Oleh Dr Osman Bakar
Tajdid tidak akan berlaku tanpa ilmu dan media persuratan. Yang mencirikan Islam itu adalah ilmu pengetahuan dan persuratan itu berkait rapat dengan ilmu pengetahuan. Fenomena tajdid itu berlaku setiap abad berdasarkan hadith Rasulullah ﷺ, إنَّ اللهَ يَبْعَثُ لِهذهِ الأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِيْنَهَا “Sesungguhnya Allah mengutus untuk umat ini pada setiap penghujung seratus tahun seseorang yang memperbaharui agamanya” (HR. Abu Daud), iaitu menjelang abad hijrah, Allah akan bangkitkan para mujadid yang akan memperbaharui mesej Islam.
Sumbangan Para Mujaddid Sepanjang Sejarah
Risalah Islam dan mesejnya adalah sama tetapi diperbaharui dengan mengambil kira situasi terbaru dan semasa umat. Contohnya kemunculan Imam al Ghazali, seorang mujadid kurun 6 Hijrah. Sumbangan dan perjuanganya memang memenuhi tajdid kerana peranan tulisan-tulisannya. Di samping banyak karya-karyanya, Imam Ghazali merenung tentang masalah umat zaman itu. Umat ketika itu berada dalam kegawatan. Dia menghasilkan tulisan-tulisan bagi membimbing umat Islam agar keluar dari kemelut yang mereka hadapi.
Daripada pertembungan extremisme dua pihak aliran faham batiniyah dan zahiriah, Imam al Ghazali meleraikan dan mendamaikan dengan pendekatan wasatiyyah. Dia menekankan kepada tajdid individu bagi mentajdidkan masyarakat. Akhlak itu asas untuk perubahan umat. Ihya al Ulumiddin merupakan karyanya yang agong yang membimbing dan menawarkan penyelesaian umat.
Kita jelajah pula benua kecil India 600 tahun kemudian, kemunculan mujadid bukan merupakan seorang individu tetapi ramai tokoh-tokoh seperti Sayyid Ahmad Khan dan Shibi Nu’mani serta ramai lagi. Mereka hasilkan tulisan-tulisan bagi menyedarkan dan membela umat Islam daripada himpitan penjajahan British, diskriminasi dan ancaman kepada survival umat Islam. Gerakan tajdid disertai persuratan dan aktiviti-aktivti persuratan. Kalau kita hendak membawa perubahan dalam masyarakat mestilah melalui perubahan pemikiran dan untuk mencetuskan perubahan itu mestilah kita libat diri dalam aktivti-aktiviti kelimuan.
Persuratan ABIM dan Sumbangan Terhadap Kebangkitan Ummah
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) tampil sebagai gerakan tajdid di awal abad 15 Hijrah. Kita terbitkan Risalah, akhbar gerakan tetapi dibaca oleh ramai terutama para belia dan pelajar. Kita terbitkan dan terjemahkan buku-buku. Kita terbitkan Panji Masyarakat untuk masyarakat umum. Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) ditubuhkan kerana jika mahu perubahan mesti dilibatkan saintis dan teknologis. Asasi menerbitkan jurnal bagi tujuan Islamisasi ilmu sains. Untuk mencetuskan dan menyemarakan tajdid akal dan minda, itu yang kita lakukan.
Oleh itu, amat sesuai peluncuran Pencerdasan.com dan di pembukaan dibaca ayat menyeru kita wujudkan suatu kumpulan amar maruf dan nahy mungkar (Ali Imran: 104), وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ yang bermaksud “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung”.
Bentuk cabaran berubah tetapi sifat cabarannya tetap sama iaitu golongan penyebar kepalsuan dan kebatilan itu tetap ada. Cuma kita berpindah daripada media cetak kepada media siber, alam maya, sebaran elektronik, tetapi kita berdepan dengan syaitan yang sama, iblis yang sama yang cuba menyemarakan kebatilan dan kepalsuan. Media persuratan sangat penting kerana pihak yang menyeru kemungkaran itu menggunakan media dan ruang siber untuk berbuat onar demikian. Jadi kalau kita tidak respon dan tidak bertindak dengan menggunakan ruang media yang ada, kita telah berlaku tidak adil dan tidak sepatutnya kepada umat.
Tulisan ini ialah rakaman semula oleh Hamdan Mohd Hassan berasaskan ucapan Profesor Dr Osman Bakar pada Forum Tradisi Persuratan di Dunia Islam: Tajdid Minda sempena Majlis Peluncuran Pencerdasan.com pada Ogos 2021.