WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

‘DIPUPUK SEBAGAI ADIK-ADIK’- KENANGAN PERSAHABATAN DENGAN SHEIKH AZMI AHMAD

Oleh Anwar Ibrahim

Seperti di sentuh oleh saudara Ahmad Azam ini tentang persahabatan dan keakraban. Sheikh Azmi walaupun pernah bertugas di Perak sebelum itu, dia lama di Kedah. Tumpuan ABIM di Kedah semasa itu adalah di Maktab Mahmud. Dan tokoh-tokoh seperti Ustaz Abu Bakar Awang, Ustaz Niamat, kemudian Cikgu Ibrahim semuanya dalam perbincangan itu menyebut tentang keperluan bersama dengan Sheikh Azmi. Sheikh Azmi pada waktu itu dipanggil sebagai Qadhi Litar di Kedah. Dalam program di acara-acara, sekiranya ada program di Kuala Nerang, saya bermalam di rumah Sheikh Azmi.

Walaupun Sheikh Azmi ini orang yang banyak senda guraunya, namun ilmunya begitu mendalam sebagaimana kita menyaksikan di dalam kumpulan catatan kertas kerjanya, penulisan semasa menjadi mufti dan juga sebagai Ketua Hakim Mahkamah Syarie.

Dibimbing Seperti Adik-adik

Orangnya agak sederhana, komitmennya kepada dakwah dan ilmu mendalam. Kemudian dia menjadi Timbalan Yang di Pertua ABIM. Yang penting bagi saya bukan sekadar jabatannya saja tetapi komitmen kumpulan agamawan, ustaz-ustaz, syaikh-syaikh di Kedah ini luar biasa. Tiada negeri di Malaysia pada waktu itu dapat mengumpulkan kumpulan yang terdiri samada dari mantan-mantan Al Azhar, dan di dalam kes Sheikh Azmi lulusan Iraq, yang bersama dengan ABIM. Ini cukup mengesankan kepada saya kerana mereka menunjukkan kasih sayang luar biasa dengan seorang anak muda belajar sekolah Inggeris, Universiti Malaya yang minat tentang Islam. Jadi dipupuk sebagai adik-adik mereka yang sangat dikasihi dan dibimbing betul-betul.

Walaupun kedudukan saya sebagai Presiden ABIM, memang sifat kasih sayangnya begitu. Ada semacam “spiritual attraction”, daya tarikan kemesraan kerohanian, yang bukan sahaja di dalam kegiatan gerakan tetapi mereka mahu mendidik, memelihara, menyayangi kerana mereka merasakan persamaan dan percantuman di antara golongan dengan golongan yang dianggap didikan Barat ini akan memperkuatkan masyarakat dan merentas tembok yang agak sukar dipecahkan dalam gerakan dakwah di peringkat awal. Itu permulaannya.

Sheikh Azmi menceritakan dia dipanggil mengadap dan hasilnya semua baik belaka. Jadi tidak ada langsung sekatan atau halangan bagi saya menyampaikan ceramah dan dakwah di masjid di mana-mana tempat di Kedah. Kerana bila ada bantahan sampai ke Tuanku Sultan, Sultan Kedah memanggil Sheikh Azmi dan Sheikh Azmi pun menjelaskan.

Memartabatkan Mahkamah Syariah

Berikutnya, saya dalam kerajaan dan berlaku kekosongan mufti Pulau Pinang. Saya terus undang Sheikh Azmi, ulasannya, “Ana dah bermukim di Kedah la ni.” Tapi dia terus menerima tanpa apa-apa soalan sama sekali terus menjawat jawatan ini. Di Pulau Pinang masa itu, saya lihat pertama kali kegiatan seorang Mufti itu berbeda, kerana dia menjelajah semua daerah menyampaikan dakwah. Ceramah-ceramah Sheikh Azmi kian popular. Dia tidak menjadikan jabatan mufti terlalu formal dan protokol lalu menjadikannya betul-betul pusat dakwah. Banyak acara-acara bukan rasmi yang saya undang dia kerana Pulau Pinang itu rasa dekat kerana saya sering pulang ke sana.

Kemudian di Kuala Lumpur, saya dengan Profesor Ahmad Ibrahim ingin mengasaskan, merangka draf pindaan perlembagaan 121 1 (A) untuk memartabatkan kedudukan mahkamah syariah. Dari situlah diusulkan kewujudan Ketua Hakim Mahkamah Syarie. Saya fikir almarhum Ustaz Sheikh Azmi yang paling layak dan dia dilantik ke jawatan itu.

Apabila timbul beberapa kekangan, kelemahan aspek mahkamah shariah,  terutama dalam “criminal procedure code”, bagi mengatasinya, Profesor Ahmad Ibrahim mencadangkan kursus khas di UIA, kita minta Sheikh Azmi membantu di UIA. Sebelum itu dia ke luar negara berkursus di London bagi mendapatkan exposure luar. Sheikh Azmi banyak membantu saya. Contohnya apabila ada kumpulan-kumpulan wanita tidak berpuas hati dengan beberapa perjalanan mahkamah shariah. Sheikh Azman menyarankan diteliti dengan memperbaiki prosesnya. Jadi Profesor Ahmad Ibrahim mencadangkan kursus itu dan Sheikh Azmi membuat pengisian, dan dia merupakan pioneer, perintis program itu.

Kemudian, saya pun dimasukkan ke penjara Sungai Buluh, kedudukan Sheikh Azmi sebagai Ketua Hakim Mahkamah Syarie itu memudahkan dia masuk ke penjara menjalankan tugas sebagai khatib solat Jumaat. Pada ketika itu Pengarah Penjara almarhum Tan Sri Murad bersimpati. Saya minta dia hubungi Sheikh Azmi kerana orang lain tidak dibenarkan. Kalau Siddiq Fadzil memang tidak dibenarkan. Tetapi kalau menduduki jabatan kerajaan seperti mufti Ustaz Hashim Yahya, itu boleh dan dia pernah datang ke Sungai Buluh. Dalam kunjungan Sheikh Azmi ke penjara, pada masa itu menjelang pilihanraya, saya berpendapat dalam barisan kepimpinan KeAdilan perlu ditonjolkan tokoh-tokoh Islam dan agamawan. Jadi lepas khutbah, saya ada kesempatan berbisik kepada Sheikh Azmi, “Sheikh, ana ingat anta kena terjun sebab bukan hanya soal politik ini dan pertandingan tetapi kita mesti juga memberikan mesej kepada umat bahawa parti ini, islah atau reformasi ini ada teras dan kefahaman Islam tentang keadilan, “social justice” yang kuat.” Dia bertanya, “Anta serious ke?” Saya jawab, ‘Kalau anta boleh fikirkan kerana perkara ini penting”. Saya ingat tak sampai beberapa minit kemudian dia pulang berjumpa teman-teman, bertemu Wan Azizah, dia berkata, “Shaykh Anwar kata wajar ana bertanding.”

Terjun Medan Politik

Sheikh Azmi terpaksa meletakkan jawatannya, suatu jawatan yang paling mulia, paling tinggi dalam kedudukan pegawai-pegawai agama Islam, Ketua Hakim Syarie. Jadi itulah maknanya semangat pengorbanan, persahabatannya, kecintaannya, dan mungkin baginya itulah satu cara untuk membantu Anwar, dia tiada masalah lalu letak jawatan lantas bertanding.

Demikianlah Sheikh Azmi. Dia keuzuran ketika itu. Saya sempat juga menziarahnya di Anjung Rahmat. Azizah lebih rapat dengan keluarganya kerana ada seorang anaknya OKU yang rapat dengan Azizah.

Itulah secebis kisahnya yang kita harus terbitkan dan edarkan dalam makalah atau buku kecil. Tetapi sosok begini, bukanlah kita hendak katakan generasi sekarang kurang hebat, sosok begini sukar dicari. Sebab itu bagi saya dalam kesibukan keributan saya itu, macam kehilangan sahabat-sahabat ini sangat mengganggu saya. Dulunya Sheikh Azmi, walaupun bukanlah rapat sehingga berjumpa setiap minggu, tetapi pertemuan itu hati ke hati dan kasih itu kasih sejati. Macam kehilangan Siddiq, berminggu-minggu, saya masih belum dapat melepaskan lagi. Saban hari hendak dengar tape ceramah dia dan sebagainya yang tidak saya lakukan setekun ini. Demikianlah persahabatan kita, komitmen dalam perjuangan. Mudah-mudahan generasi sekarang akan dapat menghayatinya, menjalin kasih sedemikian.

Dan Sheikh Azmi itu di antara tokoh yang hebat ilmu. Dia sangat terkenal di Kedah dan sangat dihormati. Bila sebut tentang Kedah dan Sheikh Azmi satu ketika dulu, Tuanku Sultan Kedah waktu itu berkata, “Ya, saya ingat dia itu, kuat ABIM itu dan kuat dengan Dato Seri Anwar.”

Demikianlah persahabatan kita. Diharapkan WADAH dan ABIM dapat terbitkan tulisan-tulisan Sheikh Azmi yang begitu kuat dan kukuh ilmu tradisional dan kelasik Islam.

(Transkripsi dan suntingan ucapan Anwar Ibrahim di Forum Kenangan Sumbangan Sheikh Azmi Ahmad Dalam Dakwah dan Politik Umat Di Malaysia 19 September 2021).

Akal licik Yahudi untuk menangkap ikan pada hari Sabtu dan siksaan bagi para penentang

Ayat 163 hingga 166 beserta terjemahannya. وَسۡ‍َٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara