WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

SEDEKAH DUIT RAYA USAH SAMPAI TERBEBAN HINGGA ROSAKKAN SEMANGAT AIDILFITRI

oleh Hasri Harun

Kita baru menyambut Aidilfitri yang menjadi antara detik bermakna kerana umat Islam merayakan kejayaan menunaikan ibadah puasa sebulan sepanjang Ramadan.

Ia simbol kemenangan rohani yang membawa kepada pembentukan akhlak dan disiplin diri. Ia juga titik tolak untuk umat Islam menjadi insan lebih bersih, memulakan hidup dengan semangat, azam dan niat melakukan kebaikan pada hari mendatang.

Ini juga masa untuk bermuhasabah terhadap amalan dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT serta sesama manusia.

Sepanjang Ramadan, umat Islam dilatih menahan diri daripada makan dan minum serta mengawal hawa nafsu. Apabila ujian ini berjaya dilalui, ia bermakna mereka lulus ujian ditetapkan Allah SWT. Maka, ganjaran takwa akan menjadi milik mereka yang benar-benar berjaya dan ikhlas dalam ibadah.

Selepas berjuang sepanjang Ramadan, umat Islam diberi peluang bergembira, tetapi sambutan seharusnya dilakukan dengan penuh kesederhanaan dan rendah diri.

Elakkan pembaziran dalam perbelanjaan dan kenduri serta jauhi sikap bermegah-megah yang boleh menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.

Kegembiraan dimaksudkan bukanlah alasan untuk melepaskan hawa nafsu dikekang sepanjang Ramadan. Jika segala amalan kebaikan dilakukan diabaikan sebaik tiba Aidilfitri, usaha kita lakukan selama sebulan menjadi sia-sia.

Aidilfitri sepatutnya menjadi titik permulaan mengekal dan meningkatkan amalan baik sepanjang tahun. Oleh itu, didiklah diri, keluarga dan masyarakat agar menjadikan sambutan kejayaan itu untuk memperkukuh nilai kekeluargaan, kasih sayang dan perpaduan.

Kita sepatutnya bersyukur kerana masih berpeluang menyambut kejayaan dalam keadaan aman berbanding negara lain yang sedang bergolak.

Kesempatan ini perlu digunakan untuk mendoakan kesejahteraan dunia Islam secara keseluruhannya, termasuk saudara seagama yang diuji dengan kesusahan dan peperangan.

Eratkan hubungan

Antara bentuk kegembiraan dianjurkan ialah amalan ziarah antara ahli keluarga dan sahabat. Ia sangat digalakkan dalam Islam kerana dapat mengeratkan hubungan dan menghapuskan perselisihan dengan saling memohon maaf dan meleraikan segala salah faham yang mungkin berlaku sebelum ini.

Namun, amalan ini perlu dilakukan dengan adab dan sopan santun, bukannya terbabit dalam pergaulan bebas antara bukan mahram, bercakap kasar atau melakukan perkara yang boleh menyinggung perasaan tuan rumah.

Jika ziarah diamalkan penuh adab, ia dapat mendatangkan kegembiraan, keselesaan dan mengeratkan silaturahim seperti dianjurkan Islam. Ia juga dapat mengukuhkan nilai kasih sayang dalam keluarga besar dan merapatkan jurang antara generasi.

Dalam masyarakat Islam di Malaysia, amalan memberi duit raya sudah menjadi kebiasaan. Ia budaya sedekah yang baik kerana dapat membentuk sifat pemurah dan membantu mereka yang memerlukan.

Namun, pemberian ini hendaklah dilakukan secara sederhana dan ikhlas agar tidak menjadi satu pertandingan atau perbandingan menjurus kepada sikap menunjuk-nunjuk.

Dalam keluarga, janganlah timbul persaingan antara adik-beradik mengenai jumlah duit raya diberi. Didik anak dan diri sendiri untuk memahami nilai sebenar sedekah dan sebagai simbol kasih sayang.

Galakkan masyarakat untuk terus memberi, tetapi jangan sampai terbeban hingga merosakkan semangat Aidilfitri. Sedekah yang dilakukan dengan niat betul dapat mempererat hubungan dan membentuk hati rendah diri kerana Allah SWT.

Aidilfitri membawa kita kembali kepada fitrah. Selepas sebulan berpuasa dan beribadah seperti solat Tarawih, membaca al-Quran, mendengar tazkirah dan bersedekah, seharusnya semua ini membentuk diri kita ke arah lebih baik.

*Penulis merupakan Timbalan Presiden, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).
Artikel telah disiarkan di Berita Harian online (https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2025/04/1380164/sedekah-duit-raya-usah-sampai-terbeban-hingga-rosakkan)

BUKTIKAN SEMANGAT KEMBALI KEPADA FITRAH

oleh Hasri Harun Kembali Kepada Fitrah Semangat Eidulftri adalah membentuk diri ini agar dekat kepada fitrah kejadian manusia, iaitu bersih dan hilang daripada segala kekotoran. Kejadian manusia ini adalah tanpa [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara