Oleh Dr Mohammad Redzuan Othman
Sekular berasal daripada perkataan Latin ‘saeculum’ yang bererti ‘suatu generasi atau zaman’. Dalam konteks barat dan dunia Kristian, sekular membawa maksud penolakan agama dalam urusan berkaitan dengan keduniaan atau lebih jelasnya pemisahan antara agama dan negara. Agama cuma dibataskan kepada urusan individu dan duniawi dan tidak mempunyai hubungan dengan urusan politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.
Asas kepada sekularisme ialah politik yang berteraskan kebangsaan, ekonomi bebas (laissez faire) dan budaya hidup yang berlandaskan individualisme. Sekularisme menafikan aspek kehidupan berkaitan dengan kerohanian dan menekankan kepada aspek-aspek kebendaan. Sekularisme juga menafikan kewibawaan yang mempunyai unsur-unsur kerohanian. Ini termasuklah penolakan kuasa mutlak Allah s.w.t dan kewibawaan para nabi dan rasul. Para sekularis menganggap agama adalah buatan manusia dan tidak mengikut peredaran zaman.
Sejarah kemunculan Sekularisme
Sekularisme lahir daripada pergolakan yang berlaku dalam agama Kristian pada abad pertengahan. Kemunculannya adalah berikutan tindakbalas penganut agama tersebut terhadap kongkongan dan penguasaan gereja ke atas masyarakat. Peperangan Salib telah membuka mata orang Kristian Eropah terhadap perubahan, termasuk menuntut kebebasan daripada semua bentuk kongkongan gereja yang selama ini hanya membenarkan ilmu-ilmu yang tidak bercanggah dengan kepentingannya.
Melalui gerakan yang dilakukan, orang Kristian Eropah berjaya memisahkan seluruh aspek kehidupan mereka daripada pengaruh gereja. Kemajuan ilmu pengetahuan yang dicapai membolehkan mereka menghasilkan kemajuan ekonomi dan politik. Sistem feudal yang diamalkan sebelum ini digantikan dengan sistem kapitalis yang pada awal abad ke-20 turut membawa kepada kemunculan Komunisme dan Sosialisme. Melalui permisahan sepenuhnya antara agama dan negara masyarakat moden yang dibentuk di Eropah dibina di atas asas sekular.
Sekularisme dan Dunia Islam
Sekularisme merebak ke dunia Islam melalui pertembungan dengan barat. Menjelang pertengahan abad ke-19, sebahagian besar wilayah Islam dijajah oleh barat. Ini termasuklah penjajahan Inggeris di Tanah Melayu (1874), Perancis di Tunisia (1881), Inggeris di Mesir (1882) dan Rusia di Merv (1883).
Daulah Islamiyah yang masih mampu bertahan ialah Daulah Uthmaniyah. Namun begitu, Daulah Uthmaniyah terpaksa berhadapan dengan ancaman barat yang menggelar daulah tersebut sebagai ‘orang sakit Eropah’. Sebagai usaha untuk menghadapi ancaman ini, Daulah Uthmaniyah telah mengambil nilai-nilai barat agar mampu menghadapi persaingan tersebut. Ini termasuklah menghantar pelajar-pelajar Turki belajar di barat, memperkenalkan sistem pendidikan barat, menerima sistem perundangan barat termasuk hak sama rata antara orang Islam dan orang bukan Islam dan sebagainya.
Penerimaan unsur-unsur barat turut membawa idea dan nilai barat ke dalam masyarakat Turki. Kemasukan unsur-unsur ini merupakan permulaan kepada usaha-usaha ke arah memisahkan peranan agama dalam pemerintahan. Usaha-usaha ini dijuarai oleh pergerakan Turki Muda yang kemudiannya berjaya menjatuhkan pemerintahan Sultan Abdul Hamid II pada tahun 1909. Pemerintahan Turki Muda selama lebih kurang satu dekad menyaksikan Daulah Uthmaniyah hancur dan Turki kemudiannya muncul sebagai sebuah negara sekular.
Peristiwa yang berlaku di Turki merupakan satu contoh bagaimana sekularisme berjaya merobohkan sebuah peradaban yang dibina selama 600 tahun. Sekularisme juga bertapak di negara-negara Islam yang lain dan seterusnya berjaya mendominasi politik negara. Golongan sekularis yang mengambil pelbagai bentuk seperti nasionalis sosialis, Baathis dan sebagainya kini merupakan kelompok yang berjaya menguasai politik negara Islam. Kejayaan yang dicapai oleh kelompok ini adalah hasil eksploitasi, tipu daya, peranan kuasa barat dan juga akibat beberapa kelemahan kelompok Islam sendiri sehingga menyebabkan mereka gagal dalam persaingan yang berlaku.
Konflik Sekularis-Islamis – Sorotan Kes di Turki.
Daulah Islamiyah merupakan salah satu empayar yang teragung dalam sejarah manusia. Empayar ini berjaya bertahan selama sekitar 600 tahun dan menguasai sebahagian besar tiga benua iaitu Eropah Timur, Asia Barat dan Afrika Utara. Empayar ini hancur dalam tahun 1924 apabila Kemal Ataturk mengujudkan sebuah negara Turki sekular. Bagi Kemal segala-gala yang berunsur Islam dianggap penghalang kepada kemajuan. Kemajuan dikaitkan dengan pembaratan yang mengamalkan nilai-nilai sekularisme. Bagi melaksanakan cita-cita ini, Kemal cuba mensekularkan seluruh kehidupan masyarakat Turki yang merangkumi aspek pendidikan, politik, ekonomi, nilai hidup dan sebagainya.
Pelaksanaannya termasuklah menghapuskan Islam sebagai agama rasmi negara, menggantikan undang-undang Syariah dengan undang-undang barat, menggantikan tulisan Arab kepada tulisan Latin, mengharamkan pemakaian purdah dan berpuluh-puluh lagi peraturan yang bertujuan bagi memisahkan masyarakat daripada ajaran Islam.
Kemal berjaya mewujudkan sebuah negara Turki merdeka melalui dokongan yang diberikan oleh mereka yang berjuang di atas landasan Islam. Malahan pada peringkat awal perjuangannya, Kemal menggunakan platform Islam bagi mendapatkan sokongan. Beliau sering menaiki mimbar pada hari Jumaat untuk menyampaikan khutbah. Umat Islam Turki terpedaya dengan sikap kepura-puraan Kemal sehingga membolehkan beliau berjaya menguasai tampuk kekuasaan Turki.
Bagi memastikan idealisme terus berkekalan, Kemal menggunakan dua pendekatan iaitu pendekatan pendidikan dan ketenteraan. Melalui pendidikan Kemal ingin memastikan bahawa generasi yang dilahirkan dibentuk mengikut acuan sekularnya manakala melalui ketenteraan Kemal ingin memastikan bahawa pelaksanaan mesti dijalankan walaupun melalui paksaan atau kekerasan. Ternyata pendekatan yang dilakukan oleh Kemal ini telah membentuk generasi yang amat tebal nilai-nilai sekularnya.
Walaupun Kemal telah membuat perancangan dan melaksanakannya, namun masyarakat Turki tidak dapat dikikis sepenuhnya daripada nilai-nilai keislaman yang pernah diamalkan oleh nenek moyang mereka. Sejak awal tahun 1970-an cahaya Islam mula menyinar di Turki. Melalui kegiatan kepartian yang digerakkan oleh Necmettin Erbakan pengaruh Islam ternyata berjaya menjadi unsur penting dalam politik Turki. Namun begitu, untuk Islam muncul sebagai kuasa dominan bukan suatu yang mudah kerana nilai-nilai sekularisme telah berakar umbi dalam masyarakat Turki. Lebih-lebih lagi nilai-nilai ini amat mendominasikan golongan elit, birokrat dan tentera.
Kemunculan kembali Islam sebagai unsur penting dalam kehidupan masyarakat di Turki akan membawa kepada konflik dengan golongan sekularisme. Dalam pertembungan yang berlaku Kemunculan kembali Islam sebagai unsur penting dalam kehidupan masyarakat di Turki akan membawa kelompok Islam telah mengalami pelbagai tindakan seperti parti yang menjadi wadah diharamkan, pelajar-pelajar yang bersimpati dengan Islam tidak dibenarkan meneruskan pengajian, pemimpin-pemimpin yang memperjuangkan Islam dipenjara atau dihalang daripada menjalankan kegiatan politik.
Konflik Sekularis-Islamic – Sorotan Kes di Mesir
Selepas Perang Dunia I, politik Mesir telah didominasikan oleh parti Wafd di bawah pimpinan Saad Zaghlul, seorang lulusan Universiti Al-Azhar yang berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah Inggeris. Walaupun perjuangan Parti Wafd adalah atas asas-asas kebangsaan, namun parti ini didokong oleh unsur-unsur Islam yang kuat. Selepas kematian Zaghlul pada tahun 1927, Parti Wafd kehilangan arah dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis yang melemahkan parti tersebut.
Sepanjang tahun 1930-an dan 1940-an politik Mesir semakin diwarnai oleh aliran politik yang berteraskan ideologi yang jelas. Pada waktu inilah politik Mesir didominasikan oleh Ikhwan al Muslimin di bawah pimpinan Hassan al-Banna. Pada waktu ini Ikhwan al-Muslimin telah memainkan peranan penting dalam menyemarakkan kesedaran politik masyarakat, meningkatkan amalan spiritual melalui program ekonomi usrah dan tarbiyyah dan menggerakkan kemajuan melalui program ekonomi dan sosial.
Potensi Ikhwan al-Muslimin untuk muncul sebagai kelompok yang bakal mendominasikan politik Mesir menghadapi cabaran yang hebat apabila Hassan al-Banna mati syahid pada tahun 1949. Gabungan antara kelemahan Ikhwan al-Muslimin sendiri menyelesaikan masalah dalamanya dan pendekatan golongan sekularis yang ternyata lebih berjaya, membolehkan golongan sekularis mendominasikan politik Mesir sehingga ke hari ini.
Pengalaman yang boleh dipelajari daripada konflik sekularis-Islamis dalam kes yang berlaku di Mesir ini ialah bagi golongan sekularis kuasa mesti diperoleh dengan apa jua cara sekalipun. Walaupun golongan sekularis menunjukkan sikap yang berbaik-baik dengan golongan Islamis, namun pendekatan ini adalah bersifat sementara kerana langkah itu diambil dalam proses mengumpul kekuatan. Bagi golongan Islamis pula pendekatan politik yang terlalu mempercayai pihak yang menjadi saingan juga membawa padah yang buruk. Ini adalah kerana bagi golongan sekularis untuk mencapai matlamat semua bentuk pendekatan boleh dilakukan termasuk menggunakan pendekatan yang zalim bagi menghapuskan pengaruh golongan Islamis dalam masyarakat.
Konflik Sekularis-Islamic – Sorotan Kes di Malaysia
Peranan golongan Islamis dalam mencetuskan kesedaran pendidikan, sosial dan politik masyarakat Melayu tidak diberikan perhatian yang sewajarnya dalam kajian sejarah di Malaysia. Sebelum perang Dunia II, kegiatan mencetuskan kesedaran di kalangan orang Melayu didominasikan oleh mereka yang berpendidikan agama dan mendapat pendidikan di Timur Tengah.
Seawal-awalnya tahun 19/11/12 pelajar-pelajar Melayu di Mesir telah menerbitkan akhbar Ittihad yang bertujuan bagi menimbulkan kesedaran orang Melayu terhadap kepentingan pendidikan dan membina peradaban bangsa. Pada tahun 1925, pelajar Melayu di Mesir menerbitkan Seruan Azhar yang cuba menyeru dan mendidik masyarakat supaya setanding dengan bangsa-bangsa lain lebih maju pada waktu itu.
Sebelum Perang Dunia II ternyata golongan Islamis, terutamanya yang terpengaruh dengan idea-idea Islah telah memainkan peranan penting dalam menggerakkan kesedaran masyarakat. Pendekatan yang paling berkesan yang digunakan bagi menyebarkan idea-idea ini melalui penerbitan akhbar dan melalui institusi madrasah. Peranan yang dimainkan oleh golongan Islamis bagi menyemai benih-benih kesedaran ini besar implikasinya dalam sejarah perkembangan kesedaran Melayu. Namun begitu, tidak seperti di Indonesia di mana golongan Islamis yang mendokong idea Islah telah menubuhkan persatuan-persatuan seperti Sarekat Islam, Muhammadiah, PERMI dan sebagainya, di Malaysia golongan Islamis tidak menjuruskan kegiatan mereka kepada penubuhan persatuan. Persatuan dianggap mewakili perjuangan Islamis iaitu Hizbul Muslimin hanya ditubuhkan pada tahun 1984 tetapi hanya mampu bertahan beberapa bulan sahaja kerana diharamkan oleh pihak British.
Kekosongan yang wujud dalam perjuangan kebangsaan Melayu berikutan tekanan yang dikenakan oleh pihak Britsh telah diisi oleh golongan nasionalis sekular yang muncul dan mengisi kepimpinan Melayu. Golongan ini mendapat pendidikan dan ketika menuntut di London terpengaruh dengan nilai dan budaya barat.
Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, golongan nasionalis sekular mendominasikan politiknya. Walaupun Islam tidak disisihkan sepenuhnya dari masyarakat, namun pelaksanaan Islam sepenuhnya juga tidak dilakukan. Islam dilaksanakan sebagai simbol. Walaupun Parti Islam wujud, namun kewujudannya lebih bersifat untuk menyaingi parti nasionalis. Bahkan dalam kes-kes tertentu Parti Islam memperlihatkan sikap lebih nasionalis bagi meraih simpati pengundi.
Pertembungan sebenar antara sekularis dan Islamis di Malaysia berlaku apabila Islam cuba diamalkan sebagai ad-Din dan digerakkan sebagai satu gerakan. Ini menjadikan pertembungan antara golongan nasionalis dan Islamis sebagai pertembungan idealogi dan menjadi lebih sengit. Pertembungan ini Nampak seolah-olah reda berikutan peristiwa tahun 1982. Tetapi hakikatnya sebenarnya bagi golongan nasionalis sekular, ‘setback’ yang berlaku tidak melemahkan semangat malahan melakukan perancangan yang lebih rapi bagi mempastikan golongan Islamis tidak beroleh kekuasaan. Perancangan mereka membuahkan hasil kerana pada tahun 1998 dan seterusnya dilakukan kegiatan pembersihan berjaya dilakukan secara drastik dan halus.
Pengajaran Pertembungan Islamis-Sekularis
Dalam menyorot kembali kejayaan dan kelemahan golongan Islamis di Malaysia bagi tempoh 1982-1998 beberapa pengalaman mungkin boleh dipelajari. Bagi golongan sekularis baik di Timur Tengah mahupun di Malaysia terdapat terdapat satu persamaan ciri. Bagi golongan sekularis matlamat menghalalkan cara dan tidak ada belas kasihan dalam proses merebut kuasa daripada golongan Islamis. Bagi golongan Islamis pula dalam tempoh ini ternyata sekali sikap yang ditunjukkan amat berkonflik anatara satu sama lain. Atas sikap ‘kerana prinsip’ rakan-rakan seperjuangan cenderung diketepikan dan golongan lain termasuklah golongan sekularis diberi tempat atas alasan ‘untuk dimenangi.’
Kesempatan yang ada tidak digunakan dengan sebaik-baik dan sepenuh-penuhnya untuk kepentingan Islam tetapi sebaliknya turut diwarnai oleh agenda politik. Bagi golongan nasionalis sekularis pula apabila mendapat peluang seluruh kesempatan digunakan bagi memastikan dominasi berterusan dan berakar umbi.
Dalam sejarah konflik sekular-Islamis dalam konteks perkembangan politik Islam kontemporari, kecuali Iran dan Sudan, golongan Islamis ternyata kurang unggul dalam menghadapi, percaturan politik yang berlaku. Dalam konteks Iran, golongan Islamis berjaya kerana belajar daripada pengalaman tahun 1881, 1906 dan 1953 di mana sikap kompromi dengan golongan sekularis berakhir dengan sumbangan golongan Islamis ini tidak dihargai.
Pada tahun 1979, golongan Islamis Iran mengambil sikap tidak bersedia untuk berkompromi dengan mana-mana kumpulan sekularis dan ini membolehkan kuasa terus dibolot oleh kelompok Islamis. Di Sudan pula, kelompok Islamis menggunakan pendekatan pragmatis bagi membolehkan mereka mengambil alih kuasa. Apabila memperolehi kuasa pendekatan yang dilakukan ialah dengan memastikan kekuatan dikukuhkan di semua sektor. Mungkin pengalaman kedua-dua kelompok Islamis ini boleh dijadikan asas kepada usaha memastikan usaha-usaha golongan Islamis berakhir dengan memperolehi kuasa yang mantap.
Prof. Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman kini ialah Naib Cancelor Universiti Selangor (Unisel).