WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

DIA SEORANG SIDDIQ

(Sempena tarikh kelahiran tokoh pada 04 Januari 1947)

Dia,

Adalah guru kita

Bukan mengajar kenal angka

Atau melatih tulis baca

Tapi dia,

Menyegar minda

Menjentik akal

Menyentak alpa

Membuang nakal

Hingga terbit rasa hiba

Apalah yang ada untuk dibawa bekal?


Bekal ke bangku sekolah

Bekal ke dewan kuliah

Bekal-bekalan agar tidak rebah!

Bekal-bekalan kalau nanti disanggah!


Bekal guru bukan satu,

Bukan hanya sekadar itu,

Mendidik watak menjunjung adab,

Agar tidak tertinggal di kitab,

Agar sukar bisa dihadap!


Bekal guru ada tersurat,

Lebih dalam makna tersirat,

Sehingga kita merasa berkat,

Doa untung hingga akhirat!


Dia,

Adalah pemikir

Yang mengajar kita berfikir

Bukan hanya memperaga zikir

Tanpa ada sekelumit fikir!

Agar kita,

Tidak sekadar mundar mandir,

Yang akhirnya mewarisi pandir!


Dia,

Adalah pembina

Rasa jiwa membangun negara

Tanpa dusta

Tanpa nista

Tanpa sengketa

Tanpa pura-pura!


Dia,

Bernama Siddiq

Yang sentiasa siddiq,

Yang membenci munafiq,

Juga pernyataan yang berinti faasiq!


Dia,

Seorang Siddiq

Yang kita kenang

Lewat kelahirannya

Sebagai pejuang

Yang sejarahnya

Tidak gemar didendang

Kerana malunya

Tak bisa dihalang!


Seorang Siddiq

Adalah guru kita

Adalah pemikir bangsa

Adalah pembangun negara

Tiada detik

Yang lebih berharga

daripada menekuni titah agama

Agar umat yang didamba

Mendapat naungan yang Maha Esa!

Nukilan : Nor Salimah Abu Mansor, 4 Januari 2024

(Ketika mengenang 4 Januari 1947, tarikh kelahiran Ustaz Siddiq Fadzil atau Professor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, tokoh penting dekad-dekad kebangkitan Islam, bermula dasawarsa 1960-an, untuk tempoh separuh abad sebuah perjalanan ilmu dan dakwah)

PENGHAYATAN BERABDI DAN BERBAKTI

Bandar Baru Bangi, 22 Disember 2024 – Surau Al-Abrar di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi telah mengadakan Kuliah Maghrib pada Ahad lalu yang disampaikan oleh Hj. Nik Mohd Yusoff Nik [...]
Baca Lebih

NAHDAH EKONOMI: TUNTUTAN DAN KEPERLUAN UMAT

Dalam era dunia yang semakin mencabar dan kompleks, umat Islam perlu dibangkitkan dan ditunaskan dengan minda baru untuk memacu nahdah atau kebangkitan ekonomi. Konsep “Minda Nahdah Ekonomi” bukan sekadar bermaksud [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara