WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

QAZAF: KESALAHAN JENAYAH HUDUD & PROSEDUR PEMBUKTIANNYA (2)

Oleh Dr. Abdul Halim El-Muhammady

PROSEDUR PENSABITAN JENAYAH QAZAF

Jenayah Hudud merupakan jenayah yang hukumannya amat berat, yang hukumannya adalah antara sebatan, mati dan buang kawasan. Justeru, ia memerlukan prosedur yang ketat berdasarkan nas Qat’iy dari sudut pensabitan, kesalahan dan hukumannya. Prosedur untuk pensabitannya seperti berikut:

  • Pengakuan (Iqrar)

Pengakuan ialah menyatakan sesuatu tindakan atau hak terhadap diri seseorang,31 seperti A membuat pengakuan di mahkamah di hadapan hakim, “Saya mengakui bahawa saya yang melakukan jenayah zina/liwat.” Jika pengakuan itu telahjelas difahami, mencukupi sekali pengakuan sahaja mengikut Mazhab Shafi’i32 dan empat kali pengakuan dalam kes zina mengikut Mazhab Hanafi.33

Pengakuan penjenayah merupakan bukti yang paling kuat untuk disabitkan jenayah. Ia berbeza dengan dakwaan dan tuduhan seperti seorang berkata: “Saya disetubuhi oleh sipolan” atau “saya diliwat oleh sipolan.” Kenyataan ini berupa tuduhan dan dakwaan yang mesti dibuktikan dengan empat orang saksi, sebab ia bukan satu pengakuan tetapi, satu tuduhan terhadap orang lain yang melakukan jenayah tersebut ke atasnya yang memerlukan bukti tentang kebenaran dakwaannya itu.

  • Penyaksian (Bayyinah)

Penyaksian maksudnya ialah menyampaikan penyaksian untuk mensabitkan sesuatu hak atau kesalahan dalam majlis perbicaraan rasmi.34 Penyaksian merupakan satu daripada prosedur untuk mensabitkan jenayah Hudud.

Jenayah zina dan liwat boleh disabitkan dengan penyaksian yang bilangan saksinya mestilah empat orang lelaki yang layak (mukallaf), yang adil, menjelaskan dengan betul dan tepat perlakuan jenayah yang disaksikannya dan kenyataan mereka semua adalah seragam dan tidak ada percanggahan antara satu dengan yang lain, sama ada dilakukan secara berasingan antara mereka mengikut mazhab Shafi’i atau mereka melakukan serentak mengikut mazhab Hanafi.35

Berdasarkan keterangan dan pembuktian empat saksi lelaki itu, makajenayah zina atau liwat dapat disabitkan ke atas penjenayah. Jika pendakwa atau penuduh tidak dapat membuktikan dakwaan zina atau liwat itu dengan empat saksi maka, dia boleh dituduh melakukan jenayah Qazaf disebabkan tidak cukup bukti ke atas yang dituduh untuk disabitkan.

  • Qarinah

Qarinah maksudnya sesuatu tanda atau perkara yang diyakini ada kaitan langsung dengan sesuatu tindakan jenayah yang berlaku, atau sesuatu yang dapat diambil kesimpulan daripadanya oleh hakim tentang berlakunya jenayah tersebut.36 Ia diambil kira sebagai satu saluran untuk mendapatkan kenyataan terhadap kesalahan jenayah ketika ketiadaan fakta-fakta atau bukti-bukti yang lain.

Qarinah dijadikan sebagai bukti jenayah jika tidak terdapat bukti-bukti lain yang lebih kuat. Ia dijadikan bukti dalam jenayah Hudud. Contohnya, perempuan yang tidak bersuami mengandung, maka bukti “mengandung” itu dianggap sebagai qarinah adanya persetubuhan haram. Begitu juga dengan bau arak di mulut sebagai qarina untuk disabitkan kesalahan minum arak; dan carik atau Iuka pada faraj perempuan menjadi qarinah berlakunya persetubuhan.

Memandangkan jenayah zina dan liwat termasuk dalam kumpulan jenayah Hudud, maka ia terikat kepada nas qat’iy dari sudut kesalahan, pembuktian, dan hukuman keseksaannya. Oleh itu, tidak ada sebarang penambahan prosedur yang perlu dilakukan kerana pembuktian dalam jenayah Hudud adalah pembuktian yang tepat dan benar, dan tidak ada sebarang keraguan. Sekiranya ada sedikit keraguan, maka kes itu dan hukuman asalnya digugurkan. Adalah lebih baik membebaskan seseorang yang tidak jelas bukti kesalahannya daripada menghukum seseorang secara zalim.

APAKAH SUMPAH BOLEH DIJADIKAN ASAS PEMBUKTIAN  DALAM  JENAYAH  ZINA  DAN QAZAF?

Sumpah (al-yamin) sama pengertiannya dengan al-khalaf al-qasam. Pengertiannya mengikut penggunaan umum ialah penegasan terhadap sesuatu hak atau kenyataan sama ada pengakuan atau penafian dengan menggunakan nama atau salah satu daripada sifat-sifatnya. Sumpah untuk penghakiman (al-Yamin al-Qadhaiyyah) ialah untuk mensabitkan pendakwaan bagi tujuan penegasan sabitnya hak atau penafian hak di hadapan hakim dengan menyebut nama Allah atau salah satu dari sifat-sifatnya.37

Autoriti Sumpah

Sumpah diharuskan berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith. Allah S.W.T. berfirman:

ۖ لَا يُؤَاخِذُكُمُ ٱللَّهُ بِٱللَّغْوِ فِىٓ أَيْمَـٰنِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ ٱلْأَيْمَـٰنَ

“Allah tidak mengambil kira sumpah kamu yang sia-sia tetapi, Dia mengambil kira sumpah kamu yang benar-benar.”38

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya:

“Kalau manusia itu dibiarkan membuat dakwaan, nescaya manusia akan mendakwa hak darah dan hak harta sesuka hati, tetapi ditetapkan bahawa ke atas pendakwa membawa bukti dan yang didakwa ingkar hendaklah bersumpah.”39

Hak sumpah adalah hak pihak yang didakwa, manakala yang mendakwa perlu mengemukakan bukti. Berdasarkan ayat dan hadith di atas menjelaskan bahawa sumpah adalah diharuskan dalam pertikaian hak. Ia menggunakan nama Allah atau salah satu daripada sifat-sifatnya. Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa sumpah penghakiman hendaklah orang yang bersumpah menyebut Wallahi, Wabillahi, atau Rabbul ‘alamin dan seumpamanya. Sumpah penghakiman hendaklah diberikan dengan perintah hakim atau wakilnya untuk menyelesaikan kes berdasarkan kehendak hakim, demikian pendapat jumhur fuqaha’.40

Hak-hak Yang Tidak Dapat Disabitkan dengan Sumpah dan Yang Dapat Disabitkan dengan Sumpah

Fuqaha’ sepakat berpendapat bahawa tidak diharuskan bersumpah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pensabitan Hak Allah semata-mata sama ada ia kesalahan Hudud seperti zina, mencuri, minum minuman yang memabukkan atau yang berkaitan dengan ibadah semata-mata seperti solat, puasa, haji, sedekah, nazar dan kaffarah, melainkan jika ia ada melibatkan hak manusia, kerana hudud tertolak apabila ada kesamaran bukti.

Fuqaha’ juga sepakat berpendapat bahawa diharuskan sumpah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan harta dan seumpamanya. Pihak yang didakwa diberi hak bersumpah untuk memperakukan dakwaannya atau menafikannya. Demikian juga, fuqaha’ sepakat berpendapat bahawa diharuskan bersumpah dalam perkara jenayah, melibatkan kesalahan qisas dan kecederaan termasuk juga sebahagian daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan kekeluargaan.41

Tuduhan zina antara suami isteri lebih kepada mencabuli keselamatan dan kesejahteraan rumah tangga yang lebih bersifat hak peribadi manusia daripada hak Allah kerana penglibatan tuduhan itu berlaku dalam keluarga tidak melibatkan masyarakat awam, tidak sebagaimana yang berlaku ke atas bukan keluarga.

Oleh itu bagi mensabitkan jenayah Qazaf yang berlaku antara suami isteri hendaklah pihak yang menuduh membuktikan tuduhan ke atas isterinya berzina, sekalipun didubur dengan bersumpah menyebut nama Allah, Wallahi, Wabillahi atau Watallahi sebanyak empat kali bahawa isterinya melakukan zina dan kali kelima hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah jika ia berdusta maka laknat Allah ke atas dirinya.

Bagi isterinya jika ia menyangkal dakwaan suaminya hendaklah ia bersumpah dengan menyebut nama Allah, Wallahi, Wabillahi, atau Watallahi, sebanyak empat kali bahawa dia tidak melakukan zina yang didakwanya, dan kali kelima ia bersumpah jika ia berdusta maka ia dilaknat oleh Allah S.W.T. Ini berdasarkan kepada Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menuduh isteri mereka (berzina) tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar (an-Nur: 6). Dan sumpah yang kelima bahawa laknat Allah ke atasnya jika ia termasuk orang-orang yang berdusta (an-Nur: 7).

Isterinya  itu dihindarkan  daripada  hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah bahawa sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang­-orang yang dusta (an-Nur: 8). Dan sumpah yang kelima bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar (al-Nur: 9). Dengan sumpah ini menjadikan mereka berdua terpisah dan gugur ke atas suami hukuman Qazaf dan gugur atas isteri hukuman had zina.42

Memandangkan jenayah Qazaf ini sebagai suatu jenayah yang serius dan terdapat nas qat’iy tentang ketetapan kesalahan, prosedur pembuktian dan hukuman keseksaannya, kerana ia dikategorikan sebagai kesalahan awam, maka sumpah tidak termasuk dalam prosedur pembuktian jenayah Hudud, kecuali dalam kes yang melibatkan tuduhan zina antara suami dengan isteri yang tidak dikategorikan sebagai kesalahan awam. Kerana ia lebih kepada kesalahan peribadi dan kekeluargaan, maka ia sebagai kes pengecualian maka pihak yang membuat dakwaan diminta bersumpah laknat dengan nama Allah demikian juga pihak yang engkar dakwaan itu diminta bersumpah laknat dengan nama Allah.

Berdasarkan pandangan jumhur fuqaha’ bahawa kesalahan jenayah Hudud tidak termasuk dalam perkara yang boleh menggunakan sumpah untuk mensabitkan atau menafikannya kecuali pada masalah li’an, tuduhan zina yang melibatkan suami isteri yang diperuntukkan khusus dalam al-Qur’an sebagai pengecualian daripada prosedur umum pensabitan zina dan Qazaf.

KESIMPULAN

Jenayah zina dan liwat adalah termasuk dalam jenayah Hudud yang tidak ada peruntukan sumpah sebagai prosedur untuk membuktikan atau mensabitkan kesalahan. Penyelesaiannya setelah dibawa ke mahkamah  ialah mahkamah menentukannya dan prosedur pembuktiannya harus dirujuk kepada peruntukan nas tentang pembuktian tuduhan Qazaf, iaitu mesti ada empat orang saksi yang adil, memberi penyaksian terhadap perlakuan jenayah yang didakwa di hadapan hakim dalam mahkamah. Sekiranya empat orang saksi tidak boleh dikemukakan, maka tuduhan itu dianggap palsu dan penuduh dikenakan kesalahan Qazaf.

Prosedur yang ketat dan hukuman yang keras diperuntukkan  bagi  mengelakkan  manusia  daripada membuat tuduhan menghina orang dengan kata-kata yang amat keji yang boleh meruntuh kerukunan hidup rumah tangga seseorang dan kehormatan diri yang dituduh serta seluruh keluarganya.

Jenayah Qazaf adalah satu jenayah serius yang melibatkan kehormatan diri individu, keluarga dan keturunannya. Justeru itu, Allah menetapkan nas secara qat’iy dari sudut ketetapan kesalahan prosedur pembuktian dan hukuman keseksaannya.

_________________________________________________________________________

31 Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah, Beirut, h. 225.

32 Abdul Qadir Awdah, at-Tasyri’ al-Jinai al-Islami, jilid 2, h. 434.

33 Kasani, Bada’iy wa al-Sona’iy, jilid 7, h. 50.

34 Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah, h. 225.

35 Shirazi, al-Muhadhdhab, jilid 2, h. 333.

36 Bahansi, al-Qisasfi al-Fiqh al-Islami, h. 193-194.

37 Wahbah al-Zuhaili,1996, al-Fiqh al-Islami waAdullatuh, Dar al-Fikr, Damsyik, Syria, jilid 6, h. 588.

38 Al-Qur’an, al-Ma’idah ayat 89.

39  Hadith Riwayat Baihaqi.

40 Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami, jilid 6, h. 590, 592.

41 Ibid., jilid 6, h. 608-609.

42 Wahbah al-Zuhaili, 1996, al-Fiqh al-Islami waAdillatuh, Dar al-Fikr, Damsyik, jilid 7, h. 580.

Sumber rujukan : Qazaf- Menjawab Fitnah

Akal licik Yahudi untuk menangkap ikan pada hari Sabtu dan siksaan bagi para penentang

Ayat 163 hingga 166 beserta terjemahannya. وَسۡ‍َٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara