pemikiran barat serta juga membasmi khurafat dan bidaah dalam masyarakat Islam. Di samping itu, gerakan Islam berjaya mewujudkan pusat kepimpinan di kalangan pelajar-pelajar universiti .

Ciri-ciri Gerakan Islam

Antara ciri-ciri gerakan Islam iaitu:

  1. Syumul : Gerakan Islam terbina daripada pemikiran syumul (lengkap) yang merangkumi akidah, syariat dan ibadat yang saling melengkapi antara satu sama  yang lain. Oleh itu, tidak ada pemisahan ada agama dengan politik atau agama dengan negara. Termasuk pemikiran syumul ini ialah prihatin dalam persoalan ekonomi masyarakat atau keadilan sosial.
  2. Persoalan dalam negara: Gerakan Islam perlu prihatin terhadap isu-isu dalam negara kerana ia adalah asas dalam isu antarabangsa. Adalah menjadi kewajipan agama untuk umat Islam membantu negaranya. Al-Maududi pernah menyebutkan bahawa gerakan Islam bukan gerakan berbentuk perkauman kenegaraan dan bukan terhad kepada bangsa tertentu atau negara tertentu tetapi dakwah yang meliputi keantarabangsaan.
  3. Salafiah: Gerakan Islam berteraskan gerakan salafiah yang bermaksud asas-asas pembinaannya berdasarkan prinsip  Islam yang sebenar tanpa fanatik kepada sesuatu pendapat atau ijtihad. Hal ini seperti ungkapan Hassan al-Banna yang menyebutkan Ikhwan merupakan dakwah salafiah kerana mereka menyeru kembali kepada Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan al-Sunah
  4. Keimanan: Gerakan Islam perlu kepada aspek pendidikan keimanan  kepada ahli-ahlinya.
  5. Merakyat: Gerakan Islam adalah gerakan merakyat dan bukan gerakan untuk golongan tertentu atau  golongan sufi atau golongan elit. Ia merupakan jantung hati nurani rakyat dan membenteraskan pertembungan kasta dalam masyarakat Islam

Antara asas-asas strategi dalam kerja-kerja Islam (al-amal al-Islami) yang perlu diberi perhatian oleh gerakan Islam kini iaitu:

  1. Pendirian mengenai Turath iaitu perkara yang perlu diambil dan perkara yang perlu ditinggalkan dan perkara  positif dan negatif dalam turath.
  2. Pendirian mengenai Barat iaitu perkara yang perlu diambil dan perkara yang perlu ditinggalkan.
  3. Pendirian terhadap realiti kini terutama hubungan dengan pemerintah sama ada bersamanya atau memisahkan diri daripadanya atau tahap mana yang membolehkan kita bersama dengan pemerintah atau yang diistilah dengan perkongsian kuasa atau power sharing
  4. Alat perubahan sama ada melalui kekuatan dan paksaan atau kebebasan dan tunduk. Ringkasnya, sama ada melalui revolusi atau proses pilihanraya..
  5. Berdakwah kepada Islam berdasakan keperluan masyarakat terutama membebaskan mereka dari budaya penjajah dan diktator serta melaksanakan keadilan sosial (al-‘Adalah al-ijtima’iyyah)
  6. Pendidikan yang sempurna dan melengkapi terutama dalam peringkat pemikiran seperti cintakan kebenaran dan ilmu serta menghormati para ulama. Termasuk dalam hal ini ialah pendidikan kerohaniaan iaitu hubungan dengan Tuhan dan persediaan menghadapi hari kebangkitan.
  7. Keuniversalan gerakan Islam dengan prinsip Tauhid dan menyuburkan kesatuan ummah.
  8. Mengikuti perancangan semasa seperti prinsip kualiti lebih baik dari kuantiti .

Gerakan Islam dan Agenda Masa Depan

Antara cabaran besar gerakan Islam ialah kejahilan mengenai Islam di kalangan umat Islam dan juga bukan Islam. Antara kejahilan dengan Islam ialah mengaitkannya dengan kefanatikan, keganasan, kemunduran, penentangan terhadap kebebasan individu dan demokrasi. Cabaran kedua ialah politik diktator dalam dunia Islam. Pemerintahan diktator ini tidak mengenal Islam, demokrasi, hak-hak kemanusiaan sepertimana pemerintahan dalam kebanyakan negara Islam. Adalah menjadi kewajipan pendokong kebangkitan Islam menyampaikan prinsip keadilan, kebebasan, syura dan demokrasi. Mereka perlu bekerjasama dengan golongan yang menentang diktator dan mempertahankan hak-hak kemanusiaan. Diktator adalah keburukan semata-mata dan tidak ada nikmat yang paling besar selepas hidayah kecuali kebebasan. Cabaran ketiga ialah mengemukakan contoh teladan kepada pemerintah dan contoh berteraskan Islam seperti keadilan Islam dan mempratikkan nama-nama Allah dalam masyarakat. Cabaran keempat adalah musuh Barat terutama golongan zionis yang merancang dari sebalik nama Barat dari segi politik, ekonomi mahupun ketenteraan Gerakan Islam harus bersatu dalam membawa slogan kebebasan yang merupakan salah satu prinsip maqasid syariat .

Perkara yang lebih penting sekarang usaha dakwah perlu dipertingkatkan dari segenap sudut, tidak sekadar di meja rundingan tetapi lebih kepada bentuk hebahan melalui media dan bersemuka dengan masyarakat melalui pengajian umum di masjid-masjid secara aktif. Secara tidak langsung, masjid boleh diimarahkan sebagai satu pusat gerakan ummah dan menarik minat masyarakat Islam kembali menghayati Islam. Organisasi dakwah kini mempunyai satu tugas yang besar iaitu memberikan kefahaman Islam kepada umat Islam dan menjaga tauhid mereka daripada tergelincir. Tugas kita sekarang ialah memperbaiki umat Islam terlebih dahulu kerana umat Islam memang ramai tetapi Islam mereka hanyalah pada nama sahaja. Apabila akidah umat Islam sudah sempurna dan umat Islam sudah memahami tentang  Islam dan memahami tugas mereka sebagai umat Islam barulah berdakwah kepada golongan bukan Islam.

Sekiranya umat Islam masih kucar-kacir dan tidak bersatu dalam menangani konflik agama kita sendiri, ini telah membuka ruang organisasi bukan Islam mengambil kesempatan terhadap Islam. Pada peringkat sekarang, organisasi dakwah perlu memantapkan akidah umat Islam terlebih dahulu. Apabila sudah selesai persoalan akidah, umat Islam akan menjadi contoh terbaik kepada agama-agama lain secara tidak langsung mereka akan minat, faham dan saling hormat menghormati antara agama dengan agama yang lain. Gerakan dakwah perlu memperhebatkan lagi dakwah melalui media terutama media telivesyen dan media baru. Kemajuan dan teknologi yang dimiliki harus digunakan dengan sebijaknya dalam menyekat fahaman-fahaman yang terpesong. Oleh itu, organisasi dakwah harus bersedia dan  mengambil peluang ini untuk memiliki stesen TV Islam khas dan laman sesewang yang menarik yang menyiarkan program-program Islam dan menarik perhatian umat Islam untuk memahami isu sebenar mengenai Islam. Para pendakwah dan ahli gerakan perlu meningkatkan amalan kerohanian kerana ia merupakan rahsia kejayaan dakwah. Satu hadis yang Abdullah bin Rawahah mengajak para sahabat untuk menyertai majlis zikir.

عن أنس بن مالك قال : كان عبد الله بن رواحة إذا لقي الرجل من أصحابه يقول تعال نؤمن بربنا ساعة فقال ذات يوم لرجل فغضب الرجل فجاء إلى النبي صلى الله عليه و سلم فقال يا رسول الله ألا ترى إلى بن رواحة يرغب عن إيمانك إلى إيمان ساعة فقال النبي صلى الله عليه و سلم يرحم الله بن رواحة إنه يحب المجالس التي تباهي بها الملائكة عليهم السلام

Diriwayatkan oleh Ahmad dari Anas berkata: Bahawa Abdullah bin Rawahah apabila berjumpa dengan seseorang dari sahabat Rasulullah sentiasa berkata: Marilah kita beriman kepada Allah seketika.Pada suatu hari, dia berkata kepada seorang lelaki lalu beliau marah dan berjumpa dengan Rasulullah dan berkata: Tidakkah engkau lihat Ibn Rawahah yang ingin beriman kepada engkau dengan keimanan yang seketika? Sabda Rasulullah SAW : “Semoga Allah merahmati Ibn Rawahah, dia amat menyukai majlis yang di kelilingi dan disukai oleh para Malaikat

Hadis ini mengisyaratkan perlu kepada para pendakwah  untuk memperuntukan waktu berada dalam majlis-majlis zikir sebagai usaha untuk tazkiyah al-Nafsi (penyucian jiwa). Berdasarkan hadis ini, para pendakwah dan ahli gerakan dakwah dalam usaha melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, mereka juga perlu mengukuhkan elemen kerohanian dengan zikir-zkir dan membaca al-Quran.

Penulis ialah Prof. Madya di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM. Beliau adalah Mantan Timbalan Presiden ABIM.

Akal licik Yahudi untuk menangkap ikan pada hari Sabtu dan siksaan bagi para penentang

Ayat 163 hingga 166 beserta terjemahannya. وَسۡ‍َٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara