WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

PENGURUSAN BERHIKMAH: MENGHAYATI NILAI-NILAI QUR’ANI

PENGURUSAN BERHIKMAH: MENGHAYATI NILAI-NILAI QUR’ANI

Siddiq Fadzil

269. “Allah memberikan hikmah kepada siapa yang dikehendaki-nya. barangsiapa yang diberi hikmah, sesungguhnya telah diberi kebajikan yang banyak. Dan Tak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang berakal.”

Al-Baqarah:269.

Pendahuluan

Pengurusan dalam konteks wacana masa kini lebih mengarah kepada semangat mencari kekuatan untuk unggul dan cemerlang dalam persaingan global. Antara negara- negara Timur yang diduga akan muncul sebagai kuasa baru bidang ekonomi pada masa depan ialah China dan India. Kedua-duanya sedang disorot dari pelbagai sudut, termasuk dari segi kekuatan kepengurusannya. Dalam kaitan ini India dikatakan memiliki competitive advantage berasaskan jumlah graduan MBA yang jauh mengatasi China. Memang MBA boleh dijadikan indikator penting, tetapi tentunya tidak boleh dimutlakkan. Masih banyak faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kekuatan daya saing. Apabila berlaku skandal korporat paling buruk yang melibatkan syarikat-syarikat gergasi seperti Enron dan WorldCom, antara yang dipersoalkan ialah apa ertinya MBA yang dimiliki oleh sejumlah besar pemimpin-pemimpin dan tenaga kerja syarikat-syarikat tersebut. Apakah sekolah-sekolah bisnis gagal membangun moraliti korporat? Atau dengan kata lain, apa yang telah terjadi kepada kursus Business Ethics yang diajar di sekolah-sekolah bisnis itu?

Ilmu Pengurusan Islami

Pengurusan sebenarnya lebih daripada sekadar kemahiran. Ia juga meliputi nilai-nilai budaya dan agama yang sekaligus menjadi penjana watak bangsa dan penentu daya majunya. Menyedari hakikat bahawa kita tidak boleh maju dengan cara menjadi orang lain atau meniru-niru cara orang lain, maka pengurusan Islami mengajak khalayak pengurus Muslim pulang ke akar, kembali ke asas dengan tekad mencapai kecemerlangan dengan cara kita sendiri. Penekanan pengurusan Islami adalah pada aspek pandangan sarwa (worldview), nilai-nilai dan prinsip-prinsip keagamaan yang bersumber dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Di luar aspek-aspek tersebut pengurusan Islami mempunyai ruang yang cukup luas untuk berkembang sesuai dengan keperluan zaman dan lingkungannya. Sebagai bidang yang berada di luar `ibadat dalam erti khusus, pengurusan Islami termasuk dalam kategori al-ibahah al-asliyyah iaitu aturan fiqh yang menentukan bahawa pada dasarnya hal-hal yang bersangkutan dengan urusan kehidupan duniawi segalanya dibolehkan kecuali jika ada larangan. Sementara itu pengurusan sebagai ilmu yang sangat instrumental dan penting bagi kehidupan manusia Muslim maka ia termasuk dalam kategori ilmu fardhu kifayah berdasarkan skema keilmuan al- Ghazaliy.

Ilmu pengurusan Islami bukan saduran atau sekadar modifikasi kosmetik pengurusan konvensional. Ia adalah produk asli tamadun Islam, tumbah dan berkembang seiring dengan sejarah perkembangan Islam dan kemajuan tamadunnya. Justeru, ilmu pengurusan Islami lahir sebagai produk keintelektualan para ilmuwan-pengurus Muslim yang komited dan menghayati prinsip-prinsip dan nilai-nilai Qur’ani dalam konteks realiti zaman dan lingkungan masing-masing. Pusat-pusat tamadun Islam dari abad ke abad telah melahirkan tokoh-tokoh pemikir pengurusan/pentadbiran kelas dunia seperti al-Ghazali, al-Mawardi, Ibn Khadun dan lain-lainnya. Banyak karya-karya monumental mereka tentang pengurusan masih dirujuk dan diwacanakan hingga ke hari ini. Tentulah tidak masuk akal jika dikatakan bahawa Muhammad s.`a.w. yang diletakkan oleh Michael Hart di puncak urutan seratus orang yang paling berpengaruh dalam sejarah itu tidak meninggalkan sebarang warisan keilmuan tentang pengurusan, walhal menurut Hart beliau adalah  the only man in history who was supremely successful in both
religious and secular level
. Samalah tidak masuk akalnya jika dikatakan bahawa para penguasa khilafah Islamiah yang selama ratusan tahun memerintah wilayah dunia Islam dan membina tamadun besar dunia tidak memilki tradisi pengurusannya sendiri.

Sebagai produk tamadun keagamaan, ilmu pengurusan Islami memiliki ciri-ciri istimewa tersendiri, termasuk kesepaduannya. Memang demikianlah sifat ilmu dalam tamadun Islam yang bersepadu dalam anyaman kemas, harmonis dan saling memperkukuh. Justeru, ilmu pengurusan Islami tidak pernah terpisah dari ilmu-ilmu bidang lain seperti `aqidah, syari`ah dan akhlaq. Dengan demikian seorang Muslim mengurus berasaskan `aqidah (tauhid), berpandukan syari`ah dan berlandaskan nilai-nilai akhlak mulia. Memang ilmu pengurusan Islami tidak hanya memberikan kemahiran, tetapi lebih daripada itu membina watak manusia pengurus yang God conscious, iaitu pengurus yang memiliki kesedaran batin tentang kehadiran Tuhan, sehingga ia merasa sentiasa diperhati dan dipantau oleh Yang Maha Esa. Kesedaran seperti itulah yang mendorongnya bekerja secara agama (working religiously) atau membawa agama ke tempat kerja (bringing religion into workplace).Demikianlah penghayatan tauhid dalam konteks pengurusan, penghayatan prinsip keesaan Tuhan dalam erti hanya Allah satu- satu sumber mutlak segala nilai dan petunjuk dalam segala aspek kehidupan termasuk pengurusan, hanya kepada-Nya tertumpu segala rasa kasih, hormat dan setia dan hanya kepada-Nya dipersembahkan segala amal sebagai pengabdian yang tulus kerana-Nya.

Pengurusan Berhikmah

Andainya hendak dicari kalimat yang cukup ekspresif untuk mencitrakan pengurusan Islami, mungkin kalimat tersebut ialah hikmah. Dengan demikian ia dapat diungkapkan sebagai pengurusan berhikmah. Hikmah adalah kata kunci yang inklusif, meliputi makna kebijaksanaan, kearifan, keilmuan, kebenaran, kejituan dan ketepatan. Kerana itu ia termasuk kurnia Tuhan yang paling besar, kurnia yang mengandungi khayran kathira atau khazanah kebaikan dan keberuntungan. Hikmah adalah rahsia kekuatan dan kejayaan para nabi dan rasul. Dengan kurnia hikmahlah Nabi Dawud dan Sulayman `a.s. unggul dan cemerlang dalam segala bidang,  sebagai pelaksana misi kenabian, sebagai pemerintah Negara dan sebagai pengurus harta yang tidak tergambar besar jumlahnya (the richest man ever lived).

Hikmah sangat terkait dengan ilmu dalam erti ia adalah ilmu tingkat tinggi yang memungkinkan seseorang memahami hakikat di sebalik yang terlihat dan dapat menangkap yang tersirat di balik yang tersurat. Hikmah juga terkait erat dengan istilah ulu „l-albab (orang berakal yang memiliki kefahaman mendalam). Ketika menjelaskan maksud kalimat tersebut (surah Ibrahim: 52), Harun Yahya menyatakan, “The concept of „people of understanding‟ which appears in the English translation of the verse is a translation of the Arabic ulul albab, which literally means „possessors of wisdom‟ or

„those who see into the core of a thing‟ (albab is the plural of lubb which also means „the core of a thing‟). It is generally agreed in commentaries that this concept expresses a deep intelligence and conceptual ability. That is why it appears in the form of „people of understanding‟ here.” (Harun Yahya, 2004: 13).

Seterusnya beliau merumuskan makna hikmah (wisdom) dengan menyatakan, “In brief, wisdom is an ability that provides us with greater comprehension than intelligence, deeper understanding, ability to find the truth, and produce a solution for every problem. Furthermore, wisdom is a trait that gives us control of all aspects of our lives and brings us success.” Dalam huraiannya tentang iman dan kaitannya dengan hikmah sebagaimana yang terkadung dalam surah al-anfal:29, Harun Yahya berkata pula, “This attribute faith has endowed us with, gives us the ability to differentiate right from wrong and think correctly, make sound judgements, and reach the most sensible decisions in every part of our lives. A wise person can see details in situations that most people fail to see, distinguish subtleties, and arrive at the most accurate and sound conclusions. He or she can be farsighted concerning long-range plans, determine situation that may be encountered in the future, and devise flawless plans. In the same way, he makes the best use of his past experiences, drawing upon them wisely where most needed. Because he can evaluate events clearly, everything he does is beneficial, everything he says has wisdom, and his every reaction is ideal.” (Harun Yahya: 14-15).

Sumber segala hikmah adalah Allah s.w.t. sendiri. Dialah Tuhan yang al-`Alim al-Hakim (Yang Maha Berilmu lagi Maha Berhikmah). Khazanah hikmah Ilahi itu tertuang dalam al-Qur’an, Kalam Tuhan yang murni dan abadi. Kerana itu mereka yang ingin mendapatkannya harus menggali khazanah yang tersimpan dalam kitab suci tersebut. Memang al-Qur’an adalah kitab yang sarat dan padat dengan muatan hikmah, “Dan sesungguhnya al-Qur‟an itu dalam induk al-Kitab (lawh mahfudh) di sisi Kami, benar-benar tinggi (nilainya) dan amat banyak mengandung hikmah.” – Al-Zukhruf:4. Mereka yang ingin melakukan segala sesuatu, termasuk mengurus dengan berhikmah harus berusaha membina kemampuan memahami kedalaman makna kalimat dan ayat al- Qur’an; dan seterusnya menyerap hakikat-hakikat kebenaran Qur’ani itu sehingga membentuk jiwa dan mindanya. Justeru, orang yang berhikmah ialah orang yang mempersepsikan segala sesuatu dengan persepsi Qur’ani dan seterusnya menyikapinya dengan sikapQur’ani. Itulah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pandangan sarwa Qur’ani atau Qur‟anic worldview. Kerana itulah pula pengurusan berhikmah harus bertolak dari worldview Qur’ani, iaitu the way Qur‟an looks at things. Pentingnya pandangan sarwa atau worldview yang benar ialah untuk membina persepsi dan sikap yang benar terhadap segala sesuatu: Tuhan, manusia, alam dan kehidupan, termasuk pekerjaan.

Nilai-nilai Dasar Pengurusan Islami

Menurut perspektif al-Qur’an, manusia adalah khalifah Allah, iaitu wakil Tuhan di bumi dengan misi mengurus alam – memproduksikan manfaatnya dan menyerlahkan keindahannya. Mengurus dengan sikap seorang khalifah Allah (wakil Tuhan) bererti harus melaksanakannya (pengurusan) mengikut pesan tunjuk ajar pihak yang diwakili (Tuhan). Kerana itu seorang pengurus Muslim harus memahami cara dan gaya Tuhan mengurus alam. Dalam kaitan ini antara ayat yang perlu direnung ialah ayat 5-7 surah al-sajdah:

Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan itu) naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadarnya (lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitunganmu. (5)

Yang demikian itu ialah Tuhan Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. (6)

Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan yang memulai penciptaan manusia dari tanah. (7)

Demikianlah hakikat Tuhan sebagai Pentadbir/Pengurus Maha Agung (yudabbir al- amr…) dan Pencipta Maha Cemerlang (ahsana…). Ayat 6 di atas menyenaraikan tiga tonggak utama pengurusan cemerlang sebagaimana yang diperlihatkan oleh Allah s.w.t. sendiri iaitu: ilmu (al-`Alim), keperkasaan ( al-`Aziz) dan kasih-sayang (al-Rahim).

Peri pentingnya ilmu dalam pengurusan memang jelas sebagaimana yang telah diekspresikan dalam pelbagai ungkapan masa kini seperti knowledge based, knowledge management, knowledge workers, knowledge economy, productive knowledge, intellectual capital dan lain-lain sebagainya. Al-Qur’an memang banyak menyebutkan ilmu dalam pelbagai konteks termasuk pengurusan. Nabi Yusuf `a.s. yang disebut kisahnya dalam konteks crisis management, menangani krisis ekonomi Mesir, tampil dengan kridensial keilmuan (surah Yusuf:55). Demikian juga dengan Talut yang disebut

kisahnya dalam konteks kepimpinan. Antara kriteria pengangkatannya ialah kelebihannnya dari segi ilmu (surah al-Baqarah:247).

Ternyata ilmu memang menjadi elemen penting pengurusan dan kepimpinan yang tidak boleh dikompromikan. Dalam realitinya ilmu tidak sentiasa terkumpul dan terpusat dalam satu kepala. Kerana itulah Islam meletakkan shura (musyawarah) sebagai prinsip dan nilai utama pengurusan. Dalam kitan ini shura sangat instrumental sebagai wahana perkongsian ilmu (knowledge sharing). Mungkin dalam konteks masa kini isu tersebut termasuk dalam cakupan knowledge management. Objektif perkongsian ilmu menerusi amalan shura hanya mungkin dicapai jika syarat-syarat asasinya dipenuhi, termasuk: (a.) Jaminan kebebasan berfikir dan bersuara, dan (b.) Adanya kesediaan mendengar. Dengan adanya kebebasan berfikir dan bersuara terbukalah ruang timbulnya idea cemerlang tanpa mengira dari siapa datangnya. Memang dalam budaya shura yang berlaku adalah the authority of ideas, dan bukannya the idea of authorities. Demikianlah shura yang menepati kaedah dan etika Islam akan dapat menghasilkan keputusan berhikmah dengan membuat pilihan terbaik setelah mempertimbangkan pelbagai pilihan (idea) dari pelbagai pihak. Dalam budaya bebas bersuara dan sedia mendengar itulah tersimpannya hikmah, dan kerana itulah al-Qur’an memberikan harapan kejayaan, “…maka gembirakanlah hamba-hamba-Ku (dengan kejayaan mendatang) yang sedia mendengar (dengan serius) segala bicara, lalu mengambil yang terbaik” – Al-Zumar: 17-18. Kalimat fayattabi`una ahsanah dalam ayat tersebut dapat diertikan sebagai memilih the best option. Tetapi itu hanya mungkin jika ada kebebasan menyuarakan al-qawla (kata/bicara) di satu pihak dan ada kesediaan menjagi pendengar yang baik (good listener) di pihak lain.

Dalam kaitan amalan shura sebagai mekanisme sumbang-saran untuk nantinya membuat keputusan kolektif, barangkali ada manfaatnya direnung sebuah anekdot yang dipilih oleh James Surowiecki, kolumnis New Yorker sebagai pembuka tulisannya yang berjudul, The Wisdom of Crowds: Why the Many Are Smarter Than the Few and How Collective Wiadom Shapes Business, Economies, Societies and Nations. Anekdot yang dimaksudkan adalah seperti berikut:-

At the annual West of England Fat Stock and Poultry Exhibition in the fall of 1906, a British scientist named Francis Galton became interested in a weight-judging competition: 800 fair- goers (a diverse group that included butchers, farmers, clerks, housewives, townspeople, smart people, dump people, average people) tried to guess what a particular ox would weigh after having been slaughtered and dressed. The correct unswer was exactly 1,198 lbs. After the judges awarded their prize, Galton borrowed all the entry tickets,     did some arithmetic to get the mean of the fair-goers‟ guesses and found that their collective estimate was … 1,197 lbs. … The random gathering of people turned out to be unexpected collective genius at ox-weight appraisal.

Ternyata hikmah atau wisdom terdapat dalam wacana keilmuan dan amalan berfikir secara kolektif. Kerana itu shura yang memang bertujuan merealisasikan maksud tersebut harus dibudayakan dalam erti dijadikan amalan tetap dan berterusan. Dengan demikian seluruh warga yang terlibat akan terangsang untuk meningkatkan daya fikir dan penguasaan ilmu. Shura yang dilakukan sekali-sekala pada saat-saat terdesak tidak akan membuahkan hikmah kerana ketidaksiapan minda warga yang terlibat. Demikianlah yang terjadi kepada Ratu Balqis dan para pendampingnya ketika menghadapi ancaman ketenteraan dari kerajaan Nabi Sulaiman `a.s. sebagaimana yang kisahkan dalam surah al-Naml: 32-33. Balqis gagal mendapatkan idea cemerlang dari para pengikutnya kerana mereka memang tidak diorientasikan berfikir mencari idea terbaik, sebaliknya mereka telah sebati dengan orientasi kerah dan perintah. Demikianlah salah satu tafsiran yang pernah ditemukan tentang ayat tersebut.

Demikian jelas adanya hikmah dalam amalan shura, namun tidak semua orang menyenanginya. Pemimpin negara demokrasi pun ada yang tidak bersikap positif terhadap musyawarah. Robin Cook, anggota kabinet Tony Blair yang meletakkan jawatan kerana menentang dasar kerajaan Inggeris mengenai perang di Irak, pernah menulis tentang gaya kepimpinan Blair. Katanya, “The Prime Minister has a distaste for open, frank disagreement and likes his decisions well cooked in advance of meetings. …There
is never a paper offering different options for the cabinet to choose between. The result is that the British cabinet is no longer a forum in which decisions are taken, but in which decisions are endorsed.
” Demikianlah jadinya jika hanya sistemnya demokrasi tetapi pelaksananya bukan orang demokrat.

Penguasaan ilmu dapat pula merangsang pemikiran, bukan sahaja tentang masa lalu dan masa kini, tetapi juga tentang masa depan. Demikianlah yang namanya wawasan atau vision dalam erti a mental journey from the known to the unknown, penjelajahan mental dari yang diketahui kepada yang belum diketahui, memcipta senario masa depan berasaskan fakta dan kenyataan masa kini – masalah dan peluang, realiti dan kemungkinan. Sejarah umat Islam bermula dengan revolusi keiimuan yang cetuskan oleh kata pertama dari langit iqra‟! (baca!). Budaya ilmu yang kuat itulah yang telah membentuk generasi berwawasan. Ketika masih di Makkah, sebagai golongan minoriti kecil yang tidak diambil kira oleh sesiapa pun, namun sejak itu lagi mereka sudah ber fakir futuristik dan global. Pangkal surah al-Rum dapat dirujuk sebagai sumber yang mengesahkan fakta tersebut. Sejak seawal itu mereka sudah memikirkan nasib masa depan Islam dalam kaitannya dengan dampak dan implikasi konflik bersenjata antara dua kuasa besar dunia ketika itu (Rom dan Parsi). Lalu mereka mengharap-harap agar akhirnya Rom yang menang kerana menurut perkiraan mereka itu akan lebih baik buat Islam. Demikianlah bacaan politik futuristik yang kemudian menjadi realiti.  Itulah hakikat yang diisyaratkan dalam ayat, “Telah dikalahkan bangsa Rumawi, di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan pada hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman.” – Al-Rum: 2-4..

Ilmu Tuhan, sesuai dengan martabat ketuhanan-Nya, memang tidak berbatas, serba meliputi segala yang ghaib dan segala yang nyata. Ilmu manusia tentu sahaja dibatasi oleh kelemahan kemanusiaannya. Tetapi keterbatasan itu tidak harus menghalangnya daripada membuat ramalan, menggagas senario dan merancang masa depan yang diinginkan. Berasaskan ilmunya manusia boleh membina wawasan atau visi yang dalam konteks ini dapat dijelaskan sebagai the art of seeing things invisible atau

kemampuan melihat sesuatu yang tidak nampak nyata. Mungkin kemampuan seperti itulah yang melatari optimisme Nabi s.`a.w. bahawa Islam akan menumbangkan dua kuasa besar dunia Rom dan Parsi, sehingga ketika dalam perjalanan hijrahnya yang amat kritikal itu Jumjungan s.`a.w. berani menawarkan barang-barang perhiasan/kebesaran Maharaja Parsi kepada Suraqah, penunggang kuda yang jatuh bangun mengejar Junjungan kerana ingin merebut hadiah sejumlah ekor unta yang ditawarkan oleh Quraisy kepada sesiapa yang dapat menangkap Junjungan. Yang ada pada Nabi s.`a.w. itu adalah visi profetik yang mempunyai martabat dan kedudukannya sendiri. Visi manusia biasa tentunya mempunyai kedudukannya yang lain pula. Yang penting manusia harus punya visi. Dalam kaitan ini barangkali kisah Walt Disney dapat menjelaskan makna visi manusiawi itu. Sewaktu Disneyland siap pereka dan perancang projek tersebut, Walt Disney telah tiada. Dalam upacara perasmiannya yang penuh warna warni, beliau diwakili oleh balunya. Ketika itulah juru acara majlis berkata, “Mrs. Disney, I just wish Walt could have seen this!”.  Puan Disney yang sedang berdiri untuk menerima penghormatan bagi pihak mendiang suaminya spontan berkata, “He did!”.  Maksudnya, Walt Disney telahpun menyaksikan semuanya itu dalam visinya.

Penguasaan ilmu juga dapat menjadi pendorong kreativiti. Dalam era persaingan sengit seperti sekarang ini, kreativiti dilihat sebagai salah satu kekuatan daya saing.  Memang sudah sewajarnya kreativiti diberikan perhatian yang secukupnya kerana ia adalah bahagian daripada ciri istimewa makhluk insan yang sekaligus melayakkannya menjadi khalifah di bumi. Pengabaian terhadap kreativiti bererti mempersia-siakan potensi penting kemanusiaan. Kerana itu Nabi s.`a.w. sangat menghargai kreativiti. Junjungan diriwayatkan pernah memberikan hadiah emas kepada seorang penyair Badui yang mencipta puisi indah memuji Allah. Demikianlah antara cara Junjungan s.`a.w. mewujudkan suasana kondusif untuk kreativiti. Memang daya kreatif boleh mati dalam suasana yang serba terkongkong. Isu inilah yang dibangkitkan apabila Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyeru rakyat melakukan inovasi dengan mengambil semangat Las Vegas, “Out of nothing in the desert, they built a city, forty million people visit every year.” Ketika menanggapi seruan tersebut para pengkritik  mengatakan  perubahan  seperti  itu  sukar  berlaku  di  Singapura  kerana kongkongan ketat terhadap kebebasan bersuara yang diamalkan oleh pemerintah mengakibatkan kelesuan kreativiti. (New Straits Times, August 23 2005:34).

Budaya Melayu sebagai cerminan nilai bangsa, banyak mengandungi unsur- unsur penggerak kreativiti. Melayu tidak menghadapi alam dengan sikap pasif, tetapi dengan sikap kreatif. Demikianlah yang dapat ditangkap dari madah berhikmah orang Melayu, “yang setitik dijadikan laut, yang sekepal dijadikan gunung”. Kata-kata yang membayang kan semangat daya maju dan kreatif itu tentu sahaja sekaligus menyiratkan makna nilai ilmu, kerana proses mentransformasikan setitik menjadi selaut, sekepal menjadi segunung jelas memerlukan ilmu yang bersifat transformatif pula.

Sifat al-`Aziz (Maha Perkasa) yang mencirikan keunggulan pengurusan ketuhanan dalam ayat di atas harus diterjemahkan pada tahap kemanusiaan dalam rupa pengurusan yang kuat, berwibawa dan berkesan. Al-Qur’an memang menjadikan kekuatan sebagai nilai asasi kepimpinan/pengurusan sebagaimana yang terjelma pada kualiti pengurusan Nabi Musa `a.s. yang disebut sebagai al-qawiy al-amin (kuat dan amanah). Kombinasi dua nilai utama itulah yang membina kompetensi pengurusan Nabi Musa `a.s. dalam melaksanakan misi pemerkasaan bangsa, atau lebih jelas lagi pemberdayaan (empowerment) kaum Bani Isra’il yang telah sekian lama lumpuh dalam jiwa hamba akibat deraan pemerintahan teror kefir`aunan.

Kekuatan Nabi Musa `a.s. bukan hanya pada perwatakan peribadinya, tetapi juga pada cara bekerjanya, iaitu bekerja secara berpasukan (`amal jama`iy). Ketika diperintahkan oleh Allah s.w.t. untuk menyampaikan mesej peringan Tuhan kepada Fir`aun, Musa menyanggupinya dengan satu permintaan agar beliau dibenarkan membawa Harun `a.s. bersamanya. Permintaan yang diserta alasan bahawa Harun lebih petah (afsahu minni lisanan) atau memiliki kelebihan kekuatan komunikatif itu telah diperkenan oleh Tuhan. Kesimpulan yang dapat dibuat berasaskan pengkisahan tersebut ialah kekuatan bekerja dalam pasukan yang saling melengkapi dan perlunya seseorang yang dimandatkan sebagai pelaksana sesuatu tugas diberi hak untuk memilih sendiri anggota pasukannya dengan syarat berdasarkan alasan yang meyakinkan.

Apabila disebut sifat keanggotaan yang saling melengkapi, maksudnya pasukan kerja yang ideal adalah yang mengandungi kepelbagaian latar, keahlian dan pengalaman. Dalam kaitan ini keperbagaian adalah kekuatan. Fred Guterl yang menulis tentang True Teamwork memberikan justifikasi kepelbagaian sebagai kekuatan pasukan, “The idea is simple, when people of different points of view get together, they question each others way of doing things and habits of thought. From this collision of different ways of looking at the world come new ideas – cieativity.” (Newsweek, May 9, 2005: 46-47). Sesuai dengan itu mungkin ada alasannya apabila dikatakan bahawa, “a team is many voices with a single heart.”, suara boleh beragam tetapi hati (tekad dan matlamat) tetap satu. Nilai semangat berpasukan sebagai faktor kekuatan tampaknya wujud juga dalam tradisi dan budaya Melayu. Mungkin ada manfaatnya kita melihat kisah Hang Tuah dari sudut pengurusan. Wira tradisional Melayu itu tidak tampil sendirian, tetapi bergerak dalam sebuah pasukan yang terdiri daripada rakan-rakan setianya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Pengarang Hikayat Hang Tuah sebenarnya boleh menampilkan wira Melayu tersebut sendirian sebagai manusia super yang tidak memerlukan bantuan sesiapa. Tetapi pengarang Melayu ingin menyampaikan mesej edukatif kepada khalayaknya bahawa one man show bukan cara Melayu dan bukan nilai Melayu.

Demikianlah pula dengan sifat al-Rahim (Maha Penyayang) yang mencirikan pengurusan Rabbani yang harus diaplikasikan dalam gaya pengurusan kita. Pengurusan penyayang terjelma dari watak penyayang para pengurus. Kejayaan Nabi s.`a.w. mengurus misi kerasulannya adalah berkat sifat penyayangnya. Hakikat inilah yang diabadikan dalam al-Qur’an, “Sesungguhnya telah dating kepadamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.`a.w.) yang merasakan beratnya derita yang kamu tanggung, yang sangat prihatin dengan untung nasibmu, yang amat mengasihi dan amat menyayangi semua umat beriman.” (al-Tawbah:128). Dengan sifat penyayang yang tulen Junjungan mendapat dukungan padu dari seluruh warga sehingga segala urusan dapat disempurnakan dalam semangat kebersamaan yang kental. Ayat tersebut membayangkan keunggulan pengurusan profetik berasaskan kasih-sayang yang timbal-balik.  Nilai kasih-sayang seperti itulah yang kemudiannya menyerap ke dalam gaya pengurusan Melayu yang ternyata sangat menjaga keakraban di kalangan warga sebagaimana yang terungkap dalam madah pusaka:

Yang didahulukan selangkah, yang ditinggikan seranting, yang dilebihkan serambut.

Demikianlah mendalamnya kesedaran tentang bahaya jurang pemisah di antara pemimpin dengan pengikut dan di kalangan sesama warga.

Sebenarnya budaya Melayu sebagai bahagian daripada rumpun budaya Islam amat kaya dengan hikmah yang diperah dari khazanah al-Qur’an di samping hikmah yang dipelajari dari persekitaran alam ciptaan Tuhan, flora dan fauna yang juga banyak menyerlahkan hikmah. Kerana itu dalam perbendaharaan madah hikmah Melayu terdapat ungkapan, “alam terkembang dijadikan guru”. Apresiasi Melayu terhadap alam sebagai ayat atau tanda kebesaran Tuhan dapat disaksikan dalam warisan budaya Melayu, termasuk seni ukirnya yang berupa awan larat bermotifkan bunga-bungaan dan dedaunan pokok menjalar. Di balik motif sedemikian itu tersirat falsafah nilai kasih- sayang:

Tumbuh berpunca, punca penuh rahsia, tumbuh tidak menunjak kawan, memanjat tidak memaut lawan, tetapi melengkar penuh mesra.

Penutup

Demikianlah, sekadar renungan di tengah semangat mencipta kecemerlangan dan keunggulan kepengurusan yang diilhamkan oleh kesedaran tentang hakikat Maha Kuasa dan Maha Bijaksananya Tuhan (al-`Aziz al-Hakim) mencipta dan mengurus alam. Hanya Dialah Pencipta dan Pengamal tatakelola (good governance) yang sebaik-baiknya. Ketika di mana-mana orang ghairah mewacanakan isu tatakelola yang baik, kenapa kita tidak ikut serta dengan gagasan yang kita gali sendiri dari khazanah hikmah Ilahiah yang tersimpan dalam kitab suci-Nya.

Manusia Muslim adalah manusia Rabbani yang wataknya adalah cerminan nilai-nilai Ilahiah, yang hidup matinya kerana Allah dan segala amal kehidupannya adalah pengabdian kepada-Nya. Sesungguhnya segala yang kita miliki, malah diri kita sendiri sebenarnya adalah milik mutlak Allah yang dipinjamkan dan diamanahkan kepada kita. Kita akan kembali kepada-Nya untuk proses pertanggungjawaban terakhir. Di sanalah kita menjawab pertanyaan, bagaimana kita mengurus segala yang telah diamanahkan, selarikah dengan prinsip dan nilai pengurusan yang diredhai-Nya.

Rujukan

Al-Dayb, Ibrahim. 2005. Usus wa Maharat al-`Amal al-Jama`iy. Al-Mansurah: Dar al-Fafa’.

Al-Madi, Muhammad al-Muhammadiy. 2000. Istratijiyyat al-Taghyir al- Tandhimiy: Madkhal Islamiy Muqaran. Kaherah: Dar al-Nashr li al- Jami`at.

Al-Shaykh, Susan Salim., 2003. Idarat wa Mu`alajat al-Azmat fi al-Islam.

Kaherah: Dar al-Nashr li al-Jami`at.

Bergeron, Bryan. 2003. Essentials of Knowledge Management. New Jersey: Wiley.

Hadi Mutamam, Drs. H., 2001. Hikmah dalam al-Qur‟an. Yogyakarta: Madani Pustaka Hikmah.

Harun Yahya, 2004. True Wisdom Described in the Qur‟an. New Delhi: Goodword Book.

RAHSIA KEMATIAN DAN KEHIDUPAN SETERUSNYA

Penulis : Dr Isbah Teras Jernang Ramai yang tidak menyukai pembicaraan tentang kematian. Ianya sebuah kejadian yang senyap, tetapi membawa kesan yang mendalam di seluruh kehidupan kita. Apabila kematian berlaku, [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara