
Teks Ulasan Membahas Amanat Pimpinan (MAP) 2024.
oleh Hasri Harun, Timbalan Presiden WADAH.
PENDAHULUAN
Bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kita kesempatan dan masa untuk bersama-sama dalam dewan mulia ini bagi membicarakan dan membahaskan Amanat Pimpinan yang telah disampaikan oleh Dato Presiden Wadah pada 18 Oktober 2024 yang lalu. Amanat yang bertemakan “Misi Ummatik: Kerangka Budaya Damai Dalam Menghadapi Perubahan Geo-Politik Dunia”. Inilah satu tradisi penting gerakan ini agar memperkemas strategi dakwah di seluruh negara di samping memperteguh agenda perjuangan. Satu tema yang cukup penting sebagai warga gerakan melihat dan menelusuri peranan dan tugas sebagai Da’ie yang global, bukan sahaja berbicara tentang aspek-aspek kecil dalam titik bengik masyarakat namun kita telah membina tasawwur yang jelas akan masa depan dan citra besar gerakan yang membuka minda dan pemikiran yang jauh ke hadapan terhadap isu-isu semasa melatari umat dan generasi.
Sebagai sebuah gerakan Islam yang diasaskan pada awal tahun 70-an, pemikiran kita bukan hanya mengangkatkan martabat umat di kalangan masyarakat dalam negara semata-mata. Dalam wacana-wacana yang dibentangkan para pimpinan sejak dulu sering mengingatkan kita semua bahawa usaha, jihad dan dakwah yang kita lakukan dahulu dan kini adalah untuk membangunkan umat dalam diri, keluarga, masyarakat negara dan dunia. Berlatarbelakangkan semangat wahdatul ummah (we one ummah) yang semakin menebal di kalangan para pemimpin kita, telah melebarkan peranan dan tugas menggerakkan agenda dakwah secara menyeluruh. Tidak hanya mementingkan aspek-aspek dalaman yang sememangnya penting dalam dakwah tetapi semangat para du’at yang dibangunkan itu adalah jihad ummat. Melebarkan kefahaman Islam secara harakiy, mendalam dan tanpa meletakkan kepentingan diri dan organisasi melebihi daripada kepentingan umat dan Islam itu secara menyeluruh. Jangan kita merasa kerdil dalam perjuangan ini, kita adalah mata rantai perjuangan Nabi SAW. Walau sekecil mana usaha, itu tidak dipandang melainkan apakah telah dibangunkan usaha semaksimanya. Firman Allah dalam surah al-Imran 139 mengingatkan;
وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Maksud: “Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”
Wadah Pencerdasan Umat adalah mata rantai perjuangan gerakan Islam awal tahun 70-an dan kita tidak merasakan kita organisasi baru berada di lapangan dakwah di Malaysia. Berdasarkan semangat itu, beberapa aspek penting harus kita tegakkan adalah semangat dan budaya Islam yang rahmah, mengasihi dan menjadikan setiap daripada rencah umat walaupun bukan daripada kelompok kita adalah mad’u yang harus kita tangani dengan baik. Oleh kerana itu, dalam amanat pimpinan kali ini, kita meletakkan fokus bagaimana peranan gerakan menghadapi cabaran dan sikap bersama masyarakat Islam dan bukan Islam itu sebagai satu daripada pendekatan yang sebaiknya, tanpa menolak dan mengetepikan pendirian syariat dan ibadat kita. Dakwah adalah mata rantai perjuangan yang memerlukan satu sikap yang tajam. Bukan mudah untuk melabelkan orang itu sekular dan munafik tanpa bukti dan dalil. Peringatan Rasulullah SAW:
أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا
Maksudnya: “Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya: Wahai kafir. Maka jatuhlah (kafir itu) ke atas salah seorang daripadanya.”
(Riwayat al-Bukhari)
Begitu juga kita diangkat menjadi da’ie adalah berperanan memurnikan segala pertelagahan bukan menimbulkan perpecahan yang tidak berkesudahan. Peranan kita sebagai wadah pencerdasan umat adalah memberi bimbingan dan panduan serta mencerdaskan pemikiran umat dan masyarakat dalam mendepani cabaran semasa. Teguhkanlah semangat perjuangan ini tanpa rasa lemah, kita punya medan masih jauh dan memerlukan penggerak-penggerak yang istiqamah dan bersedia melalui cabaran mendatang.
DAKWAH DI RANTAU ASEAN
Pada tahun ini kita mengangkat tema Ta’ayush atau Hidup Damai dalam Komuniti Asean. Sudah sampai masanya kita merangka agenda dakwah dengan lebih meluas, bukan sahaja berpencak silat di lapangan negara kita malah menyediakan ruang dan lapangan dakwah dengan lebih luas bersama-sama jiran-jiran kita serantau. Dakwah dalam konteks masyarakat berbilang kaum ini bukan baru dalam gerakan kita. Apatah lagi Malaysia sendiri sememangnya sejarah mentakdirkan hidup dalam komuniti berbagai agama, budaya dan bahasa. Sudah tentu kita harus memperkukuh strategi dakwah masyarakat majmuk ini dengan lebih berkesan tanpa rasa segan dan malu. Kita telah membuktikan bahawa dengan adanya Islam di negara ini, kita tidak pernah dianaktirikan sebagaimana berlaku dalam negara-negara majoriti bukan Islam. Akibat sikap tidak menghormati kepelbagaian ini wujud serangan dan tindakan tidak berperikemanusiaan di kalangan masyarakat dan yang paling menyedihkan tindakan tidak berperikemanusiaan kepada masyarakat minoriti muslim. Inilah satu bentuk dakwah dan pendekatan yang kita sebagai masyarakat madani harus ketengahkan. Dengan sikap terbuka dan kekuatan kepimpinan negara di bawah Dato Seri Anwar Ibrahim, saya berpandangan usaha ini tidaklah suatu yang menghalang usaha mengangkat tema budaya hidup damai dalam komuniti berbilang agama dan budaya di rantau Asia Tenggara ini. Keyakinan ini kita zahirkan dalam konteks meluas apabila, saya menzahir keyakinan ini lewat tulisan saya tahun lalu :
“Sebagai sebuah negara pelbagai agama dan budaya seperti Malaysia, mengikut perlembagaan Islam adalah agama persekutuan, maka tidak menjadi satu halangan untuk mengetengahkan hidup damai secara aman. Masyarakat Malaysia masih berpotensi menjadi contoh kepada masyarakat bukan Islam dalam memimpin kehidupan lebih harmoni selaras dengan prinsip Islam”.
(Hasri Harun (2024) Ruangan Agama Berita Harian)
Oleh sebab kita harus bersama-sama mengangkat peranan dan tugas kita lebih luas. Gerakan tidak harus rasa rendah dan kerdil dalam mengangkat agenda dakwah global ini agar peranan dan tugas dakwah dalaman negara yang dipasakkan dengan agenda Madani ini dapat dikongsi dengan jiran-jiran kita serantau ini. Sebab itu semua pihak seperti ABIM, PEPIAS dan Wadah Selangor boleh merangkan agenda bersama mengangkat tema dakwah global ini agar usaha kita dikongsi dan meluas ke serantau Asean. Potensi negeri bertuah ini amat memerlukan sentuhan kita untuk membina medan dakwah yang seluasnya tanpa merasa rendah dan kerdil dalam konteks pembangunan negara.
HAMBATAN DALAM MALAYSIA TERCINTA
Dalam konteks muktamar kali ini, kita tidak lupa juga untuk mengetengahkan agenda dalaman yang juga penting untuk terus ditangani dengan sebaiknya. Walau kita sebuah negara majoriti umat Islam namun cabaran kita tetap sama dan mungkin lebih besar kerana selagi mana tekad dan semangat dalam perjuangan ini terus membara, ujian dan cabaran juga tidak kurang hebatnya. Antara cabaran dalaman yang juga perlu kita sama-sama perkemas adalah cabaran bagaimana untuk mendepani sifat Ghuluw (ekstrem) dan cabaran kesesatan yang makin berleluasa.
Saya teringat peringatan Allah SWT dalam Surah Ar-Rum, ayat ke 30:
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًۭا ۚ فِطْرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ
وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُون
Maksudnya: “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama yang hanif (Islam). Itulah fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah (Islam) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
Islam juga menekankan pendekatan yang sederhana (wasatiyyah) dalam semua aspek kehidupan. Secara langsung, ini menjadikan ianya praktikal dengan mengambil kira fitrah semula jadi manusia. Seharusnya umat Islam juga mengambil berat terhadap aspek kesederhanaan ini. Mempunyai salah faham tentang Islam akan mengakibatkan wujudnya golongan ekstremis dalam masyarakat yang akan melahirkan tindakan-tindakan yang sememangnya tidak sesuai dengan Islam.
Tindakan yang mencalarkan imej Islam dan menimbulkan kecelaruan kefahaman tentang Islam, perbincangan tentang cabaran pemikiran yang melanda umat Islam terus menjadi topik di arus perdana. Ini bertujuan untuk menjadi panduan agar umat Islam tidak mudah terpengaruh dengan pemikiran yang tiada asas dalam Islam terutamanya yang bercangggah dengan prinsip-prinsip Islam itu sendiri. Apa yang wajar kita lakukan pada hari ini adalah mendepani sikap ghuluw yang tidak berkesudahan. Dalam konteks masyarakat dan malaysia sebuah negara yang berbilang kaum dan bangsa, adalah tidak adil untuk kita bersikap zalim terhadap umat Islam apatah lagi mereka yang bukan Islam. Ya benar, memang ada kalangan masyarakat bukan Islam yang bersikap tidak baik kepada Islam namun wajarkah kita mengambil pendekatan yang ekstrem dalam menghadapi mereka. Apatah lagi wujud juga kelompok umat Islam yang mengambil kesempatan atas pertelagahan ini dan menggunakan media bagi memanaskan lagi fenomena yang tidak berkesudahan. Apa peranan kita dalam menghadapi usaha ini. Wadah melihat kita harus melebarkan faham Rahmah. Mendekatkan diri dengan program-program keislaman yang menampilkan sikap kasih sayang dan mendidik umat agar saling berkasih sayang dan tidak melakukan segala bentuk keburukan dalam masyarakat. Apa maknanya kita sebagai umat Islam yang memegang semangat Islam sebagai agama Salam, melakukan sikap kekerasan dan tindak balas yang merugikan umat dan negara.
AI DAN CABARAN MASA DEPAN
Gerakan kita jika ingin terus relevan dan berada di persadanya tidak boleh tidak harus berani untuk melakukan perubahan. Walaupun kita mengakui bahawa bukan mudah perubahan ini boleh dilakukan tetapi kita harus berani dan tidak menoleh ke belakang untuk terus maju ke hadapan. Dakwah kita tidak seperti dahulu, berbicara dengan kadar dan kaedah konvensional serta terbatas. Dengan adanya medium dan pendekatan baharu ini, gerakan juga dengan penuh kesedaran tanpa bersikap pesimis terhadap kepentingan ini, kita juga harus memberi tumpuan agar pendekatan kita nantinya tidak tertinggal ke belakang. Memang ada kewajaran AI ini baik dan buruknya tetapi bukan AI itu yang menentukan baik buruknya, tetapi kita sebagai manusia yang membangunkan pengisian dan konten dalam medium ini harus sedar dan mengisinya dengan baik agar membentuk masyarakat yang berpengetahuan dan berhikmah. Sudah tentu AI tidak akan selamanya akan berperanan seperti kita tetapi AI memberi kemudahan dan ruang dakwah yang sangat besar untuk lebih menyerap dalam jiwa masyarakat.
MALAYSIA MADANI RUANG DAKWAH MURNI
Hari ini kita ditakdirkan Allah dengan ruang dakwah yang baik dan mudah bagi menjalankannya dalam masyarakat. Dengan terangkatnya Datuk Seri Anwar sebagai PM, ingin saya katakan bahawa ruang dakwah itu semakin mudah dan yang penting adalah bagaimana kita memanfaatkan ruang dan peluang itu bagi mengangkat tema kerahmatan dan sifat wasatiy dalam masyarakat yang berbilang kaum. Peranan dan agenda Malaysia Madani yang kita depani hari ini bagi wadah bukanlah satu agenda baru yang diangkat oleh PM. Ia adalah mata rantai perjuangan ABIM dan PKPIM sejak dahulu dan kini. Biarpun ia bukan satu jenama yang kecil tetapi semangat dan cita-citanya harus sama-sama kita angkat untuk memanfaatkan dakwah dalam negara. Gejala meremeh-remehkan tema Madani harus kita depani dan tangani dengan baik dan betul. Bukan sahaja mereka yang tidak berada pada zaman kegemilangan dan kebangkitan Islam pun barangkali meremehkannya namun ada jugak mereka yang iri hati dan merasa tergugat dengan perkembangan Islam dan masyarakat dan perkembangan sosial dan ekonomi yang semakin baik di bawa Malaysia Madani. Apa maknanya kita mengangkat budaya dan cara dakwah yang baik tanpa ketamadunan dan ciri-ciri yang sama kita dokongan sejak dari zaman rasulullah SAW hingga kini. Ya benar, memanglah ianya tidak sempurna tetapi janganlah sampai bersifat cemburu dan tidak menghargai apatah lagi mengiktiraf kejayaan yang diperolehi.
Wadah dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN
Peranan dan tugas kita juga tidak hanya berlatarkan lokal malah bersifat global. Wadah harus bangkit membantu dan memimpin gerakan Islam sejagat dan seantero dunia. Alhamdulillah, 2025 Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN. Oleh itu gerakan kita telah bersama-sama mengambil pendekatan memulakan usaha secara madani, menghimpun dan mengajak para ilmuwan dan aktivis bersama-sama dengan kekuatan Malaysia dalam menggerakkan agenda hidup damai dalam pelbagai budaya dan bangsa. Dalam rantau Melayu bermula daripada selatan Thailand secara sejarahnya telah terbukti pernah menjadi sebuah rantau ekonomi yang dihormati satu masa dahulu. Kerajaan-kerajaan Islam yang dahulunya kuat telah menjadikan sikap tolak ansur menghargai kepelbagaian dan hidup dalam kedamaian walaupun masih berbeza agama dan budaya. Mengapa tidak formula ini kita gerakkan supaya rantau ini akan menjadi model sebuah kehidupan yang baik dan tenteram dari segi ekonomi, budaya dan kehidupan. Agenda Madani ini bukanlah baharu bagi kita gerakan Islam. Ianya telah diteroka sejak Dato Seri Anwar dalam gerakan ABIM. Oleh itu, di sinilah ruang yang kita ada perlu melaksanakan agenda perjuangan Madani ini. Saya petik antara teks ucapan Presiden ABIM membicarakan persoalan dakwah Madani yang terungkap dalam Muktamar Tahunan ABIM pada tahun 1983 :
“Kita bukan sekadar badan tabligh dalam yang sempit, kita bukan sekadar badan kebajikan pengumpul dan mangsa kecelakaan, kita bukan parti politik pemburu undi, kita bukan sekadar badan koperasi ekonomi pengaut laba. Tetapi kita adalah Harakah Islamiah pelanjut tugas pengembangan dan pelaksanaan risalah samawiyyah yang serba lengkap – mencakupi seluruh manusia, meratai segala tempat, meliputi setiap zaman dan menggenapi segala bidang kehidupan. Di hadapan kita terbentang gelanggang yang amat luas untuk dijelajahi dalam rangka melaksanakan risalah Islam sebagai pendakwah, sebagai pentarbiyyah, sebagai juru Islah, sebagai pembela kaum mustad‘afin, sebagai pejuang ekonomi umat, sebagai tanda politik non-partisan, sebagai pengempur terhadap mereka yang cuba mencabul kedaulatan ajaran Allah”.
(Siddiq Fadhil, “Menyahut Cabaran Abad Kebangunan”, dalam Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM, Mengangkat Martabat Umat, h. 66.)
من هنا نَتَقَدَّمُ ( MIN HUNA NATAQADDAM)
Saya ingin tegaskan dengan sesungguhnya sesi dalam sesi Mengadam Amanat Pimpinan ini agar kita melakukan sesuatu agar cita-cita kita menjadi gerakan dihormati dapat dilaksanakan:
Firman Allah dalam surah al-Taubah 41;
ٱنفِرُوا۟ خِفَافًۭا وَثِقَالًۭا وَجَـٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ
Maksudnya : “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam)”.
RENUNGKAN
Puisi Sasterawan Negara Usman Awang
Umatku sudah berpencak
Dengus amarah sengketa lama
Dendam kian membuak
Mahu dimuntah
Segala isi busuk di hati
Keris sudah terhunus
Ditusuk-tusuk tidak berhenti
Dibiarkan terlajak
Menikam sanubari
Sampai kekal tidak dilupakan
Walau dimaafi
Tukang sorak gamat
Hati hanyir bermuka talam
Lapik niat dengan logika, tapi
Kaki injak maruah suci
Kalau berderai darah di bumi
Hilai syaitan ditumpang sekaki
Tanganku menggigil
Mahu diapakan, terpinga
Keris tersisip, dikuis-kuis
Terlalu kecil
Mahu berpencak
Tapi takut tak sudah
Mana hulubalangku?!
Di mana kalian, kenapa lambat?!
Hunuskan kata pemutusmu
Mendiamkan lidah bercabang
Tuturkan tikaman lidahmu
Agar menginsafkan
Tutup gelanggang mungkar itu
Wahai hulubalangku
Kerisku hanya panjang sejengkal
Tapi sabarku kian tipis
Maka kutusuk keris kerdil tidak berangkap ini
Ke rusuk lenamu yang panjang
Harap kau mati tegak
Dalam kemuliaan
*Penulis merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor (Unisel) serta Pengarah, Institut Pemikiran dan Kepemimpinan Siddiq Fadzil, Universiti Selangor (Unisel).