*Abstrak:* Dalam makalah ini dihuraikan apakah akibat daripada meninggalkan atau menyia-nyiakan ayat-ayat Allah SWT. Allah SWT turunkan ayat-ayat-Nya demi untuk kebaikan manusia, tetapi ramai manusia yang tidak mengambil manfaat daripada pengajaran yang terkandung di dalamnya.
Tiga ayat berikut mengisahkan akibat mereka yang meninggalkan ayat-ayat Allah, yang Dia firmankan dalam Surah Al-A’raaf (7), ayat 175, 176, dan 177.
“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. Kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.” (Al-A’raaf (7) : 175).
“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.” (Al-A’raaf (7) : 176).
“Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri.” (Al-A’raaf (7) : 177).
Cerita ini berkaitan dengan orang alim zaman dahulu yang bernama Bal’am bin Bahura yang doanya sangat mustajab apabila dia berdoa.
Pada semua zaman ada sahaja orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmunya. Zaman Nabi Musa a.s. ada Bal’am. Allah mengangkat darjatnya kerana ilmu yang dia miliki, namun kecintaannya kepada dunia melebihi kecintaannya kepada akhirat. Pergerakannya dalam ketinggian spiritual tersekat kerana itu. Akhirnya syaitan menggodanya sehingga dia terjerumus kepada keburukan kerana nafsunya.
Dia diumpamakan sebagai seekor anjing yang jika dihalau pun dia menjulur lidah, dibiarkan pun dia tetap menjulur lidahnya. Maknanya dia tetap berbuat jahat, walaupun segala nikmat Allah berikan secara berterusan. Inilah sifat anjing yang tidak tahu malu.
Sifat kerendahan dan kehinaan anjing dipamirkan pada keadaan lidahnya yang terjulur baik ketika dihalau (disuruh pergi) atau dibiarkan saja (tidak diapa-apakan). Perumpamaan yang unik ini untuk orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan bersikap sombong terhadap ayat-ayat tersebut sehingga tidak berguna lagi bagi mereka nasihat dan ajaran yang baik. Itulah orang-orang Y4hud1 setelah mereka membaca sifat-sifat Rasulullah saw. di dalam kitab Taurat dan bahkan mereka menyampaikan khabar gembira kepada manusia bahwa waktu pengutusannya sudah dekat. Mereka juga menjadikan Rasulullah saw. sebagai sarana untuk kemenangan dan keberuntungan mereka. Lalu, Al-Qur’an datang menyingkap hakikat yang diingkari oleh orang-orang Y4hud1 setelah diutusnya Rasulullah saw..
Cerita-cerita (naba’) seperti ini perlu disampaikan agar mereka yang berilmu tidak menyalahgunakan ilmunya, sama ada bagi mendapat habuan dunia tanpa mengambilkira halal-haram sesuatu perbuatan. Rahmat Allah SWT digunakan, tetapi tidak berterima kasih (bersyukur) kepada Allah. Pada hakikatnya mereka sendiri yang menzalimi diri mereka, bukan Allah SWT yang menzalimi mereka.
Nikmat ilmu sepatutnya digunakan bagi membina minda rakyat umum kepada kebaikan, bukan memporakporandakan negara dengan tanggapan-tanggapan yang sarat nafsu berkuasa. Negara perlu dimakumurkan, bukan dipecahbelah kepada ras, agama dan selera pemimpin-pemimpin tertentu.
Semoga kita menjadi rakyat yang cakna ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat dan membangun negara baldatun toyyibah. Aamiin…
DrIsbah, Teras Jernang, 06-04-2024 / 26-RAM-1445H.
Rujukan
[1] Tafsir Al-Munir, ayat 175 hingga 177, Surah Al-A’raaf.