WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

Syed Muhammad Naquib Al-Attas Tokoh Keilmuan Islam Kontemporari

Oleh Dr Zulkifli Hasan 

SELURUH rakyat menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan mengurniakan watikah pelantikan Profesor Diraja kepada ilmuwan ulung tanah air, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Gelaran tertinggi itu dikurniakan melalui perkenan baginda kepada ahli akademik mencurahkan jasa bakti serta sumbangan bernilai kepada masyarakat serta kemajuan Malaysia dan dunia umumnya.

Sebelum ini, satu-satunya tokoh pernah menerima gelaran Profesor Diraja ialah Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978, yang juga sepupu kepada Syed Muhammad Naquib.

Berita mengenai idea dan usaha untuk penganugerahan gelaran Profesor Diraja ini lama kedengaran mengenangkan pengaruh Syed Naquib begitu besar terhadap pemikiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Alhamdulillah, selepas 46 tahun, Profesor Diraja Kedua akhirnya berjaya dianugerahkan kepada Syed Muhammad Naquib..

Pengiktirafan terhadap kecemerlangan keilmuan Syed Muhammad Naquib bukan sahaja dalam kalangan cendekiawan dan sarjana di Malaysia, malahan di peringkat global dan antarabangsa.

Pembentukan malakah ilmiah Syed Muhammad Naquib sebenarnya dibentuk sejak awal melalui didikan dalam lingkungan keluarga.

Menelusuri pohon genealogi beliau sahaja, sudah cukup memahat keyakinan dan ‘kethiqahan’ terhadap sosok ini. Lahir di Bogor, Jawa, pertalian darah dengan Rasulullah SAW mengalir dalam diri beliau, melalui jalur al-Sadah al-Ba’lawiyyah di Hadramawt, bersambung ke Saidina Husain bin Ali.

Ayahanda Syed Muhammad Naquib, iaitu Syed Ali adalah seorang alim, manakala datuk di sebelah ibunya Syed Abdullah Muhsin al- Attas ialah salah seorang wali tersohor di Jawa.

Seawal usia sembilan tahun, beliau memasuki pendidikan secara rasmi di Madrasah al-‘Urwah al-Wuthqa di Sukabumi, Jawa. Usia awal remaja juga diisi dengan menelaah teks dan manuskrip penting berkenaan sejarah dan kesusasteraan Melayu tersimpan di kediaman bapa saudaranya, Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Majid.

Syed Muhammad Naquib berpegang teguh dan mewarisi ilmu Islam daripada leluhur ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Minat dan bakat Syed Muhammad Naquib dalam bidang seni estetik juga menjadi perhatian.

Ketika tinggal dengan Datuk Onn Jaafar, beliau diminta untuk melukis dan mengilhamkan bendera rasmi UMNO yang perlu merangkumi simbol kekuasaan, Raja Melayu dan agama Islam. Lukisan beliau yang unik dan terangkum itu akhirnya diterima dan dijadikan logo rasmi UMNO hingga hari ini.

Menariknya, Syed Muhammad Naquib juga pernah melalui pendidikan ketenteraan sebagai pegawai kadet, bahkan sempat bertugas selaku pegawai dalam Rejimen Askar Melayu Diraja dan aktif dalam menentang pengganas komunis. Namun, kerana kecintaan mendalam terhadap bidang keilmuan, beliau mengambil keputusan menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM).

Satu perkara menakjubkan ialah karya pertama beliau ‘Rangkaian Ruba’iyyat’ diterbitkan ketika beliau masih di peringkat pengajian ijazah, iaitu pada 1959 ketika pada usia 28 tahun.

Karya hebat ini sebuah gubahan kecil mengandungi isi besar terbit daripada kesedaran seorang hamba akan Tuhannya, menerusi pemandangan batin dan ‘dzauq’ rohani.

Hanya empat tahun selepas itu, terbit pula satu lagi karya penting berjudul ‘Some Aspects of Sufism as Understood and Practised Among the Malays’, terhasil berkat kepayahan beliau menjelajah ke seluruh negara dan nusantara belajar serta bertemu tokoh sufi dan tarekat tersohor.

Dua karya ini menjadi pintu pembuka untuk Syed Muhammad Naquib meneroka lebih jauh dalam dunia keilmuan dan kesarjanaan. Berkelana sehingga ke benua Amerika Utara mempertemukan beliau dengan tokoh falsafah Islam seperti Fazlur Rahman, Seyyed Hossein Nasr, Toshihiko Izutsu, Abu Bakr Sirajuddin, AJ Arberry dan Hamilton Gibb. Tokoh ilmuan hebat ini mengiktiraf kesarjanaan dan ketinggian ilmu Syed Muhammad Naquib.

Ada suara sumbang mendakwa Syed Muhammad Naquib adalah ‘Armchair Professor’ bersifat elitis dan hanya bersyarah di dewan berhawa dingin sahaja. Namun, cukuplah sejarah dan fakta sebenar menepis dakwaan karut itu.

Sejarah merekodkan Syed Muhammad Naquib selalu meluangkan masa sebagai ‘naqib’ usrah kepada anak siswa antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang ketika itu diterajui Anwar.

Beliau pernah menjamin empat mahasiswa antaranya Datuk Abdul Aziz Deraman, selaku Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) ketika itu ditangkap kerana terbabit dengan gerakan rakyat mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman.

Mungkin ramai tidak mengetahui Syed Muhammad Naquib salah seorang watak penting dalam penubuhan GERAKAN bersama abangnya, Prof Datuk Dr Syed Hussein al-Attas.

Bahkan, beliau pernah tampil mewakili GERAKAN dalam satu debat kebudayaan bersama Tan Sri Lim Kit Siang di auditorium MARA untuk mempertahankan kepentingan bahasa Melayu.

Syed Muhammad Naquib bagaimanapun mengundur diri daripada arena politik kepartian lebih awal berbanding abangnya, untuk memfokuskan sepenuh masa kepada kegiatan intelektual dan kesarjanaan.

Penulis ingin berkongsi pengalaman mengikuti pemikiran dan teladan ditunjukkan Syed Muhammad Naquib. Kali terakhir mengikuti pandangan beliau adalah pada 16 Februari lalu di Dewan Tunku Canselor UM.

Sebelum ini, syarahan beliau dikenali sebagai ‘Saturday Night Lecture Series’. Syarahan beliau bertajuk ‘Islam: The Covenants Fulfilled’ dianjurkan khas bagi mengulas karya terkini beliau.

Beberapa penemuan penting dan hasil kajian beliau persembahkan melalui karya ini sangat signifikan dan dianggap sebagai ‘original’ ramai pengkaji. Dalam erti kata lain, ia tidak pernah atau hampir tidak pernah dinukilkan sarjana sebelumnya.

Pandangan menarik beliau berkenaan evolusi kalimah tauhid dalam al-Quran, hakikat bahawa terma ‘Islam’ itu hanya khusus kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya sahaja dan kekeliruan sebahagian ulama dalam mendefinisikan ‘millah’ dan ‘din’ amat menarik dibincangkan.

Lebih mengagumkan ketika syarahan, Syed Muhammad Naquib langsung tidak kelihatan penat. Umur mencecah 93 tahun mungkin agak membataskan kecergasan fizikal, namun beliau tetap tajam dan kritis.

Walaupun masih kuat dan bersemangat untuk meneruskan bicara, beliau secara sukarela menangguhkannya melihatkan waktu sudah menjengah tengah malam dan enggan menyusahkan tetamu dan hadirin.

Syed Muhammad Naquib adalah mujaddid, pemikir dan insan banyak berjasa. Sumbangan beliau bukan hanya dari aspek keilmuan dan kesarjanaan malahan terbabit secara langsung dan tidak langsung dengan usaha mewujudkan beberapa pertubuhan dan institusi pengajian antaranya penubuhan ABIM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (ISTAC).

Beliau membangun dan merekabentuk bangunan ISTAC diiktiraf keindahan senibinanya. Malahan, Syed Muhammad Naquib mencetuskan idea Universiti Islam di persidangan antarabangsa Pendidikan Islam di Makkah al-Mukarramah pada 1977 yang menjadi antara pencetus kepada penubuhan beberapa universiti Islam di dunia.

Coretan ini berserta cebisan pengalaman dan pembacaan karya Syed Muhammad Naquib sudah cukup menimbulkan rasa hormat tinggi atas keilmuan dan kesarjanaannya.

Penulis ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Artikel asal: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2024/11/1319415/syed-muhammad-naquib-al-attas-tokoh-keilmuan-islam-kontemporari

Akibat menimpa kaum Yahudi disebabkan kezaliman dan perbuatan mereka yang mengambil riba serta pahala orang beriman dari mereka

Ayat 160 hingga 162 beserta terjemahannya. فَبِظُلۡمٖ مِّنَ ٱلَّذِينَ هَادُواْ حَرَّمۡنَا عَلَيۡهِمۡ طَيِّبَٰتٍ أُحِلَّتۡ لَهُمۡ وَبِصَدِّهِمۡ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ كَثِيرٗا “Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi, [...]
Baca Lebih

Akibat mendustakan para rasul di dunia

Ayat 4 dan 5 beserta terjemahannya. وَكَم مِّن قَرۡيَةٍ أَهۡلَكۡنَٰهَا فَجَآءَهَا بَأۡسُنَا بَيَٰتًا أَوۡ هُمۡ قَآئِلُونَ Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara