WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

HAMKA TOKOH TAJDID DAN PENYATUAN UMAT ALAM MELAYU

Oleh Maryam Isa.

Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka merupakan seorang tokoh ulama pembaharuan Islam di Alam Melayu. Pada acara Forum Kenangan Buya Hamka bersempena 40 Tahun Kembali Ke Rahmatullah, beberapa sarjana mengungkapkan sumbangan dan jasa Hamka terhadap pembangunan dakwah di Alam Melayu terutama dalam konteks penyatuan ummah.

Menurut Dr. Farid Mat Zain yang membincangkan “Khazanah Keilmuwan Hamka dan Iktibar Hari Ini”, Hamka wajar diteladani terutama dari segi kesungguhan beliau membentuk jati diri sendiri walaupun dalam serba kekurangan. Di sebalik kepayahan hidup, ayah Hamka iaitu Syeikh Haji Abdul Karim Abdullah merupakan seorang ulama tetap mementingkan pendidikan Islam terhadap anak- anaknya. Hamka sendiri sudah mengenali dan memahami al-Quran sejak kecil pada umur 10 tahun. Antara guru lain Hamka yang dikenalpasti adalah Sutan Mansur, Haji Zainudin Labai, HOS Tjokroaminoto, Abdul Rozak Fachruddin. Kiyai Haji Mas Mansor, Kiyai Bagus Hadikusumo.

Keperibadian Hamka banyak yang wajar dicontohi. Antaranya ialah semangat luar biasanya dalam menggali ilmu pengetahuan walaupun secara mandiri. Beliau rajin membaca buku dan membuat salinan daripada bahan-bahan yang dibaca. Selain itu, Hamka juga meminati bahasa Arab sejak kecil sehingga mampu menghasilkan karya ulungnya, Tafsir Azhar dan memperoleh gelaran Doktor Kehormat dari Universiti Al-Azhar walaupun tidak mendapat pendidikan rasmi di Timur Tengah. Kesungguhan Hamka menimba dan menyebarkan ilmu ini wajar dijadikan inspirasi bagi segenap lapisan masyarakat.

Hamka dan Tajdid Kewanitaan

Berkaitan sumbangan Hamka terhadap pembaharuan berfikir di Alam Melayu, Dr Nor Salimah Abu Mansor menyatakan dalam kupasannya mengenai “Hamka dan Warisan Tajdid Kewanitaan Alam Melayu”, menekankan bahawa konsep tasawur tajdid itu bukan memperbaharui agama tapi mengembalikan agama itu pada konsep asal agar umat Islam dapat menghayati konsep-konsep asal yang digunakan di zaman Rasulullah SAW dan menyesuaikannya dengan perkembangan yang ada pada zaman sekarang. Begitulah, Hamka cuba mengembalikan pemikiran umat Islam kepada konsep pemikiran yang sepatutnya diamalkan oleh umat Islam dengan pelbagai usaha terutamanya menerusi penulisan.

Menurut Dr. Nor Salimah, sumbangan besar Hamka dalam tajdid kewanitaan di Alam Melayu boleh dibahagikan kepada tiga cabang iaitu pertama, tajdid dari sudut tasawur (worldview).  Penulisan Hamka secara halus cuba membentuk masyarakatnya agar tidak memandang rendah dan menghargai wanita. Kedua, tajdid dari sudut pemikiran wanita itu sendiri dengan memberi kesedaran bahawa mereka harus dihargai, mempunyai harga diri, harus diberikan pendidikan dan beragama supaya mempunyai ilham-ilham perjuangan dalam membangunkan umat. Ketiga, tajdid dari segi amalan seperti isu poligami dan rumah tangga. Beliau mengkritik amalan tradisi umat Islam ketika itu yang kurang menepati roh syarak dalam melayani wanita. Tajdid kewanitaan di Alam Melayu oleh Hamka telah membuka ruang dimensi kepada wanita khususnya untuk berani kehadapan dan bersama-sama lelaki demi membangunkan umat ini dengan cara yang diredhai Allah SWT.

ABIM dan Perjuangan Hamka

Manakala Haji Abdul Halim Ismail telah menggariskan susur galur perjuangan ABIM dalam mengangkat ketokohan Hamka di Alam Melayu. Dalam wacananya mengenai  “Gerakan ABIM dan Perjuangan Hamka”, beliau menjelaskan peranan ABIM yang menganjurkan masyarakat agar terus memanfaatkan khazanah dari legasi Hamkan dalam bidang keilmuan dan pemikiran tajdidnya. Ia penting kerana mampu memberi suatu lonjakan dalam usaha dakwah dan perubahan masyarakat.

Antara inisisatif ABIM bagi menjayakan usaha ini ialah menganjurkan program jejak ulama ke Danau Maninjau, daerah kelahiran Hamka. Beberapa siri lawatan telah dilaksanakan untuk menekuni, mengamati latar belakang kehidupan yang mencetus pemikiran dan perjuangan Hamka. Kemudian ABIM telah mengadakan beberapa siri seminar antarabangsa di Malaysia dan di Indonesia. Ia telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat serantau. Kehadiran ABIM berkali-kali di tempat kelahiran Hamka memberi kesedaran pada masyarakat tempatan untuk mengangkat ketokohan Hamka.

Susulan dari beberapa siri lawatan dan seminar, pelbagai manfaat yang diperoleh seperti peluang perniagaan, kemajuan sektor pelancongan dengan rumah kelahiran Hamka dibaik pulih dan Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka dibina, madrasah dan pesantren ditubuhkan, penambahbaikan mutu pendidikan menerusi hubungan dua hala di antara Malaysia dan Indonesia. Peranan ABIM mengangkat ketokohan Hamka harus dicontohi dalam keaktifannya membangun dan memberi bantuan dan kesedaran sehingga terjadi perubahan yang memberansangkan dan bermanfaat untuk umat.

Wawasan Penyatuan Melayu

Sementara itu, Dr. Muhammad Nur Manuty membicarakan mengenai “Hamka dan Wawasan Penyatuan Umat Alam Melayu”. Menurut beliau, antara wasilah yang digunakan Hamka untuk menyatukan umat Alam Melayu ialah melalui sentimen sejarah dan agama Islam. Hamka menyarankan penulisan semula sejarah Melayu yang banyak berkait dengan agama Islam tanpa dipengaruhi pandangan orientalis Barat yang menyimpang. Sememangnya begitulah, kerana empayar kerajaan Melayu dan Raja-raja Melayu sentiasa didampingi alim ulama telah bertunjangkan agama Islam yang menjadi akar perpaduan orang Melayu.

Selain itu, Bahasa Melayu juga dijadikan wasilah penyatuan orang Melayu dengan menolak unsur- unsur bahasa lain sepertimana Hamka telah menolak syor Langkasuka sebagai nama negara sehingga akhirnya nama Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang dipilih. Iktibar lain dari peribadi Hamka yang boleh dijadikan wasilah penyatuan orang Melayu adalah sikap meraikan perbezaan. Hamka mengamalkan sikap keterbukaan dan tidak cenderung kepada mana-mana puak seperti kaum Tua dan kaum Muda bahkan yang penting adalah kesatuan kaum Muslimin. Satu pengajaran penting perlu dicedok agar perpecahan tidak terjadi dalam kalangan masyarakat.

Pandangan oleh Dr Muhammad Noer, Wakil Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII) pula mengibaratkan Hamka seperti air yang mengalir lantaran masih banyak pemikirannya yang belum digali dan besar jasanya sehingga ke hari ini. Perkara ini boleh dilihat apabila universiti Hamka dan banyak sekolah serta pesantren Hamka telah ditubuhkan dan beberapa disertasi mengenainya di Indonesia dan Malaysia telah dihasilkan. Beliau berharap generasi baru di Alam Melayu dapat mengambil iktibar ketokohan dan sumbangan Hamka terhadap kemajuan ilmu dan ummah sepanjang hidupnya.

Forum Kenangan Buya Hamka dianjurkan bersama oleh WADAH, ABIM, Nadwah Ilmuwan, ICMAS dan PKPIM pada 2 Ogos 2021.

Ikuti rakaman penuh webinar di portal MYWAPTV.COM:

Rakaman Video WEBINAR: Forum Kenangan Buya Hamka 40 Tahun Kembali Ke Rahmatullah: Hamka & Penyatuan Umat Alam Melayu

Akal licik Yahudi untuk menangkap ikan pada hari Sabtu dan siksaan bagi para penentang

Ayat 163 hingga 166 beserta terjemahannya. وَسۡ‍َٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara