WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

JASA ALLAHYARHAM SHEIKH AZMI AHMAD DALAM KENANGAN

oleh Prof Emeritus Dato’ Dr Osman Bakar

Allahyarham Sheikh Azmi Ahmad merupakan salah seorang tokoh pemimpin ABIM dalam dekad 1970an. Di kalangan pemimpin-pemimpin ABIM di peringkat Negeri beliau boleh dikira di antara yang terbilang. Beliau menaburkan banyak jasa dalam bidang dakwah dan gerakan Islam di Negeri Kedah khasnya dan di Malaysia amnya.  Dengan jasanya itu beliau telah memberi sumbangan bererti kepada kebangkitan Islam yang bermula di awal 1970an. Beliau adalah sebahagian daripada tunjang kekuatan ABIM dalam dekad tersebut. Saya adalah saksi kepada peranan dan sumbangan beliau dalam ABIM yang saya kira sangat besar dalam konteks pemikiran masyarakat Islam arus perdana dewasa itu.

Saya dapat mengenali Allahyarham Sheikh Azmi dari dekat sebagai rakan aktivis ABIM terutama sekali sepanjang empat tahun saya memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung ABIM, iaitu dari 1977 hingga 1981. Dalam tempoh tersebut, beliau memegang jawatan Yang DiPertua ABIM Negeri Kedah manakala di peringkat Pusat DS Anwar Ibrahim memegang jawatan Presiden ABIM. Saya dan Allahyarham Sheikh Azmi sering kali berada bersama-sama dalam program-program ABIM Negeri sama ada semasa saya mewakili ABIM Pusat untuk merasmikan Muktamar Sanawi ABIM Negeri dan Daerah atau menyampaikan ceramah-ceramah di program-program Tamrin Qiadi Negeri dan Daerah dan di program-program dakwah kepada masyarakat umum anjuran ABIM Negeri atau Daerah. Terlalu banyak program untuk disebut di mana kami sama-sama menghadirinya dan menjayakannya.

Insan Sentiasa Tenang

Dari segi peribadi, Allahyarham Sheikh Azmi merupakan seorang insan yang sangat peramah, yang sentiasa tenang air mukanya dan senyum sepanjang masa hatta semasa berucap pun. Saya dapati mudah untuk berbicara dengannya. Saya menganggap beliau sebagai salah seorang rakan aktivis saya yang rapat dalam ABIM. Sebagai seorang pemimpin gerakan Islam, beliau seorang yang bijak, memiliki banyak ilmu dalam bidang agama dan mempunyai pemikiran dan sikap yang agak terbuka. Beliau seorang tokoh agama yang dihormati di negeri Kedah. Salah satu perkara tentang pemikiran beliau yang menarik perhatian saya ialah pengetahuan mendalam beliau tentang konsep siyasah syar’iyyah dan aplikasinya dalam kehidupan masyarakat majmuk seperti Malaysia. Saya pernah mendengar kupasan beliau tentang konsep ini beberapa kali dalam program-program ABIM Negeri Kedah. Semasa ABIM menyokong Revolusi Islam di Iran dengan DS Anwar sendiri pergi menemui Khomeini bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin gerakan Islam yang lain, ramai juga ahli ABIM yang mempersoalkan sokongan itu atas alasan bahawa revolusi yang dipimpin oleh Khomeini adalah revolusi orang Syiah. Tetapi Allahyarham Sheikh Azmi cuba menenangkan keadaan tidak puas hati di kalangan sebilangan ahli ABIM khasnya di Kedah degan membawa hujah-hujah siyasah syar’iyyahnya. Beliau menghujahkan bahawa, dari perspektif siyasah syar’iyyah adalah wajar bagi kita dari kaum ahlul Sunnah wal jamaah untuk menyokong revolusi yang telah berjaya menggulingkan sebuah pemerintahan zalim yang telah melakukan banyak penindasan terhadap Islam.

Menghayati Falsafah Perjuangan ABIM

Pada pendapat saya, Allahyarham Sheikh Azmi adalah contoh baik seorang aktivis dan pemimpin ABIM yang telah berjaya menghayati falsafah asal perjuangan ABIM untuk mengintelektualkan ulama dan mengulamakan intelektual. Adalah salah satu kejayaan besar ABIM bahawa ia berupaya menyatukan pemikiran ahli-ahlinya daripada aliran pendidikan agama dan pemikiran ahli-ahlinya daripada aliran pendidikan sekular dalam acuan pemikiran haraki yang lebih luas yang dinamakan “wahdatul fikri.” Allahyarham Sheikh Azmi melambangkan kejayaan itu. Sempena kita mengenangi jasa beliau terhadap ABIM dan umat Islam di negara kita, marilah kita mendoakan agar ruhnya sentiasa dicucuri rahmat Allah di syurgaNya yang abadi bersama-sama dengan para solihin yang telah kembali ke sisi pangkuanNya!

Prof Emeritus Dato’ Dr Osman Bakar merupakan bekas Setiausaha Agung ABIM (1977-81). Kertas ini dibentangkan pada Forum Kenangan Sumbangan Sheikh Azmi Ahmad Dalam Dakwah dan Politik Umat di Malaysia pad 12 Safar 1443/19 September 2021 anjuran WADAH.  

Tadabbur Surah Al-Israa’ (17) ayat 49 hingga 52

Tajuk: Pengingkaran orang-orang musyrik terhadap hari kebangkitan dan bantahan terhadap mereka.Ayat 49 hingga 52 beserta terjemahannya. وَقَالوُٓاْ أءَذَِاْ كُنَّاْْ عِظَمَٰٗ اْْ وَ رُفَتًَٰاْ أءَِناَّْ لمََبۡعُوثوُ نَْْ خَلۡقٗاْْ جَدِيدٗاDan mereka berkata: [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara