WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

SUKAN OLIMPIK DAN “SOFT POWER” UMAT ISLAM

Oleh Mohammad Syazwannuddin Shaharuddin.

Pada 8 Ogos 2021, berakhirlah Sukan Olimpik di Tokyo yang mengumpulkan 11,090 orang atlet daripada 206 negara termasuk skuad yang mewakili pelarian dan bertanding di bawah bendera Olimpik. Kejohanan ini selesai dijayakan di dalam suasana Covid-19 yang masih merebak di seluruh dunia. Selepas setahun ditangguhkan, kerajaan Jepun terpaksa juga meneruskan kejohanan ini walaupun mendapat tentangan yang kuat daripada rakyat Jepun sendiri yang mahu Sukan Olimpik dibatalkan terus.

Sukan Olimpik diadakan dengan tujuan untuk menyatukan manusia pelbagai negara, bangsa dan agama dalam semangat sukan dan persaingan yang sihat. Pelbagai sukan yang dipertandingkan antaranya adalah adalah olahraga, renang, angkat berat, berbasikal dan tinju. Attlet yang bertanding di Tokyo kali ini terpaksa bertanding di dalam stadium kosong di mana penonton tidak dibenarkan untuk masuk demi mengelakkan penularan Covid-19. Yang di dalam stadium hanyalah atlet dan juga pegawai sukan daripada negara-negara yang menyertai kejohanan. Penonton seluruh dunia hanya berpeluang menonton sukan kegemaran mereka di kaca televisyen. Pada Sukan Olimpik di Rio pada tahun 2016, dianggarkan terdapat 3.2 bilion penonton mengikuti kejohanan tersebut di televisyen. Ketiadaan penonton di stadium memberi kesan kepada pendapatan negara Jepun kerana salah satu sumber pendapatan terpenting apabila menganjurkan kejohanan sukan yang besar seperti Olimpik adalah perbelanjaan penonton yang datang dari luar negara untuk penginapan, tiket dan juga pelbagai tempat yang mereka akan kunjungi apabil sampai di Tokyo. Penganjuran Sukan Olimpik adalah sangat mahal, di mana dianggarkan untuk di Tokyo sahaja sudah memakan harga USD 15 bilion. Kebanyakan kos ini digunakan untuk membaik pulih infrastruktur sukan dan perbandaran untuk kemudahan atlet, pegawai, media dan penyokong. Kos yang sangat mahal ini menyebabkan hanya negara maju sahaja yang mampu menganjurkan kejohanan sukan sebesar ini, di mana pada tahun 2024, ianya akan dianjurkan di Paris, Perancis, manakala pada tahun 2028 pula di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Sukan dan Pengaruh Diplomasi

Dengan bilangan atlet dan penonton yang ramai semasa Sukan Olimpik, negara Islam sepatutnya menggunakan peluang ini untuk memaparkan “soft power” mereka. “Soft power” dalam hal ini merujuk kepada pengaruh diplomasi yang terdapat di dalam sesebuah negara yang mampu mempromosi dan memperkenalkan negara di peringkat antarabangsa. “Soft power” berbeza dengan “hard power” yang kebiasaannya menggunakan kuasa ketenteraan, ekonomi atau teknologi untuk menunjukkan kehebatan negara mereka. “Soft power” pula lebih menumpukan kepada keunikan budaya atau keseniaan yang popular serta mengeksport keunikan tersebut ke negara luar. Antara negara yang popular dengan “soft power” mereka adalah Jepun dan Korea Selatan yang mempunyai industri filem, drama dan muzik yang diikuti oleh jutaan peminat di luar negara. Shinzo Abe, Perdana Menteri Jepun sebelum ini semasa upacara penutup Sukan Olimpik di Rio, memaparkan imej kartun terkenal daripada Jepun seperti Super Mario dan Pokemon untuk mengajak orang datang ke Jepun pada tahun 2020 (walaupun perkara ini tidak menjadi kerana pandemik). Dalam hal lain pula, populariti kumpulan penyanyi BTS menarik pelancong datang ke Korea Selatan dan menyumbang kepada USD3.6 bilion kepada ekonomi negara dalam sektor pelancongan.

Dalam konteks sukan pula, walaupun negara besar seperti Amerika Syarikat dan China masih menguasai pelbagai acara sukan, ada beberapa sukan yang dikuasai oleh negara kecil. Contohnya Jamaica, Kenya dan Ethiopia yang terkenal dalam acara olahraga dan banyak meraih pingat dalam acara sukan tersebut. Indonesia dan negara kita Malaysia mempunyai kekuatan dan pengaruh dalam acara badminton dan sering menjadi “favourite” untuk memenangi pingat. Di dalam Olimpik baru-baru ini, antara negara Islam yang berjaya adalah Iran yang meraih 3 pingat emas manakala Turki meraih pula 2 pingat emas. Kebanyakan negara Islam terutamanya daripada Asia Tengah mendominasi acara pertempuran seperti gusti, karate, taekwondo dan juga angkat berat. Qatar sendiri berjaya meraih emas pertama melalui acara lompat tinggi, yang dikongsi dengan atlet daripada Itali. Sukan Olimpik juga mula mesra dengan wanita Islam yang mahu berhijab di mana atlet Mesir, Feryal Abdelaziz yang berhijab berjaya memenangi pingat emas dalam acara Karate. Atlet olahraga Malaysia sendiri, Azreen Nabila Alias juga memakai hijab semasa bertanding dalam acara lumba lari 100m. Peranan dan sumbangan wanita dalam sukan mula terserlah apabila ramai atlet dan kumpulan pendesak meminta supaya atlet wanita bola tampar dibenarkan memakai seluar yang lebih selesa dibandingkan dengan peraturan yang lapuk yang mahukan wanita memakai seluar yang sangat pendek yang menyamai seluar dalam.

Sukan Menyatukan Bangsa

Di dalam dunia globalisasi sekarang, kejayaan di dalam sukan lebih diraikan dan mendapat sokongan yang kuat daripada rakyat. Sebagai contoh, rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama menyokong atlet badminton berbangsa Cina dan atlet berbasikal berbangsa Melayu seperti Datuk Azizulhasni, menunjukkan sukan mampu menyatukan dalam suasana krisis. Di dalam era di mana imej ahli politik sangat buruk, imej atlet pula semakin meningkat dan menjadi inspirasi ramai orang untuk terus berjaya. Umat Islam perlu menggunakan peluang yang wujud dalam pelbagai kejohanan sukan di peringkat antarabangsa dengan menggalakkan lebih ramai orang Islam menyertai sukan dan menjadi profesional di dalam bidang tersebut. Ianya bukan sahaja dapat membawa keuntungan ekonomi, malah mempromosi imej umat Islam yang sihat dan berkualiti. Sebagai contoh, Mohamad Salah, pemain Liverpool daripada Mesir sangat popular di United Kingdom sehingga apa-apa yang berkaitan dengan orang Islam atau Mesir, rakyat akan mengaitkannya dengan Salah sebagai contoh terbaik. Ianya juga membantu mengurangkan Islamofobia yang sedang merebak di Eropah. Sukan hanyalah salah satu “soft power” yang boleh dimanfaatkan oleh negara Islam supaya martabat Islam lebih dihormati dalam zaman moden ini.

Penulis ialah Exco ABIM Wilayah Persekutuan.

Sumber Gambar: NY Times

Akal licik Yahudi untuk menangkap ikan pada hari Sabtu dan siksaan bagi para penentang

Ayat 163 hingga 166 beserta terjemahannya. وَسۡ‍َٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara