
oleh Hasri Harun
Kembali Kepada Fitrah
Semangat Eidulftri adalah membentuk diri ini agar dekat kepada fitrah kejadian manusia, iaitu bersih dan hilang daripada segala kekotoran. Kejadian manusia ini adalah tanpa dosa dan kekotoran. Maka setelah sebulan berpuasa, dengan memenuhi aktiviti solat tarawih, tilawah al-Quran, tazkirah Ramadan, bersedekah dan sebagainya, sewajarnya ibadah begini akan memberi perubahan diri untuk masa depan. Apalah ertinya perjuangan Ramadan, di mana hawa nafsu ditundukkan, ikhlas berpuasa dengan penuh hati, namun jiwa kita masih kotor. Tiada rasa perubahan diri, atau setidak-tidaknya ingin berubah untuk lebih baik. Apalah maknanya kejayaan Ramadan jika tidak kita melangkah ke satu perubahan iaitu kembali kepada Fitrah. Mana-mana manusia yang menginginkan perubahan diri pastinya menginsafi bahawa bulan Ramadan adalah bulan jihad manakala bulan Syawal kita kembali kepada fitrah yang suci untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Nikmatilah Eidulfitri dengan sebaiknya, penuh akhlak dan tatasusila agar ianya juga mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Seseorang yang kembali kepada fitrahnya, mempunyai makna ia mencari kesucian dan keyakinannya yang hakiki, sebagaimana pada saat ia dilahirkan. Sabda Rasulullah SAW: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci. Kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.” (Hadith Riwayat Bukhari)
Dengan kembalinya kita kepada fitrah ini, ia sewajarnya menjadi satu kayu pengukur untuk kita memulakan langkah baru dan mengekalkan diri agar terus hidup sebagai lembaran kain putih yang suci dan bersih. Ia juga seharusnya menguatkan iltizam untuk memenuhi syarat kehidupan sebagai mukmin sejati yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi bertujuan untuk mengabdikan diri kepada-Nya, dan mengakhiri kehidupan sebagai seorang insan kamil. Firman Allah SWT di dalam surah al-Rum ayat 30: “Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan; Fitrah Allah yang menciptakan manusia untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Tiga Langkah Memperkukuh Fitrah Menyemangati Eidulfitri
Setiap tahun kita diperingatkan akan semangat Eidulfitri ini adalah kembali kepada fitrah. Apa maksudnya sekadar memahami tanpa diterjemahkan melalui tindakan yang jelas sebagai bukti pengabdian kepada Allah SWT. Tiga aspek yang mari sama-sama kita usahakan dalam menyemangati Eidulfitri ini bukan sekadar gembira mengakhirkan Ramadan semata-mata. Jika tidak diangkat semangat ini maka Ramadan yang dilalui itu sia-sia sahaja. Antaranya ialah:
1. Pertama: Mengukuhkan tauhid kepada Allah SWT.
Pengukuhan tauhid pada hari yang mulia ini dimulai dengan melaksanakan takbir, tahmid, dan tasbih sebagai tanda mengagungkan Allah SWT. Lafaz takbir, tahmid dan tasbih yang diucap itu adalah manisfestasi kesedaran bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Dia menguasai segalanya. Sebagai muslim dan mukmin yang melepasi madrasah Ramadan, kita lalui proses perubahan diri, maka amat perlu untuk kita memperbaiki kefahaman dan hubungan dengan Tuhan. Lafaz mulia ini sebagai satu usaha mengukuh aqidah islamiah untuk menjadi mukmin yang benar-benar bersifat fitrah dan disayangi Allah. Insan yang fitrah akan terus menjadikan lafaz takbir, tahmid dan tasbih sebagai amalan harian dan terus menerus demi menguatkan lagi diri berhadapan dengan realiti kehidupan. Jika tiada lafaz dalam diri bermakna, masih jauh lagi semangat fitrah itu untuk wujud dalam diri.
2. Kedua: Menguatkan semangat ubudiyah.
Sebulan dalam madrasah Ramadan mendidik kita untuk memberi sepenuhnya komitmen ubudiyah yang sejati kepada Allah SWT. Amalan ibadah dan ritual ini adalah proses melatih diri dan taqarrub dengan yang Maha Pencipta. Apa makna ibadah sekadar menyanjung Tuhan tetapi tidak memahami dan menghayatinya dengan sebaiknya. Ubudiyah ini adalah satu keterikatan kukuh dalam melaksanakan syariat Islam melalui solat, puasa, zakat, haji yang menjadi pembuktian perhambaan kita kepada Allah. Insan yang berjiwa fitrah akan sentiasa menggandakan amalan, bukan mengurang. Insan yang fitrah akan sentiasa memperbaiki ibadah dengan bersungguh-sungguh demi mencapai mardhatillah. Bila mana insan itu memahami unsur fitrah, dia tidak akan mengabaikan dirinya daripada menjadi hamba yang benar-benar kuat untuk berbakti.
3. Ketiga: Memelihara akhlak mulia.
Ketika kita di bulan Ramadan, kita bukan sahaja menahan diri dari makan dan minum, malahan kita diajar menjaga segala akhlak samada dari segi tutur bicara, tingkah laku dan menjaga perasaan hati dari segala perkara mazmumah. Inilah ibrah madrasah Ramadan yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Dalam menelusuri Ramadan mulia ini, kita akan sentiasa diperingatkan akan kepentingan menterjemahkan segala kepercayaan, dan ibadat harian dengan pembuktian akhlak dan jati diri. Dengan beribadah, maka akan melahirkan insan yang beradab dan bertatasusila. Inilah hasil dan pembuktian sebagai orang beriman. Insan yang berjiwa fitrah dengan segala kekuatannya akan meninggalkan segala perbuatan buruk dalam dirinya. Insan berjiwa fitrah akan seterusnya mengislahkan diri dengan perbuatan baik dan tidak sekali-kali mengulangi perbuatan yang dilarang dalam agama. Jika ada sikap sedemikian maknanya fitrah itu telah meresap dalam diri dan membentuk insan yang kamil.
Hakikat Eidulfitri
Akhirnya, hakikat yang perlu difahami adalah, Eidulfitri ini bukanlah medan untuk kegembiraan tanpa iman dan amal yang baik. Allah mengurniakan hari raya untuk kita bergembira demi menzahirkan kesyukuran atas nikmat yang dikurniakan Allah. Apalah ertinya Eidulfitri jika watak dan sikap kita langsung tidak menggambarkan elemen membentuk jiwa bersih dan murni demi mencapai keredhaan Allah SWT. Setiap tahun berhari raya, tiada langsung unsur positif membina minda dan jiwa untuk terus melakukan islah diri, keluarga dan masyarakat. Bersamalah kita menginsafi diri dan terus melakukan kebaikan demi kemaslahatan umat dan negara.
Salam Eidulfitri, Minal aidin wal Faizin.
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu Akbar Walillahil Hamd
*Penulis merupakan Timbalan Presiden, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).
26 Mac 2025