WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

SETENGAH ABAD MENDEPANI TANTANGAN

SETENGAH ABAD MENDEPANI TANTANGAN
(Dedikasi kepada ABIM)

Setengah abad silam
dikau lahir
bukan disambut dan ditatang di atas dulang emas
melainkan lahir atas munajat dan impian luhur pemuda dan pemudi umah
yang menyaksikan kejelekan dan kebobrokan
di watan yang bertatih
menuntun arah dan cita-cita nusa
sesudah dua dasawarsa
bebas daripada kuasa penjarah

Kepincangan mengurus iktisad
daripada warisan kuasa pecah belah dan perintah
yang melebarkan kesenjangan keadilan warga

Kepincangan siasah yang berkiblat pada erti kuasa sebagai hak dan keistimewaan
serta manipulasi kuasa semahu-mahunya

Kepincangan melakar dan menggerakkan sistem pendidikan
untuk memanusiakan manusia
memadukan ilmu tanzil dan ilmu duniawi
wahyu dan sains
nilai dan ketrampilan
generasi pemikir yang peka akan isu umah
generasi berwawasan yang cakna akan isu lingkungan

Demikian
dikau dilahirkan
untuk mendepani tantangan-tantangan
siasah, iktisad, pendidikan, bahasa, budaya, keadilan, hak dan taklif membina acuan rabbani
bagi segala makna peri kehidupan insan
di pentas watan dan di pentas dunia

Setengah abad
wajar menjadi guru kepadamu
untuk mendepani setengah abad mendatang
dan abad-abad selanjutnya
Teruslah bergerak di jalur luhur
berpaksikan suluhan Sang Pencipta, Sang Pengatur dan Sang Pengadil di alam abadi
Usah sekali-kali teledor
dalam memenuhi taklifmu
sebagai benteng wangsa, nusa dan insan sejagat.

Awang Sariyan Kembara Bahasa
Jumaat 6 Ogos 2021/27 Zulhijah 1442H

PENGHAYATAN BERABDI DAN BERBAKTI

Bandar Baru Bangi, 22 Disember 2024 – Surau Al-Abrar di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi telah mengadakan Kuliah Maghrib pada Ahad lalu yang disampaikan oleh Hj. Nik Mohd Yusoff Nik [...]
Baca Lebih

NAHDAH EKONOMI: TUNTUTAN DAN KEPERLUAN UMAT

Dalam era dunia yang semakin mencabar dan kompleks, umat Islam perlu dibangkitkan dan ditunaskan dengan minda baru untuk memacu nahdah atau kebangkitan ekonomi. Konsep “Minda Nahdah Ekonomi” bukan sekadar bermaksud [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara