Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdullihilladzi Anzala ‘Ala’abdihil Kitaaba Wa Lam Yai’al Lahuu’iwajaa
Wa Usolli Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem Wa’ala Alihi WaSahbihi Ajma’een
Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,
Menteri Pendidikan;
Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan,
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
Yang Berbahagia Datuk Ahmad Azam bin Ab Rahman,
Presiden WADAH;
Yang Berbahagia Datuk Profesor Emeritus Dr. Mohammad Redzuan bin Othman,
Pengasas dan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi;
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty,
Ketua Majlis Istisyari WADAH;
Yang Berusaha Tuan Haji Abd Rahman bin Abd Karem,
Pengarah Urusan Aras Mega Sendirian Berhad;
Seluruh Keluarga ABIM;
Keluarga Almarhum Mohammad Natsir;
Yang Berusaha Dr. Razali Nawawi dan Yang Berbahagia
Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal bin Hassan; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
1. Kita dengar tadi perbicaraan, mengimbau pengalaman. Kenal dengan tokoh-tokoh dan sosok yang kita bicarakan. Sebenarnya ada tiga (3) tokoh besar. Ilmuan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan, yang tentu saya kenal awal sejak saya tahun pertama Universiti Malaya. Guru dan tutor, mula mengajar tentang perbahasan melalui kupasan ‘Islam at the Crossroads’, Muhammad Asad sehinggalah kita minta dia ke Amerika Syarikat dan pulang sebagai pimpinan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
2. Dr. Razali Nawawi seorang tokoh yang saya temui tatkala saya ke London untuk menghadiri Sidang Belia Antarabangsa, bicara tentang peranan generasi muda, mohon beliau kembali berdamping dengan kita, tatkala kita menggagaskan penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Beliau yang menjadi naqib pertama memperkenalkan manhaj usrah yang lebih teratur memperkenalkan atau menggesa keperluan merujuk kepada Al-Quran dengan merujuk kepada tafsir selain yang tradisional dan yang lain-lain dan ditambah dengan Qurtubi yang selalu diulas oleh Al-Burqani Samsudin. Masa itu juga Abul A’la Maududi dan juga Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Qur’an bersama, tentulah Yang Berbahagia Dato’ Mohd Nakhaie Haji Ahmad, Yang Berbahagia Dato’ Ustaz Haji Fadzil bin Mohd Noor dan lain-lain.
3. Jadi saudara boleh bayangkan selama puluh tahun itu dengan manhaj yang jelas memberikan pengenalan tentang apa erti Islam, perjuangan dan dakwah yang kemudian beliau lakar di akhir hayatnya, tiga (3) trilogi buku-buku tentang Islam, perjuangan dan akhirnya dakwah.
4. Tetapi selain daripada itu, kita juga kenal terutama karya Dr. Kamal Hassan tentang sosok yang terkenal di rantau ini almarhum Mohammad Natsir. Kita dalam gerakan ABIM tentunya lebih arif kerana dari awal kita mendekati beliau, dibawa menemui dan seperti mana yang pernah saya ungkap sebelum ini, saya juga, orang Jakarta bilang, kaget ya kerana ini mantan Perdana Menteri tapi hidupnya sederhana, sosoknya sangat sederhana dan cara dia menyantuni kami anak anak muda begitu luar biasa. Dengan penuh ihsan dan kasih sayang, penuh pengertian, penuh kecintaan terhadap alam Melayu khususnya perkembangan di Tanah Melayu masa itu dan Malaysia.
5. Di situlah kita kenal dengan penglibatan beliau dalam Dewan Dakwah Islamiah, perjuangan beliau dan ini di antara tokoh utama dalam erti kata perjuangan menghidupkan apa erti kata kalau kita ungkapkan sebagai Muslim demokrat, dengan pengisian dan makna yang sangat mendalam. Dari awal beliau juga negarawan, sebab itu umpamannya perbahasan tentang pendirian beliau, anjakan tentang Piagam Jakarta dan mempertahankan Pancasila untuk membawa, merangkul kekuatan negara Kesatuan Republik Indonesia.
6. Ini kebijaksanaan hanya dengan hikmah seorang negarawan yang kuat semangat dan kesedaran Islamnya tetapi faham tentang kaedah dan budaya. Dari satu sudut, ABIM bernasib baik atau bertuah kerana terkesan dan berpengalaman menemui tokoh-tokoh besar ini. Tentu pada ketika itu juga AME Diponegoro 16 dengan tokoh-tokoh AME tetapi kemuncaknya tentunya Mohammad Natsir. Dan itu yang bagi saya juga satu pengalaman penting kerana ini menyebabkan kita memilih jalur tengah, jalur wasatiyyah dan tidak memilih untuk dirangkul dalam kerangka gerakan Islam Arab atau di India dan Pakistan.
7. Di antara tokoh yang banyak mempengaruhi kita tentunya Mohammad Natsir dan selepas kunjungan itu rakan-rakan kita utamanya, saudara Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil juga saya minta menyusuli pertemuan dengan Mohammad Natsir. Maknanya pilihan kita adalah dakwah bilhal dan yang lebih sederhana yang juga terikat dengan iklim politik dan budaya kita yang agak berbeda daripada rantau lain. Ini tidak bermakna Islam itu tidak universal. Islam itu universal tetapi, kenyataan sosio budaya menuntut kita memilih jalan yang lebih sederhana dan merangkul kekuatan membicara isu-isu yang dekat dengan alam Melayu dan juga negara Malaysia dan rantau ini.
8. Mohammad Natsir mula menulis sekitar 30-an, 40-an dan kalau saudara lihat umpamanya dari awal dalam perdebatan beliau mengambil alih perdebatan Soekarno A. Hasan kepada Soekarno – Natsir. Apa erti sekularisme? Apa erti umpamanya peranan Atatürk di Turkiye. Mengapa beliau memilih Islam yang sebagai sara hidup, memperkenalkan gig dan ward. Dan satu karya yang bagi saya sampai sekarang agak cukup mengesankan ialah bila beliau mengupas karya Henri Pirenne, sejarawan Belgium yang tidak dikenali dalam korpus sejarawan atau sosiologi Bahasa Inggeris.
9. Walhal Henri Pirenne itu dalam dua karya besar ‘Mohammed and Charlemagne’ dan ‘History of Europe’ itu memberikan tesis tentang sejarah yang sangat kritikal untuk memahami Islam, pertembungannya dengan Eropah dan pengaruhnya dari sudut budaya dan tamadun yang mengubah rupa dan jiwa Eropah itu sendiri, itu Henri Pirenne. Maknanya titik tolak perbezaan departure point of history, historical is determined by ideals, culture and knowledge and civilization, not really technology and pure power. Ini berbeda dengan pemahaman kita. Moden di Malaysia ini ertinya dengan kedatangan Inggeris, dengan percetakan tapi moden perubahan menurut teori Henri Pirenne, sejarawan Belgium yang menulis sekali lagi ‘Mohammed and Charlemagne‘, katanya pertembungan itu sebenarnya membawa perubahan besar dari sudut kefahaman tradisi ilmu dan tamadun serta budaya Eropah itu sendiri. Dari yang kuno kepada yang baru, itu yang dikata point of the departure dalam sejarah.
10. Saya singgung di beberapa tempat bahawa ini kemudian mempengaruhi Syed Hussein Al-Attas dalam karya beliau ‘Reconstruction of Malaysian History’, sekitar 1960/61, kupasan beliau dalam kertas sidang sejarah Asia, ‘Asian Historical Society‘ di mana katanya dengan Islam itu membawa tradisi ilmu, fahaman tentang budaya, keupayaan mengangkat tamadun itu berbeza dengan teori yang kemudian sudah lazim ditelan bulat oleh semua sarjana tempatan termasuk yang nasionalis malah yang Islamis bahawa perubahan itu dengan kedatangan penjajahan, khususnya Inggeris.
11. Itu Syed Hussein Al-Attas, 1960 dan 10 tahun kemudian 1970/71 Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang baru kita angkat sebagai Profesor Diraja, menulis Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu yang sekali lagi mengupas Henri Pirenne dengan yang lebih terperinci, tetapi saya menjangka pengaruh Mohammad Natsir kepada Syed Hussein Al-Attas sehinggakan Syed Muhammad Naquib Al-Attas tentang titik tolak penentuan sejarah baru dan moden bagi kepulauan Melayu itu dengan kedatangan Islam kerana dasar ilmu dan tradisi akliah yang beliau popularkan yang menyebabkan ada perubahan rupa dan jiwa dalam masyarakat. Dan ini kupasan Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
12. Ini saudara lihat, bagaimana pengaruh seorang sosok yang rasanya daerahnya agak terpencil sedikit, saya tak sempat, yang saya ingat pertemuan dengan Mohammad Natsir 5-6 kali lebih masa dia uzur tenat di hospital, semasa itu beliau di Hospital Katolik kalau tak salah saya di Jakarta sebab masa itu saya Timbalan Perdana Menteri, tegang hubungan beliau dengan rejim Suharto kerana beliau terlibat bersama Abdul Haris Nasution dan beberapa tokoh lain, Ali Sadikin, Gabenor Jakarta menghasilkan ‘Patesi 50’ menggagaskan perubahan dari sistem autokratik dan menekan rakyat kepada sistem yang lebih demokratik yang menolak korupsi di sana, iaitu rasuah. Dari situ beliau dapat tekanan yang agak kuat yang tidak dapat berjalan keluar. Itu tentang Mohammad Natsir.
13. Saudara-saudara, seperti saudara sedia maklum saya agak selesa di dalam medan wadah ABIM ini bicara hal-hal sedemikian daripada isu pertumbuhan isu belanjawan isu tadi jadi tentunya banyak yang boleh dikupas.
14. Saya hanya rumuskan tentang peranan tokoh Mohammad Natsir yang sebenarnya mempengaruhi Dr Razali Nawawi dan Kamal Hassan. Kamal Hassan tak akan menyiapkan dissertation phd dia semasa tu dia di New York. Saya menemuinya, masa tu saya masih di Universiti Malaya. Sidang World Youth Assembly organized by United Nations. Dia bawa saya ke kampus Universiti Colombia tak salah saya dan kali pertama pada ketika itu tahun 1971, saya malas bicara soal soal tahun ini sudah boleh jangka umur saya. 1971 sahabat Kamal Hassan namanya Ibrahim Muhammad Kilishi memberikan Al- Quran terjemahan Yusuf Ali saya masih ingat, dan saya simpan sampai sekarang. Dengan catatan pinggir penuh.
15. Jadi saudara saudari itu dia sosok Mohammad Natsir, juga guru kepada Dr Razali Nawawi, Siddiq Fadzil dan lain-lain. Kamal Hassan menyebut beliau sebagai ilmuan ulung. Saya tidak lihat Mohammad Natsir itu sebagai ilmuan sangat kerana dia tidak menghasilkan karya-karya ilmu yang besar. Tetapi saya percaya Kamal Hassan memilih untuk menggambarkan Mohammad Natsir itu sebagai ilmuan ulung kerana dia ibarat tokoh yang memberi pencerahan, tokoh yang mencetuskan idea, mencabar pemikiran lama dari kapita selektanya dan kemudian beberapa karya besarnya. Dan dia bicara dengan agak simple. Saya tentulah dalam keadaan pada masa itu banyak duduk membaca, tetapi dia menarik kerana seperti karya-karya Hamka yang dekat dengan budaya dan cita rasa tempatan, Melayu dan peribahasanya. Tetapi Pak Natsir kata umpamanya dalam soal pembangunan yang saya gunakan dalam Belanjawan Negara, “jangan kita membangun sambil membangun kita robohkan”. Kan itu kan menangkap itu. Apa yang dibangunkan, apa yang dirobohkan? Yang dibangunkan itu gedung dan industri, yang dirobohkan manusia di dalamnya. Jadi, sambil membangun, kita robohkan, jadi itu menangkap.
16. Kedua, bila dibicara tentang pondok, di sana disebut pesantren, sebagai benteng pertahanan mental umat. Dalam keadaan seluruh kekuatan penjajahan, menawan budaya pemikiran golongan elit, ekonominya, politiknya, pendidikannya, bahasanya, masih dapat, masih muncul kelompok yang disebut ‘mondok-pondok’ pesantren ini sebagai benteng seolah benteng terakhir pertahanan umat.
17. Jadi, bagi saya itu menangkap sekali, rencananya kecil. Mahu dikatakan ianya kupasan ilmiah tidak juga, tetapi kupasan itu merumuskan secara kental, mantap, fahaman mendalam dan cukup untuk mengetuk pintu hati dan menyebabkan tercerna satu semangat untuk menjelaskan dan membangkitkan kesedaran yang meluas.
18. Kemudian dibicara tentang bagaimana tentang terhakisnya kekuatan moral satu rencana lain. Penghakisan itu umpamanya menyebut di antara lain permissiveness. Tadi masa bicara dengan Menteri Pendidikan, saya nak tanya apa istilah digunakan, dia sebut itu permissiveness. Ini Pak Natsir guna istilah ini. Saya masa itu belum pasti lagi maknanya, tapi katanya kelemahan kita kerana lemah akidah, akhlak dan ilmu menyebabkan budaya gagah barat itu yang merupakan kekuatan lebih besar dapat menyambar, menekan, mempengaruhi kita dan kita seolah mengalah. Itu keadaan permissiveness dari segi moral. Jadi moral kita yang sepatutnya tegak sudah runtuh, mulai menerima kebejatan, kelemahan-kelemahan sebagai sesuatu yang mesti berlaku dalam dunia moden.
19. Jadi, benteng iman dan akhlak pada badan itu tidak cukup kuat sehingga kita jadi permisif, mengalah, itu yang dikupas. Jadi saya percaya Kamal Hassan kalau kita lihat umpamanya beberapa rumusan dia, tentang sosok peribadi yang sederhana, tentang ilmu yang disampaikan, tentang kegigihan hikmahnya dalam dakwah, kegigihan dalam perjuangan, memantapkan politik, menolak kerakusan dan rasuah. Dan ini di antara karya pertama Kamal Hassan yang selalunya mengelak perbahasan politik secara terang. Ini kali pertama membicarakan soal 1MDB, soal rasuah yang menular dalam negara dan sebagainya.
20. Tetapi mungkin juga sebab sosok Natsir boleh mengupas keseluruhan ini menyebabkan Kamal Hassan seorang sahabat, sarjana, guru, murabbi yang kita sangat hormati mampu memberikan satu pengiktirafan sebagai ilmuan ulung.
21. Ini yang harus kita telaah dengan baik. Tapi akhirnya Syeikh Ahmad Nawawi bin Ghazali tentulah luar biasa dan juga kegiatannya bukan sahaja dalam ABIM tetapi persahabatan sepertimana saya dengan Siddiq Fadzil, makna kita boleh baca dan menangkap tanpa membicara dan berbincang. Ini luar biasa, orang banyak tidak dapat faham ya. Saya boleh baca, dia macam kashaf kerana kasih, kerana dekat seperti mana juga beliau boleh baca dan pertahankan. Dan dua (2) tokoh ini memang luar biasa dan saya kehilangan besar kerana ada kekuatan masing-masing.
22. Razali sampai akhir hayatnya itu yakin dengan arus perjuangan, yakin dengan keupayaan dan kemenangan, dan lakukan apa sahaja secara hikmah dalam dakwah dia sehingga kadang-kadang merunsingkan saya. Dia runding dengan siapa pun. Pergi pujuk, mana yang pilihkan seorang tokoh ABIM dalam keadaan kasihnya kepada saya dalam saya terlantar di penjara itu sanggup berjumpa Dr. Mahathir merayu memberi penerangan Anwar ini memang baik orangnya, kata dia pada Dr. Mahathir, wrong time, wrong person but anyway, It took me to be tempted to, ya sebagai daie dan murabbi itu memang luar biasa.
23. Saudara-saudari yang dimuliakan saya sekali lagi ucap terima kasih termasuk juga Rahman, saudara penerbit. Tapi maknanya ini satu hal yang harus difahami oleh generasi muda terutamanya. Tradisi ilmu, pencerahan, apa yang disebut oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas. ‘thariqah ‘akliah’ itu sekarang sudah lebih lemah dan saya kira untuk mengangkat martabat umat untuk menjadikan negara ini negara MADANI, ini masih tetap asasnya untuk melatih rakyat sama ada ianya digitalization atau artificial intelligence lebih menuntut dan mencabar kita untuk melengkapkan diri dengan kerangka asas, iaitu memberi makna kepada ‘addabani rabbi faahsana ta’deebi‘ itu dengan kekuatan dan asas ilmu, pembacaan, menelaah karya-karya besar, karya agung, mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
*Teks ucapan YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri sempena Majlis Peluncuran Buku anjuran WADAH & Aras Mega Sdn. Bhd.
3 Disember 2024 (Selasa), Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi.
Link teks ucapan:https://www.pmo.gov.my/ms/2024/12/teks-ucapan-yab-perdana-menteri-majlis-peluncuran-buku-amanah-dakwah-mohammad-natsir-ilmuwan-ulung-alam-melayu-abad-ke-20/
Kredit gambar: Facebook Anwar Ibrahim