Pendahuluan
Dalam keadaan masyarakat dunia berada dalam kehidupan kecelaruan pemikiran dalam keagamaan, kemasyarakatan dan kerohanian, umat Islam berada dalam posisi yang baik kerana mereka diberi jaminan keselamatan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi melalui panduan hidup yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW: تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله وسنتى “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu selamanya tidak akan sesat dengan mengikuti keduanya iaitu Al-Qur’an dan Sunnahku.”
Dua sumber utama ilmu Al Qur’an dan Al Sunnah serta sirah dan syama’ilnya.
Al Qur’an membawa tasawwur Islami yang komprehensif dan menyeluruh ajaran Islam, manakala Al Sunnah memberi penjelasan dan tafsiran terhadap prinsip-prinsip umum dalam Al Qur’an untuk difahami dan diamalkan, manakala Sirah dan Syama’il merupakan aplikasi dalam reaaliti kehidupan sama ada perkara ajaran Islam berkaitan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara yang mengikat hubungan manusia dengan Allah, manusia sesama manusia yang beriman dan manusia yang tidak beriman yang tidak memusuhi Allah dan orang Islam, serta hubungan manusia dengan makhluk Allah yang lain yang mesti dihormati.
Bertolak daripada sumber di atas manusia yang memahami sumber-sumber di atas percaya dan beramal dengan segala kandungannya, mereka dikenali sebagai orang beriman, orang Islam dan orang bertakwa yang Allah tempatkan kedudukan mereka lebih baik dan lebih tinggi kedudukannya daripada golongan non muslim, musyrik dan munafik.
Kedudukan Umat Islam di sisi Allah SWT
1. Umat Islam adalah umat yang terbaik ( كنتم خير أمة ( kerana menjalankan dakwah mengajak manusia kepada kebaikan dan melarang manusia melakukan kejahatan.
2. Umat pertengahan ( أمة وسطا ( yang menjadi saksi kepada manusia atas kebenaran agamanya yang bersifat pertengahan dan sederhana.
3. Umat yang termulia dan tertinggi ( العزة ( kerana kekuatan akidah dan ketahanan dalam jihad menentang musuh demi mempertahan dan menegakkan agama Allah.
Maka kualiti umat Islam yang Allah abadikan dalam Al Qur’an kualiti umat ini yang mesti dipertahankan kerana ia melambangkan hakikat kebenaran agama Allah dalam realiti kehidupan umat Islam yang Allah redhai.
Penghayatan Beberapa Prinsip yang Menjamin pengekalan Kualiti Umat Terbaik, Umat Pertengahan di antara Manusia dan Umat Tertinggi
Pertama : penghayatan ukhuwwah Islamiyyah .
Hubungan baik dan mesra sesama Muslim berasaskan akidah keimanan kepada Allah yang Maha Esa, kerasulan Muhammad SAW dan keimanan kepada kitab Al Qur’an dan melaksanakan segala ajarannya.
Ukhuwwah Islamiyyah berasaskan akidah Islamiyyah mengatasi ukhuwwah dalam hubungan darah dan kekeluargaan kerana ikatan itu lebih teguh dan mantap dengan ikatan akidah kepada Allah SWT dan agamanya.
Ikatan ukhuwwah Islamiyyah ini berterusan di suburkan dengan penghayatan aktiviti berikut:
1. Melaksana aktiviti kerohanian secara berjemaah: Solat lima waktu digalakkan berjemaah di masjid, surau dan di rumah; solat Jumaat seminggu sekali diwajibkan melakukannya secara berjemaah; solat tarawih setahun sekali digalakkan secara berjamaah; tadarus Al Qur’an digalakkan bacaan secara berjamaah; solat hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha setahun sekali digalakkan secara berjamaah .
Segala amalan kerohanian dilakukan secara berjamaah bagi Membina kemesraan hubungan ukhuwwah Islamiyyah berterusan terjalin melalui amalan kerohanian ini.
2. Aktiviti hubungan kemasyarakatan iaitu apabila seorang Muslim berjumpa dengan Muslim yang lain pembuka katanya ialah ucapan ‘Salam’ doa dengan kebaikan saudaranya dan saudaranya menjawab dengan doa yang sama.
Dalam khutbah Jumat disyaratkan untuk sah khutbah mesti ada di dalamnya doa kebaikan Dan keselamatan kepada saudara seIslam.
Mengguna bahasa yang baik dan beradab dalam percakapan sesama Muslim .
Tidak menyakiti hati saudaranya sesama Muslim sama ada dengan kata-kata atau perbuatan, tidak mendedahkan keburukan dan keaiban saudaranya kecuali untuk menegakkan hak dan kebenaran.
Tidak menimbulkan perasan hasad dengki dan iri hati terhadap pencapaian dan kejayaan saudaranya sama ada kejayaan harta benda atau pangkat.
Seorang Muslim tidak patut menzahirkan dirinya sebagai seorang yang angkuh dan sombong kerana pangkat dan harta. Tetapi menzahirkan dirinya sebagai seorang rendah diri dan pemurah terhadap Muslim yang lain.
Kedua
Hubungan saling bantu membantu antara satu sama lain dari dorongan iman dan memenuhi tuntutan Allah:
وتعاونوا على البر والتقوى
Saling bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan itu dapat mendatangkan hasil yang diberkati oleh Allah hidup di dunia dengan mendapat limpahan rezeki dan rahmatnya; dan di akhirat Allah bekalkan dengan pahala untuk melayakkanya tinggal kekal di dalam syurga yang Allah redhai.
Ketiga: Penghayatan Tadhamun. Tadhamun, solidariti merupakan satu prinsip untuk pengukuhan ikatan antara orang Islam sesama mereka. Ikatan yang menguatkan antara satu sama lain يشد بعضه بعضا seperti ikatan batu-bata antara satu dengan lain yang mengukuhkan kedudukan benteng atau bangunan.
Keperluan solidariti ini adalah untuk membina kekuatan yang lebih kuat dan mantap dalam ikatan sesama orang orang Islam terutamanya dalam melaksanakan perkara perkara-besar untuk pembangunan negara dan pertahanan negara. Tanggungjawab ini mesti dilakukan secara berkumpulan dan berjemaah begitu juga usaha dakwah harakah Islamiyyah yang Allah perintahkan perlu ada satu kumpulan Ta’ aifah yang melaksanakannya.
Solidariti boleh berlaku melalui ketaatan kepada Allah dan RasulNya serta bersatu dan tidak bermusuhan. Jika ada permusuhan sesama kamu akan membawa kegagalan dan menghilangkan kekuatan kamu.
Allah menjanjikan kualiti umat Islam kedudukannya sebagai umat terbaik, umat sederhana dan umat tertinggi dan terhormat terjamin dengan adanya penghayatan tiga prinsip yang disebut di atas iaitu Ukhuwah, Ta’awun dan Tadhamun. Tanpa ketiga-tiga prinsip ini, kita akan menjadi bangsa yang mundur dan terkebelakang serta lemah.
Jika dilihat kepada pencapaian orang Cina di negara kita, walaupun mereka non muslim, hubungan persaudaraan, kerjasama dan solideriti antara mereka kuat walaupun mereka berbeza parti dan etnik, namun, mereka bersatu hati dalam membangun bangsa mereka.
Mereka bersatu padu dalam usaha mengukuhkan taraf hidup ekonomi, taraf pendidikan, bahasa dan budaya Cina melalui parti-parti politik dan NGO mereka.
Demikian juga jika kita melihat kesatuan orang Cina di Singapura yang bergabung usahasama rakyat dan pemerintah membangun negara dalam masa 40 tahun lebih, mereka dapat menjadikan negara mereka sebagai negarab yang terbaik di dunia dan negara yang paling selamat untuk dilawati oleh pelancong dari seluruh dunia .
Singapura mengatasi Eropah dari segi keselamatan dan berada di tahap no 1 kerana ketinggian keselamatan negara dan kekuatan ekonomi serta kekurangan jenayah dan orang yang membunuh diri serta kurang terdedah dengan wabak penyakit.
Amat malang negara kita sebagai negara Islam dan rakyat negara yang majoritinya adalah Muslim semua perkara negatif berada di negara kita
Pemimpin politik dan pegawai kerajaan banyak terjebak dengan rasuah, kejadian jenayah berleluasa, kemiskinan dan wabak penyakit serta kematian dijalanraya terus meningkat.
Perbalahan dan permusuhan berlaku di segenap kelompok masyarakat, parti-parti politik bercakaran, sebahagian ahli-ahli agama bercakaran tentang isu-isu fiqh khilafiyyah fiqh dan ilmu Kalam.
Mereka yang berpengaruh dalam masyarakat seperti ahli politik dan ahli agama tidak memperlihatkan matlamat besar usaha mereka untuk membangun bangsa dan negara. Masing-masing leka dengan isu-isu pergaduhan mereka dan membawa sebahagian rakyat bersama mereka.
Reform negara dalam pendidikan, ekonomi, pembangunan masyarakat dan politik tidak berkembang jauh. Negara kita ketinggalan jauh berbanding negara jiran iaitu Singapura walaupun kita mendapat kemerdekaan lebih awal daripada mereka.
Peranan Jamaah Dalam Mengangkat Kehidupan Berkualiti Umat Islam dan kemajuan Negara
Bertolak dari pengiktirafan Allah terhadap umat Islam sebagai satu umat terbaik, umat sederhana dan yang tertinggi yang Allah isytiharkan dalam Al Qur’an, maka apakah usaha kita untuk menjaga kualiti ini supaya umat Islam majoriti dalam negara dilihat sebagai umat terbaik yang menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara?
WADAH ditubuhkan untuk mengangkat pemikiran umat dalam kefahaman ilmu Islam aras tinggi dan juga ilmu semasa. Ilmu Islam sudah tentu berasaskan kefahaman kepada ajaran Al Qur’an, As Sunnah, Sirah Rasulullah dan pengalaman ulama’-ulama’ Islah yang muktabar dalam sejarah umat. Demikian juga ilmu semasa yg diperlukan untuk pembangunan negara juga bertolak dari kaedah mengekalkan perkara yang lama bermanfaat dan mengambil perkara baru yang berfaedah sebagai asas kepada Pembangunan.
Anwar semasa dalam ABIM mendedahkan kepada ahli ABIM untuk membentuk kefahaman Islam yang tepat dan tasawwufnya sebagai satu sistem hidup adalah berdasarkan sumber diatas
Beliau terjemahkan fikrah di atas dalam reform masyarakat dalam pendidikan, ekonomi, pembangunan masyarakat dan reform pemikiran dan amalan siasah.
Visi dan misi beliau sekarang sebagai PM 10 dikumpulkan dalam buku keramatnya MADANI untuk membawa perubahan dan kemajuan hakiki kepada agama umat dan negara.
Oleh itu tanggungjawab ahli jemaah adalah berusaha untuk mengangkat kefahaman umat terhadap Islam dan isu keperluan umat terhadap kualiti hidup mereka dalam ilmu semasa, ekonomi, masalah sosial dan tadbir urus negara.
Maka ahli jamaah dalam perbincangan isuisu politik tidak sepatutnya terikut dengan cara dan pendekatan sesetengah parti politik yang tidak bercirikan ilmu, adab dan budaya bangsa.
Tumpuan kita sepatutnya mendedahkan prinsip-prinsip utama dalam Al Qur’an untuk pembangunan dan islah masyarakat serta mengukuhkan asas-asas utama pemikiran Madani yang perlu diulas dalam konteks keperluan negara dan tuntutan Syariah .
Kalau ini dapat dilakukan dalam masa lima tahun ini, ia akan membawa perubahan kepada masyarakat tentang kefahaman Islam berasaskan sumber utamanya sebagai satu sistem hidup dan tidak terikat dengan kefahaman Islam yang beroreintasikan fiqh dan hukum semata-mata yang mana skopnya amat terbatas jika dibandingkan dengan prinsip-prinsip yang luas dan menyeluruh yang terdapat di dalam Al Qur’an, Sunnah dan Sirah Rasulullah serta pengalaman ulama’ yang muktabar.
Apakah terdapat gerak kerja yang tersusun dan penyelarasan yang baik dan kukuh agar usaha melebarkan idea Islam haraki kepada umat serta visi dan misi yang digariskan oleh PM 10 dalam bukunya Madani untuk pembangunan agama umat dan negara dapat dihayati fikrah Dan operasinya.
Disediakan oleh Dr Abdul Halim El Muhammady
Kertas dibentang dalam majlis konvokesyen KDH pada 26 /11/2024