HIDUPLAH BERSAMA SECARA AMAN
Oleh: Ab. Halim Ismail
Kandungan agama dan warisan peradaban Islam amat kaya dengan seruan dan model bagi membina kehidupan manusiawi yang rencam berada dalam perhubungan yang damai dan aman.
Gerakan Islam masa kini perlu memberi fokus dan menyebarluaskan prinsip-prinsip kehidupan aman berpandukan misi risalah Islam sebagai Rahmatan lil Alamin kepada masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.
Muhammad Pembawa Rahmat
Islam datang ke tengah-tengah umat manusia dengan mesej kebaikan, rahmat, kasih sayang, keramahan, persefahaman dan simpati yang tiada tolok bandingnya. Islam bukan agama penyebar kebencian, dendam kesumat, permusuhan dan jauh sekali dari membawa mesej keganasan seperti yang diwar-warkan oleh Barat. Perkataan ‘aa-lamiin dalam ayat wa-maa arsal-naa-ka illa rah-matan lil-‘aalamin – al-Anbiya’:107, yang bererti, “Tidak Kami utuskan kamu [Muhammad] kecuali sebagai rahmat ke seluruh alam”, merujuk tidak sahaja kepada limpahan rahmat untuk mereka yang beragama Islam dan beriman dengan Allah s.w.t., tetapi juga untuk mereka yang kafir dan tidak beriman dengan-Nya. Ibn ‘Abbas ketika menjelaskan rah-mah lil-‘aa-lamin bahawa rahmat kehadiran Muhammad s.a.w. itu antara lain ialah Allah s.w.t. tidak menyegerakan azab ke atas orang-orang kafir seperti yang ditimpakan-Nya ke atas kaum-kaum terdahulu (al-Anfal:32-33). Bahkan rahmat Islam menggenapi bukan sahaja makhluk manusia tetapi juga haiwan seperti semut dan burung-burung. Al-Quran mengiktiraf haiwan-haiwan ini sebagai um-matun mith-lukum (mereka juga umat seperti kamu) (al-An’am:38), atau menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w. sebagai um-matun min al-umam (salah satu dari umat-umat). Maka dengan demikian makhluk-makhluk ini perlu dikasihani dan dilayan dengan baik.
Rasulullah s.a.w., sewaktu perang Uhud pernah diminta mendoakan kemusnahan total ke atas kaum kuffar. Namun Baginda enggan, sebaliknya menjawab: Aku, sama sekali tidak diutus sebagai pelaknat (la’aa-nan) sebaliknya aku diutuskan sebagai rahmat (rah-matan). Baginda s.a.w. juga menolak tawaran malak al-jibal (malaikat gunung) yang bersedia untuk menghukum penghuni Taif yang tanpa belas kasihan menyakiti dan mengusir Baginda (sewaktu Baginda memulakan dakwah ke sana). Sebaliknya Baginda s.a.w. mendoakan agar Allah s.w.t. menjadikan dari keturunan mereka orang-orang yang yang mentauhidkan Allah dan mengabdi diri kepada-Nya. Ini berbeza dari Nabi Nuh a.s. yang berdo’a supaya penghapusan total terhadap mereka yang ingkar terhadap Allah s.w.t. (Nuh:26).
Kemuliaan Insan
Kemuliaan insan adalah takrim al-ilahiyy atau kemuliaan anugerah Allah s.w.t. kepada manusia (divine origin). Dia telah mencipta manusia dan Dia memberi manusia kemuliaan atau karaa-mah (al-Isra’:70). Ini menjadikan kemuliaan insan sebagai sifat semulajadi (inherent human dignity) yanglahir bersama penciptaan manusia, bukan sesuatu yang didapatkannya kemudian. Allah s.w.t. mengangkat manusia sebagai makhluk terbaik, dicipta mengikut rupa-Nya, dicipta dengan tangan-Nya, ditiup dari roh-Nya dan dicipta-Nya dalam bentuk yang terbaik. Maka penghormatan harus diberi kepada manusia ciptaan Allah s.w.t. sekalipun dia bukan beragama Islam. Seketika Rasullulah s.a.w. berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi yang dibawa melewati Baginda. Seakan-akan tidak wajar penghormatan demikian diberikan, maka para sahabat memaklumkan kepada Baginda s.a.w. bahawa itu jenazah seorang Yahudi. Baginda s.a.w. bertanya kembali: alay-sat nafsan, tidakkah dia juga satu jiwa (yang harus dihormati)? Bahkan para sahabat Rasulullah s.a.w. turut mengiringi jenazah ibu bapa mereka yang masih Yahudi atau Nasrani. Jadi perbezaan agama bukan sebab untuk memencil, menghina dan merendah-rendahkan seseorang.
Manusia, sebagai makhluk yang memiliki kemuliaan, maka hak-haknya perlu dihormati dan dipertahankan termasuk hak untuk hidup aman tanpa gangguan, hak untuk menjalankan pekerjaan dan mencari sumber pendapatan, hak bersuara, hak mendapat pelayanan yang saksama termasuk hak untuk memilih kepercayaan dan anutan agama. Kemuliaan insan adalah suci dan kudus. Tiada siapa berhak menurunkan darjat kemuliaan yang telah diberi Allah s.w.t. kepada manusia. Menafikan hak-hak ini memberi erti menafikan kemuliaan yang telah ‘dipakaikan’ Allah kepada insan. Sedang Allah s.w.t. sendiri memuliakan dan mengangkat darjat manusia, maka siapa manusia yang cuba menghina dan merendahkannya pula?
Kepelbagaian Bangsa dan Agama Sebagai Sunnah Allah
Allah s.w.t. menjadikan manusia dalam kepelbagaian bangsa, kaum dan bahasa. Allah s.w.t., dalam Surah al-Hujurat, ayat 13, mengishtiharkan “Kami menjadikan kamu syu-`uu-ban wa qabaa-ila li-ta’aa ra-fu ((berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu saling kenal mengenal)”. Dia juga menjadikan manusia berbeza warna kulit dan berlainan bahasa. Allah s.w.t. dengan kehendak-Nya, tidak menjadikan hanya satu umat dengan segala keseragamannya (Yunus:99, Hud:118, al-Maidah:45). Bahkan dengan kehendak-Nya juga tidak dijadikan semua manusia beriman dengan-Nya, lalu dibiarkan-Nya sebahagian manusia beriman dan sebahagian yang lain kafir, tidak beriman (al-Taghaabun:2). Memahami kenyataan imi memberikan kita kesimpulan bahawa kepelbagaian atau ta’addudiyyah atau tanawwuq, termasuk dalam soal kepercayaan dan agama, adalah tabi`ii dan merupakan sunnatullah yang tidak dapat ditolak.
Sekalipun Rasulullah s.a.w. diutus ke seluruh umat manusia dan memang menjadi hasrat para da`i agar manusia seluruhnya beriman. Namun realiti beragama manusia adalah mengikut ketetapan Allah s.w.t. Dia membenarkan wujudnya berbagai kepercayaan dan berbagai agama di berbagai belahan dunia. Sekalipun Islam merupakan agama samawi terakhir yang memansuhkan syariat Nabi Musa dan Isa `alayhimas-slam, namun kenyataannya sejumlah manusia masih kekal berpegang kepada agama tersebut sampai ke hari ini. Islam tidak menafikannya dan secara terang mengakui realiti ini. Maka al-Quran menghormati mereka dengan menkategorikan mereka sebagai ahl al-kitab dan memanggil mereka sebagai al-Nasara dan al-Yahud serta menggariskan panduan dan tatacara bagaimana kaum muslimin harus bermu`amalah dengan mereka. Ini menjadikan Islam satu-satunya agama yang menetapkan cara berhubung dan berinteraksi dengan mereka yang menganut kepercayaan dan agama yang lain di luar dari lingkungannya. Dan panduan serta tatacara ini menjadi sebagai sebahagian dari syari`at Islam sendiri.
Prinsip Hidup Bersama Secara Aman dan Saling Menghormati
Islam menentukan bahawa umatnya harus berbuat baik dan berlaku adil sekalipun terhadap mereka yang kafir, termasuk kaum musyrik (ahl al-syirk). Berdasarkan al-Quran, al-Mumtahanah:8-9, Islam tidak menegah penganutnya dari berbuat baik (an-tabarruu-hum) dan berlaku adil (an-taqsithu ilay-him) terhadap orang-orang bukan Islam yang tidak memerangi orang-orang Islam dan tidak bertindak mengusir mereka keluar dari tempat tinggal. Allah s.w.t. menegaskan dalam ayat-ayat tersebut bahawa Dia mengasihi mereka yang berlaku adil terhadap bukan-Islam. Qatadah dalam menjelaskan maksud asir (tawanan) dalam ayat al-Insaan:8, (yang mafhumnya, “Dan mereka memberi dari makanan yang disukai kepada orang miskin dan anak yatim serta asir”), menurut beliau, asir waktu itu terdiri dari ahl al- Syed Sikandar Shah Haneef, Non-Muslims’ Citizenship in Islamic Law.syirk.
Timbulnya kategori bukan-Islam sebagai ahl al-dhimmah atau dhimmiy dalam sejarah awal Islam tidak bertujuan merendah-rendahkan kedudukan warga bukan-Islam yang berada di bawah pemerintahan Islam. Pengkategorian tersebut muncul atas komitmen pemerintah Islam untuk melaksanakan amanah perlindungan terhadap golongan bukan-Islam dan bagi memastikan keadilan dan hak-hak mereka dijamin dan terhalang dari berlaku sebarang ketidakadilan. Bagaimanapun di dunia hari ini, bukan-Muslim bukan lagi dhimmiy yang memerlukan perlindungan. Keberadaan mereka di negara-negara Islam bukan akibat penaklukan dan perluasan wilayah atau natijah dari perjanjian-perjanjian damai seperti yang berlaku dalam sejarah masa lalu. Mereka lahir di negara-negara tersebut dan di situ jugalah mereka membesar dan mencari rezeki penghidupan. Ini adalah antara realiti baru yang berbeza dari apa yang berlaku di zaman-zaman awal Islam. Golongan bukan-Islam sudah diiktiraf sebagai warga negara yang sah dengan segala haknya serta memikul tanggungjawab yang sama seperti orang-orang yang lain. Banyak pemikir Islam kontemporari menerima kenyataan bahawa kini tiada lagi justifikasi pengkategorian dhimmiy atau bukan–dhimmiy dan menegaskan istilah-istilah demikian sudah tidak relevan lagi. Inilah yang dikemukakan oleh Fahmi Huwaydi apabila beliau menulis bukunya Muwatinun la Dhimmiyyun (Warganegara Bukan Lagi Dhimmi).
Islam meletakkan prinsip-prinsip yang jelas sebagai asas pembinaan negara dan prinsip hidup bersama dalam kerangka yang fleksibel yang mampu menampung keragaman yang wujud dalam masyarakat manusia termasuk kepelbagaian agama, bangsa dan budaya. Ketegasan Islam dalam mendokong konsep dan prinsip kesatuan manusia sejagat, kemuliaan insan, kebebasan beragama, keadilan dan pemeliharaan hak-hak insan perlu digarap bersama naratif kegemilangan masa lalu dalam membina kerukunan hidup masyarakat khususnya di negara-negara Islam moden yang turut dihuni oleh mereka yang bukan Islam. Dasar-dasar penting yang digariskan oleh al-Quran yang seharusnya menjadi asas perhubungan antara kaum dan menjadi panduan bagi membina kehidupan bersama secara aman. Al-Quran memberi garis panduan yang jelas menerusi ayat-ayat berikut (mafhumnya):
Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil peringatan.(Al-Nahl 16:90).
Wahai manusia! Sungguh telah Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti. (al-Hujurat 49:13).
Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas perbedaan antara petunjuk (yang benar) dari kesesatan. (al-Baqarah 2:256).
Antara yang terpenting dari ayat-ayat tersebut ialah asas-asas keadilan, kesatuan insan, hidup bersama, saling menghormati dan tiada pemaksaan dalam agama dan kepercayaan. Ghanushi berpandangan bahawa hukum-hukum umum yang terdapat dalam ayat-ayat ini adalah pendirian de jure Islam tentang kesaksamaan kewarganegaraan mereka yang bukan Islam (Diungkap oleh Sayed Sikandar Shah Haneef dalam tulisannya Non-Muslims’ Citizenship in Islamic Law, berdasarkan perbahasan tulisan Rashid Ghanoussi dalam Huquq al-Muwatinah).
Sahifah Madinah Sebagai Model Membina Hidup Bersama
Dalam mendepani zaman moden, Islam mempunyai prinsip-prinsip yang kuat dalam membina bentuk hubungan antara warga Islam dan bukan Islam yang mampu menjamin kehidupan yang sejahtera dalam sesebuah negara. Dalam hal ini rujukan terpenting ialah Sahifah Madinah atau Piagam Madinah iaitu satu gagasan politik bernegara oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang meletakkan dasar-dasar penting hubungan warga Islam dengan warga bukan-Islam. Piagam ini mengandungi 47 artikel dengan bahagian pertama (artikel 1 hingga 23) mengenai hak dan tanggungjawab orang-orang Islam yang terdiri dari Muhajirin dan Ansar. Sementara bahagian kedua (artikel 24 hingga 47) berkaitan dengan hak dan tanggungjawab orang-orang Yahudi. Piagam yang didahului dengan perundingan dengan pihak-pihak yang terlibat, diterima tanpa bantahan oleh semua warga Madinah.
Beberapa artikel dari piagam ini wajar dirujuk. Antaranya Artikel 1 yang memulakan pernyataan dengan basmalah dan penegasan bahawa piagam tersebut dari Nabi Muhammad sebagai Rasul iaitu Utusan Allah, yang dibuat antara orang-orang mukmin dan muslim dari Quraisy (Muhajirin) dan ahli Yathrib (Ansar dan Yahudi) dan “orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka”. Artikel 2 menjelaskan, “Bahawa mereka adalah satu umat yang berbeza dari manusia lain (ummatun wa-hidah min du-nin-nas)”. Artikel 25 versi Ibn Hisham menyebut secara jelas tentang kaum Yahudi yang didahului dengan Yahudi Bani ‘Awf bahawa, “kaum Yahudi Bani ‘Awf adalah satu umat bersama orang-orang mukmin” (wa-annal-yahuda bani-‘auf ummatun ma’almu’minim) dan diikuti Yahudi-Yahudi Bani Najjar, Bani al-Harith, Bani Saidah, Bani Jusham, Bani al-Aus, Bani Tha’labah, Jafna dan Bani Shutaybah. Ini memberi makna bahawa piagam ini mengiktiraf semua kelompok yang berada di Madinah sebagai warga masyarakat Madinah (citizens of Medinan society). Nabi s.a.w. menyebut dengan jelas tiap kelompok Yahudi yang terlibat serta tanggungjawab individu dan tanggungjawab kemasyarakatan yang harus mereka penuhi. Mereka diberi kebebasan mengamal ajaran agama masing-masing tanpa diganggu, namun mereka memikul tanggungjawab bersama ketika negara diancam iaitu berkewajipan menyediakan bantuan fizikal dan kewangan bagi mempertahankan Madinah. Artikel 39 pula menyebut bahawa, “Kota Yathrib adalah wilayah yang terpelihara aman bagi mereka yang mendokong Piagam ini”, yang membawa erti jaminan keamanan Kota Yathrib bagi semua warganya. Sementara Artikel 40 menyebut bahawa, “Jiran hendaklah diperlakukan sebagai satu jiwa, tidak boleh dilakukan terhadapnya sebarang bahaya dan dosa”. Ini memberi jaminan keselamatan dan keamanan yang diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat. Tentang kehormatan wanita, Artikel 41 mengingatkan, “Tidak boleh dihampiri kehormatan wanita melainkan dengan izin keluarganya sendiri”.
Jelas melalui sahifah ini satu kontrak sosial (social contract) telah terbentuk lalu melahirkan sebuah komuniti baru yang pluralistik, dikenali sebagai ummah yang menggabungkan kaum Muslimin (orang-orang Muhajirin dan Ansar) dan berbagai kelompok kaum Yahudi yang berada di Madinah. Ini membuktikan kesatuan yang dibina atas dasar agama (ukhuwwah diniyyah) dan kesatuan yang dibina atas dasar negara (ukhuwwah wataniyyah) tidak menimbulkan konflik dan tidak menghalang proses pembinaan satu bangsa yang bersatu. Sahifah mengandungi asas kehidupan bersama secara aman (peaceful co-existence) yang jelas, berdasarkan prinsip keadilan, saling menghormati dan pengiktirafan hak-hak asasi semua pihak. Sahifah berjaya menyatukan kota yang dihuni oleh pelbagai kelompok dan kabilah, pelbagai agama, budaya dan bahasa. Hasilnya ialah ‘sebuah komuniti tunggal’ (one single community) yang berjaya menutup ruang untuk sebarang usaha diskriminatif dan menghalang sesiapa dari merasai diri sebagai ‘warganegara kelas dua’. Demikian kita mendapati bagaimana Risalah Ilahi yang dibawa Baginda s.a.w. diterjemahkan secara praktis memenuhi maqasid al-syaria’ah iaitu memelihara dan menwujudkan kesejahteraan hidup manusia.
Piagam ini menjadi perlembagaan demokrasi pertama dalam sejarah pemerintahan demokrasi dunia. Dengan piagam ini undang-undang (rule of law) mengambilalih wewenangan ketua-ketua kabilah. Lahir dari konstitusi ini negara Islam pertama yang terbentuk berasaskan masyarakat berbilang agama, bangsa dan budaya. Secara jelas piagam ini meletakkan kebebasan, keadilan dan persamaan sebagai asas utama dan ini adalah refleksi dari ajaran-ajaran utama al-Quran dan membuktikan bahawa Islam menolak sebarang bentuk pemaksaan, ketidakadilan dan diskriminasi. Ini adalah contoh bagaimana sebuah piagam bagi mengatur kehidupan manusia yang digubal berasaskan petunjuk dari wahyu ilahi.
Gagasan yang terkandung dalam Sahifah menggambarkan keterbukaan dan toleransi Islam dalam mendepani dan menyelesaikan masalah-masalah berat berkait dengan isu-isu kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang kini dihadapi oleh hampir semua negara moden. Model Sahifah yang jelas, mudah dan tanpa kekaburan ini seharusnya menjadi rujukan asas yang didahulukan tentang model Islam mengenai hubungan Islam dan bukan-Islam serta prinsip-prinsip hidup bersama. Harus diingat bahawa Sahifah mendahului undang-undang tentang dhimmah. Hal ini disetujui oleh Syed Sikandar Haneef bila beliau menyebut dalam tulisannya Non-Muslims’ Citizenship in Islamic Law, “constitutional precedent of the Prophet (Sahifah al-Madinah), predating the law of dhimmah is an ipso facto evidence of the original position on non Muslim’s equal nationality status in Islam.”
Sebahagian dari semangat dan ciri-ciri Sahifah tergambar dalam Perlembagaan Malaysia termasuk kebebasan agama, kewarganegaraan, hak dan kesamarataan, peranan Parlimen selaku badan musyawarah dan tanggungjawab bersama mempertahankan kewibawaan dan maruah negara. Bagaimanapun perlembagaan harus didokong dengan kesedaran bersama secara tulus bagi membangun kesejahteraan untuk semua berasaskan perkongsian hidup sebagai satu keluarga besar Bangsa Malaysia yang mengutamakan sikap toleransi, hormat menghormati dan saling memahami serta mengenepikan prejudis dan sikap chauvanistik. Kesediaan untuk bertolak ansur, berkorban dan berakomodasi mesti menjadi ciri bangsa yang menginginkan kesejahteraan hidup yang menyeluruh dan berpanjangan. Politik komunalisme yang biasanya ditandai emosi dan dan kebencian akan menggagalkan apa juga usaha ke arah keharmonian dan kesejahteraan hidup antara kaum, sekalipun perlembagaan yang digubal amat baik.
La Convivencia Model Andalus
Andalus atau Spain di zaman kegemilangan pemerintahan Islam, khususnya semasa pemerintahan Abd al-Rahman III (912-961) berjaya membangun masyarakat cemerlang (an enlightened society) dengan model la convivencia (hidup bersama secara aman) yang menakjubkan. Kebebasan penuh diberikan kepada penganut agama Kristian dan Yahudi untuk mengamalkan ajaran agama dan budaya serta cara hidup mereka masing-masing tanpa diganggu. Ini diperkukuh dengan kesedaran bahawa agama-agama Islam, Kristian dan Yahudi mempunyai pertalian kerana bersumber dari Nabi Ibrahim a.s. (Abrahamic faiths). Orang-orang Yahudi dan Kristian turut memainkan peranan penting dalam mengembangkan ekonomi, perniagaan dan perdagangan. Mereka turut diberi jawatan-jawatan yang penting dan strategik termasuk dalam urusan pemerintahan, pentadbiran dan diplomatik. Andalus kemudiannya muncul sebagai sebuah negara yang terkenal tidak hanya dari segi kemajuan ekonomi dan pembangunan yang mendahului Eropah, tetapi juga masyhur kerana perkembangan ilmu pengetahuan dan budaya termasuk bidang-bidang falsafah, metafizik, seni bina dan kesusateraan dengan tokoh-tokoh dari berbagai agama. Lebih 400 tahun, Muslim, Kristian dan Yahudi dapat hidup bersama secara aman dan penuh harmoni. Tempoh gemilang itu dianggap sebagai zaman keemasan (golden age) dan menjadi model terbaik bagaimana masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama boleh hidup bersama secara aman (peaceful co-existence atau al-ta’aa-yus al-silmi).
Malaysia: Prospek Membina Hidup Bersama
Di akhir-akhir ini hubungan antara kaum dan agama di Malaysia berada di tahap membimbangkan. Ini tergambar ekoran seringnya muncul kenyataan berbaur perkauman dan berunsur rasis diungkap dengan nada kebencian dan dendam, sama ada datangnya dari kalangan orang-orang Melayu yang beragama Islam atau dari kalangan bukan-Islam yang kebanyakannya berbangsa Cina dan India. Sebahagian dari kenyataan ini dibuat atas nama agama (Islam) dengan hujah mempertahankan kepentingan Melayu dam Islam. Sebahagian dari tokoh-tokoh Melayu dan pertubuhan-pertubuhan Melayu Islam pula cenderung memposisi diri sebagai ‘pembela Melayu’ dan golongan bukan-Islam (Cina dan India) pula sebagai ‘musuh yang berniat jahat’ yang siap siaga dengan segala tipu muslihat bagi merampas hak-hak orang-orang Melayu-Islam dan menyekat peluang untuk mereka maju serta akhirnya bertujuan mengambilalih pemerintahan negara dari tangan orang-orang Melayu. Ini menjadikan pendekatan yang digunakan dalam mendepani golongan bukan-Islam sering diselubungi prejudis yang tebal, kebencian dan permusuhan. Sikap ini mendorong terbitnya kenyataan-kenyataan rasis dan berlakunya berbagai insiden provokatif. Kelihatan semacam adanya kesengajaan kelompok tertentu mengeksploitasi isu-isu sensitif, mencemuh kepercayaan dan amalan kaum tertentu, memberi label dan gelar yang menimbulkan kemarahan penganut agama-agama yang lain. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila ada parti-parti politik yang secara langsung atau tidak langsung mengeksploitasi isu-isu perkauman bagi kepentingan survival atau kelangsungan hayat parti politik mereka.
Adalah realiti dan ketentuan ilahi bahawa orang-orang Islam akan hidup berdampingan dengan mereka yang bukan-Islam. Dalam apa keadaan sekalipun tidak mungkin orang-orang Islam boleh hidup terpisah atau mengelak diri dari berinteraksi dengan mereka yang bukan-Islam. Pendekatan keras dan sikap permusuhan serta emosi kebencian akan menjadikan hubungan orang-orang Islam dengan bukan-Islam sentiasa tegang dan boleh bertukar menjadi lebih buruk bahkan mungkin mencetuskan pergaduhan kaum yang memakan korban. Sebahagian dari sikap negatif orang-orang bukan-Islam terjadi sebagai reaksi terhadap sikap dan tindak tanduk orang-orang Islam sendiri yang provokatif dan emosional. Dalam banyak keadaan, sikap, pandangan dan tindak tanduk mereka sebenarnya jauh menyimpang dari pendirian Islam yang benar.
Walaupun orang-orang Cina dan India tidak beragama Islam tetapi mereka adalah warga negara Malaysia yang sah. Orang-orang Cina dan India adalah kini adalah rakan senegara. Dan atas dasar ukhuwwah wataniyyah, mereka adalah rakan senegara yang mempunyai hak yang mesti dihormati dan dipertahankan. Hasrat untuk cita-cita membina Bangsa Malaysia yang diwar-warkan, tidak akan tercapai kecuali dengan perpaduan dan kesatuan semua bangsa yang ada; Melayu, Cina, India dan lain-lain. Semua bangsa yang ada perlu mempunyai matlamat yang jelas serta tekad yang kuat untuk membina hidup bersama secara aman. Pemerintah perlu menjadikan ‘membina hidup bersama secara aman’ sebagai asas yang terkandung dalam semua dasar yang dirumusnya. Untuk itu keutamaan mesti diberi kepada memperkukuhkan sistem musyawarah yang melibatkan pimpinan dan cerdik pandai semua kaum. Sikap terbuka dengan dialog dan positive engagement yang dibuat dengan jujur akan menyumbang kepada persefahaman yang lebih baik serta penyatuan matlamat yang diperlukan dalam usaha membina Bangsa Malaysia. Para pemimpin politik seharusnya berfikiran jauh dan bertindak sebagai statesman yang memikirkan masa depan negara dan kepentingan jangka panjang. Mereka perlu mengelak diri dari memainkan isu-isu bangsa dan kaum dan berhenti dari menggunakan strategi menakut-nakut satu kaum dari kaum yang lain. Mungkin tindakan seperti ini, untuk suatu tempoh, membantu memanjangkan hayat politik seseorang atau sesebuah parti politik namun akhirnya akan menimbulkan perbalahan kaum yang akan memporakperandakan negara. Sekiranya para pemimpin negara tidak mengambil pendirian tegas berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan sementara masyarakat terbanyak tidak dididik agar menghormati satu sama lain, belajar menghargai perbezaan dan kepelbagaian serta bersedia bertolak ansur, keadaan akan menjadi lebih buruk dan negara sekali lagi akan berdepan dengan bencana yang pernah menimpanya. Sejarah yang kita lalui memperlihat berbagai ketegangan dan konflik perkauman berlaku sejak tahun 1945 termasuk peristiwa terburuk yang terjadi pada 13 Mei 1969.