WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

TERIMA KASIH DARI HATI – KISAH PERSAHABATAN DR ABDULHAMID DAN ANWAR IBRAHIM

Oleh Hamdan Mohd Hassan.

April 1999, Keberangkatan Dr AbdulHamid AbuSulayman meninggalkan Malaysia dan peristiwa sekitar perpisahannya di lapangan terbang sangat mengharukan. Ramai yang sedih dengan keadaan pengunduran Dr AbdulHamid dari Universiti Islam Antarabangsa UIA. Dr AbdulHamid telah menjadi tonggak utama dalam kehidupan intelektual Universiti, menerajui perkembangan fizikal Kampus Gombak dan terlibat dalam perancangan awal Kampus Perubatan Kuantan.

Dr AbdulHamid dikenali sebagai seorang yang sabar dan bijaksana, dan menyedari bahawa suasana kelam ketika itu adalah akibat tipu daya orang yang putus asa dan ketidakadilan semasa itu tidak menggambarkan sentimen sebenar nurani warganegara. Oleh itu, racun segelintir yang hina tidak akan dapat menghilangkan bakti tersemi Dr AbdulHamid AbuSulayman di Universiti.

Pada waktu itu, sahabatnya Anwar Ibrahim berada mendekam di dalam kurungan penjara Sg Buluh. Anwar hanya sempat mengutus surat tulisan tangan kepada Dr AbdulHamid, risalah yang panjang juga. Dalam surat itu Anwar berseloroh, “Saya tahu bahawa tulisan tangan saya memang mengerikan; jadi kerana belas kasihan untuk anda, saya akan berusaha menulisnya perlahan-lahan. Ingat tidak ketika anda hampir mengecam saya kerana anda tidak dapat membaca tulisan cakaran Arab saya. Tiada alasan pula untuk tidak dapat menekuni bahasa Inggeris saya, tolonglah!”

Pada minggu pengunduran diri Dr AbdulHamid dari UIA diumumkan, para mahasiswa, staf dan graduan UIA mengerumuni mahkamah untuk memberitahu Anwar Ibrahim bahawa mereka kesal atas pemergian Dr AbdulHamid dan betapa mereka berterima kasih kepadanya atas jasanya untuk Universiti. Adalah sangat menggembirakan apabila mendapat pujian dan begitu popular Dr AbdulHamid, terutamanya kerana dedikasi, ketekunan dan ketokohannya. Komitmen bekerja AbdulHamid tergambar seperti Anwar menulis pada surat itu, “Suatu malam, saya menelefon dan sister Faekah menjawab anda masih belum pulang pada waktu lewat. Jawabnya: “Brother Anwar, Abdul Hamid is married to the University.”

Islah Dicapai Menerusi Pendidikan

Pertemuan Anwar dan Dr AbdulHamid di Riyadh bermula lebih dari 40 tahun yang lalu. Dengan menyepakati cita-cita idealisme yang sama, mereka selalu terlibat dalam perdebatan hangat mengenai isu wasilah (cara melaksana reformasi) dan fiqh awlawiyyat (susunan keutamaan). Dalam suasana berbalas hujah, walaupun tidak biasa dengan resam menggunakan retorik Arab yang keras, Anwar terpaksa menyesuaikan tingkah laku Melayunya yang lemah lembut, agar hujahnya dapat didengari. Tetapi, setiap kali, ketangkasan diplomatik Dr. Ahmad Totonji meleraikan dan mengakhiri perdebatan mereka. Dr AbdulHamid tegas berpandangan bahawa islah dan reformasi sosial hanya akan dapat dicapai melalui pendidikan dan ilmu atau, lebih tepat lagi, dalam dunia pemikiran. Sungguh menakjubkan betapa konsistennya Dr AbdulHamid, menjelaskan idea-idea itu dalam karyanya The Crisis of the Muslim Mind, yang diterbitkan beberapa tahun kemudian. Mereka bersetuju bahawa walaupun kita mengagumi kegemilangan pemerintahan Salahuddin al-Ayyubi, kita tidak dapat mengabaikan pentingnya kelahirannya adalah daripada tradisi ilmu dan reformasi pendidikan yang sebelumnya iaitu kesan dari tajdid Imam al Ghazali dan sistem universiti Nizamiyyah.

Anwar memilih jalan reformasi masyarakat dan, dengan berbuat demikian, dia sering diuji keseimbangan yang ingin pertahankan antara perenungan dan tindakan. Melalui ABIM, pergerakan pelajar dan belia, dan kemudian di dalam kerajaan, Anwar telah berusaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat (taw’iyya) mengenai pentingnya memastikan al-adl wal-ihsan (keadilan dan kebajikan / keadilan) dalam semua urusan manusia. Oleh kerana Anwar sering berdamai pada era itu, maka kadang-kadang dia dikritik oleh rakan-rakan, Islamis , aktivis sosial dan pembangkang, yang menegaskan bahawa tidak semua kompromi tersebut dapat dirasionalisasikan atas nama hikmah, atau kebijaksanaan. Keadaan sebenarnya, Anwar pernah menyatakan sendiri kepada Dr AbdulHamid tentang kegusaran terhadap keterlaluan pemerintah serta sikap pemimpin yang tidak menyukai kritikan serta mengalami ‘delusions of grandeur’. Akhirnya Anwar terpaksa membayar harga yang tinggi kerana berpegang pada keyakinannya. Pengalamannya dalam tahanan mengajarnya bahawa tidak boleh menjadi seorang konformis apabila berdepan korupsi dan kezaliman.

UIA dan Islamisasi Ilmu

Apabila Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan, dia memujuk Dr AbdulHamid untuk segera datang ke Kuala Lumpur sebagai Rektor UIA yang baru. Walaupun pada awalnya dia keberatan, Anwar menusuk hati nuraninya dengan mengingatkannya bagaimana mereka pernah berdebat dalam isu pendidikan dan Islamisasi ilmu dan Dr AbdulHamid mempunyai tanggungjawab moral untuk membantu bagi menjayakan cita-cita itu. Dari segi gaji dan faedah, dia menerima gaji yang jauh lebih rendah daripada jawatannya sebagai profesor di Riyadh. Namun itulah pengorbanannya. Walaupun terdapat batasan dan kekangan sistem, dan dengan bantuan rakan-rakan sejawat yang komited, Dr AbdulHamid telah memperluas program akademik UIA, memulakan budaya universiti baru dan memajukan skim latihan staf dan akademik, meningkatkan dengan ketara pengambilan pelajar tempatan dan pelajar luar negara, dan memulakan pembangunan fizikal kampus baru yang bercita-cita tinggi dan mengagumkan. Jika direnungi ia menyedarkan tentang betapa sukar dan mencabarnya gagasan besar ini.

Kita merakamkan penghargaan tinggi dan mengucapkan terima kasih ke atas prestasi Dr. AbdulHamid AbuSulayman yang tersohor. Dia berjaya mengatasi kemungkinan dan tabah bersabar meletakkan asas kewujudan Universiti iaitu untuk memenuhi aspirasi rakyat Malaysia dan cita-cita umat Islam.

Pendekatan universal UIA adalah untuk mengasimilasi pengetahuan dari Timur dan Barat, sambil tetap berakar pada tradisi ilmu dan agama Islam. UIA adalah bukti jelas kepada tekad untuk mengekalkan kemerdekaan dan kebebasan umat walaupun ada sebilangan pihak elit yang berkuasa memandang sepi falsafah dan pendekatan ini.

Ramai lega apabila mendengar pelantikan Dr. Kamal Hassan sebagai Pemangku seterusnya menjadi Rektor baru selepasnya. Mereka mempunyai kepercayaan penuh kepadanya dan kelayakan akademik serta pengalamannya. Dr. AbdulHamid boleh berbangga dengan pelajar, keterampilan serta pengalaman mereka. Dr. AbdulHamid boleh berbangga dengan mahasiswa dan graduan UIA, senantiasa diiringi doa agar mereka terus membawa obor ilmu dan ruh Islam ke mana sahaja mereka pergi. Di mana pun mereka berada, harapan umat agar mereka akan terus membawa perubahan dan islah, dalam mematuhi ayat dari Surah Hud: “In uridu illal islaha mastatu`tu“, ‘Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan islah) perbaikan selama aku masih berkesanggupan.’

Terima Kasih Dari Hati

Anwar mengakhiri suratnya dengan kenangan persahabatan dan akrabnya kekeluargaan, “Azizah dan anak-anak menyertai saya membalas kasih sayang anda. Sister Faekah sangat membantu dan menghiburkan Azizah dan anak-anak.”
“Tolong beritahu saya mengenai rancangan anda nanti. Saya minta maaf kerana anda tidak dapat melawat saya di penjara. Saya pasti merindui pemergian anda dan masakan Sister Faekah yang lazat, termasuk kebab dan umm ma’ali. Doa kami untuk keluarga dan rakan-rakan. Beritahu Shiraz bahawa `Ammu Anwar berhutang dengan dia dan suaminya.”
“Sayangnya, perpisahan seperti ini tiada disediakan majlis makan malam, tidak ada pemberian hadiah. Apa lagi yang dapat saya berikan dari sini kecuali untuk menyatakan rasa terima kasih dari hati – hadith al qalb bil qalb!”

(Adaptasi dan suntingan daripada Surat Anwar Ibrahim kepada Dr AbdulHamid Abu Sulayman pada11 Januari 1999. Semoga Allah SWT merahmati almarhum Dr AbdulHamid AbuSulayman yang telah kembali ke Rahmatullah pada 18 Ogos 2021)

.

Akal licik Yahudi untuk menangkap ikan pada hari Sabtu dan siksaan bagi para penentang

Ayat 163 hingga 166 beserta terjemahannya. وَسۡ‍َٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara