WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

PERSAHABATAN YANG MENCERAHKAN PEMIKIRAN BERSAMA ALLAHYARHAM DR SIDDIQ FADZIL

Oleh Auni Haji Abdullah.

Semasa diundang untuk menulis sebuah coretan kenangan tentang seorang yang telah pun dikenali dengan jolokkan murabbi ummah, saya merasakan terpanggil untuk berkongsi beberapa pengalaman peribadi saya bergaul dengan Allahyarham  semasa kami masing-masing  di usia remaja  pertengahan 20an tahun. Saya memang  merasakan diri ini tidak layak untuk tampil kerana amat sekejap  berkecimpung dalam pergerakan pelajar Islam apatah lagi dalam aktiviti ABIM  dimana saya tidak pernah bergiat langsung. Tetapi ABIM tetap tersemat dekat dihati saya kerana semasa penubuhan ABIM pada 6 Ogos1971, saya dalam kedudukan sebagai Pengerusi, Persatuan Mahsiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI), Universiti Kebangsaan telah terlibat dengan kerjasama Persatuan Mahsiswa Islam Universiti Malaya menjadi tuan rumah membuat persiapan serta menyediakan kemudahan tempat persidangan di dewan kuliah Fakulti Pengajian Islam untuk merasmikan penubuhan ABIM. Dengan bantuan tenaga teman-teman  kepimpinan PMFPI, majlis penubuhan ABIM dapat berjalan dengan lancar. Selepas itu saya hanya menjadi pelanggan setia akhbar lidah rasmi ABIM, Risalah.

Kembali kepada soal persahabatan antara almarhum Dr Siddiq Fadzil  dengan saya, ia berlaku secara intensif sekitar 1971 hingga 1974 semasa kami bertemu kerana urusan kegiatan pelajar pada tempuh itu. Perkenalan ini membantu dalam menggilap pemikiran saya dan meluaskan jangkauan keilmuan saya yang akan diperkatakan satu persatu di bawah. Kami mula berkenalan pada tahun 1971 kerana almarhum kerap datang ke ibu pejabat PKPIM yang terletak di tingkat kedua dalam bangunan kampus Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Jalan Universiti, Seksyen 7, Petaling Jaya. Ruang bangunan pejabat ini dikongsi bersama dengan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI). Selaku salah seorang ahli jawatankuasa PKPIM  yang diterajui Saudara Kamaruddin Mohd Nor pada masa itu, beliau kerap berkunjung ke pejabat PKPIM. Di saat itu saya yang sering berada di pejabat dalam kedudukan sebagai pengerusi PMFPI telah dapat berkenalan dengan beliau. Kami menjadi semakin mesra melalui saudara Muhammad Nur Manuty, rakan sepegajian saya di Fakulti Pengajian Islam yang saban hari hadir di situ selaku Setiausaha Agung PKPIM. Saudara Muhammad Nur ialah kenalan lama almarhum semasa zaman persekolahan mereka di Sekolah Izzuddin Syah, Ipoh. Bagi diri saya, saudara Muhammad Nur ialah  seorang teman yang berjasa besar mendurong saya menceburi diri sebagai seorang pemimpin pelajar.

Kehidupan Era Mahasiswa

Pejabat PKPIM-PMFPI itu bukan sahaja menjadi tempat kami menjalankan tugas memenuhi amanah sebagai sebagai aktivis pelajar  yang dipertanggungjawab menggerakkan kedua-dua persatuan yang berada di bawah bumbung yang sama tetapi juga kami bersantai sambil berbincang mengenai isu-isu semasa. Perbualan kami kadang-kadang menjadi hangat apabila disertai saudara Ramli Ibrahim, Timbalan Presiden PKPIM, saudara Muhammad Nur Manuti dan saudara Mat Ali Mat Daud,  Setiausaha Kerja PKPIM yang sibuk menggerakkan kempen kesedaran PKPIM di seluruh pelusuk tanah air. Kehadiran Mat Ali Mat Daud yang terkenal dengan leluconnya yang boleh menandingi almarhum Siddik Fadil yang terkenal hebat dengan humour, cerita-cerita lucu dan sindiran sinis serta tajam apabila mengkritik dan menyindir dalam sesuatu perbualan. Begitulah meriah dan hangatnya suasana pejabat dipenuhi hilai ketawa  pada masa-masa tertentu. Syed Abdul Kadir selaku Setiusaha Kerja di pejabat PKPIM hanya tersenyum ketawa melihat gelagat kami semua. Pada masa inilah juga munculnya kadang-kadang saudari Habibah Abdullah, salah seorang ahli jawatankuasa PKPIM dan saudari Siti Zalikha Mohd Nor yang menjadi salah seorang jawatankuasa PMFPI di bawah kepimpinan saya. Kedua-duanya pelajar FPI yang mana asrama mereka amat berhampiran dengan pejabat. Dalam persekitaran inilah persahabatan saya dengan Allahyarham Siddiq semakin dekat, semakin terbuka dan pihak saya jadi tertarik untuk meminta pandangan beliau mengenai sesuatu isu dan memahami cara dan pendekatan beliau  menganalisa dan berhujah.

Ruangan pejabat ini kadang-kadang juga menjadi tempat kami mengkaji nota pengajian dan menyiapkan tugasan pengajian. Berkebetulan di tingkat bawah beok bangunan pejabat kami itu terdapat sebuah kantin dikendalikan saudara Jamlus dari kelompok keluarga Restoran Amjal yang tersohor di Jalan Pantai Baharu. Di kantin ini kami sering turun minum atau pun makan. Walaupun sebagai pelajar Jabatan Pengajian Islam, Unversiti Malaya, almarhum nampaknya gemar untuk menghabiskan masa belajar dan mengkaji pelajaran  disini dan kadang-kadang masuk ke perpustakaan Fakulti Pengajian Islam yang berhampiran dengan pejabat dan kantin tersebut. Kekerapan almarhum berada dalam persekitaran FPI dimana saya belajar membuka peluang kepada saya untuk mendekati beliau kerana saya sudah mengesani keunggulan susuk peribadi almarhum sebagai sumber di mana saya boleh mempelajari sesuatu yang berguna demi pembentukan jati diri saya  untuk menjadi pelajar yang cerdas dalam bidang pengajian  malahan juga dalam soal berorganisasi dan dalam soal kepimpinan. Malahan saya juga menilai almarhum sebagai teman yang boleh diminta buah pandangannya dalam menjalankan hasrat saya selaku pemimpin PMFPI untuk menerapkan islah pendidikan di FPI yang baru didirikan. Hal ini akan disentuh lebih lanjut dibawah nanti.

Persahabatan Keilmuan

Persahabatan kami mula berubah kepada perbincangan perkara-perkara ilmiah serta menganalisa sosok tokoh-tokoh pemikir Islam kontemporari. Ini bermula pada suatu petang sewaktu turun minum di kantin Jamlus apabila beliau menimbulkan berita kehadiran Prof. Ismail Raji al-Faruqi sebagai professor pelawat untuk membantu Prof.Naquib selaku Dekan Jabatan  Bahasa dan Kesusasteran Melayu, UKM dalam usaha memperkasakan jabatan dari sudut matlamat dan struktur kursusnya. Bagi almarhum,  ketokohan Prof. al-Faruqi sudah lama tersebar dan disebut-sebut di kalangan para pencinta keilmuan Islam tetapi belum ditemui sebarang karya besar yang dinilai berguna sebagai rujukan dan panduan bagi para aktivis pelajar pada masa itu (tahun 1971). Hanya dua karya akademik Prof. al-Faruqi yang ditemui beliau iaitu ‘Urubah and Religion dan Christian Ethics tetapi tidak sesuai sebagai bacaan kami sebagai aktivis pelajar yang dahagakan bacaan yang sesuai. Saya sependapat dengan beliau mengenai hal ini dan memberitahu tentang usaha saya sendiri menjejaki artikel-artikel jurnal oleh Prof. al-Faruqi yang boleh membantu kami.

Alhmdulillah saya menemui tiga artikel iaitu Towards A New Methodology for Quranic Exegesis, On the Raison D’etre of the Ummah dan The Problem of the Metaphysical Status of Values in the Western and Islamic Traditions yang tersiar dalam jurnal Islamic Studies dan Studia Islamica tahun 1962 dan 1968. Ketiga-tiga artikel ini telah diminta oleh almarhum untuk dibuat salinan supaya kami bersama dapat menelitinya. Ketiga-tiga artikel yang masih saya simpan sehingga kehari ini ternyata kemudiannya menjadi bahan Prof al-Faruqi semasa menggarap dua bukunya, The Cultural Atlas of Islam danTawhid: Its Implications For Thought And Life. Begitulah titik permulaan persahabatan keilmuan  kami yang semakin berkembang di hari-hari seterusnya. Dari perbincangan keilmuan kali pertama itu telah membuka jalan kepada beberapa siri perbincangan setakat yang dapat diingati kembali oleh saya.Persahabatan kami ternyata  terarah kepada hasrat pemantapan diri masing-masing dengan ilmu. Allahyarham telah merangsangkan kecintaan saya kepada ilmu dan dunia perbukuan.

Pengaruh Karya Abul-Hassan Ali al-Nadwi

Perbincangan selanjutnya berlaku selang tidak beberapa lama kemudian berkisar mengenai beberapa aspek pemikiran Syeikh Abul-Hassan Ali al-Nadwi, seorang tokoh pemikir Islam kontemporari. Ini berlaku selepas melihat Allah yarham begitu tekun membaca sebuah buku  bertajuk Islam and the World karya tokoh ulama ini. Buku dari simpanan perpustakaan kecil PKPIM  diterbitkan oleh Nadwah Ulama Academy di Lucknow yang diterajui al-Nadwi sendiri. Saya masih ingat lagi  karya tokoh ini belum menjadi pilihan penerbitan IIFSO (Internatioanal Islamic Ferderation of Student Society)  sepertimana buku-buku al-Mawdudi, Syed Qutb, Abdul Qadir ‘Awdah dan Muhammad Qutb. Karya-karya beliau yang ada dalam simpanan perpustakaan PKPIM adalah karya-karya berbahasa Inggeris terbitan Nadwah Ulama Academy  yang merupakan terjemahan dari karya asal dalam bahasa Arab.

Ketiadaan karya al-Nadwi dalam kelompok penerbitan IIFSO telah menarik minat saya untuk meneliti dengan mendalam sosok tokoh ini apatah lagi selepas menemui sebuah karya al-Nadwi  dalam bahasa Arab bertajuk al-Tafsir al-Siyasi lil-Islam fi Mir’at Kitabat al-Ustaz Abi al-A’la al-Mawdudi wal-Syahid Sayyid Qutb yang dipinjam dari perpustakaan FPI. Ketegasan al-Nadwi  dengan berani mengkritik Mawdudi dan Syed Qutb, dua tokoh tersohor dalam dunia pergerakan pelajar Islam antarabangsa pada masa itu adalah suatu keberanian dan keikhlasan  berasaskan kekuatan keilmuan beliau. Sikapnya  ini telah menambah kekaguman saya untuk menyoroti pemikiran al-Nadwi. Kritikan al-Nadwi keatas kedua-dua tokoh   ini berkisar  kepada tafsiran mereka berdua yang dinilai lebih menekankan  perhitungan politik pada isu al-hakimiyah lilLah. Bagi al-Nadwi, pihak manusia  masih mempunyai ruang budi bicaranya dalam urusan politik berpandukan lunas-lunas al-Qur’an dan hadis. Kritikan inilah barangkali puncanya karya al-Nadwi tidak termasuk dalam senarai penerbitan IIFSO pada  masa itu (tak silap ingatan pada tahun 1971). Sikap ini tebukti hanya buat sementara waktu sahaja apabila beberapa tahun kemudian, buku-buku al Nadwi mula diterbitkan oleh IIFSO.

Kekagumam saya dengan sosok keilmuan al-Nadwi itu disampaikan kepada Allahyarham semasa saya melihat beliau sedang menekuni buku  Islam and the World itu. Ini telah menarik minat beliau untuk berbincang lebih lanjut tentang kehebatan tokoh ini dan telah meminta saya tolong meminjamkan buku kritikan al-Nadwi itu dari perpustakaan FPI untuk beliau teliti sambil kami bersepakat untuk mencari dan membelinya dari mana-mana sumber.  Sambil itu saya  maklumkan kepada beliau bahawa saya memiliki  versi  asal dalam bahasa Arab terhadap buku yang ada ditangannya itu. Buku bertajuk Maza Khasira al-‘Alam bi-Inhitat al-Muslimin saya perolehi sebagai hadiah dari Ustaz Yahya Uthman, seorang tokoh ulama yang berkebetulan kenalan keluarga saya. Allahyarham terus meminta saya supaya sudi meminjamkan kepada beliau. Rupa-rupanya kami sama-sama meminati untuk memahami lebih lanjut tulisan al-Nadwi ini yang disanjung tinggi oleh Syed Qutb dalam kata pengantarnya. Kemudiannya barulah Allahyarham memberitahu bahawa sebenarnya beliau juga pengkagum al-Nadwi  selepas habis membaca karya al-Nadwi yang dimilikinya bertajuk al-Sira’ baina  al-Madiyah wa  al-Iman. Buku ini kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Inggeris dengan tajuk Faith vs. Materialism. Mengikut penelitian Allahyarham, kandungan beberapa bahagian buku ini jelas menunjukkan kecenderungan al-Nadwi kepada keperluan pendekatan kerohanian (kesufian) dalam menangani cabaran kehidupan dunia.  Al-Nadwi ada menyebut ramai nama para sufi sebagai tokoh yang perlu diteladani. Selepas  mentelaah buku ini saya ikut akur dengan rumusan Allahyarham mengenai landasan kerohanian al-Nadwi ini. Ini membawa saya lebih berminat menekuni karya-karya al-Nadwi walaupun berbentuk buku kecil.

Islah Pendidikan Fakulti Pengajian Islam

Setelah kami agak rapat saya secara senyap-senyap semasa berduaan bertanyakan tentang sistem kuliah dan cara pembelajaran di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera Universiti Malaya. Sebagai seorang pelajar yang dinilai pintar dan cekap berhujah, saya menilai Allahyarham adalah seorang yang amat sesuai  ditanya soalan sedemikian untuk membuat perbandingan dengan FPI dimana  saya sedang belajar. Semasa bertanya itu saya belum menzahirkan hasrat saya selaku pengerusi PMFPI untuk menggerakkan islah pendidikan di FPI yang hampir memasuki tahun ketiga penubuhannya. Selepas agak banyak mendapat kerjasama penjelasan dari beliau barulah saya memberitahu niat saya untuk melakukan reformasi pendidikan itu. Beliau agak terperanjat juga kerana ini bukannya soal yang mudah kerana memerlukan keberanian dan dukungan. Begitulah  nasihat beliau tetapi selepas  mendapat huraian panjang lebar hakikat perkembangan yang berlaku di FPI yang jelas ada banyak perbezaannya dari sudut kurikulum dan cara pengajaran dengan Jabatan Pengajian Islam, UM maka beliau ikut bersimpati.

Beberapa butir perbincangan kami kemudianya menjadi asas bagi saya menyusun pelan tindakan yang kemudiannya saya bincangkan dengan beberapa teman kepimpinan PMFPI dan rakan-rakan sefakulti seperti Ramli Ibrahim dan Muhammad Nur Manuty. Sebenarnya dalam hal langkah ini ada saya maklumkan kepada Dr. Arifin Ngah Marzuki, Naib-Canselor UKM. Beliau yang baru pulang dari lawatan ke India dan sempat meninjau Universiti Islam Aligarh melihat perkembangan sistem pengajian Islam di sana dan dapat membandingkannya  dengan rungutan saya tentang apa yang berlaku di FPI. Dr Arifin nampaknya memahami dan menyelami hasrat saya itu. Tetapi  sepertimana telah maklum akhirnya rancangan islah ini dapat dilaksanakan dengan pengunduran dekan pada Disember 1972. Resah juga saya pada pagi peristiwa penguduran itu apabila saya dihubungi Prof. Zainal Abidin Abdul Wahid supaya berhati-hati kerana ada sumber Bukit Aman menghubunginya.

Selang beberapa hari kemudian pada kesempatan kami berduaan, Allahyaham Siddiq membisikkan  tahniah sambil terus berjenaka sebagaimana lazimnya dengan bertanya “ilmu bomoh apa yang kamu pakai sehingga dekan itu sedia berundur”. Semuanya sudah menjadi sejarah dan berlaku dengan izinNya. Ia juga jelas mencerminkan  kebesaran jiwa serta kemuliaan hati dekan itu. Sebagai pemangku dekan sementara FPI, Dr. Arifin Ngah Marzuki, segera mengambil beberapa langkah reformasi sepertimana tuntutan kami. Di antaranya segera merekrut ramai bakal pensyarah yang ditawarkan peluang melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Ph.D dalam berbagai bidang pengajian Islam. Dari langkah inilah lahirnya Dr Ismail Ibrahim, Dr.Yusuf Nur, Dr Abd Hamid Othman, Dr Daeng Sanusi Meriok, Dr Ishak Rejab, Dr.Faisal Hj Othman dan ramai lagi.

Reaksi Terhadap Lawatan ke Amerika Syarikat

Di antara pengalaman agak menarik di antara saya dengan Allah yarham Siddiq ialah beberapa isu mengenai terpilihnya saya mewakili pelajar UKM untuk melawat Amerika Syarikat selama 70 hari dari Mac hingga Mei 1972 di bawah tajaan Jabatan Negara Amerika Syarikat. Saya hanya diberi peluang persiapan sebulan oleh pihak Kedutaan Amerika Syarikat. Allahyarham yang kerap berada dipejabat dapat mendengar perbualan urusan lawatan saya dengan teman-teman kepimpinan PMFPI kerana saat itu kami sedang sibuk dengan langkah  islah pendidikan yang sedang rancak digerakkan oleh jawantankuasa khusus, Jawatankuasa Akademik yang dianggotai ramai pelajar yang pintar dan  prihatin dengan halatuju FPI. Apatah lagi dengan sikap baik hati dan suara bising sambil bergurau saudara Mat Ali Mat Daud yang ingin membantu persiapan saya. Saya lebih banyak berada di pejabat sepanjang persiapan lawatan. Kemudahan telefon pejabat banyak memudahkan urusan dengan pihak kedutaan dan juga pejabat naib-canselor dan pejabat Dekan FPI yang ikut membantu beberapa keperluan saya terutamanya cenderahati yang melambangkan budaya Malaysia yang perlu dibawa sepertimana yang disarankan pihak kedutaan. Allah yarham jelas memerhati gelagat saya pada saat itu kadang-kadangnya dengan pandangan yang sinis, resah dan tertanya-tanya tetapi saya pada saat itu tidak sempat melayani serta berbual panjang dengan Allah yarham sepertimana lazimnya. Hanya selepas beberapa minggu pulang dari lawatan itu, kami berpeluang bertemu empat mata. Saya berterus terang bertanya  apa yang tidak menyelesakan beliau dengan lawatan itu. Alhamdulillah Allahyarham dengan ikhlas menjawab beliau sebenarnya bimbang dan timbul seribu satu tanda tanya dalam  kedudukan saya sebagai seorang pemimpin  pelajar pengajian Islam yang dipilih. Beliau menyuarakan rasa terkilan akan kehilangan seorang teman  perbincangan ilmiah jika saya berubah haluan berfikir ekoran dari program lawatan itu.

Dalam penjelasannya, Allahyarham bimbang saya akan menjadi mangsa serangan pemikiran Barat sepertimana dialami Nurcholish Madjid, pemimpin Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) yang menggegarkan suasana pemikiran Islam di Indonesia kerana perubahan sikap agamanya sekembali dari satu program  lawatan ke Amerika Syarikat.  Saya menjawab dengan memberikan butiran sebenar di sebalik proses pemilihan saya. Saya dicalonkan oleh pihak UKM bersama dua orang pemimpin pelajar lain mewakili fakulti sains dan fakulti sastera. Kami bertiga dipanggil ke majlis temuduga di Pusat Kebudayaan, Lincoln Center di Lebuh Pasar. Selepas temuduga, saya yang terpilih.

Kebanyakan soalan berlegar kepada isu politik antarabangsa yang amat saya minati dan ikuti selalu. Di sini Allah yarham terus menjampuk mengaku tentang kecenderungan minat bacaan  saya di bidang hubungan luar semasa kerana beliau sendiri melihat ketekunan saya kerap kali membaca di pejabat, majalah-majalah seperti Newsweek, the Economist, Newsweek dan Far Eastern Economic Review. Majalah-majalah ini saya pinjam dengan ihsan pustakawan fakulti, Ali Haji Ahmad yang memang tahu dengan hobi saya ini. Seterusnya saya memberitahu bahawa ada menghubungi Zahari Awang, pemimpin pelajar USM yang dianugerahkan program lawatan setahun sebelum saya. Beliau secara jujur mengingatkan saya tentang “udang di sebalik batu” program  yang menjemput para pemimpin pelajar dari rantau Asia dan Pasifik ini. Justeru itu saya menyertai program lawatan dengan sikap berhati-hati. Alhamdulillah, sebaik 12 orang pemimpin pelajar Asia-Pasifik  termasuk Akbar Tanjung dari Indonesia berkumpul di Hawai selama dua hari, telah timbul kesepakatan di kalangan kami untuk bersikap berhati-hati dan jika perlu menegur sebarang aturcara lawatan yang lebih bertujuan mengidoktrinasi atau menjerat kami. Saya juga beritahu Allahyaraham bahawa saya sudah menyiapkan laporan mengenai lawatan. Laporan saya bertajuk “ AS juga Penuh Kejelekan” telah disiarkan dalam akhbar Gema Siswa UKM. Allahyarham berpuas hati dengan segala paparan saya dan meminta maaf jika tersinggung dengan sikapnya sebelum saya bertolak mengikuti program lawatan. Saya melahirkan penghargaan di atas segala keprihatinan beliau tersebut. Saya dimaklumkan bahawa program lawatan ini telah dibatalkan dua tahun kemudian dan ini  berkemungkinan ada kaitan dengan pendirian kumpulan kami tersebut

Profesor Ceaser Adib Majul dan Islamisasi Alam Melayu

Selepas itu pada suatu petang  sedang saya bersendirian di kantin Jamlus menekuni sebuah buku berbahasa Arab bertajuk al-Islam fi al Syarq al-Aqsa, Wusuluhu Waintisyaruhu Wawaqi’uhu iaitu terjemahan Arab dari tulisan Ceaser Adib Majul,  seorang sejarawan terulung University of Philippines. Tiba-tiba Allahyarham masuk untuk minum dan terus mendekati saya. Selepas berbasa basi bertanyakan kabar perkembangan PKPIM yang beliau  sedang terajui, Allahyarham bertanyakan buku yang saya sedang baca. Saya menyuakan buku yang saya perolehi hadiah dari Tan Sri Abdul Jalil Hassan itu. Sambil beliau membelek-belek, saya memberitahu bahawa ia adalah terjemahan dari artikel Prof Majul yang tersiar dalam Silliman Journal. Salinan artikel ini telah tersebar luas dalam bentuk cyclostyle terutamanya bagi para penuntut UKM yang mengikuti kuliah Prof Naquib al-Attas dalam subjek “Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu”. Saya telah memperolehi satu salinan artikel bercycostyle itu dari seorang teman. Selepas menjejaki beberapa artikel Majul dalam journal dan risalah penerbitan Convislam, sebuah pertubuhan Islam yang diketuainya di Manila, saya mula menjadi pengkagumnya.  Seterusnya saya menyuarakan amat wajar sekali  buah pemikiran sejarah Prof  Majul tentang Islamisasi Alam Melayu dijadikan rujukan utama oleh para penuntut yang mengambil jurusan pengajian Islam di UKM dan UM memandangkan pada saat itu belum ada sejarawan tempatan  yang mampu menghasilkan tulisan setanding tulisan Majul yang mendalam kajianya itu. Kajian sejarah Islam Alam Melayu pada saat itu kebanykannya masih terikat dengan rujukan kepada tulisan para orientalis. Majul telah membongkar berbagai kecacatan tafisan para orientalis. Allahyarham yang tekun mendengar celoteh itu sambil mengangguk-ngangguk  tanda setuju bahawa subjek sejarah Islam Alam Melayu juga didapati tidak memberi keutamaan kepada hasil kajian Majul.

Perbualan kami menjadi semakin hangat apabila saya mengeluarkan dari beg saya sebuah karya tebal Prof Majul terbaru yang saya baru beli bertajuk Muslims in the Philippines. Dalam bahagian awal buku ini ada disentuh tentang rumusan kajian beliau mengenai Islamisasi Alam Melayu. Selepas melihatnya sepintas lalu, Allayarham terus bertanya di mana saya membelinya dan diberitahu di Jubilee Bookstore, Jalan Tuanku Abd Rahman. Beliau kemudianya meminta saya supaya membuat salinan fotostat buku versi Arab itu. Begitulah kami bepisah pada petang itu dengan tanggapan saya ia berakhir di situ sahaja.

Kira-kira  dua bulan lebih selepas itu beliau mengajak saya minum di kanten Jamlus. Beliau dengan cerianya memberitahu bahawa telah membaca karya-karya Prof. Majul tersebut dan mengaku kehebatan analisanya sebagai seorang sejarawan. Beliau merasa amat wajar sekali bahawa rumusan sejarah Prof  Majul di jadikan titiktolak utama dalam mengupas sejarah Islam Alam Melayu bukannya lagi berlegar kepada bahan syarahan kuliah dengan pendekatan yang lama. Saya melahirkan penghargaan di atas keprihatinan dan kesungguhan beliau melayani pandangan saya mengenai tokoh ini. Begitulah jalinan keilmuan yang terbina subur di antara kami.

Menyentuh soal Prof Majul, biarlah saya hendak berkongsi sedikit pertemuan dengan beliau di Madinat al-Hujjaj, Jeddah pada tahun 1986 sewaktu beliau menunggu penerbangan pulang selepas mengerjakan ibadat haji. Dalam kesempatan pertemuan agak lama itu, saya melahirkan rasa syukur dapat bertemu mata dengan seorang sejarawan Islam yang menjadi kebangaan rantau Alam Melayu. Di samping itu saya ikut berbangga apabila diberitahu tentang pengakuan Nur Misuari, seorang pemimpin perjuangan Moro tesohor yang menganggap Prof Majul sebagai bapa kerohanian beliau dan sebagai tokoh di belakang tabir menggerakkan kebangkitan para pemuda Moro yang sedang belajar di kota Manila di sekitar pertengahan kedua 1960an. Dalam pertemuan ini, dapat diselami keresahan beliau apabila membayangkan hasratnya untuk berhjrah keluar dari Filipina  dan berkhidmat di mana-mana negara Islam. Mengikut katanya, agak sukar bagi beliau sebagai seorang ilmuan Islam berada ditengah-tengah ribuan para pensyarah Kristian Filipina di University of the Phillipines, sebuah universiti paling berpristej di negara ini. Walaupun dilayan sebagai seorang “distinguished scholar” beliau tidak merasai bahagia, sungutnya. Begitulah berakhir pertemuan bersejarah bagi diri saya. Dengan rasa simpati, saya segera menghubungi  Dr.Neejatullah Siddiqi, seorang pensyarah dan beberapa orang teman di Institute of Muslim Minority Affairs, King Abdul Aziz University sekiranya dapat mengundang Prof Majul sebagai tenaga pengajar pelawat atau diserap langsung sebagai tenaga tetap universiti. Usaha saya ini hilang begitu sahaja dan saya amat kesal kerana tidak berusaha lebih gigih sekembali ke Kuala Lumpur untuk membantu membebaskan beliau dari belenggu keresahannya apabila diberitahu beliau meninggal dunia pada tahun 2003 di Los Angeles. Pada pandangan saya, beliau sewajarnya diberi tempat mencurahkan ilmunya di mana-mana universiti Alam Melayu.

Demonstrasi Pelajar di Kedutaan Amerika Syarikat

Akhirnya saya merasai wajar menyebut pengalaman amat bermakna bertugas selaku Setiausaha Agung PKPIM di bawah kepimpinan Allahyarham. Beliau telah memberi kepercayaan penuh kepada saya dalam menggerakkan PKPIM di peringkat pusat dan cawangan terutama berkaitan perancangan program dan pelaksanaannya. Beliau juga boleh dikatakan bulat-bulat menyerah kepada saya dalam menulis sebarang kenyataan akhbar PKPIM mengenai isu-isu semasa selepas kami berbincang terlebih dahulu. Sebagai setiausaha agung saya kadang-kadang perlu menemaninya ke tempat memberi ceramah terutama  di luar Kuala Lumpur pada waktu malam atau selepas solat subuh. Ada beberapa kali saya terpaksa tidur di bilik rumah sewaannya supaya  kami dapat pergi bersama dengan beliau membonceng motor vespa saya untuk menghadiri kuliah subuh beliau. Saya percaya ini semuanya berpunca dari keintiman hubungan kami dan pihak saya tidak keberatan melakukannya kerana banyak memberi peluang kepada saya mempelajari sesuatu dari ceramah beliau.

Ada hal yang sukar dilupakan bila saudara Anwar selaku Setiausaha Agung ABIM dan Presiden Majlis Belia Malaysia menyarankan supaya PKPIM menganjurkan satu demonstrasi besar-besaran melibatkan semua institusi pengajian tinggi di Lembah Klang dalam kadar yang segera untuk menyuarakan bantahan kepada Israel dan penyokong utamanya, Amerika Syarikat dalam perang Arab-Israel pada Okteber 1973. Saudara Anwar merasakan demonstrasi bantahan amat wajar dilakukan sebagai sokongan kepada dunia Arab memandangkan suasana perang yang bermula pada 6 Oktober memberikan kemenangan awal kepada Mesir telah memaksa Amerika Syarikat mencurahkan bantuan senjata terbukanya kepada Israel sehingga dapat membantu tentera Israel memulih dan mengukuhkan kedudukannya. Campurtangan keterlaluan Amerika ini telah membangkitkan kemarahan dunia Islam sehingga merebaknya demonstrasi di merata bandar dunia sehingga memaksa Raja Faisal menggunakan senjata bekalan minyak (oil embargo) ke atas negara-negara penyokong Israel.

Cadangan saudara Anwar ini disampaikan kepada saya semasa datang mengajar di Yayasan Anda Akademik di Kampung Bharu untuk  membantu Ismail Mina mengajar Sejarah Islam di tingkatan enam atas. Hal ini saya maklumkan kepada Allahyarham Siddiq dan beliau terus memberi kepercayaan penuh kepada saya untuk merancang dan mereaslisasikan tugas itu. Tugas ini agak mencabar diri saya kerana ia berlangsung dalam bulan Ramadan dan untuk mengerahkan tenaga pelajar di Lembah Klang dalam masa tak sampai seminggu bukannya mudah kerana bergantung kepada kemampuan serta kesungguhan meyakinkan kesemua pemimpin pelajar  bukannya terhad kepada pemimpin kalangan persatuan pelajar Islam sahaja supaya dapat mengembeling para pelajar  di intitusi pengajian masing-masing untuk hadir berhimpun ramai-ramai pada pagi hari 19 Oktober 1973 di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di bangunan AIA di Jalan Melaka.

Alhamdulillah terutamanya dengan kerjasama padu dari saudara Ahmad Shah Mohd Nor selaku Timbalan Setiausaha Agung PKPIM dan dukungan PKPM dan UMSU yang masing-masing  dibawah kepimpinan Idris Jauzi dan Hishamuddin Rais, suasana demonstrasi  berjalan lancar apabila lebih  5,000 orang pelajar membanjiri jalan dihadapan bangunan AIA. Saya dihubungi saudara Anwar sehari sebelum hari demonstrasi yang dirancangkan itu supaya dapat menemuinya di pejabat PKPIM pada sebelah malam selepas Isyak untuk meninjau persiapan terakhir. Saya memberitahu hal pertemuan ini kepada Allahyarham Siddiq sambil merayu kepadanya supaya dapat hadir bersama tetapi beliau keberatan hadir dengan memberi alasan bahawa urusan demonstrasi dari awal sampai akhir hasil jerih perih saya dalam beberapa hari, maka wajarlah saya menyempurnakannya. Beliau berjanji akan hadir bersama pada kesesokan harinya. Begitulah keistimewaan sifat Allahyarham tidak mahu mengganggu kepercayaan yang telah diberikan.Saya dengan dibantu seorang ahli jawatankuasa PMFPI yang berkebetulan tinggal di asrama FPI diminta hadir bersama  untuk membantu kerja saya pada malam hari.

Selepas mendapat sedikit laporan mengenai persiapan demonstrasi, saudara Anwar terus masuk kepada soal keperluan menyediakan satu kenyataan bagi pihak pelajar dan belia Malaysia yang menyuarakan bantahan dan protes untuk disampaikan kepada pihak Kedutaan Amerika. Selepas berbincang sekejap saudara Anwar duduk di meja menyiapkan satu kenyataan dalam satu halaman. Saya dengan bantuan teman tersebut terus menaip kenyataan ini dan memulangkan balik  kepada saudara Anwar jika ada pindaan. Tanpa banyak pindaan kenyataan itu terus  di buat salinan dengan kemudahan mesin cyclostyle pejabat pada malam itu juga untuk disebarkan pada pada pagi hari esok. Dua salinan darinya di masukkan kedalam sekeping  sampul  dengan pesanan saudara Anwar supaya dibawa oleh saya untuk disampaikan beliau kepada  pihak kedutaan. Satu Salinan kenyataan keramat ini masih berada dalam simpanan saya sekarang.

Khidmat Ummah Di Jeddah

Bila saya memasuki Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik, hubungan saya tidak terputus langsung dari kegiatan ABIM. Saya hanya sekali sekala jika ada kelapangan dan mengambil cuti menghadiri muktamar tahunan ABIM dan majlis-majlis seminar anjuran ABIM. Pada kesempatan ini saya bertegur sapa dengan Allah yarham. Disamping itu saya ada menjalin hubungan dengan Yayasan Anda Akademik (YAA) yang diterajui saudara Anwar bersama Kamaruddin Mohd Nor. Hubungan ini berlaku apabila saya diminta oleh saudara Syukran Jamil Zaini, pengarang Diskusi, sebuah majalah persekolahan menengah atas terbitan YAA untuk menulis banyak siri  soal-jawab Sejarah Islam tingkatan enam. Saya juga ada berhubungan dengan saudara Fuad Hassan yang mengendalikan majalah Panji Masyarakat. Saya ada menyumbang beberapa tulisan kepada majalah ini termasuk mengenai sejarah perjuangan parti Masyumi di Indonesia.

Tetapi perjalanan kerjaya saya ditakdirkan berkhidmat di kedutaan Malaysia, Jeddah selama tujuh tahun (1977-1979 dan 1982-1987) rupannya membuka ruang kepada pertautan saya dengan kepimpinan ABIM. Sebaik dimaklumkan akan bertugas di kedutaan Malaysia di Jeddah, saudara Anwar Ibrahim menyambut baik agar saya boleh  sedikit sebanyak membantu tugas beliau pada masa itu  sebagai Wakil WAMY Rantau Asia-Pasifik yang beribu pejabat di Riyadh sambil membantu memudahkanm kerja-kerja ABIM di peringkat antarabangsa. Sebelum saya berangkat, beliau menjemput saya makan malam di rumah bapanya dan kemudianya datang menemui saya pada hari keberangkatan ke Jeddah di Hotel Merlin dengan menghadiahkan beberapa biji buku kepada saya.

Pada masa itu, saya sekeluaraga  di beri kemudahan menginap di hotel sehari dua sebelum terbang. Saudara Anwar kerap kali menulis surat meminta saya membantu para aktivis  muda ABIM  yang datang melanjutkan pelajaran di Jeddah, Makkah, Riyadh dan Dammam. Kemudian setiap kali kedatangan bapanya, Pak Ibrahim yang berkebetulan memegang jawatan ahli lembaga pengarah Tabung Haji datang ke Jeddah, beliau tidak melepas peluang datang menziarahi saya  serta menyampaikan salam saudara Anwar kepada saya. Apabila adiknya, saudari Farizun Ibrahim dan suaminya, saudara Jamil datang bertugas di pejabat Tabung Haji Jeddah, saya dan isteri melayani mereka berdua sebagai adik  sehingga kami menjadi akrab sebagai satu keluarga.

Di masa inilah juga munculnya saudara Asmawi Zain yang datang melanjutkan pelajaran di Universiti Raja Abdul Aziz Jeddah. Saudara Asmawi telah membuka jaringan kepada segelintir pensyarah yang ada pertalian dengan Ikhwan Muslimin. Kehadiran saudara Asmawi dan saudari Farizun telah menceriakan kehidupan saya sekeluarga di Jeddah. Inilah sebahagian dari kenangan manis yang menjadi noktah kepada tekad saya beriltizam mendukung perjuangan Islam terutamanya dengan ABIM. Ditengah-tengah kesibukan dan keghairahan memenuhi panggilan amanah serta tugas tanah air selaku penjawat awam dan diplomat, saya alhamdulilah dapat mengekalkan diri atas landasan cita-cita perjuangan Islam termasuklah mendukung serta membela nasib golongan minoriti Islam.

Selama bertugas di Jeddah, saya saban tahun dikunjungi oleh teman-teman ABIM selain sdr Anwar Ibrahim iaitu Ustaz Razali Nawawi, Ustaz Fadil Nor, Ustaz Siddik sendiri, Ustaz Abdul Ghani Syamsuddin, Dr. Muhammad Nur Manuti, Kamaruddin Mohd Nur, Kamaruddin Ja’afar, Ismail Mina dan juga tokoh-tokoh ABIM negeri seperti Ustaz Niamat Yusuf yang datang dengan pelbagai tujuan temasuk urusan ibadat umrah dan haji serta juga urusan sambung belajar dan berkaitan urusan ABIM dan WAMY. Ada juga para keluarga aktivis ABIM yang datang sambung belajar. Kebanyakannya di Universiti Umm al-Qura, Makkah. Kekerapan rombongan ABIM yang datang dan singgah menumpang sekejap di kediaman saya telah menimbulkan kecurigaan kadang-kadangnya kepada pihak kedutaan apabila kehadiran setengah mereka dapat diciumi baunya oleh beberapa orang kakitangan kedutaan.  Itu berlaku semasa sdr Anwar belum memasuki UMNO.

Pertautan dengan rakan-rakan ABIM yang datang tersebut membuka ruang kepada saya  untuk berkenalan dengan tokoh-tokoh WAMY seperti Dr. Ahmad Totonji, Dr. Ahmad Bahafzullah, Dr. Tawfiq Qusayyir, Dr. Abdullah Umar Nasif , Dr Abu Bakar Bagadir dan Dr Kamal al-Helbawi. Kerap kali juga saya diberikan amanah untuk menyampaikan surat dan pesanan kepada mana-mana pemimpin WAMY. Tugas perhubungan ini juga diberi kepercayaan kepada saya dalam hal urusan dengan Bank Pembangunan Islam (IDB) dan Tabung Perepaduan Islam, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) serta juga dengan perewakilan pertubuhan Palestin, al-Fath di Jeddah. Dalam kesempatan ini juga saya didedahkan untuk berkenalan dengan tokoh-tokoh Ikhwan Muslimin seperti Dr. Mahdi ‘Akif dan Dr.Tawfik Syawi yang menetap di Jeddah kerana membantu Dr. Abdullah Umar Nasif dan teman-teman usahawan Arab Saudi membuka serta mentadbir rangkaian sekolah Islam antarabangasa, International Minaret School disekitar kota Jeddah dan Riyadh. Pada saat yang sama saya sempat bermesra dengan Ahmad Deedat yang kerap datang ke Arab Saudi termasuk semasa menerima Anugerah Antarabangsa Raja Faisal bagi ketegori Tokoh Islam Antarabangsa 1985. Ahmat Deedat dilihat amat rapat pertaliannya dengan kepimpinan WAMY terutamanya Dr. Ahmad Totonji, Dr. Ahmad Bahafzullah dan Ibrahim Jadwat. WAMY ternyata banyak membantu mempromosikan ketokohan Ahmad Deedat di arena antarabangsa dalam usaha perang saraf melawan para mubaligh Kristian  yang menyerang ajaran Islam.

Semasa berurusan dengan pihak IDB sambil menggunakan kemudahan perpustakaan di  bangunan IDB inilah  saya berkenalan dengan Monzer Kahf (Syria) dan Dr. Neejatullah Siddiqi (India), dua orang pakar pakar ekonomi Islam yang ada pertalian dengan Ikhwan Muslimin Syria dan Jama’at Islami India. Kedua-duanya bertugas membantu bahagian penyelidikan ekonomi IDB. Di masa inilah juga saya sempat menjalin persahabatan dengan dua orang petugas IDB iaitu Allahyarham Drs Muhammad Sidik  yang kemudiannya menjadi ketua Dewan Dakwah Islam Indonesia Indonesia dan Abdullah Gul  yang kemudiannya pernah menjadi Presiden Turki. Persahabatan saya dengan Allahyaham Drs Muhammad Sidik telah memberi ruang berkenalan dekat dengan Bapak Muhammad Roem, tokoh Masyumi yang penah menjadi Timbalan Perdana Menteri Indonesia, Bapak Sjafruddin Prawiranegara, bekas Menteri kewangan Indonesia serta dua tokoh ilmuan, Bapak Dr. Rasjidi dan Bapak Deliar Noer.  Semua mereka  ini kerap mampir atau singgah ke Arab kerana mewakili Bapak Muhammad Natsir menghadiri berbagai bentuk persidangan Islam anatarabangsa di Makkah, Riyadh dan Jeddah. Dalam kesempatan ini saya dapat menjalin pertalian dengan anasir-anasir pejuang Aceh pengikut Teuku Daud Berueh dan Hassan di Tiro, pemimpin Gerakan Aceh Merdeka (GAM).

Melalui Drs Muhammad Sidik dan Abdullah Gul yang banyak menangani aduan dari pihak golongan minoriti Islam bagi pihak IDB, saya telah menemui para aktivis Moro (Mujahib Hashim), Patani (Di Ismail Lutfi), Rohingya (Dr Ahmad Ghulam) dan Uighur (Rebiya Kadeer, pemimpin Wanita Uighur yang tesohor itu). Dari perbualan panjang dengan Rebiya Kadeer, saya dapat memahami buat pertama kali isu tuntutan puak Uighur.  Malahan melalui Abdullah Gul, saya dapat bersembang agak lama dengan Abdul Rassol Sayyaf (Mujahidin Afghanistan) dan Nacmettin Erbakan, pemimpin politik Islam dan bekas Timbalan Perdana Menteri Turki. Selepas mesra dan agak akrab, Dr Neejatullah telah memperkenalkan saya kepada anggota akademik Institute Muslim Minority Affairs (IMMA) dibawah teraju Dr Abdullah Umar Nasif sebagai timbalan rektor Universiti Raja Abdul Aziz. Disini saya diperkenalkan kepada Dr Hasanuzzaman (India), Dr Mauyag Tamano (Filipina), Macapantun Abbas (Filipina) dan mereka yang sudah lupa nama mereka. Di masa inilah saya sempat berkenalan dengan beberapa orang pemimpin pejuang Patani iaitu Badri Hamdan (BNPP), Kubiro (PULO), Ustaz Karim Hassan (BRN) dan Haji Yusuf Chapakia (PERANAS) disamping beberapa orang pemimpin pejuang Moro seperti Hatimil Hassan, Abdul Baki Abu Bakar, Diamasangkay Pundato dan Dr Abd Rahman Amin.Pendedahan dengan kegiatan IMMA menjadikan saya semakin prihatin dengan isu minoriti Islam di seluruh pelusuk dunia apatah lagi selepas berkenalan dengan Dr Ali Kittani, seorang pegawai kanan OIC yang banyak mengumpul maklumat mengenai berbagai aspek minoriti Islam. IMMA kemudiannya menjadi terkenal kerana menerbitkan Journal of Muslim Minority Affais berpengkalan di London. Pertalian dengan institut  ini telah mengikat saya untuk beristiqamah dan prihatin dengan masalah golongan minoriti Islam sehingga ke hari ini dalam kadar yang termampu diri saya.    

ABIM Wadah Perjuangan Islam

Nampaknya di sini seolah-olah saya berleter mengenai diri saya. Tetapi sebenarnya lebih kepada maksud memberi gambaran bagaimana jiwa raga saya menjadi akrab dengan ABIM serta isiqamah dengan perjuangannya sedangkan saya tidak pernah menyandang apa-apa jawatan dalam organisasi ini. ABIM berkat persahabatan singkat dengan Allahyarham. ABIM ternyata  menjadi satu wadah yang mejambatani diri saya dengan tokoh-tokoh pergerakan Islam antarabangsa yang secara tuntas ikut membentuk kecenderungan keIslaman saya dan seterusnya menjuruskan pemilihan saya menjadi pengkarya buku-buku pengurusan Islam dan  sejarah pemikiran Islam Alam Melayu. Pemilihan bidang ini memang amat mencabar diri saya tetapi itulah saluran terbaik  bagi  menyalurkan potensi kurniaan Allah SWT kepada saya untuk membangun cita-cita penyemarakan budaya ilmu yang selari dengan matlamat perjuangan ABIM.

Pengabdian saya dalam dunia penulisan ditengah-tengah kesibukan sebagai penjawat awam yang banyak memakan masa, tenaga dan wang ringgit telah ditegur dan ada menyarankan supaya saya mengangkat hasil tulisan  menjadi bahan thesis MA dan Ph.D termasuklah saranan dari mendiang Prof. Khoo Kay Kim. Pengabdian ini saya yakin tidak sia-sia kerana banyak dapat membantu para ilmuwan dan aktivis dari generasi muda yang ramai menghubungi saya sejak kebelakangan ini termasuk mereka dari Indonesia dan Brunei. Sesungguhnya pengabdian ini menjadi manifestasi  balasan serta sumbangan saya yang merasa terhutang budi kepada ABIM dan khususnya kepada tokoh yang diraikan Allahyarham Siddiq Fadzil yang pernah menyuntik kekuatan ilmu kepada saya dalam persahabatan dekat serta singkat kami selama empat tahun yang banyak ibrah kepada diri saya. Lagi pun Allahyarham  sendiri dalam pertemuan kami berdua kebelakangan ini menyuarakan kekaguman  atas kemampuan saya menghasilkan karya yang agak besar jumlahnya. Alhamdulilah tiga buah karya saya pernah diberikan kata pengantar oleh tiga orang mantan presiden ABIM iaitu Allahyarham sendiri, sdr. Muhammad Nur Manuty dan sdr. Mohd Raimi Abd Rahim.

Persahabatan yang Mencerahkan Pemikiran

Di sini amat wajar saya menyampaikan setinggi penghargaan kepada Allahyarham Siddiq yang bertegas mahu saya menjadi Setiausaha Agung PKPIM dibawah terajunya. Sebaik  beliau tahu saya terpilih menjadi salah seorang perwakilan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) ke persidangan agung PKPIM 1973/1974, Allah yarham kerap membisikkan hasratnya itu beberapa kali apabila bersua  beliau  dipejabat tetapi saya tetap menyatakan  keberatan saya untuk memegang jawatan itu  kerana keinginan saya menumpukan kepada pengajian selepas sudah dibebankan dengan masih memegang jawatan pengerusi PMFPI bagi kali ketiga berturut-turut sambil ditambah dengan mandat  menjadi pengerusi Dewan Mahasiswa PMUKM.

Saya pernah mencoret  sekeping kertas kepada Allahyarham mengingatkan hasrat saya itu semasa persidangan sedang berlangsung.Saya terpaksa akur apabila saudara Anwar Ibrahim datang pada petang hari penutup mengumumkan perlantikan saya dan beberapa jawatan kanan lain. Ketegasan kemahuan Allahyarham itu dipercayai kerana terkesan melihat dari dekat gaya kepimpinan saya dalam PMFPI yang  membawa terlantiknya saya sebagai pengerusi Dewan Mahasiswa PMUKM yang merupakan parlimen kepada badan-badan di bawah PMUKM. Begitulah ketentuan Ilahi yang menyebabkan kami berdua semakin rapat semasa mengemudikan PKPIM dan semakin lebih terbuka perbincangan keilmuan di antara kami yang kadang-kadang berubah kepada perdebatan.

Begitulah secebis paparan tentang perjalanan hidup saya yang banyak dibentuk dari hikmah kebesaran kuasa Ilahi menemukan saya kesempatan berkawan rapat dengan Allahyarham. Walaupun jangka masa pertemuan kami agak singkat  selama empat tahun tetapi ternyata menjadi titik tolak peralihan hidup diri saya. Alhmadulillah kami menjadi rapat dan Allahyaraham  sanggup meraikan saya sebagai teman berbincang, bertukar fikiran, berkongsi ilmu dan bertukar buku. Persahabatan ini telah mencerahkan pemikiran saya. Sesungguhnya Allahyarham ialah seorang leluhur dalam sejarah harakah Islam di tanah air. Persahabatan ini mengekalkan saya di atas landasan menyuburkan azam untuk berbakti kepada perjuangan Islam dengan ABIM sebagai wadahnya dan memelihara momentum serta stamina saya dalam dunia penulisan  sebagai menyahut slogan ABIM dalam tradisi pembudayaan ilmu.

Penulis merupakan seorang karyawan Islam dan bekas aktivis gerakan pelajar Islam di era 1970an.

Akal licik Yahudi untuk menangkap ikan pada hari Sabtu dan siksaan bagi para penentang

Ayat 163 hingga 166 beserta terjemahannya. وَسۡ‍َٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara