WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

TAZKIYAH AL-NAFS DALAM KONTEKS USRAH & TAMRIN

Oleh: Dr. Abdul Halim el-Muhammady.

  1. Pengertian dan  Skopnya

تزكية النفس مصدر زكي يزكي تزكية bermaksud pembersihan, penyucian dan pembaikan. “انفس” bermaksud jiwa/hati. Gabungan تزكية النفس, merujuk dua perkataan  membawa maksud pembersihan jiwa/hati dari kekufuran , kejahatan hati dan sifat-sifat yang buruk. Al-Quran menyebut tentang hati /jiwa dengan berbagai istilah; النفس، الروح ، العقل ، الفوءاد. Hadith menyebut المضغة .

Semua istilah di atas mempunyai dua makna;

1. Makna fizikal organ pernafasan.

2. Makna spiritual  اللطيفة الربانية

Bermaksud (mata hati) persedian semulajadi yg Allah sediakan dalam hati/ jantung manusia, keupayaan untuk menerima kebenaran mutlak, cahaya kebenaran hakikat ketuhanan (Allah) melalui mata hatinya. Ia bertujuan untuk manusia merealisasikan dalam kehidupannya tentang pertanyaan Allah kepada roh manusia di alam azali الست بربكم قالوابلى. Maksudnya, “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab, ia benar”.

Kerohanian itu mengenai  perkara-perkara yang berkaitan dengan hal batin manusia dalam hubungannya dengan Allah S.W.T. Ia menunjukkan petanda kebersihan dan kekotoran dan sensitif dan tidak sensitifnya, menurun dan meningkatnya serta komitmennya terhadap Allah dan perintah-Nya.

2. Usrah dan Tamrin

Usrah bermaksud kekeluargaan. Dalam kontek gerakan, ia membawa maksud satu kumpulan orang beriman yang bergabung tenaga dan usaha dalam seluruh keupayaannya untuk membina hubungan ketaatan dan kecintaannya kepada Allah dan menghayati sepenuhnya syariat Allah ( انك تعلم ان هذه القلوب قد اجتمعت على محبتك والتقت على طاعتك).

Maka usrah ABIM untuk memenuhi objektif di atas menekankan 5 perkara;

1. Peningkatan dan perluasan ilmu Islam dan semasa.

2. Menghayati semangat ukhuwah dan taa’wun dalam melaksanakan tugas jamaah.

3. Membina semangat pengorbanan tenaga dan material.

4. Menghayati syariah dalam kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.

5. Menghayati amalan kerohanian dalam kehidupan harian.

3. Aspek Penghayatan Kerohanian 

  1. Amalan solat berjamaah bersama ahli dalam dua waktu Maghrib dan Isyaq serta solat sunat iring waktu. Bertujuan untuk ikatan ukhuwah dan taa’wun.

2. Makan bersama di rumah sahabat yang diadakan usrah sebagai simbol pengorbanan, keikhlasan dan semangat ukhuwah.

3. Mengadakan zikir ma’thurat kubra dan zikir-zikir lain selepas solat serta doa-doa untuk peningkatan iman dan taqwa serta ukhuwah melalui bacaan berjamaah.

4. Bacaan Al-Quran dengan tajwid dan tartil serta tadabbur maknanya.

5 . Penghayatan semangat kerohanian  ukhuwah dan taa’wun dalam melaksanakan program islah masyarakat.

Tambahan program kerohanian seperti tamrin Qiyamullail, solat hajat, solat tahajjud, solat witir, ‘iktikaf dan solat Dhuha.

4. Peningkatan Pembinaan Hati Melalui Amalan Sunat

Rasulullah saw bersabda dalam Hadith Qudsi;

قال رسول الله صعلم يقول الله تعالى ، ما تقرب الى المتقربون بمثل اداء ما افترضت عليهم ولا يزال العبد يتقرب الي بالنوافل حتي احبه فاذا احببته كنت سمعه الذى يسمع به وبصره الذى يبصر به ولسانه الذى ينطق به ويده تلتى يبطش بها ورجله التي يمشى بها.

Maksudnya: Allah berfirman, tidaklah orang orang yang menghampir diri kepada-Ku hanya dengan melakukan apa-apa yang Aku fardhukan ke atas mereka, malah seseorang itu berterusan menghampirkan diri kepada-Ku dengan ibadat-ibadat yang sunat sehingga Aku cinta kepadanya, apabila Aku cinta kepadanya maka Aku adalah pendengarannya yang dia mendengar, penglihatannya yang dia melihat, lidahnya yang dia bercakap, tangannya yang dia berkerja dan kakinya yang dia berjalan.

Amalan sunat itu meliputi antara lainnya;

  1. Solat sunat iring waktu dan solat-solat sunat yang lain.
  2. Melaksanakan ibadat sunat yang lain.
  3. Perbanyakkan zikir, doa dan syukur dengan menjaga adab-adabnya.
  4. Sentiasa membaca Al-Quran dengan menjaga segala adab-adabnya.
  5. Melakukan sedekah harta.
  6. Kerap bertafakur kepada Allah melalui  ciptaan-Nya, pemberian rezeki-Nya, kematian dan alam kuburnya  dan mengingati kedahsyatan peristiwa kiamat dan mahsyar. Semuanya bertujuan untuk merasai kebesaran dan kekuasaan Allah ke atas segala makhluknya.
  7. Menjauhkan diri dari larangan Allah S.W.T.

5 . Kategori Amalan Sunat

  1. Amalan wajib merupakan patuh kepada perintah Allah dan menunaikan tanggungjawab secara wajib dan pasti. Ia merupakan tapak kepada segala amalan sunat.
  2. Amalan sunat yang sangat dituntuti untuk membina ketakwaan kepada Allah yang terdapat dalam amalan sunat muakkadah.
  3. Amalan sunat fadhil untuk membina hubungan cinta kepada Allah dan mengecapi halawah al iman.
  4. Membudayakan amalan kerohanian dalam kehidupan seharian.

Latihan penghayatan amalan kerohanian dalam usrah dan tamrin merupakan asas latihan dan disiplin untuk dihayati berterusan dalam kehidupan seharian.

Ia merupakan latihan untuk membina sahsiah dan kekuatan dalaman ahli jamaah untuk mendepani tugas gerakan yang dijalankan dalam kehidupan keluarga dan masyarakat dalam berbagai bidang dalam keupayaannya untuk memenuhi tanggungjawab organisasi dan jamaah.

Amalan-amalan itu perlu dilakukan berterusan kerana ia merupakan nafas hidup rohani dan jiwa juang secara istiqamah. Amalan berterusan inilah yang dapat memberi kesan positif untuk merasai keindahan taqwa, halawah iman dan hubbullah.

Ia memperkuatkan daya fikir dan daya kerja yang mendorong seseorang untuk terus menyumbang dalam keupayaannya untuk mendapat keredhaan Allah dan mencapai cita-cita perjuangannya.

Beberapa disiplin yang perlu untuk pengukuhan amalan kerohanian:

Ulama kerohanian (sufi) menggariskan beberapa panduan untuk pengukuhan dan peningkatan amalan kerohanian:

  1. Mujahadah; bermaksud amalan kerohanian yang dilakukan itu adalah bersifat mencabar dan perlukan daya tahan dalam melaksanakannya.
  2. Muraqabah ; Bermaksud amalan yang dilakukan itu sentiasa diamati supaya menepati tuntutan syariah dan sentiasa kekal dalam landasannya.
  3. Khauf dan Raja’ ; Setiap amalan yang dilakukan itu dapat menimbulkan kesedaran khauf iaitu kebimbangan hati yang amalan itu tidak diterima oleh Allah tapi kita juga menyedari adanya raja’ (harapan) dengan sifat Rahman Rahim-Nya itu membuka ruang kepada hamba-Nya untuk amalannya dapat diterima.
  4. Muhasabah ; Amalan yang dilaksanakan perlu dimuhasabahkan untuk mencapai kesempurnaannya supaya ia menghasilkan ganjaran penuh didunia dan diakhirat

Dalam usaha meningkatkan amalan kerohanian kita perlu kepada disiplin tasawwuf kerana ia lebih banyak untuk mendorong dan menggalakkan pembinaan hati dengan amalan kerohanian berbanding dengan disiplin fiqh yang melihat aspek lahiriyyah tentang sah dan batal sesuatu amalan kerohanian.

Sebenarnya kedua dua ilmu ini fiqh dan tasawwuf adalah sama penting kerana keduanya dapat melengkapkan amalan kerohanian dan lainnya.

Hukama’ ada menyebut  من تفقه ولم يتصوف فقد تزندق maksudnya sesiapa yang mahir dalam fiqh tidak memahami tasawwuf boleh membawa.kepada penyelewengan.

Kesimpulan

Amalan kerohanian yang dijelaskan di atas telah cukup untuk menjadi asas kepada pembentukan sahsiah dan membina ketaqwaan serta kecintaan kepada Allah .

Latihan amalan kerohanian yang terdapat dalam usrah yang diamalkan setiap minggu dan dalam masa tamrin telah cukup untuk menjadi sebagai penggerak untuk mendorong seseorang untuk menghayati dalam kehidupan harian untuk dirinya, keluarganya dan masyarakatnya.

Dalam mengukuhkan kedudukan amalan kerohanian di hati dan dibudayakan dalam kehidupan serta mendatangkan kesan positif pada hati dan tindakan, ia memerlukan istiqamah dalam amalannya. 

Bagi memantapkan kefahaman tentang disiplin kerohanian, dapat kita talaah tulisan Sheikh Said Hawa, Tarbiyyah Rohiyyah Imam Al-Ghazali, Bidayat al-Hidayah dan Ihya ‘Ulum Al-Din dan Sheikh AbdulSamad Falanbani, Hidayat al-Salikin dan Sayr Al-Salikin.

Catatan ini dibentang kepada program Tamrin Nuqaba Jamaah pada 22/ 8/20.

Akal licik Yahudi untuk menangkap ikan pada hari Sabtu dan siksaan bagi para penentang

Ayat 163 hingga 166 beserta terjemahannya. وَسۡ‍َٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara