Oleh Dr Ismail Abdullah.
Melihat daripada situasi politik Malaysia sekarang ini dan meramalkan implikasinya pada masa hadapan. Saya berani untuk mencadangkan agar diujudkan Sistem Dua Parti. Boleh kita namakan dua parti itu Pemain Buah Putih dan Pemain Buah Hitam dalam Permainan Catur.
Di Amerika Syarikat ujud Parti Demokrat dan Parti Republikan. Cuma masalah di Malaysia ialah setiap pemimpin hendak membuat parti sendiri supaya dia jadi ketua parti, mereka tidak memikirkan kalau satu parti kecil ada hanya beberapa orang sahaja wakil rakyat di parlimen, apa-apa usul pun tidak akan ke mana. Mungkin sahaja ke laut.
Menurut Wikipedia1, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, hasil PRU ialah BN mendapat 47.38%, PH mendapat 36.1%, GS (Gagasan Sejahtera) mendapat 14.78%, Warisan mendapat 0.87% dan bebas mendapat 0.87%. PH dapat memerintah selama 22 bulan kemudian tumbang kerana berlaku kes Sheraton (lompat parti).
Sekiranya Malaysia menggunakan sistem dua parti, saya berpendapat politik Malaysia akan lebih stabil dengan syarat ada undang-undang untuk melarang lompat parti. Jika melompat juga kerusi parlimen yang diwakil oleh “katak” tersebut mestilah dikosongkan dan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan bagi memilih ahli parlimen yang baru.
Dalam wawancara Astroawani2, mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berpendapat sistem dua parti adalah baik untuk politik di negara ini. Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan Astroawani seperti yang dilaporkan oleh Hilal Azmi pada 10hb. Ogos 2016.
Gabungan pembangkang yang kuat juga katanya baik untuk negara.
“Saya lebih suka kalau negara kita amalkan sistem dua parti.
“Tetapi, pembangkang di Malaysia perlu membentuk kerjasama yang boleh menghasilkan satu suara yang padu untuk membentuk polisi dan strategi jika mereka berjaya memegang tampuk kuasa,” katanya selepas pelancaran buku “Frankly Speaking” yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Tambah Tun Musa, satu lagi cabaran buat pembangkang dalam pilihan raya adalah mengenai pengagihan kerusi. “Mereka mesti menang pilihan raya dan untuk memenangi pilihan raya, mereka mesti (bersetuju) mengenai peruntukan kerusi. Itulah kemuncaknya.
“Mereka mesti mempunyai pendapat yang sama mengenai peruntukan kerusi. Kebanyakan pada masa lalu, ia tidak pernah berhasil,” katanya lagi.
Suara Merdeka3 pula berpendapat bahawa, secara praktikalnya hak untuk menentukan siapa Perdana Menteri adalah dibuat berdasarkan konsensus parti-parti komponen dalam parti pemerintah.
Yang di-Pertuan Agong secara dasarnya hanya mengesahkan pemilihan yang dilakukan tersebut.
Isu peralihan kuasa terus mewarnai senario politik negara apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan enggan menyerahkan jawatan disandangnya kepada bakal pengganti disebut-sebut sebelum ini iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Desakan tersebut kian memuncak berikutan kekalahan teruk kerajaan PH pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, Johor.
Terbaharu, tular pula tangkap layar yang didakwa surat Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah mengenai usul untuk membahaskan peralihan kuasa daripada Dr. Mahathir kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu.
Di sebalik pergolakan politik tersebut, keadaan ekonomi negara terus terumbang-ambing dengan hutang dan kadar inflasi semakin meningkat.
Ketidakcekapan barisan menteri menangani isu dan kekurangan idea-idea yang bernas turut mempengaruhi persepsi masyarakat umum.
Realitinya peralihan kuasa di peringkat kepimpinan tertinggi jika berlaku tanpa mengikut proses yang betul dan tertib, hanya akan mengundang bencana kepada negara.
Melantik Perdana Menteri baharu juga tidak akan mampu mengubah serta-merta nasib negara dan rakyat menjadi lebih baik seperti diharapkan.
Tindakan ini hanya dapat memuaskan hati pihak-pihak tertentu dan kesan jangka panjang sudah tentulah tertanggung ke atas rakyat juga.
Persoalannya, sampai bila Malaysia harus terus menghadapi keadaan huru-hara politik sebegini?
Maka, pertanyaan selanjutnya yang timbul adalah, mungkin ini adalah masa terbaik untuk kita melaksanakan sistem politik dua parti.
Mengamalkan sistem dua parti bermakna kedua-kedua parti politik terbesar dalam konteks ini – PH dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang yang sama untuk menerajui negara.
Amerika Syarikat sering dilihat sebagai contoh mudah dalam mengamalkan sistem dua parti ini.
Dua parti terbesar negara itu, Demokrat dan Republikan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik kerana masing-masing mempunyai peluang yang sama untuk menjadi kerajaan.
Parti yang kalah, diharapkan dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang kuat.
Dalam bahasa mudah, pelaksanaan sistem ini memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang benar-benar efektif selain menghalang monopoli kuasa parti-parti tertentu.
Hakikatnya pandangan ini juga pernah disuarakan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam sebelum ini.
Ini kerana katanya, gabungan pembangkang yang kuat adalah baik kepada negara seperti Malaysia.
“Tetapi pembangkang di Malaysia perlu membentuk kerjasama yang boleh menghasilkan satu suara yang padu untuk membentuk polisi dan strategi jika mereka berjaya memegang tampuk kuasa,” katanya.
Hari ini, kita dapat melihat ‘pembangkang’ yang dimaksudkan Musa telah pun menjadi kerajaan.
Maka, jika ingin dilakukan perubahan kepada pilihan raya sistem dua parti, ini adalah masanya.
Ketika saya berbincang dengan seorang kawan mengenai idea ini, beliau membantah saya bahawa di Malaysia sistem dua parti tak mungkin berlaku kerana mentaliti dan pemikiran rakyat Malaysia dan ahli politik belum sampai ke tahap itu. Saya hanya berkata, kitab oleh cuba dan cadangkan idea ini kalau-kalau ada yang sudi menerima.
Melalui sistem dua parti, pentadbiran politik Malaysia dalam hal semak dan imbang (check and balance) dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Grandmaster, pemain buah Putih dan Grandmaster, pemain buah Hitam dalam sistem pertandingan catur akan memilih team penasihat mereka yang hebat-hebat agar pasukan mereka akan memenangi perlawanan catur. Setiap saat pasukan mereka akan menganalisa setiap gerakan yang mereka buat. Apa akibat yang akan terjadi terhadap sesuatu gerakan. Akhirnya mereka akan menentukan “The Best Move” yang perlu masing-masing lalukan.
Wallahu a’lam.
#politikmalaysia
DrIsbah, Teras Jernang, 25-08-2021
Rujukan:
[1] Wikipedia, https://ms.wikipedia.org/wiki/Keputusan_pilihan_raya_umum_Malaysia_2018_mengikut_Parlimen
[2] Astroawani, https://www.astroawani.com/berita-politik/sistem-dua-parti-baik-untuk-negara-musa-hitam-113598
[3] Suara Merdeka, https://suaramerdeka.com.my/sistem-dua-parti-elak-kecelaruan-politik/