Dalam era dunia yang semakin mencabar dan kompleks, umat Islam perlu dibangkitkan dan ditunaskan dengan minda baru untuk memacu nahdah atau kebangkitan ekonomi. Konsep “Minda Nahdah Ekonomi” bukan sekadar bermaksud kemajuan ekonomi semata-mata, tetapi ia juga merangkumi penjanaan nilai, kesaksamaan sosial, dan keadilan ekonomi, sejajar dengan prinsip-prinsip Islam. Nahdah ekonomi ini, akan mampu membawa masyarakat ke arah pembangunan yang seimbang dan menyeluruh, memenuhi tuntutan kekahlifahan manusia untuk beribadah dan memakmurkan bumi ini.
Umat Islam hari ini yang berada dalam situasi di mana ketidakseimbangan ekonomi, ketidaksaksamaan, dan kebergantungan kepada ekonomi global telah menimbulkan cabaran begitu yang besar. Justeru, keperluan kepada kebangkitan nahdah ekonomi amat penting dan perlu ditunaskan seawal alam persekolahn lagi.
Merungkai Jajaran Kemiskinan Umat
Dengan nahdah ekonomi, umat Islam boleh memperkasakan diri mereka melalui pembangunan ekonomi yang berdasarkan teras keadilan dan keberkatan. Instrumen seperti zakat dan waqf dapat dimanfaatkan untuk membangun masyarakat melalui intergrasi dengan kegiatan ekonomi sehingga dapat mewujudan peluang-peluang ekonomi dan nilai tambah di setiap peringkat, yang akhirnya akan meningkatkan nilai pendapatan, simpanan, pelaburan dan kuasa beli masyarakat.
Memastikan Keutuhan dan Kelestarian Ekonomi
Nahdah ekonomi perlu untuk mengurangkan kebergantungan jangka panjang umat Islam kepada sistem ekonomi konvensional, yang tidak sejajar dengan prinsip dan teras Islam. Dengan mengutamakan ekonomi berasaskan nilai, umat Islam dapat memastikan keutuhan, kelestarian dan kebebasan ekonomi mereka.
Mengekalkan Relevansi Ekonomi Global
Dalam dunia global, umat Islam perlu menjadi ‘pemain utama’ dalam ekonomi dunia, dengan memanfaatkan potensi sumber manusia, alam, dan teknologi yang tersedia, dan terus memacu inovasi dalam pasaran dengan keupayaan untuk mengeluarkan produk-produk yang mampu berdaya saing di pasaran global, dan terus mencipta nilai tambah dan keunikan nilai yang ada pada produk-produk yang berteraskan prinsip-prinsip syariah. Dan, teras syariah ini mampu diterjemah ke dalam bentuk manfaat, yang mampu memberikan kebaikan penggunaan kepada semua pihak, sejajar dengan ruh Islam sebaga pembawa rahmat kepada sekalian alam.
Kesan Nahdah Ekonomi kepada Umat Islam
Kesan nahdah ekonomi kepada umat Islam adalah signifikan dan memberi impak yang mendalam kepada kehidupan masyarakat secara keseluruhan, sehingga Islam boleh dianggap sebagai cara berekonomi yang terbaik mengatasi jajaran ekonomi semasa.
Pengurangan Jurang Sosial
Melalui pengagihan sumber yang adil melalui zakat, waqf, dan sadaqah, golongan miskin akan mendapat bantuan yang sewajarnya untuk memperbaiki taraf hidup, sebagai bantu loncatan untuk membuka peluang-peluang ekonomi, agar mereka tidak selamanya berada dalam jajaran kemiskinan. Tindakan ini juga mengurangkan jurang antara golongan yang kaya dan miskin, serta mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni.
Pelaksanaan nahdah ekonomi yang berasaskan kepada keadilan sosial akan memastikan pengagihan sumber ekonomi yang lebih saksama dalam pasaran, tidak hanya berlegar-legar dikalangan kelompok tertentu dalam masyarakat, sehingga yang kaya bertambah kaya, dan yang miskin terus dihimpit dengan kemiskinan.
Peningkatan Taraf Hidup
Umat Islam beruapaya memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik, akses kepada pendidikan, dan perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan. Dengan teras ekonomi yang berpaksikan kepada yang bersifat ibadah dan imarah, taraf hidup masyarakat secara keseluruhan dapat ditingkatkan, dan matlamat kekhalifahan dapat dicapai dengan lebih berkesan serta wujudnya nilai tambah untuk terus memperkemaskan hubungan antara ibadah dan imarah.
Keberkatan dalam Ekonomi
Ekonomi yang dibangunkan berdasarkan teras dan nilai syariah mampu membawa keberkatan, meningkatkan keharmonian, dan melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab dalam menggunakan sumber-sumber ekonomi. Keberkatan ini menjadi asas kepada kestabilan ekonomi jangka panjang, sekaligus meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan, kerana masing-masing telah mendapat hak yang berhak dan mereka tidak sewenang-wenangnya mengambil hak orang lain secara batil.
Pengimarahan Bumi
Aktiviti ekonomi seperti pertanian lestari, pembangunan tenaga hijau, dan pengurusan sumber secara berhemah dan didasari dengan ‘good governance’ akan menyokong usaha menjaga keseimbangan ekosistem dalam ekonomi. Pengimarahan bumi juga memastikan sumber alam terus lestari untuk generasi akan datang.
Nahdah ekonomi tidak hanya memberi fokus kepada keuntungan material, tetapi juga menjaga keseimbangan ekosistem dan memakmurkan bumi ini, yang merupakan amanah daripada ALLAH SWT.
Hubungan antara Ibadah, Imarah, dan Dakwah
Ibadah, imarah dan dakwah, adalah tiga (3) konsep yang saling berkaitan dalam membentuk kehidupan yang seimbang dan bermakna dalam masyarakat. Usaha memakmurkan bumi melalui kegiatan ekonomi tidak hanya terhad kepada keuntungan material, tetapi juga mencerminkan komitmen kita semua terhadap amanah sebagai khalifah di muka bumi, untuk diimarahkan dengan sebaiknya dan bebas daripada kerosakan akibat daripada kejahatan tangan-tangan manusia.
Ibadah sebagai Panduan Nilai
Ibadah bukan sahaja terhad kepada nilai sritual seperti solat dan puasa, tetapi juga mencakupi setiap tindakan yang dilakukan untuk memenuhi tanggungjawab sebagai khalifah di bumi ini. Dalam konteks ekonomi, ini termasuk pengurusan sumber alam, pelaburan yang beretika, dan keadilan dalam sebarang kegiatan ekonomi.
Imarah sebagai Tanggungjawab Sosial
Pembangunan ekonomi yang berteraskan imarah melibatkan usaha untuk memperbaiki kesejahteraan masyarakat dan menjaga kelestarian alam. Contohnya, pertanian lestari, pembangunan teknologi hijau, dan penyediaan pekerjaan yang bermaruah adalah bentuk imarah yang memperkukuh hubungan manusia dengan Allah dan alam sekitar.
Dakwah melalui Aktiviti Ekonomi
Dakwah dalam konteks ekonomi adalah usaha untuk mengubah mentaliti umat Islam agar tidak hanya bergantung kepada bantuan semata-mata atau hidup dengan hanya berpeluk tubuh, meyerah kepada takdir sepenuhnya tanpa berusaha. Umat Islam perlu dididik dan ditunaskan untuk mengambil tanggungjawab dalam membangun ekonomi dengan memanfaatkan potensi dan sumber yang tersedia. Aktiviti ekonomi yang dijalankan dengan keikhlasan dan prinsip syariah menjadi medium dakwah yang efektif, menunjukkan contoh dan teladan terbaik kepada masyarakat.
Mengintegrasikan Ibadah, Imarah dan Dakwah
Hubungan antara ibadah, imarah, dan dakwah bermakna bahawa setiap aktiviti ekonomi perlu dirancang dan dilaksanakan dengan mengambil kira prinsip maqasid yang menyeluruh dan seimbang. Dengan cara ini, ekonomi Islam dapat mencapai keseimbangan antara material dan spiritual, iaitu kecemerlangan dunia dan akhirat.
Nilai Tambah dan Surplus dalam Ekonomi
Ekonomi Islam tidak hanya bertujuan untuk memenuhi keperluan material, tetapi juga untuk mencipta nilai tambah (value propositions) yang berasaskan teras keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH SWT. Salah satu aspek yang sangat penting dalam mengagaskan minda nahdah ekonomi, ialah pemahaman terhadap konsep surplus nilai tambah dan surplus dalam ekonomi yang digunakan untuk manfaat bersama, bukan hanya untuk keuntungan individu semata-mata, bahkan berupaya memperkemaskan nilai ibadah.
Nilai tambah dalam ekonomi Islam boleh dihasilkan melalui pendekatan yang beretika dan adil dalam perniagaan, pelaburan, dan pengurusan sumber. Misalnya, prinsip Al-Adl (keadilan) dan Al-Ihsan (kebaikan) memastikan bahawa setiap transaksi dilakukan secara adil dan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat. Konsep ini bukan sahaja merangsang kestabilan ekonomi, tetapi juga meningkatkan keberkatan dalam kehidupan kita semua.
Merangsang Ekonomi Melalui Sadaqah, Zakat, dan Waqf
Salah satu mekanisme utama dalam ekonomi Islam untuk merangsang pertumbuhan ekonomi adalah melalui instrumen seperti sadaqah, zakat, dan waqf. Ketiga-tiga instrumen ini bukan sahaja menjadi ‘alat ibadah’ tetapi juga berfungsi sebagai ‘alat imarah’, penggerak ekonomi yang signifikan.
Sadaqah adalah sumbangan seacra sukarela yang tidak terhad kepada harta benda sahaja, malah merangkumi masa, tenaga, dan ilmu pengetahuan. Melalui sadaqah, golongan yang memerlukan dapat dibantu, manakala mereka yang memberi memperoleh keberkatan dan kebaikan. Ia adalah usaha timbal balas yang berlaku secara natural.
Zakat merupakan salah satu rukun Islam yang diwajibkan ke atas golongan yang berkemampuan dan memenuhi nisab. Dengan pengutipan dan pengagihan zakat yang sistematik, jurang antara golongan kaya dan miskin dapat dirapatkan, sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan sosial. Selain itu, zakat juga mampu meningkatkan kuasa beli masyarakat, apabila wang zakat digunakan untuk memperkasakan golongan fakir dan miskin, yang seterusnya alirannya masuk ke dalam putaran ekonomi.
Waqf ialah pemberian kekal yang hasilnya digunakan untuk kebaikan masyarakat. Melalui waqf, institusi seperti sekolah, hospital, dan infrastruktur lain dapat dibangunkan tanpa membebankan belanjawan negara. Dalam sejarah, waqf telah membuktikan keberkesanannya sebagai alat pembangunan ekonomi yang mampan.
Meningkatkan Kuasa Beli dan Merangsang Ekonomi
Kuasa beli merupakan elemen penting dalam memastikan kestabilan ekonomi. Dalam konteks nahdah ekonomi, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan kuasa beli masyarakat:
Memperkasa Usahawan Kecil dan Sederhana
Usahawan kecil dan sederhana perlu diberikan sokongan dalam bentuk modal, latihan, dan akses pasaran. Langkah ini dapat meningkatkan pendapatan mereka, sekali gus meningkatkan kuasa beli masyarakat, melalui peningkatan pendapatan mereka melalui peluang-pelung pekerjaan yang wujud, hasil peningkatan pengeluaran dan agihan dalam ekonomi.
Menggalakkan Perbelanjaan Secara Berhemat
Perbelanjaan yang beretika dan berhemah perlu diterapkan dalam masyarakat. Islam mengajar agar umatnya tidak berbelanja secara berlebihan dan tidak terlalu kedekut untuk berbelanja, kerana ia mempengaruhi secara langsung aliran pergerakan ekonomi, serta memastikan bahawa setiap perbelanjaan memberi manfaat.
Mengintegrasikan Teknologi dalam Ekonomi
Digitalisasi dan automasi dalam sektor ekonomi boleh meningkatkan produktiviti dan daya saing. Teknologi juga boleh digunakan untuk memperluaskan pasaran produk dan perkhidmatan tempatan ke peringkat global, yang boleh merangsang kerancakan aliran ekonomi.
Meningkatkan Kesedaran Berdikari
Nahdah ekonomi mendorong umat Islam untuk bergantung pada usaha dan kebolehan sendiri, mengubah mentaliti daripada hidup bergantung kepada bantuan semata-mata. Ini merangsang budaya kerja keras, inovasi, dan penglibatan aktif dalam pelbagai ekonomi aktiviti.
Perubahan minda nahdah ekonomi adalah kunci kepada kebangkitan umat Islam dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. Dengan menjadikan teras dan nilai Islam sebagai panduan, masyarakat dapat mencapai kemajuan yang seimbang dan berkat. Nahdah ekonomi bukan sahaja memartabatkan umat Islam, tetapi juga memastikan keadilan sosial, kemakmuran ekonomi, melewati jajaran bangsa dan agama. Hubungan antara ibadah, imarah, dan dakwah perlu ditekankan, agar setiap usaha ekonomi menjadi satu bentuk ibadah yang memakmurkan bumi dan menjadi contoh terbaik dalam pembangunan ekonomi sejagat dan sebagai keabsahan nilai rahmatan lil alamin Islam.
Abdul Hadi Bin Jusoh
Ahli Wadah Selangor: 1900
5 Januari 2025, Kajang.