WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

ALMARHUM DATO DR. HAILANI MUJI TAHIR PELOPOR BIDANG MUAMALAT

Oleh Muhammad Rasyid bin Ismail dan Muhammad Adib bin Samsudin

Hailani Muji Tahir dianggap antara tokoh dalam bidang muamalat di Malaysia. Ketokohan beliau terbukti melalui sumbangan besar beliau dalam bidang ini sama ada dalam bentuk penulisan mahupun keterlibatan beliau secara langsung dalam organisasi-organisasi kewangan dan perbankan. Ini ditambah dengan kerjaya akademik beliau selama 35 tahun bermula tahun 1977 hingga 2012 mengajar subjek yang mempunyai kaitan dengan bidang muamalat di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Latar Belakang Kehidupan Dan Pendidikan

Hailani dilahirkan pada 19 Jun 1945 di Kampung Lombong, Kelang, Selangor. Beliau merupakan anak bongsu daripada enam orang adik beradik kepada pasangan Muji Tahir bin Mufrad dan Masirah binti Omar. Hailani telah dilahirkan dalam keadaan yatim apabila ayah beliau meninggal dunia ketika kandungan ibunya mencecah tiga bulan (Hailani Muji Tahir 2013).

Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Lombong pada tahun 1951. Setelah lima tahun menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang menuntut di sana, Hailani telah dihantar ke Special Malay Class One (SMC 1), di Sekolah Aglo Chinese School (ACS). Walau bagaimanapun, tempoh pengajian Hailani di ACS hanya bertahan selama setahun sahaja. Pada tahun 1958, beliau telah berpindah pengajian ke Sekolah Agama Jalan Kebun Kelang. Setelah Kampung Lombong menghadapi banjir pada tahun yang sama, Hailani bersama keluarga terpaksa berpindah Kampung Sungai Serdang, Kapar, Kelang, Selangor. Perpindahan ini telah menyebabkan persekolahan Hailani terpaksa ditangguhkan sehinggalah status ekonomi keluarganya kembali stabil (Hailani Muji Tahir 2013).

Pada tahun 1962, Hailani telah mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di Pondok Parit Medan, Gersik, Muar milik Pak Kiyai Haji Shamshudin Bin Hj. Redzuan. Setelah empat tahun berada di sana, Hailani akhirnya berjaya menamatkan pengajian apabila beliau telah lulus Rabi Ibtidai pada tahun 1965. Beliau kemudiannya telah menyambung pengajian di Kelas Khas Agama Kerajaan Negeri Johor di Pagoh. Hailani akhirnya telah mengambil keputusan untuk mendaftar masuk ke Pondok Parit Perupok dan tinggal sementara di sana dengan bayaran sewa asramanya sebanyak RM3.00 sebulan. Di samping mendalami ilmu agama di Pondok Parit Perupok, kesungguhan Hailani dalam menuntut ilmu jelas kelihatan apabila beliau telah menyambung pengajiannya di Sekolah Menengah Md. Yasin Muar, Johor sebagai pelajar tingkatan tiga (Hailani Muji Tahir 2013).

Pada tahun 1967, Hailani telah berjaya diterima masuk ke Kolej Islam Kelang (KIK) untuk menyambung pelajaran ke tingkatan empat. Pada tahun 1970, Hailani telah dipindahkan ke Kolej Islam Malaya (KIM) Petaling Jaya untuk meneruskan pengajian di tingkatan enam atas selama setahun (Hailani Muji Tahir 2013). Setelah setahun berada di KIM, Hailani telah mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Semasa di UKM, Hailani telah mengambil bidang syariah di Fakulti Pengajian Islam (FPI). Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama beliau telah mengikuti mata pelajaran ekonomi di Fakulti Ekonomi, UKM. Hal ini disebabkan subjek ekonomi merupakan antara subjek yang diminatinya ketika beliau berada di tingkatan enam. Maka, dengan berbekalkan asas yang ada di bangku sekolah, Hailani telah berusaha mengembangkan subjek yang sama di Fakulti Ekonomi semasa meneruskan pengajian dalam bidang sarjana. Dengan kombinasi asas syariah dan ekonomi inilah yang membolehkan beliau memahami dan mendalami perbandingan ekonomi Islam dan konvensional di peringkat Ph.D di luar negara pada akhir tahun 1984 di Aberdeen University, Scotland (Hailani Muji Tahir 2013).

Keterlibatan Hailani dalam kegiatan persatuan amat luar biasa sepanjang beliau bergelar mahasiswa di UKM. Pada tahun pertama bergelar mahasiswa di FPI, beliau telah dilantik menjadi juru audit Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI). Pada tahun berikutnya (1972), Hailani telah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran PMFPI. Manakala pada tahun 1973 pula, Hailani seterusnya diberikan peluang untuk memegang jawatan sebagai Yang Dipertua PMFPI di samping turut menjadi Pengerusi Biro Pelajaran Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM). Beliau telah dipertanggungjawabkan dengan kedua-dua jawatan besar ini selama dua penggal. Di samping itu, beliau turut terlibat sebagai Penolong Setiausaha Agong Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Anak-Anak Selangor (PERMAS) pada tahun yang sama (Hailani Muji Tahir 2013).

Kerjaya Dan Anugerah

Pada tahun 1975, Hailani telah diterima bekerja sebagai Pegawai Tadbir Islam di JAIS sebagai Kadi Pejabat dan membantu kerja-kerja Kadi Besar Selangor. Oleh kerana minat dan kecenderungan kepada bidang akademik begitu tinggi, maka Hailani telah mengambil keputusan untuk meninggalkan jawatan itu apabila ditawarkan menjadi Tutor Jabatan Syariah, FPI, UKM pada bulan Mac 1977. Bermula dari situlah karier beliau mula terserlah dalam bidang akademik dan tenaga pengajar universiti (Hailani Muji Tahir 2013).

Setelah Hailani berjaya menyelesaikan sarjana pada tahun 1980, beliau telah dilantik menjadi pensyarah sementara di FPI, UKM. Tiga tahun selepas itu, beliau dilantik sebagai pensyarah tetap di Jabatan Syariah dalam bidang syariah, muamalah dan ekonomi Islam. Kerjaya akademik beliau selepas itu terus meningkat dengan memperoleh Profesor Madya pada tahun 1996. Seterusnya beliau memperoleh jawatan Profesor pada tahun 2011. Berbekalkan pengalaman berorganisasi dan kelulusan dalam bidang ekonomi Islam, Hailani telah dipelawa untuk menjadi tenaga pengajar sambilan di Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPII) ABIM yang beroperasi di Kampung Sungai Ramal Dalam (Hailani Muji Tahir 2013).

Pada masa yang sama, Hailani juga melibatkan diri secara aktif dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UKM. Selepas menjalani latihan yang sangat mencabar, beliau dinaikkan pangkat kepada Leftenan Muda. Setahun kemudian, beliau dinaikkan pangkat kepada Leftenan. Pada tahun 1993, Hailani dianugerahkan dengan Pingat Perkhidmatan Am (PPA), Kementerian Pertahanan Malaysia Pangkat Kapten setelah hampir tujuh belas tahun kariernya di dalam PALAPES UKM (Hailani t.th).

Selain mengajar, pada tahun 1992, Hailani mula melibatkan diri secara tidak langsung dengan kegiatan hartanah dan menubuhkan syarikat Tampan Project Management (TPM) Sdn. Bhd. Selain itu, Hailani turut terlibat di dalam menggerakkan tiga buah syarikat hartanah iaitu Ambal Murni Development Sdn. Bhd., Am Consolidated Sdn. Bhd. dan Northern Ring (M) Sdn. Bhd (Hailani Muji Tahir 2013).

Penglibatan dan sumbangan Hailani dalam beberapa buah agensi kerajaan dan bukan kerajaan seperti Yang Dipertua Yayasan Anak-anak Yatim dan Kebajikan Murid-murid Islam (YAYAKEM), Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ahli Lembaga Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menarik perhatian banyak pihak khususnya dalam negeri Selangor. Natijahnya, beliau telah dianugerahkan Tokoh Zakat Negeri Selangor pada tahun 1997, Anugerah Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (SMS) pada tahun 1999 dan diikuti dengan anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor pada tahun 2005/1425H oleh Sultan Selangor. Pada tanggal 11 Disember 2008, Hailani sekali lagi telah menerima Anugerah Darjah Kebesaran Dato Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) Negeri Selangor yang membawa gelaran Dato (Hailani Muji Tahir 2013).

Di samping itu, Hailani turut menerima Anugerah Terpuji Fakulti Pengajian Islam pada tahun 2006 dan Anugerah Penerbitan Fakulti Pengajian Islam pada tahun yang sama. Manakala di peringkat UKM pula, Hailani telah menerima Anugerah Perkhidmatan 20 Tahun Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1998. Beliau juga berjaya memperoleh Pemenang Hadiah Utama bagi Anugerah Khas Khidmat Masyarakat Kategori Akademik UKM pada tahun 2006 (Hailani Muji Tahir t.th).

Kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh Hailani tahun demi tahun telah melayakkan dirinya sekali lagi untuk menerima Anugerah Perkhidmatan 30 Tahun UKM pada tahun 2006. Selain itu, beliau yang juga merupakan penyelia kepada pelajar-pelajar sarjana telah berjaya mendapat Anugerah Penyelia Cemerlang bagi salah seorang calon Ph.D pada tahun 2008. Selang dua tahun kemudian, Hailani sekali lagi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Universiti Kebangsaan Malaysia pada 15 Oktober 2010 (Hailani Muji Tahir t.th).

Alam Rumah Tangga

Tanggal 2 Ogos 1975, Hailani telah diijabkabulkan dengan seorang guru bernama Fatimah binti Shamshudin. Sepanjang tempoh ini, mereka telah dianugerahkan dengan enam orang anak perempuan. Bermula daripada Nabeehah, diikuti Farhana, seterusnya Madiha, kemudian Nasreena, selepasnya Huwaida dan akhir sekali Adlina. Sehingga kini, mereka masih menetap di kediaman yang beralamat Lot 1683-C, Jalan Abim Surada, Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor (Hailani Muji Tahir 2013).

Pada 2 Ogos 1999, Hailani telah melafazkan akad pernikahan untuk kali yang kedua dengan pasangannya Umi Kalthum Bt Ahmad. Ketika perkahwinan ini berlangsung, Hailani berumur lima puluh empat tahun manakala Umi Kalthum pula empat belas tahun lebih muda daripadanya. Keputusan dan tindakan Hailani untuk berpoligami ini sedikit pun tidak menjejaskan hubungan beliau dengan isteri pertamanya dan anak-anak. Keinginan beliau untuk menimang seorang putera adalah faktor utama beliau berkahwin dengan pasangan yang kedua. Mereka sekeluarga tinggal di rumah bunglow yang terletak berhampiran jalan besar Kajang Puchong di Taman Ramal Bestari (Hailani Muji Tahir 2013).

Sumbangan Dalam Bidang Muamalat

Dato Hailani telah menjadikan bidang penulisan sebagai wasilah untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat. Pada ketika inilah nama beliau mula dikenali umum tatkala hasil penulisannya mula mendapat perhatian para cendekiawan. Penulisan pertama beliau dalam bidang ini dikesan melalui satu kajian ilmiah yang merupakan syarat untuk bergraduan di UKM. Kajian beliau yang bertajuk Konsep Bank Islam: Perbandingan dan Perlaksanaan ini dihasilkan pada tahun 1974. Menurut Hailani (t.th) cetusan idea beliau inilah yang membawa kepada tertubuhnya Bank Islam pada Julai 1983. Kajian ilmiah beliau ini turut mendapat penghargaan daripada UKM 33 tahun kemudian apabila ia dipamerkan semasa Sambutan 40 tahun UKM pada tahun 2010. Ini membuktikan bahawa idea perbankan Islam adalah lahir daripada UKM (Hailani t.th).

Selain itu, Hailani juga telah memberikan sumbangan yang besar melalui penghasilan beberapa karya ilmiah yang menjadi rujukan sarjana sehingga ke hari ini. Sehingga kini, beliau telah berjaya menulis 11 buah buku yang lebih memfokuskan perbincangan dalam disiplin ilmu muamalat, ekonomi dan kewangan Islam (Hailani Muji Tahir 2013). Antaranya;

1. Islam Dan Beberapa Persoalan Semasa, Jilid Pertama (1983). 2. Pengenalan Tamadun Islam Dalam Institusi Kewangan (1988). 3. Sistem Ekonomi Islam Dan Dasar Belanjawan (1991). 4. Concept and Principles of Islamic Economics (1999). 5. Revenue and Fiscal Policy of an Islamic State (2000). 6. Redistribution of Revenue in an Islamic State (2000). 7. Sistem Ekonomi Islam (2001). 8. Zakat, Pensyariatan Perekonomian Dan Perundangan (2006). 9. Institusi Baitul Mal Dalam Pembangunan Negara (2007). 10. Aplikasi Fiqh Muamalat Dalam Sistem Kewangan Islam (2009). 11. Gagasan Dan Globalisasi Kejuruteraan Fiqh Muamalat Dalam Sistem Kewangan Islam (2012).

Berbekalkan pengalaman berorganisasi dan penglibatannya dalam kepimpinan, Hailani telah berani melangkah untuk menceburkan dirinya dalam bidang konsultansi. Tambahan pula, kerjaya akademik dan pencapaian penyelidikan beliau yang sangat memberangsangkan telah menarik minat pihak luar untuk mendapatkan khidmat nasihat, khususnya yang berkaitan dalam bidang muamalat, ekonomi dan kewangan Islam. Sebagai seorang pakar perunding syariah dan ekonomi, Hailani telah membuktikan bahawa beliau mampu menguasai dua disiplin ilmu iaitu Islam dan konvensional. Kepakaran seperti inilah yang sangat diperlukan oleh masyarakat dan institusi kerajaan mahupun swasta, bagi memastikan setiap produk dan keperluan sesebuah syarikat serta agensi itu menepati garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Antara jawatan yang pernah dipegang oleh Hailani dalam bidang konsultansi dan khidmat kepakaran adalah berikut (Hailani Muji Tahir 2013);

1. Ahli Lembaga Pengarah Kolej Islam Darul Ehsan (KISDAR) pada tahun 1997.

2. Pengerusi Jawatankuasa Zakat Dan Maitul Mal MAIS pada tahun 1988 hingga 1999.

3. Ahli Jawatankuasa Pengurusan Waqaf Zakat MAIS pada tahun 2002 hingga 2008.

4. Ahli Lembaga Pengarah MAIS Zakat Sdn. Bhd. pada tahun 2005.

5. Ahli Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Kutipan Zakat Negeri Selangor.

Kesemua pengalaman yang diperolehi Hailani telah banyak mematangkan diri beliau untuk terus berkecimpung dalam bidang ini. Beliau seterusnya telah berjaya memperkembangkan lagi khidmat kepakarannya di peringkat kerajaan negeri (Hailani Muji Tahir 2013). Antara institusi yang memilih beliau adalah seperti berikut;

1. Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada tahun 1989 hingga 1999.

2. Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Lembaga Zakat Selangor (LZS), MAIS pada tahun 2006 sehingga kini. Dalam masa yang sama, beliau turut terlibat dalam tiga jawatankuasa kecil di bawahnya.

3. Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Kewangan LZS, MAIS.

4. Ahli Jawatankuasa Sumber Manusia LZS, MAIS.

5. Ahli Jawatankuasa Operasi Agihan Zakat LZS, MAIS.

6. Ahli Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada tahun 1997.

7. Panel Guaman Syarie Negeri Sembilan (1995) dan Wilayah Persekutuan (1996).

8. Panel Laporan Audit Dalam, Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) Selangor pada tahun 1998 hingga 2004.

Penglibatan dan sumbangan Hailani di peringkat persekutuan turut diakui oleh banyak pihak. Antara agensi dan institusi pendidikan kerajaan yang mendapatkan khidmat kepakaran daripada beliau adalah seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dan UKM (Hailani Muji Tahir 2013). Pada peringkat ini, Hailani telah diberikan peluang untuk menganggotai beberapa buah jawatankuasa seperti;

1. Ahli Jawatankuasa Task Force Penyelarasan Kaedah Penentuan Harga Zakat Fitrah Seluruh Malaysia, JAKIM pada tahun 2002.

2. Ahli Jawatankuasa Penyelaras Baitul Mal Kebangsaan, Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), JPM pada tahun 2005.

3. Panel Guaman Syarie dan Klinik Hukum, UKM pada tahun 1994.

4. Ahli Jawatankuasa Majlis Fuqaha Malaysia (MAFHAM), Jabatan Syariah, UKM pada tahun 1995.

5. Ahli Jawatankuasa Haiah Ulama Malaysia, YADIM pada tahun 1993.

Selain berkhidmat di agensi kerajaan, Hailani turut terlibat di dalam beberapa buah NGO khususnya di bahagian institusi kewangan Islam (Hailani Muji Tahir 2013). Hal ini telah membuktikan bahawa Hailani bukanlah seorang yang hanya cenderung untuk berkhidmat di agensi kerajaan sahaja. Antara badan yang menerima kepakaran dan khidmat nasihat daripada Hailani adalah seperti berikut;

1. Panel Perunding Syariah Affin Islamic Bank Berhad, pada tahun 1995 hingga 2009.

2. PAB Unit Trust Management Berhad, pada tahun 1995 hingga 2010.

3. Permata Merchant Bank Berhad, pada tahun 1995 hingga 2009.

4. Ampro Holding Singapore, pada tahun 1995 hingga 2002.

5. Takaful Nasional Sdn. Bhd. pada tahun 1993 hingga 2004.

6. Apex Unit Trust Berhad, pada tahun 2001.

7. Commerce Asset Fund Managers Sdn. Bhd. pada tahun 2006 hingga 2009.

8. Amanah Raya Islamic Unit Trust Bhd. pada tahun 2006 hingga 2009.

9. Amanah Raya Islamic Equity Fund (ARIEF), pada tahun 2007 hingga 2009.

10. Amanah Raya Islamic Cash Management Fund (ARICMF), pada tahun 2007 hingga 2009.

11. Juru Runding Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bahagian Unit Trust, Kuala Lumpur, pada tahun 2002.

12. Juru Runding Syariah Agro Bank Bhd. pada 2010.

13. Juru Runding Syariah Compliance, Genneva Malaysia Gold Products dan Aftaas Syariah Audit, pada tahun 2010.

Di samping mencurahkan sumbangan di peringkat kerajaan negeri, persekutuan dan institusi kewangan, Hailani turut terlibat di dalam khidmat kepakaran di peringkat organisasi dan kebajikan (Hailani Muji Tahir 2013). Antara organisasi yang telah memanfaat kepakaran yang ada pada beliau adalah seperti berikut;

1. Pakar Rujuk Lujnah Syariah Koperasi Belia Islam (KBI) Malaysia pada tahun 1993.

2. Pakar Rujuk Mengkaji Perlaksanaan Islamic Banking Bank Pertanian Malaysia.

3. Pakar Rujuk Konvension Ekonomi Bumiputera Peringkat Negeri Sembilan.

4. Panel Perunding Majlis Syura Tertinggi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

5. Panel Perunding Guaman Syarie Badan Dakwah Al-Rahmaniah.

6. Pengamal Guaman Syarie Wilayah Persekutuan (1996) dan Negeri Sembilan (1995).

7. Panel Perunding Ko-Kurikulum sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi (IPTA dan IPTS).

8. Panel Penilai Lembaga Akreditasi Negara (LAN) bagi Kolej Islam Johor (2001), Melaka (2003), Perak (2003) dan Kedah (2000).

Jasa Memartabat Ilmu Syariah dan Muamalat

Jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh Hailani kepada tanah air tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. Pengorbanan beliau mengembeling tenaga dalam usaha memartabatkan bidang ilmu syariah, muamalat, ekonomi dan kewangan Islam di peringkat kebangsaan seharusnya dihargai oleh masyarakat awam, khususnya golongan yang terpelajar. Penglibatan beliau dalam banyak agensi dan institusi sama ada kerajaan mahupun swasta telah banyak menyumbang kepada kemajuan pengurusan kewangan institusi tersebut.

Pemikirannya yang kritikal dan sikapnya yang optimis sememangnya menjadi rebutan ramai pihak yang ingin mendapatkan khidmat nasihat daripada beliau. Di samping mempunyai kebolehan mencetuskan idea yang realistik, Hailani turut menggunakan kepakarannya dalam bidang penulisan untuk menghasilkan beberapa buah karya ilmiah yang banyak memberikan manfaat kepada golongan sarjana, khususnya dalam bidang muamalat dan ekonomi Islam. Selain itu, kesungguhan beliau membangkitkan kesedaran tentang kepentingan menguasai dua disiplin ilmu iaitu Islam dan konvensional merupakan satu bentuk sumbangan terbesar dalam usaha melahirkan generasi muslim yang intelektual. Oleh yang demikian, sorotan kehidupan Hailani seharusnya dijadikan contoh ikutan sebagai salah seorang tokoh yang menggerakkan gelombang perubahan dalam kemajuan sistem kewangan Islam di Malaysia pada hari ini.

(Allahyarham Dr Hailani Muji Tahir telah kembali ke Rahmatullah pada 22 September 2021. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga. Al-Fatihah).

Rujukan:

Hailani Muji Tahir. 2013. Latar Belakang dan Sumbangan. Temu bual: 5 Febuari 2013.

Hailani Muji Tahir. 2013. Memoir Hailani Muji Tahir: Jejak Langkah Menuju Puncak. Bangi. Penerbit UKM.

Tadabbur Surah Al-Israa’ (17) ayat 49 hingga 52

Tajuk: Pengingkaran orang-orang musyrik terhadap hari kebangkitan dan bantahan terhadap mereka.Ayat 49 hingga 52 beserta terjemahannya. وَقَالوُٓاْ أءَذَِاْ كُنَّاْْ عِظَمَٰٗ اْْ وَ رُفَتًَٰاْ أءَِناَّْ لمََبۡعُوثوُ نَْْ خَلۡقٗاْْ جَدِيدٗاDan mereka berkata: [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara