WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

WADAH MENYAHUT PANGGILAN PENCERAHAN

Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.

ABIM lahir dari kesedaran tentang hakikat shumuliyyatu ‘l-Islam, kesempurnaan dinu ‘l-Islam sebagai `aqidah dan shari`ah, cara hidup tauhidik yang komprehensif. Demikianlah al-wa`yu ‘l-Islamiy (kesedaran Islami) yang tumbuh dan menyemarak dalam fenomena global kebangkitan Islam (al-sahwah al-Islamiyyah). Tepat pada saat strategik itulah ABIM muncul sebagai agent of change di Malaysia, melakukan koreksi terhadap faham dan amalan sekularistik dan seterusnya menyalakan ghairah keagamaan di tengah umat, khususnya generasi muda. Demikianlah selama lebih tiga dekad wadah kepemudaan tersebut dengan setia dan istiqamah memperjuangkan aspirasi kebangkitan islahiy-tajdidiy. ABIM adalah wadah berjasa yang berjaya menempa nama sebagai gerakan Islam kontemporari yang berwibawa. Citra kepeloporan wadah yang telah kita bina dengan susah payah itu harus terus dipertahankan. Untuk itu ia perlu dipastikan selamanya dalam kendalian pasukan kepimpinan yang dinamik-energetik. Dengan mengekalkan dinamika kepemudaannya ABIM diharapkan akan terus-menerus mampu meningkatkan daya juangnya sebagai juru bicara gerakan yang lantang dan artikulatif.

Dalam kaitan inilah perlunya para senior memberikan kepercayaan dan laluan kepada angkatan muda dengan menyerahkan baton perjuangan kepada mereka. Namun langkah tersebut tidak harus diertikan sebagai penamatan riwayat perjuangan satu generasi. Perjuangan melaksanakan misi keislaman bukan sejenis kerjaya yang tamat dengan persaraan. Perjuangan ini adalah bahagian daripada hidup, berlanjut bersama denyut nadi, bersambung bersama degup jantung dan hanya akan berhujung dengan hembusan nafas terakhir. Penubuhan Wadah adalah langkah strategik memperluas gelanggang, mempelbagai ragam persilatan.

Wadah ditakdirkan hadir di tengah kecamuk pelbagai masalah dan cabaran global dan lokal Selepas peristiwa 11 Sepetember, dunia menyaksikan badai amukan  sebuah hyperpower yang kini mulai disebut secara sarkastik sebagai the United States of Fighting Terrorism yang mengeksport dan meratakan ketakutan (fear) ke seluruh dunia Islam; tidak ada negara Islam, organisasi Islam atau institusi Islam yang terlepas dari tekanan dan ugutannya. Akibatnya ramailah pemimpin dan umat Islam yang mulai bertindak dan berbuat sesuai dengan kehendak US, termasuk menekan organisasi Islam, melemahkan institusi Islam dan mendistorsikan ajaran Islam. Situasi seperti itulah yang memberikan kesempatan kepada golongan sekularis untuk berleluasa mengungkapkan Islam versi liberal-sekular. Dengan dukungan, perlindungan dan pendanaan yayasan-yayasan luar negara, mereka menjadi begitu berani, tanpa rasa hormat kepada amanah keilmuan, dan tanpa malu-malu mendebat dan menggugat ajaran agama; bukan lagi fiqhnya, tetapi sudah melarat ke syari‘atnya, dan bukan lagi tafsirnya, tetapi sudah melarat ke jantung teks suci al-Kitab. Tidak dapat diragukan lagi bahawa memang ada projek converting the Muslims dan sekaligus converting Islam. Andainya strategi serampang dua mata itu berjaya, ia akan mengakibatkan berlakunya pemurtadan dan seiring dengan itu akan tercipta sejenis “Islam” versi baru yang menepati spesifikasi Barat. Dan hanya “Islam” yang telah mendapat endorsement mereka sahajalah yang akan dipromosi dan ditoleransi kewujudannya. Selain itu semuanya dianggap Islam garis keras dengan label radikal, fundamental, militan dan teroris yang harus dimusnahkan. Tidak dapat dibayangkan keadaan yang lebih tragik daripada itu: Amerika yang mendefinisikan, malah mendictate Islam itu apa, dan bagaimana cara yang seharusnya ia difahami dan diamalkan.

Demikianlah, situasi lemah dan tertekan yang menimpa umat dan kepimpinannya itu diambil kesempatan oleh golongan yang tiba-tiba menjadi berani untuk merombak, mengungkit dan mempersoalkan hal-hal yang selama ini tidak pernah disinggung, termasuk fasal-fasal tertentu dalam perlembagaan negara. Keleluasaan gaya hidup hedonistik dan budaya sensate yang begitu fenomenal akhir-akhir ini menyebabkan orang mulai bertanya, apakah semuanya itu petanda bahawa masyarakat kita sedang mengalami proses pendangkalan agama yang akhirnya berhujung dengan deislamisasi?

Sekaranglah saatnya untuk tampil sebagai ansaru ‘Llah, kekuatan kerakyatan yang menjulang obor agama Allah agar tetap menyinar di tengah kegilaan manusiayang cuba memadamnya. Sesungguhnya cabaran sikap agresif-provokatif golongan-golongan di atas harus segera disahut dengan peningkatan komitmen para da`i, ulama dan cendekiawan Muslim. Sikap pasif kita telah mendorong mereka menjadi agresif, dan sikap ragu-ragu kita telah membantu mereka menjadi berani. Demikianlah yang namanya perjuangan, yang apabila tiba saatnya, tidak siapa pun – yang muda atau yang tua, yang senang atau yang susah – boleh mengecualikan diri. Apabila sampai saatnya semua harus tampil khifafan wa thiqalan, dalam keadaan ringan atau dalam keadaan berat.

Cabaran-cabaran sebagaimana yang diungkapkan di atas memperkuat keyakinan kita tentang kerelevanan strategi dakwah dan tarbiyah. Memang demikianlah selamanya, dakwah dan tarbiyah tidak pernah dan tidak akan pernah hilang kerelevanannya. Justeru, strategi inilah yang akan kita lanjutkan dengan lebih intensif sebagai usaha pengaktualisasian misi profetis: membebaskan manusia dari kegelapan (al-zulumat) kepada kecerahan (al-nur). Untuk mempastikan terlaksananya misi tanwir atau pencerahan ini, Wadah harus mampu tampil sebagai the enlightened souls, istilah yang dipakai oleh Ali Shari‘ati tentang golongan yang sedar tentang dirinya dan sedar dengan tanggungjawab sosialnya.

Sesungguhnya babak sejarah yang sedang kita lintasi adalah babak yang cukup kritikal dan mencemaskan. Isu yang harus ditangani adalah isu survival. Kerana itu agenda utama kita adalah membina kualiti umat atas rasional bahawa kualitilah faktor yang sebenarnya menentukan survival sebagaimana yang diungkapkan secara metaforik dalam al-Qur’an tentang buih (al- zabad) yang serba rapuh dan segera menghilang sebagai simbol umat hampas, tanpa substance dan tidak berguna. Umat tanpa kualiti yang terancam musnah itu dipertentangkan dengan umat penyumbang, umat yang bermanfaat kepada dunia dan manusianya. Umat yang berkualiti mampu menyumbang manfaat itulah yang dapat mempertahankan survival dan kehadiran yang bererti. Dalam kaitan ini sumbangan paling bermanfaat kepada manusia tidak lain adalah petunjuk (agama) Ilahi.

Memang sejarah masa kini adalah sejarah krisis ketamadunan, era penuh kemelut kemanusiaan yang disebut oleh Sutan Takdir Alisjahbana sebagai krisis “maha besar”. Dunia didominasi oleh kuasa yang angkuh, rakus dan ganas. Itulah kuasa besar yang pernah disebut oleh Ali Mazrui selalu bersikap …refusing to be humanized morally. Dan setelah kehilangan kemanusiaan ia tidak lagi sensitif dengan kebencian dunia terhadapnya. Tamatnya Perang Dingin telah tidak dimanfaatkan secara bertamadun dengan membangun dunia yang stabil dan damai. Sebaliknya ia hanya menjadikan Amerika bertambah angkuh dengan sikap unilateralnya. Demikianlah tersia-sianya suatu peluang kemanusiaan dan ketamadunan yang juga turut disesalkan oleh Mikhail Gorbachev, “… despite the great opportunity that the end of the cold war presented to the U.S. to build a safer and more stable world, it only strengthened America’s arrogance and unilateralism.” Keadaan tersebut diperburuk lagi dengan peristiwa 11 September, peristiwa yang menjadikan U.S. berang, lalu mengamuk. Dan itulah pula yang memberikan citra an America that exports fear, not hope.

Demikianlah sisi hitam sejarah kontemporari yang jelas memperlihatkan pelbagainya predicaments. Tetapi siapa tahu, barangkali ada pula sisi putihnya yang mengandungi promises. Memang kita sedang mengalami krisis, tetapi tidak sedikit pula krisis yang boleh dirubah menjadi kesempatan. Sekaranglah saatnya kita tampil sebagai umat penyumbang, menawarkan tamadun sejagat rahmat (rahmatan li ‘l- `alamin). Tetapi untuk memungkinkan kita menjadi umat penyumbang, kita perlu berada di atas. Hanya yang di atas yang dapat mencurah sesuatu kepada yang menadah di bawah. Dengan kata lain kita perlu menjadi umat al-yadu ‘l-`ulya (tangan yang di atas) dalam erti luas. Untuk itu kita perlu membangunkan semula tonggak-tonggak yang menjadi kekuatan tamadun Islam zaman jayanya dahulu, tonggak-tonggak ketamadunan yang dirumuskan oleh Malik Bennabi sebagai quwwatu ‘r-ruh wa ‘l-`aql (kekuatan spiritual- intelektual). Andainya kita ingin menjadi kekuatan katalis pembangunan tamadun sejagat rahmat, maka Wadah ini harus juga dibangun di atas kedua-dua tonggak kekuatan tersebut. Dalam kaitan inilah perlunya strategi pembinaan dalaman yang berpaksikantaqarrubdantafaqquh. Denganintensifikasi taqarrub, meningkatkan amal mendekatkan diri kepada Allah kita membangun kekuatan rohaniah (quwwatu ‘r- ruh), dan dengan ketekunan tafaqquh, menguasai ilmu al-Kitab dan al-hikmah kita membangun kekuatan intelektual (quwwatu ‘l-`aql).

Kekuatan dalaman inilah yang harus sentiasa dipelihara dan dilestarikan. Sejarah mengajar kita bahawa kekalahan dan keruntuhan lebih banyak disebabkan kerapuhan dalaman, dan tidak sangat disebabkan gempuran luar. Itulah yang sebenarnya hakikat di sebalik keruntuhan tamadun Baghdad pada abad 13M, tamadun yang telah lama reput dari dalam setelah kehilangan kedua-dua tonggak kekuatannya (quwwatu ‘r-ruh wa ‘l-`aql) dan seluruh kekuatan umat tersedut dalam silang sengketa perpolitikan al-siyasah bi ‘l-ma`na ‘s-sathiy (politik yang telah mengalami pendangkalan erti), politik siapa dapat apa. Serangan Mongol sebenarnya tidak lebih daripada sekadar tolakan terakhir terhadap tubuh daif yang sudah lama menunggu rebah.

Demikianlah andainya kita tidak mahu ditempelak oleh ayat, …apakah kamu mengajak orang melakukan kebaikan, sedangkamusendirilupadiri?. Umatsebenarnyasudah lama bosan dengan sandiwara pidato-pidatoan dan slogan-sloganan. Kepura-puraan dalam kepimpinan dunia Islam sudah lama menjadi lawak yang tidak lucu lagi. Umat tidak lagi memerlukan kepimpinan yang lemah dan melemahkan. Y ang diperlukan adalah gerakan yang perkasa dan mampu memperkasa. Mudah-mudahan Wadah akan mampu tampil sebagai kekuatan pembawa harapan, tampil dengan citra penuh wibawa sebagai pengibar panji-panji integriti moral dan etika kecendekiawanan, tampil sebagai kekuatan pemberdayaan umat.

Kita telah ditakdirkan untuk menangani generasi umat yang rata-rata telah dilumpuhkan oleh pelbagai faktor sehingga menepati pemerian al-Qur’an tentang hamba abdi yang tidak berdaya (‘abdan mamlukan la yaqdiru ‘ala shay’). Kaum dhu‘afa’ yang terpuruk akibat dilumpuh dan diperbodoh inilah yang harus dibina dengan agenda pemberdayaan tanwiriy – pencerahan dan pencerdasan. Adalah amat disayangkan, dalam era kesedaran tentang peri pentingnya human capital atau modal insani, masih juga berlaku pengabaian terhadap usaha pemberdayaan umat. Para penguasa di dunia Islam hanya asyik menggali kekayaan bumi, tetapi tidak berusaha menggali potensi kekuatan rakyat, malah seringkali bertindak sebaliknya membenamkan potensi kecerdasan rakyat sedalam mungkin, semakin dalam ia terbenam semakin amanlah mereka, kerana kecerdasan rakyat selalu dirasakan sebagai ancaman. Rakyat yang cerdas jiwa dan mindanya adalah kekayaan bangsa (wealth of nation) yang paling berharga. Kualiti rakyatlah yang akhirnya menentukan daya maju bangsa dalam dunia persaingan global.

Pemberdayaan umat harus bermula dengan membangkitkan kesedaran al-wa‘y al-Islamiy, kesedaran Islami yang akan mengembalikan kesedaran keinsanan, keislaman dan kerakyatannya. Dengan demikian mereka akan menemukan semula erti hidup, tahu hak dan tanggungjawab, sedar tentang makna ketinggian martabat, maruah dan jati diri. Memang misi para da‘i ialah menghidupkan jiwa yang mati. Demikianlah erti dan inti pengislaman yang hakiki. Membawa manusia kepada Islam bererti memberikan daya hidup (…lima yuhyikum).

Pemberdayaan juga harus meliputi pencerdasan dalam erti pembinaan daya fikir atau thinking capacity umat. Ini bererti warga Wadah harus bersiap melawan gerakan pembodohan dan pembekuan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang merasa tergugat dengan kecerdasan dan pemikiran kritis. Itulah hakikat di sebalik pelbagai kekangan yang memakai pelbagai nama: akta, peraturan, disiplin dan seumpamanya. Generasi muda rata-rata tidak digalakkan berfikir kritis, mereka hanya disuapi dengan idea-idea yang sudah well cooked dan diindoktrinasi dengan pemikiran yang sebenarnya sudah tidak mampu lagi bertahan di pentas wacana keintelektualan yang kritis.

Pencapaian objektif pencerdasan terkait pula dengan budayailmu. Kerana itu penyegaran dan penyuburan budaya ilmu harus diangkat menjadi salah satu agenda utama. Untuk itu nilai ilmu perlu didaulatkan semula dengan menempatkannya di puncak urutan set nilai budaya bangsa. Kekuatan nilai ilmulah yang akan menjelmakan budaya ilmu. Ini adalah tugas berat yang harus dilaksanakan di tengah cabaran gejala kepura-puraan sikap terhadap nilai ilmu. Dalam gembar-gembor slogan serba-serbi berasaskan ilmu (knowledge based) banyak sekali perlantikan dan pengangkatan ke posisi-posisi penting yang mengenepikan kriteria keilmuan. Asas kepakaran seringkali dikorbankan kerana kuatnya motif rewarding friends atau berbagi rezeki di kalangan kroni.

Yang ingin kita bangunkan adalah masyarakat dan tamadun yang religius, umat yang berwatak al-amiruna bi ‘l-ma`ruf wa ‘n-nahuna `ani ‘l-munkar, umat yang berbudaya kemakrufan dan alergik terhadap kemungkaran. Masa depan umat sebenarnya sangat ditentukan oleh komitmennya terhadap amar ma`ruf- nahi munkar yang disebut oleh al-Qur’an dalam pelbagai konteks: sebagai kewajipan kolektif umat, sebagai tanggungjawab penguasa, sebagai ciri khayra ummah dan sebagai watak umat beriman.

(Amanat Pimpinan Muktamar Nasional Pertama WADAH 11 Mac 2006. Penulis ketika ini adalah Presiden Pertama WADAH.)

Akibat menimpa kaum Yahudi disebabkan kezaliman dan perbuatan mereka yang mengambil riba serta pahala orang beriman dari mereka

Ayat 160 hingga 162 beserta terjemahannya. فَبِظُلۡمٖ مِّنَ ٱلَّذِينَ هَادُواْ حَرَّمۡنَا عَلَيۡهِمۡ طَيِّبَٰتٍ أُحِلَّتۡ لَهُمۡ وَبِصَدِّهِمۡ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ كَثِيرٗا “Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi, [...]
Baca Lebih

Akibat mendustakan para rasul di dunia

Ayat 4 dan 5 beserta terjemahannya. وَكَم مِّن قَرۡيَةٍ أَهۡلَكۡنَٰهَا فَجَآءَهَا بَأۡسُنَا بَيَٰتًا أَوۡ هُمۡ قَآئِلُونَ Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya [...]
Baca Lebih

Akibat daripada meninggalkan ayat-ayat Allah

*Abstrak:* Dalam makalah ini dihuraikan apakah akibat daripada meninggalkan atau menyia-nyiakan ayat-ayat Allah SWT. Allah SWT turunkan ayat-ayat-Nya demi untuk kebaikan manusia, tetapi ramai manusia yang tidak mengambil manfaat daripada [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara