WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

PEMIKIRAN KEROHANIAN ISLAM: KONSEP & AMALAN TARBIYAH DIRI & MASYARAKAT

oleh Dr. Ab Halim El Muhammady

 

KONSEP TARBIAH DIRI DAN MASYARAKAT

1. Istilah dan pengertian kerohanian

a. Al-Quran mengguna berbagai istilah tentang kerohanian iaitu al-ruh, al-nafs, al-aql, al-fuad, al-qalb.

b. As-sunah menggunakan al-mudhghah. Semua istilah yang disebut di atas mengandungi dua pengertian;

­Pertama – pengertian fizikal, merujuk kepada anggota jantung manusia yang memberi kekuatan pernafasan.

­Kedua – bermaksud al-Latifah al-Rabaniyyah iaitu persediaan semulajadi yang terdapat dalam hati/ jantung manusia yang Allah ciptakan untuk menjadi kuasa yang memungkinkan manusia dapat berhubung dengan-Nya melalui saluran khusus yang Allah tetapkan kepada manusia. Semasa di alam roh lagi, manusia telah membuat pengakuan apabila Allah bertanya الست بربكم قالوا بلى  . Allah bertanya “Tidakkah Aku Tuhan kamu? Mereka (manusia) menjawab: Ya.”

Dalam konteks kerohanian roh inilah yang menjadi penumpuan Allah s.w.t di dalam al-Quran, iaitu perintah suruhan dan larangan-Nya ditujukan kepada hakikat manusia itu. Ini bermakna manusia itu mengandungi roh dan jasad tetapi yang utama ialah pembinaan hati melalui amalan kerohanian untuk mengikat hubungan Allah (sebagai pencipta) dengan manusia (sebagai hamba-Nya) secara berterusan melalui amalan dan riadhah kerohanian, mengikut ketetapan yang dilakukan oleh Allah s.w.t.

 

2. Amalan Kerohanian Untuk Membina Ketakwaan – Hubb dan Halawah Al-Iman

Hubungan manusia dari sudut pembinaan hati/rohani dalam hubungannya dengan Allah ada tiga iaitu;

a. Amalan wajib dan kepercayaan wajib seperti kepercayaan kepada rukun iman yang enam.

­ b. Amalan rukun Islam yang lima.

­ c. Rukun ihsan iaitu keikhlasan hati kepada Allah dalam semua urusan.

Tiga asas ini menentukan kesempurnaan pembinaan peribadi Muslim; Islam, Iman dan Ihsan.

Dalam konteks peningkatan iman dan hubungan mesra dengan Allah, amalan terperinci adalah seperti berikut :

1. Amalan wajib dalam rukun iman, rukun Islam dan Ihsan sebagai amalan menjalankan kewajipan mentaati perintah Allah yang wajib dilaksanakan.

2. Amalan sunat muakkadah seperti solat iring waktu dan solat tahajjud.

3. Amalan sunat umum dan fadhail seperti solat tahiyyatul masjid, solat hajat, solat witir, solat tasbih, solat wuduk, solat hajat, solat istikharah, puasa sunat mingguan dan bulanan.

4. Zikir pendek seperti zikir lepas solat dan zikir panjang seperti zikir al-Mathurat.

5 . Bacaan al-Quran menepati makhraj, tajwid dan tadabburnya.

6. Bersedekah harta dan tenaga bagi mereka yang memerlukan.

7. Menjauhkan diri daripada larangan Allah dalam perkara haram dan makruh.

Amalan-amalan ini semua mengandungi pengertian yang mendalam terhadap jiwa pelakunya kerana ia mengandungi perakuan kebesaran Allah, memohon keampunan dan pertolongan-Nya, memuji Allah, bersyukur  dan lain-lain, melalui sebutan dan amalan kebaikan dalam melaksanakan ibadat-ibadat tersebut.

Melalui ibadat, ia membawa kepada proses pembersihan minda daripada maklumat palsu dan tidak berfaedah, menyucikan hati dari sifat-sifat buruk di dalam hati dan tindakan, justeru menimbulkan dalam diri perasaan takwa kepada Allah, cinta kepada-Nya dan perasaan kemesraan serta ketenangan jiwa dalam hubungannya dengan Allah s.w.t. Hasil amalan berterusan itu menimbulkan tiga rangkaian hubungan perasaan dengan Allah s.w.t iaitu perasaan takwa, hubb (cinta) dan halawah al-Iman (kemanisan iman).

 

3. Pembinaan Ihsan di dalam hati

Pembinaan ihsan di hati bermaksud melalui ibadat dan amalan-amalan tersebut, kesannya menyerap di hati dan jiwa seorang Muslim tentang kemesraan hubungannya dengan Allah s.w.t yang menimbulkan kesedaran dalam diri bahawa segala tindakannya itu dalam perhatian Allah s.w.t. Maka, segala gerak akal, gerak hati dan perbuatannya hanya terikat kepada Allah semata-mata sama ada dalam urusan ibadat khusus mahupun ibadat umum. Semuanya bermatlamat untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.

 

4. Kesan daripada amalan ibadat yang dilakukan

Sifat-sifat mahmudah yang timbul kesan daripada amalan sunat itu ialah antaranya:

  • Sifat ikhlas dalam melaksanakan sesuatu kepada Allah atau manusia.
  • Sifat tawadhu’ dan rendah diri.
  • Tidak angkuh dan tidak riya’ dalam melaksanakan sesuatu.
  • Sifat pemurah untuk menyumbang dan membantu kepada yang memerlukan dan lain-lain.

 

5. Mengamalkan infaq harta

Perbuatan infaq amat disaran di dalam Islam bagi mendisiplinkan diri manusia daripada sudut kejiwaan dan hati sama ada untuk diri, keluarga serta masyarakat fakir dan miskin yang memerlukan bantuan. Perintah berbelanja wajib (seperti zakat) dan infaq harta secara umum membantu membina dalam diri seorang Muslim jiwa simpati dan pengorbanan terhadap sesuatu yang dimiliki untuk kepentingan mereka yang memerlukan selain menghakis sifat bakhil dan pergantungan keterlaluan kepada harta benda. Bakhil merupakan satu sifat keji yang yang boleh membawa bebal hati dan cinta lebih kepada harta.

Penglibatan dengan perkara haram dalam semua bentuk membawa kepada pencemaran hati dan kerosakan dalam menilai sesuatu yang benar dan yang batil, terutama penglibatan dengan jenayah dosa besar seperti berzina, minum arak dan menderhaka kepada ibu bapa. Kesan dosa ini membuatkan hati berkarat dan ia tertutup sehingga tidak dapat ditembusi oleh cahaya iman dan hidayah bagi seseorang.

 

6. Menyemarak amalan kerohanian

Amal ibadat secara istiqamah (berterusan) dapat dicapai melalui 3 asas utama:

  • Mujahadah, berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan amalan-amalan sunat, fadhail dalam segala bentuknya.
  • Muraqabah, memastikan amalan itu tepat mengikut syara’ dan sentiasa teliti dan menjaganya supaya tidak berlaku pelanggaran dengan syara’.
  • Muhasabah, usaha audit segala amalan diakhirnya dengan kesedaran adanya kebimbangan amalan ditolak oleh Allah dan pada waktu sama menaruh harapan dengan sifat Rahman dan Rahim Allah mudah-mudahan amalan diterima.

 

7. Kesan amalan kerohanian dalam mendidik individu, keluarga dan masyarakat.

­Kesan pendidikan daripada pengamalan kerohanian amat besar sekali kerana amalan-amalan tersebut dapat membersih kekotoran hati seseorang daripada cenderung berfikir dan bertindak mengikut dorongan perasaan dan nafsu.

­Apabila seseorang Muslim itu hatinya bersih kerana terikat dengan perintah Tuhan dan larangan-Nya, dia dapat mendisiplinkan dirinya menuruti suruhan dan larangan Allah, sama ada dalam berfikir mahupun tindakan dalam hidupnya. Maka perhitungan hidup ini mencari keredaan Allah semata-mata.

­Kesan peribadi yang baik yang terbina pada dirinya akan berpindah pula kepada keluarganya melalui proses penghayatan amalan kerohanian itu di mana perasaan mesra dan kasih sayangnya kepada Allah itu diamalkan dalam hubungannya dengan keluarganya.

Dalam konteks masyarakat awam, amalan kerohanian ini boleh dipanjangkan melalui kegiatan masjid dari sudut amalan. Masyarakat awam perlu diberi penjelasan tentang kepentingan amalan kerohanian dalam pembentukan peribadi mereka dengan Allah serta contoh amalannya. Melalui amalan ini, masyarakat Islam umumnya dapat membina kemesraan dalam kehidupan berasaskan takwa dan hubb. Ketakwaan dan kecintaan kepada Allah di hati akan terpancar keluar sekaligus mengikat kemesraan hidup sesama manusia pula.

 

KESIMPULAN

Pembinaan dan kebersihan hati amat penting kepada seorang Muslim bagi membantu sentiasa istiqamah dalam hubungannya dengan Allah melalui ibadat sunat yang pelbagai. Hal ini kerana penggunaan masa yang lebih panjang diluangkan dalam usaha ‘berhubung’ dengan Allah s.w.t selaku Yang Maha Pencipta. Justeru, kesan kejiwaan dan kerohanian untuk mencapai ketakwaan, hubbullah dan kemanisan iman itu adalah amat terjamin kerana dilakukan secara berterusan.

­Amalan kerohanian ini perlu dihayati dalam kehidupan berkeluarga di mana ianya dilakukan secara berjamaah ataupun berasingan.  Maka sudah tentu kesan positif dan sifat-sifat terpuji itu hidup dan menjadi budaya dalam kehidupan sama ada dari sudut amalan kerohanian mahupun kemesraan hubungan dalam kehidupan berkeluarga.

Akal licik Yahudi untuk menangkap ikan pada hari Sabtu dan siksaan bagi para penentang

Ayat 163 hingga 166 beserta terjemahannya. وَسۡ‍َٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara