Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali
Ringkasan Buku: Erti Perjuangan oleh Dr Razali Nawawi (Penyunting: Muhamad Razak Idris dan Khairul Arifin Mohd Munir ). Penerbit WADAH (2020). ISBN:978-983-44429-6-5. Harga RM30.00.
Buku ini merupakan kisah perjuangan tokoh dakwah Dr Razali Nawawi. Ia mengimbau perjuangan dakwah dilaluinya sepanjang 80 tahun. Buku ini diabadikan sebagai khazanah pengalaman yang tinggi nilai khusus pengalaman generasi pencetus kebangkitan Islam tahun 1970an kepada generasi mendatang.
Dr Razali Nawawi, bekas Presiden ABIM pertama, melalui buku ini telah menjelaskan kerangka besar perjuangan dakwah para nabi sebagaimana termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Kita sebagai kesinambungan dalam memikul tugas tersebut. Perjuangan dakwah yang berintikan pertarungan antara hak dan batil sepanjang zaman adalah merupakan ujian keimanan bagi setiap pemegang amanah dakwah.
Buku ini mengandungi sembilan bab iaitu bab pertama membicarakan sejarah perjuangan antara hak dan kebatilan. Bab kedua membicarakan konsep penciptaan. Bab ketiga menyentuh mengenai umat teras. Bab keempat dan kelima menyentuh perjuangan rasul dan perutusan Rasulullah SAW. Bab keenam mengenai perjuangan masa kini. Bab ketujuh dan kelapan mengenai pengkhianatan kepada perjuangan dan perjuangan menegakkan syariah dan bab kesembilan berkenaan golongan benar pasti berjaya dan penutup.
Buku ini adalah pesan dakwah Dr Razali Nawawi dan menjadi panduan dan penyuntik semangat kepada pendakwah muda. Mereka adalah penyambung mata rantai perjuangan dari generasi awal ke generasi pelanjut seterusnya. Projek penulisan buku ini mempunyai kepentingan yang besar dalam memperkayakan khazanah pemikiran dakwah madrasah pemikiran dakwah ABIM dan manfaatnya kegiatan tarbiyyah umat terutama generasi muda. Karya ini merupakan sebuah pesanan dakwah yang amat bermakna dan cetusan pemikiran yang matang oleh Dr Razali Nawawi.
Hidup Ini Merupakan Perjuangan
Karya ini menjelaskan hakikat kehidupan ini, peranan agama dan para ulama dalam membangun ketamadunannya sepanjang zaman. Dalam mukadimah, Dr. Razali Nawawi menyebutkan bahawa hidup ini merupakan perjuangan, mengajak manusia mengenali Allah SWT dan berjuang menegakkan kebenaran serta melawan kebatilan. Kisah-kisah perjuangan yang dirakam oleh Allah SWT dalam al-Quran menunjukkan bahawa perjuangan ialah sesuatu sifat yang mulia dan sesuatu yang mahal. Orang-orang yang bekerja di jalan Allah SWT ini sama sekali tidak perlu berasa takut dan gerun terhadap apa sahaja yang mereka hadapi kerana dalam perjuangan ini mereka akan menghadapi berbagai- bagai jenis rintangan dan halangan.
Dalam bab pertama membicarakan perjuangan antara hak dan kebatilan. Pertarungan ini dapat dilihat dalam al-Quran melalui kisah Adam dengan Iblis. Iktibar sejarah pertarungan ini ialah manusia mesti tunduk kepada Allah dan Nabi Adam bertaubat. Oleh itu Adam a.s mengajar manusia sentiasa bertaubat kepada Allah. Kisah Adam dan Hawwa ini menunjukkan perjuangan antara hak dan batil bermula di syurga berlarutan sehingga ke dunia dan perjuangan hak dan batil diteruskan sehingga kiamat. Hal ini menyatakan kepada manusia agar sentiasa berhati-hati kerana musuhnya adalah iblis yang sentiasa ingin menyesatkan manusia. Namun manusia dipilih Alllah sebagai khalifahNya di atas muka bumi ini dan melaksanakan ketaatan kepada Allah. Allah telah memuji manusia yang memperjuangkan kebaikan dan memurkai kepada manusia yang memperjuangkan kebatilan.
Bab Kedua membicarakan konsep penciptaan. Manusia makhluk ciptaan terakhir Allah SWT dan tujuan penciptaan manusia untuk mentauhidkan Allah SWT. Ulama merupakan kumpulan teras pemegang amanah risalah agama Islam. Ulama bertanggungjawab menjaga kemurnian agama Islam dengan melaksanakan Tauhid kepada Allah, mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW, meneruskan apa yang diperintah Allah dan Rasul-Nya, menjauhkan diri daripada apa yang dilarang Allah dan RasulNya.
Perjuangan Para Nabi Menegak Tauhid
Bab ketiga mebicarakan umat Islam sebagai umat teras Ulama sebagai teras umat Islam dan mereka memainkan peranan yang penting. Oleh itu, ulama hendaklah mempunyai sifat-sifat keilmuan yang tinggi. Mereka juga pemegang Amanah dan penerus kepada perjuangan Rasulullah SAW. Pemegang amanah kepada Nabi Muhammad SAW adalah sahabat Rasulullah SAW yang bersama dengan baginda dan sentiasa meneruskan perjuangan Rasulullah SAW.. Tugas ini diwarisi kepada ulama yang meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran seperti yang dilakukan para Rasul .a.s. Ulama masa kini mempunyai peranan yang besar dalam meneruskan perjuangan yang dijalankan oleh para rasul dan tabi’ dan tabi’in sehingga hari Kiamat. Mereka perlu sedar bahawa mereka membawa obor perjuangann para nabi.
Bab kempat tentang perjuangan Rasul iaitu perjuangan menegak tauhid. Bab ini menghuraikan perjuangan para nabi a.s seperti Nabi Nuh, Nabi Yunus a.s, Nabi Musa a.s. dan Nabi Muhamad SAW dalam melawan kebatilan dan menegakkan kebenaran serta menegakkan tauhid. Perjuangan Rasulullah SAW boleh diperhatikan dalam memperbetulkan minda masyarkat, mengajak manusia memahami konsep kejadian, memahami bahawa Allah SWT itu Pencipta dan manusia adalah makhluk. Makhluk-makhluk yang lain merupakan makhluk yang tunduk kepada Allah SWT. Perjuangan Rasulullah SAW memberi iktibar dan pengajaran kepada umatnya.
Oleh itu, generasi muda Islam mampu menyambung perjuangan Rasulullah dan mereka yang sanggup berkorban kerana perjuangan Rasulullah SAW. Pasti Allah akan mengangkat derajat, keduduka serta kemuliaan bagi mereka yang berkorban demi agama Islam.
Bab kelima menenai perutusan Rasulullah SAW. Perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasul ialah anugerah teragung untuk umat manusia dan makhluk-makhluk lain dan alam semesta. Perjuangan baginda adalah perjuangan yang komprehensif, pelengkap dan sempurna. Baginda menggerakkan perjuangannya di atas prinsip yang utama. Kelima belas prinsip ini dihurai secara ringkas dan padat sebagai asas perutusan Rasulullah SAW.
Bab keenam menyentuh tentang perjuangan masa kini. Rasulullah SAW telah wafat tetapi perjuangannya tetap diteruskan. Risalah Allah SWT perlu diteruskan. Dunia hari ini memerlukan kepada Islam. Islam adalah agama yang dinamik. Tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan bagi menyebarkannya dan memperkasakan mesej terletak di atas bahu umat Islam.
Bab Keenam menyentuh perjuangan masa kini. Umat Islam perlu meneruskan perjuangan Rasulullah SAW. Ia merupakan kerja yang mulia dan Allah akan mengangkat darjat mereka kerana ia merupakan kerja para nabi, para rasul, para ulama dan para solehin. Kerja dakwah ialah kerja dijanjikan oleh Allah dengan ganjaran pahala amat besar. Perjuangan menyebarkan dakwah dan meneruskan kerja-kerja dakwah yang diamanahkan oleh Rasulullah SAW merupakan fardhu ain ke atas umat Islam terutama para ulama. Kerja-kerja dakwah yang baik ini pasti akan diberi ganjaran oleh Allah SWT dan kerja-kerja yang jahat pasti itu akan menerima seksa daripada Allah SWT dan pasti gagal.
Pengkhianatan Dalam Perjuangan
Bab ketujuh mengenai pengkhianatan kepada perjuangan. Al-Quran memberi ingatan bahawa menjadikan bagi setiap nabi musuh dari kalangan jin dan manusia (surah al-An’am 6:112). Ayat ini menjelaskan bahawa setiap perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan memperkasakan agama Allah SWT, maka terdapat musuh-musuh yang menjadi pengkhianat kepada perjuangan. Pengkhianat ini terdiri daripada isteri dan anak seperti dalam kisah Nuh a.s dan Luth a.s. Semasa perjuangan Nabi Muhammad SAW di Makkah, Baginda dikhianati oleh saudara-saudara yang terdekat. Manakala di Madinah, telah dikhianati oleh golongan pengkhianat-pengkhianat yang diberi nama munafiqin. Pengkhianat-pengkhianat dari golongan munafiq ini terdiri daripada orang-orang yang telah beriman dengan Allah dan Rasul (Al-Munafiqun 63:1-3).
Ayat ini menjelaskan bahawa golongan pengkhianat yang berusaha mengkhianati perjuanagan Rasulullah dari kalangan orang dalam iaitu orang Islam itu sendiri yang terdiri orang munafiq. Oleh itu, gerakan Islam tidak boleh memandang mudah terhadap strategi musuh dalaman. Tujuan Allah SWT mewujudkan pengkhianat dalam gerakan ini untuk memberitahu kepada semua penjuang-pejuang yang menegak kebenaran ini agar memperkukuhkan diri dan gerakan supaya cukup mantap, kemas dan berstrategik.
Kerja-kerja untuk mengkhianati perjuangan dakwah dilakukan secara teratur dan berencana oleh orang Islam sendiri dan dibantu oleh penjajah Eropah. Antara sebab kemunduran umat Islam ialah wujudnya perancangan yang strategik yang dilakukan oleh orang Islam dengan dibantu musuh-musuh luar Islam bagi merosakkan nilai-nilai moral dan pengetahun dari kalangan umat Islam. Begitu juga mereka menjadikan golongan wanita sebagai sasaran untuk mengkhianati perjuangan Islam ini. Tidak terlepas juga sebahagian golongan cendekiawan Islam yang membawa pemikiran Barat yang mengelirukan dan merosakkan perjuangan Islam. Pengkhianatan ini menatijahkan pertumpahan darah dan mewujudkan pertelingkahan.
Oleh itu, orang yang melakukan pengkhianatan wajib bertaubat kepada Allah SWT. Umat Islam harus menilai kesilapan yang mereka lakukan agar mereka dapat mengubah kesilapan ini. Allah SWT telah menasihati kepada manusia supaya hendaklah sentiasa bertaubat kepada Allah SWT atas kesalahan pengkhiatan dan konspirasi jahat masing-masing.
Perjuangan Menengak Syariah
Bab kelapan tentang perjuangan menegak syariah. Objektif utama syariah ialah mengajak minda manusia memahami dan yakin dengan Allah SWT yang Maha Agung, Maha Berkuasa dan Maha Pencipta. Maka objektif utama syariah ialah menegakkan akidah rabbaniah iaitu kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah SWT. Umat Islam wajib melaksanakan syariah yang wajib ditunaikan dan hendaklah berpakat untuk melaksanakan maksud syarak dalam kehidupan mereka. Justeru itu, di peringkat umat, harus membantu antara satu sama lain untuk memudahkan umat Islam melaksanakan hukum-hukum syarak.
Di peringkat umat hendaklah sama-sama tolong menolong untuk mentaati segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya. Orang-orang Islam hendaklah berusaha mewujudkan suatu pemerintahan yang berlandaskan lunas-lunas syariah. Pemerintah Islam di dalam negara Islam perlu menjadikan hukum syarak itu sebagai undang-undang dasar negara dalam bentuk perundangan atau mewujudkan nilai-nilai syariah.
Begitu juga isu maqasid syariah perlu diluaskan dalam konteks dan realiti umat Islam kini termasuk perbincangan dalam arena politik, ekonomi, budaya, hubungan antara kaum dan antarabangsa. Antara agama dan masyarakat minoriti. Perbincangan mengenai pelaksanaan syariah harus dibincangkan secara menyeluruh oleh semua umat Islam. Maksud utama daripada syariah itu ialah manusia tunduk kepada perintah Allah SWT.
Bab kesembilan mengenai golongan yang berjaya dan penutup. Perjuangan menegakkan kebenaran, menyebarkan risalah Ilahiyyah, memperkasakan syariah dan menyambungkan perjuangan Rasulullah SAW adalah kerja mulia kerana ia kerja para rasul dan dipertanggungjawab oleh Allah SWT. Perjuangan ini akan berjaya apabila niatnya ikhlas untuk mencapai keredhaan Allah SWT dan setiap orang beriman mesti ada dalam niatnya untuk menjadi pendakwah. Umat Islam harus berusaha menyelamatkan manusia dan mereka mengharapkan kepada dakwah kita. Oleh itu, umat Islam tidak perlu naif dan lemah dalam menjalankan dakwah ini.
Kesimpulan, buku ini membicarakan sejarah perjuangan para nabi dalam menegakkan kebenaran dan perjuangan antara hak dan batil. Para pendakwah perlu yakin bahawa kebenaran pasti akan berjaya manakala kebatilan pasti gagal. Ia merupakan buku yang perlu dibaca oleh para pendakwah dan umat Islam dalam memahami perjuangan para anbiya’ a.s.
Penulis ialah bekas Timbalan Presiden ABIM dan pensyarah di USIM.
Buku Erti Perjuangan boleh dibeli dengan menghubungi Aras Mega Sdn. Bhd. atau lawati facebook: Penerbit WADAH.