
Oleh : Prof. Dato’Dr Muhammad Nur Manuty
ASYQ adalah antara tokoh ilmuan besar syari’ah pada abad ini yang berani tampil membicarakan persoalan pelaksanaan hukum hudud di dunia Islam secara terbuka. Barangkali beliau menyambung suara berani gurunya, Syaikh Abu Zahrah, ulama besar Universiti al-Azhar yang berwibawa dalam bidang syari’ah. Gurunya itu pernah menimbulkan kejutan dalam kalangan peserta di satu persidangan antarabangsa di Algeria dalam dekad 60-an. Syaikh Abu Zahrah berpandangan bahawa hukum potong tangan ke atas pencuri boleh diganti dengan hukum ta’zir dan taubat.
ASYQ menyatakan bahawa aspek perundangan (tasyri’) bukan merupakan keseluruhan Islam seperti gambaran sebahagian umat Islam. Justeru, Islam adalah agama fitrah yang mempunyai keserasian dengan fitrah manusia. Hakikatnya, syari’ah menentukan perjalanan hidup, menyusun hubungan antara manusia dengan Tuhannya, menghubungkan diri dengan keluarga, masyarakat, negara, dan dunia antarabangsa. Selanjutnya, ASYQ menjelaskan bahawa hukum hudud, qisas dan lain-lain hukum balasan (‘uqubat) adalah menjadi sebahagian daripada perundangan Islam yang sifatnya luas. Ayat-ayat hudud dan qisas di dalam al-Qur’an tidak lebih dari sepuluh ayat, ketimbang lebih daripada 6,000 ayat di dalam al-Qur’an. (al-Qaradawi: 1996, ms. 115–116).
ASYQ menegaskan bahawa jenayah zina di dalam al-Qur’an hanya disebut dalam satu ayat sahaja, iaitu di awal Surah al-Nur :
“Penzina perempuan dan penzina lelaki, deralah masing-masing dari keduanya seratus kali, dan janganlah rasa belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk menjalankan agama (hukum) Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian.” (Surah al-Nur: 2)
Sebaliknya, Surah al-Nur mengandungi lebih daripada sepuluh ayat. Hal ini boleh dibuktikan dengan ayat berikut:
“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersebar dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (Surah al-Nur: 19)
Selanjutnya, ASYQ berhujah bahawa melaksanakan hudud bukannya penyelesaian mutlak. Seandainya seseorang itu diuji dengan perbuatan zina secara bersembunyi, maka ia tidak dikenakan hukuman di dunia. Sebaliknya, Allah SWT menentukan hukumannya di hari akhirat. Kita sewajarnya mengetahui bahawa pelaksanaan syari’at bukan satu-satunya cara untuk membina masyarakat dan umat. Yang lebih penting ialah membina masyarakat dengan keimanan yang sebenar dan akhlak yang mulia, tarbiah yang berterusan. Sandaran kita ialah kepada perundangan yang adil, peruntukan kanun yang bertanggungjawab, tanpa membedakan antara tuan dan hamba. (al-Qaradawi: 1996, ms. 32).
Dalam satu wacana yang telah diadakan di Bahrain, ASYQ telah menjawab tohmahan-tohmahan daripada beberapa individu dan kelompok dakwah di negara-negara Arab yang mendakwa bahawa ASYQ seorang yang mempermudahkan agama (hukum syara’). Ada yang mendakwa bahawa ASYQ lebih banyak menunjukkan dirinya bukan seorang salafi tetapi sebagai seorang ulama moden. ASYQ juga dilihat lebih suka menghalalkan sesuatu hukum daripada mengharamkannya. Selain itu, ASYQ didakwa kononnya suka membuat fatwa yang disukai oleh orang ramai tanpa berpegang teguh dengan prinsip dan kaedah syara’. (al-Qaradawi: 2011, ms. 13).
Kritikan-kritikan tersebut telah dijawab oleh ASYQ. Beliau menyatakan bahawa perkara “mempermudah-mudahkan sesuatu” (al-tasahul) atau sebaliknya adalah merupakan satu perkara nisbi. Ada pula tuduhan yang dibuat ke atas ASYQ sebagai seorang ekstrem atau mutatarrif. Hakikatnya, bukan mudah-mudah untuk menuduh dirinya dengan tuduhan-tuduhan sedemikian. ASYQ berkata bahawa dirinya adalah seorang yang sentiasa membuka ruang keringanan (taysir). Watak manusia tidak sama. Para fuqaha’ memang ada yang membuka ruang memudahkan sesuatu tetapi ada juga fuqaha’ yang menyempitkan ruang. Dalam kalangan para sahabat pun, Ibn ‘Abbas dikenali sebagai seorang faqih yang sentiasa membuka ruang keringanan. Lain pula halnya dengan Ibn ‘Umar. Fiqh-nya tidak membuka ruang keringanan.
ASYQ yakin dengan pendiriannya kerana Allah SWT telah menciptakan dirinya sebagai seorang yang suka kepada keringanan. Beliau melihat agama Islam adalah agama yang mudah. Jadi, ia bukan satu perkara ganjil. Keseluruhan syari’at Islam berdiri tegak atas landasan keringanan. Memang ada manusia yang menyeru orang ramai dengan mengambil pendekatan menakut-nakutkan (al-tarhib) lebih daripada perkara yang menggembirakan (al-targhib). Mereka juga banyak menyebut janji buruk (al-wa’id) lebih daripada janji baik (al-wa’d).
ASYQ mengambil beberapa hadith sahih yang dapat menjustifikasikan amalan keringanan. Antaranya, pesan Sayyidina Muhammad SAW kepada Abi Musa al-Ash’ari dan Mu’az ibn Jabal:
“Kedua-dua kamu hendaklah membuka ruang keringanan dan jangan menyempitkan. Kamu juga hendaklah memberi berita gembira dan jangan menakut-nakutkan.”
(al-Qaradawi: 2011, ms. 14–18)
ASYQ memulakan bicaranya mengenai umat Islam dengan melakukan satu telaah ke atas umat (qira’ah fi waqi’ al-ummah). Sesungguhnya umat yang kita bicarakan adalah umat Islam yang disebut sebagai ummat al-ijabah. Dengan lain perkataan, ummat ijabah adalah terdiri daripada mereka yang telah beragama Islam. Selain itu, wujud sekelompok lagi umat yang dikenali sebagai ummat al-da’wah. Mereka adalah umat manusia yang wajar disampaikan seruan Islam. Firman Allah SWT:
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi.’” (Surah al-A’raf: 158)
Umat yang kita bahaskan ini adalah terdiri dari Jakarta ke Rabat, umat Islam di Timur dan di Barat, Utara dan Selatan. Selain itu, umat Islam juga tinggal di luar negara Islam. Mereka kini dikenali sebagai masyarakat minoriti Muslim. (al-Qaradawi: 2009, ms. 4–5)
Telaah ke atas umat Islam masa kini bermaksud:
a) Pembacaan yang sarat dengan kearifan dan hikmah (mustabsirah) dalam memahami al-Qur’an dan memahami kewujudan alam (al-kawn). Di Alam Melayu, tokoh ilmuan dalam bahasa dan sastera Melayu menyebut bahawa kita sebagai makhluk Allah SWT “berguru kepada alam.” ASYQ menyarankan keperluan kita membaca realiti umat dengan penguasaan ilmu, kearifan dan renungan mendalam. Hakikatnya, kita adalah umat yang dicirikan dengan ayat iqra’ bismi rabbika allazi khalaq (Surah al-‘Alaq: 1).
ASYQ mengingatkan bahawa umat ini bukan sekadar membaca apa yang tertulis. Jika tidak, maka ia menjadi suatu yang sia-sia di sisi Allah meskipun Baginda tidak menulis dan membaca. Hakikatnya yang dimaksudkan dengan membaca ialah membaca Kitab Allah yang tertulis (Kitab al-Mastur) dan kitab yang menjadikan alam terbentang luas untuk diperhati dan dikaji (Kitab al-Manzur). Justeru, telaah ke atas alam ciptaan-Nya itu adalah satu tuntutan selain daripada amalan biasa membaca al-Qur’an. (al-Qaradawi: 2009, ms. 5)
Selain itu, ASYQ menegaskan keperluan
a) Membaca sejarah dengan mendalam dan tepat. ASYQ menuntut kita memahami dua ayat berikut:
“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” (Surah al-Hajj: 46)
“Dan mereka mengatakan: ‘Inilah haiwan ternak dan tanaman yang dilarang; tidak boleh memakannya kecuali orang yang kami kehendaki’, menurut anggapan mereka, dan ada binatang ternak yang diharamkan menungganginya dan ada binatang ternak yang mereka tidak menyebut nama Allah waktu menyembelihnya, semata-mata membuat-buat kedustaan terhadap Allah. Kelak Allah akan membalas mereka terhadap apa yang selalu mereka ada-adakan.” (Surah al-An’am: 138)
Pembacaan pada masa lalu seharusnya memberi pengajaran (‘ibrah) kepada orang-orang selepas mereka. Selanjutnya, ASYQ menyatakan bahawa kita mendambakan pembacaan al-Qur’an secara realiti (waqi’). Sesungguhnya yang dinamakan sejarah itu adalah peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Justeru, kita wajar membaca realiti apa yang berlaku sekarang sama ada baik atau buruk, pahit atau manis, benar atau salah.
Selain itu, ASYQ berbicara tentang kepentingan kita menelaah secara komprehensif, tepat dan berimbangan. Ada kelompok yang melakukan penelaahan secara terpilih asalkan dapat memenuhi selera mereka. Kita menyebut kemenangan yang dicapai tetapi tidak pula menyebut kekalahan yang telah terjadi. Kita menyebut tentang segala usaha yang dibuat tetapi gagal menyatakan kerugian yang terjadi. Pokoknya, kita wajar melakukan penilaian mengenai kedudukan umat masa kini dengan adil. Al-Qur’an menjelaskan: “Wahai orang
orang yang beriman, tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasulnya, dan kepada Kitab Al Qur’an.” Penelaahan yang sebenar adalah berbicara secara berterus terang Kita nyatakan
kejayaan tetapi juga kita menyebut kegagalan.
Justeru, kita perlu menghayati ajaran al Qur’an. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.” (Surah al-Nisa’: 135)
ASYQ merumuskan penelaahan yang komprehensif bermakna membaca situasi politik, pemikiran dan budaya, agama dan akhlak, institusi keluarga, sosial, ketenteraan dan kekuatan jihad, geopolitik lokal, serantau dan antarabangsa. (al-Qaradawi: 2009, ms. 11)
Selanjutnya, ASYQ menganjurkan supaya kita tidak bersikap simplistik (tahwil) dalam pembacaan. Kita tidak wajar membesarkan perkara kecil hingga menjadi besar. Pembacaan kita terhadap realiti umat kini tidak seharusnya menyebabkan rasa hina diri. Sebagai contoh, ASYQ menyebut tentang kecenderungan sebahagian umat Islam yang menyalahkan segala bentuk kedurjanaan kepada angkara Israel. Kita menjadikan mereka seolah-olah Tuhan yang menguasai muka bumi, sedang umat Islam pula seperti batu-batu kerikil.
Satu lagi bentuk pembacaan yang perlu diperbetulkan ialah rasa rendah diri (inferiority complex). Jika kita dapat memastikan fakta dan peristiwa sebenar, maka kita akan lebih tepat memahami realiti semasa, seterusnya mampu merancang masa depan dengan strategi yang lebih berkesan.
Dalam konteks ini, ASYQ merujuk kepada Perang Uhud:
“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janji-Nya kepada kamu, ketika kamu membunuh mereka dengan izin-Nya sampai pada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusan itu dan mendurhakai perintah (Rasul) sesudah Allah memperlihatkan kepadamu apa yang kamu sukai. Di antaramu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu, dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan Allah mempunyai karunia (yang dilimpahkan) atas orang-orang yang beriman.” (Surah Ali ‘Imran: 152)
Perang ini diketahui bermula dengan kemenangan umat Islam. Namun, perpecahan dalam barisan tentera kerana keingkaran arahan Rasulullah SAW — agar tidak meninggalkan posisi untuk merebut harta rampasan perang (ghanimah) — telah menyebabkan kekalahan. Namun dalam kekalahan itu masih ada tentera Mukmin yang tetap istiqamah dengan keimanan mereka. (al-Qaradawi: 2009, ms. 14)
ASYQ menggesa umat supaya membaca semua peristiwa berasaskan sunan Allah (hukum-hukum sosial dan ketetapan Ilahi). Ini adalah syarat penting bagi strategi umat mencapai kejayaan dan keredaan Allah SWT. Semua peristiwa besar dalam dunia Islam — serangan Juhaiman di Kaabah, Revolusi Islam Iran, Perang Afghanistan, penaklukan Kuwait oleh Iraq, Perang Bosnia-Herzegovina, Revolusi Sudan, Peristiwa 9/11, dan kebangkitan Islam di dunia Barat — perlu dibaca secara Islami, dengan gabungan prinsip dan realiti. (al-Qaradawi: 2009, ms. 14–20)
Sambungan…