Oleh Dr Mohamad Fauzan Noordin.
Media sosial adalah platform yang pada masa ini menguasai semua aspek kehidupan manusia. Pada awal kemunculan Facebook, Twitter, Instagram, dan sebagainya, masyarakat dunia menyambut baik inovasi siber ini, semata-mata untuk hiburan dan untuk memperluas komunikasi antara manusia. Namun, Media sosial telah mengalami perkembangan pesat dalam dekad yang lalu. Dengan teknologi yang terus berkembang, platform buatan manusia ini telah berkembang dengan kemampuan “menakutkan” dan telah berperanan besar dalam membentuk peradaban manusia.
Prof Ziauddin Sardar menyatakan bahawa munculnya media sosial telah menghubungkan Timur dan Barat, Utara dan Selatan, dalam pertukaran maklumat dan komunikasi terbuka melalui Facebook, WhatsApp, Twitter, dan sejumlah platform lain. Media sosial menyatukan orang tetapi juga membahagi dan memecah-belah mereka secara serentak (Sardar, 2019). Media sosial juga tempat orang bertemu dan juga tempat orang memutuskan silaturahim. Terdapat pelbagai masalah yang timbul akibat penggunaan media sosial antaranya pemalsuan identiti, buli siber serta penyalahgunaan data yang mengganggu privasi orang lain. Timbulnya masalah-masalah berkait dengan media sosial ini disebabkan tiada panduan dan pedoman. Kita sebagai ummat Islam diminta untuk berpadukan Al-Quran dan Sunnah.
Surah Al-Hujurat Sumber Panduan
Professor Hamka dalam tafsirnya, Tafsir Al-Azhar, menyifatkan Surah Al-Hujurat adalah surah yang penting dalam kita berinteraksi antara manusia. Surah Al-Fath (kemenangan) surah ke-48, menceritakan perpaduan kerana kesatuan aqidah. Menurut Prof Hamka, setelah mengisahkan perpaduan aqidah, telah datang surah yang ke-49 iaitu Surah Al-Hujurat yang bermaksud bilik-bilik memberikan peraturan, adab dan sopan santun yang seharusnya digunakan oleh seorang muslim dalam kehidupannya (Tafsir Al-Azhar : 6806). Surah Al-Hujurat mempunyai 18 ayat dan diturunkan di Madinah. Makna Al-Hujurat adalah bilik-bilik, menggambarkan bilik-bilik di rumah Nabi Muhammad SAW yakni bilik isteri-isterinya dan dalam sebuah riwayat dikatakan bahawa rombongan Bani Tamim datang kepada Rasulullah SAW. Ketika mereka datang, mereka memanggil Rasulullah SAW yang berada di kamarnya dengan panggilan, ‘Wahai Muhammad, wahai Muhammad.’ Maka, Allah SWT menurunkan ayat ini (Al-Quran Amazing, 2014). Telah datang kepada Rasulullah SAW seorang utusan dari Bani Tamim di antaranya, Hajib bin Zararah bin ‘Adas, Al-Aqra’ bin Hibid, Azzabarqani bin Badr, ‘Amru bin Al-Ahtam, Qais bin’ Asim, dan singa mereka. Dan Mu’tamir bin Zaid hadir bersama mereka dalam kumpulan besar. Di samping itu, bersama mereka adalah ‘Uyainah bin Hasn Al-Fazari. Ketika memasuki masjid, mereka memanggil Rasulullah SAW dari belakang biliknya untuk keluar bersama mereka. Oleh itu, Rasulullah SAW memenuhi panggilan itu dan keluar menemui mereka.
Prof Hamka menyebut Surah Al-Hujurat ini amat penting dalam memberi kita satu peraturan dan adab untuk berinteraksi antara satu sama lain, sesama manusia. Sebagai seorang Muslim, kita mengetahui bahawa panduan terbaik adalah melalui Al-Quran dan Sunnah. Dalam menghadapi masalah yang timbul melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dan sebagainya, kita boleh menggunakan surah yang sama dalam memberi panduan yang betul dalam penggunaan media sosial. Perkataan Taqwa disebut sebanyak empat kali di dalam Surah Al-Hujurat. Dan setiap perkataan Taqwa yang disebutkan akan diiringi dengan sifat-sifat Allah SWT seperti Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Disini boleh kita fahamkan bahawa dalam setiap pergaulan manusia, Allah SWT meminta kita supaya kita bertaqwa kerana Allah SWT itu Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Maha Penyayang dan Maha Pengampun.
Panduan Penggunaan Media Sosial
Terdapat 17 panduan penggunaan media sosial dalam Surah Al-Hujurat. Didalam ayat pertama surat Al-Hujurat menyebut وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ iaitu mengenai Taqwa dan mengingatkan kita bahawa “Sesungguhnya Allah SWT Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.” Sifat Taqwa boleh menjadi panduan dan perisai kita dalam berinteraksi di dalam media sosial kerana Allah mendengar dan mengetahui apa yang kita lakukan baik di alam nyata atau di alam maya. Allah SWT mengetahui setiap apa yang kita lakukan.
Panduan ke-2, لَا تُقَدِّمُواْ بَينَ iaitu, jangan terburu-buru mendahului orang yang ada lebih berautoriti. Allah SWT mengingatkan kita supaya kita tidak mendahului orang yang lebih berautoriti dari segi ilmu dalam pergaulan kita baik di alam nyata mahupun di alam maya.
Untuk panduan ke-3, Allah SWT menyebut dalam Surah Al-Hujurat,لَا تَرفَعُوٓاْ أَصوَٰتَكُم فَوقَ صَوتِ ٱلنَّبِيِّ iaitu janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dengan kata lain jika digunakan didalam kehidupan seharian kita, jangan lantang melebihi mereka yang lebih berwibawa ilmunya. Sebagai contoh apabila bercakap dengan guru atau ustaz dan ustazah, kita boleh bertanyakan soalan tapi janganlah kita meninggikan suara.
Panduan yang seterusnya iaitu panduan ke-4, لَا تَجهَرُواْ لَهُ بِٱلقَولِ, janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap yang lain. Kita perlu hormat manusia kerana kedudukan dan tidak berteriak-teriak/menjerit-jerit sesama manusia. Di dalam urusan media sosial kita tidak perlu menaip dalam tulisan besar yang menggambarkan kita berteriak/menjerit.
Seterusnya, yang ke-5 صَبَرُواْ iaitu bersabar. Perkataan sabar ini dikaitkan tentang Bani Tamim yang tidak sabar dengan memanggil-manggil Muhammad SAW. Selain daripada menunggu satu pihak memberikan penerangan, kita juga perlu bersabar apabila menggunakan media sosial. Kadang-kala kita tidak bersabar di media sosial disebabkan kita tidak bersemuka antara satu sama lain. Kita banyak menggunakan teks dan tidak melihat air muka ketika di media sosial. Hal ini membuatkan kita tidak dapat mengetahui sekiranya seseorang itu sedang bersedih atau gembira. Dengan itu, melihat air muka sangat penting apabila berkomunikasi.
Panduan yang ke-6 adalah فَتَبَيَّنُوٓا, iaitu menyiasat apabila anda menerima maklumat, supaya anda tidak merosakkan orang lain dengan kejahilan. Kita perlu memastikan sumber berita itu benar sebelum kita berkongsi maklumat yang kita dapat melalui media sosial. Selalunya apabila kita mendapat sesuatu informasi sebagai contoh di WhatsApp Group, kita akan lebih mudah bertanyakan atau berkongsi kepada group baru yang lain. Dan ini menyebabkan maklumat yang tidak sahih itu menjadi tular tanpa disiasat. Sepatutnya kita bertanya kepada penghantar maklumat dari mana sumber beritanya. Jika penghantar maklumat tersebut tidak pasti, tidak usahlah kita kongsi kepada orang lain. Kajian daripada MIT di Twitter ada menyatakan, penyebaran berita palsu adalah 6 kali ganda lebih cepat dari berita yang benar (Vosoughi, 2018).
Untuk panduan yang ke-7, فَأَصْلِحُوا iaitu mendamaikan diantara saudara-saudaramu jika ada perselisihan faham. Kita dapat lihat di media sosial, terdapat satu budaya membawang atau dengan kata lain bercerita tentang orang lain. Juga boleh dikaitkan dengan mengumpat dan menfitnah orang di media sosial. Mengumpat atau menfitnah akan menimbulkan salah faham yang besar di kalangan kita sesama manusia tidak kita di alam nyata mahu pun di alam maya. Kita seharusnya melakukan kedamaian di media sosial tidak kira siapa pun diri kita. Sebagai manusia adakalanya kita melakukan kesilapan.
Seterusnya, panduan yang ke-8, وَأَقْسِطُوا iaitu bertindak dengan adil dalam pergaulan mahupun jika ada perselisihan. Kita cuba untuk mencari penyelesaian dengan bertindak adil di antara kedua belah pihak. Kadang-kala kita tidak berlaku adil terhadap musuh kita. Didalam Islam, kita perlu bertindak adil dan tidak berat sebelah walaupun dengan musuh kita sama ada dalam alam nyata atau alam maya.
Panduan yang ke-9 dari Surah Al-Hujurat iaitu, لَا يَسْخَرْ yang menyuruh kita jangan mengejek orang, mungkin mereka lebih baik daripada kamu di sisi Allah. Mengejek sesama manusia adalah satu perbuatan yang tidak disukai oleh Allah SWT sama ada di alam nyata atau di alam maya.
Seterusnya, yang ke-10 لَا تَلْمِزُوا iaitu jangan menghina satu sama lain. La talmizu iaitu jangan menghina sesama manusia sama ada dalam pergaulan kita seharian mahu pun pergaulan kita dalam alam maya iaitu Facebook, WhatsApp, Instagram dan sebagainya.
La tanabazu, لَا تَنَابَزُواْ, iaitu panduan yang ke-11 menyuruh kita jangan memanggil antara satu sama lain dengan nama samaran yang boleh menyinggung perasaan. Selalunya kita merasakan agak lucu memanggil nama samaran kepada kawan-kawan kita tanpa menyedari bahawa gelaran itu menyinggung perasaan mereka. Perbuatan ini dilarang sama sekali sama ada di alam nyata atau di alam maya.
Seterusnya, yang ke-12, اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ, hendaklah kita mengelakkan andaian negatif sememangnya beberapa andaian adalah dosa. Sentiasalah berfikiran positif terhadap sesuatu perkara. Didalam hubungan kita di media sosial, selalulah kita bersikap positif.
Kemudian untuk panduan yang ke-13, لَا تَجَسَّسُواْ menyuruh kita jangan mengintip antara satu sama lain. Perkara ini sentiasa terjadi di media sosial dimana seseorang itu tidak menampakkan kehadirannya di media sosial tetapi dia sentiasa mengintip individu yang lain di Facebook, Instagram atau WhatsApp kemudian dia berkongsi maklumat-maklumat yang dia peroleh kepada orang lain.
Panduan yang ke-14 dari Surah Al-Hujurat iaitu, لَا يَغتَب بَّعضُكُم بَعضًا menyuruh kita supaya jangan berkata-kata di belakang satu sama lain, ia adalah dosa utama yang sama ibarat memakan daging saudara kamu sendiri. Mengumpat adalah perbuatan keji sama ada di alam nyata mahu pun di alam maya (media sosial).
Seterusnya bagi panduan yang ke-15, لِتَعَارَفُوٓاْ إِنَّ أَكرَمَكُم عِندَ ٱللَّهِ أَتقَىٰكُم iaitu kita perlulah saling mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Mengenal antara satu sama lain adalah digalakkan dalam kehidupan seharian kita. Tetapi biarlah berpandukan dengan sifat ketaqwaan kepada Allah SWT.
Panduan yang ke-16, لَّا تَمُنُّوْا عَلَيَّ اِسْلَامَكُمْ iaitu, jangan merasa diri telah banyak berbuat baik dan menyumbang, berbanding dengan orang lain dan merasa orang patut menghargainya. Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Dalam kehidupan seharian, kita kadang-kala merasakan yang kita banyak menyumbang dalam alam nyata dan alam maya. Disini Allah SWT mengingatkan kita bahawa Allah SWT Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Dan panduan terakhir yang ke-17 dari ayat 18 Surah Al-Hujurat:
إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Daripada ayat tersebut, Allah mengetahui apa yang kita lakukan tidak kira di alam nyata atau alam maya. Setiap apa yang kita lakukan didalam dunia ini termasuk di media sosial, dilihat oleh Allah SWT.
Kesimpulan
Terdapat empat ayat di dalam Surah Al-Hujurat yang menyebut tentang Taqwa iaitu di dalam ayat 1, 10, 12 dan 13. Antara ayat-ayat tersebut adalah وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيم (dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya! Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui), وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (dan bertakwalah kepada Allah, agar kamu mendapat rahmat), وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيم (Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah-lah yang menerima taubat, Maha Penyayang) dan إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ (Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah Allah (orang yang beriman) yang mempunyai At-Taqwa). Taqwa adalah sifat paling penting dalam pergaulan harian terutamanya dalam pergaulan di dalam media sosial Allah SWT mengingatkan kita supaya bertaqwa kerana Allah SWT Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Apabila kita bertaqwa, kita akan mendapat rahmat dari Allah SWT. Dalam segi pergaulan kadang-kala kita melakukan kesilapan. Allah SWT menyuruh kita bertaqwa dan bertaubat kepada Allah SWT. Kerana Allah SWT bersifat Maha Penyayang kepada orang yang bertaqwa. Dalam pergaulan kita seharian (hablum minannas) kita hendaklah melakukan yang terbaik dengan sifat ketaqwaan kita dengan Allah SWT. Ini akan menyebabkan kita memperolehi hubungan yang terbaik yakni (hablum minallah) hubungan kita dengan Allah SWT.
Sebagai ummat Islam, kita seharusnya lebih mendalami Al-Quran kerana setiap permasalahan yang timbul dalam kehidupan seharian kita pasti ada jawapan di dalam Al-Quran. Seperti yang dapat kita rungkaikan daripada Surah Al-Hujurat yang dapat dijadikan panduan untuk kita seluruh masyakat dalam penggunaan media sosial. Surah Al-Hujurat mengingatkan kita sentiasalah bertaqwa kepada Allah SWT ketika kita menggunakan media sosial dan juga tidak kira di mana kita berada.
Penulis ialah Profesor di Kulliyyah of Information and Communication Technology (KICT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan juga Exco WADAH Malaysia.
Rujukan