WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

Memanusiawi Pengurusan Risiko

Untuk memanusiawi pengurusan risiko di pelbagai peringkat, elemen dan petanda aras kemanusiaan, empati, dan nilai akhlak perlu menjadi sebahagian daripada kerangka dasar, yang buat masa ini lebih bersifat teknikal dan analitik dengan pelbagai jargon. Dalam konteks ini, fokus pertimbangan kepada pengurusan risiko adalah kepada manusia itu sendiri, bukannya semata-mata bersifat ‘data-driven’.

Dalam erti kata, titik pertimbangan kepada setiap keputusan yang dibuat mestilah mengambil kira kesan kepada pekerja, pelanggan, masyarakat, dan juga alam sekitar, termasuk kesan emosi pekerja yang mungkin kehilangan pekerjaan, jika tindakan diambil terlalu drastik, apabila risiko tertentu benar-benar berlaku dan menyebabkan kerugian kewangan dan reputasi kepada institusi. Ini bermakna, nilai kerugian kewangan bukanlah hanya satu-satunya kayu pengukur untuk menilai tahap tinggi atau rendah sesuatu risiko.

Memanusiawi pengurusan risiko juga perlu mempermudahkan naratif atau jalan cerita, agar jargon-jargon dan kaedah-kaedah yang digunakan lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Ini kerana pengurusan risiko adalah milik semua, yang mendasari kepentingan semua perkara dalam kehidupan, baik dalam ruang lingkup kewangan dan bukan kewangan, hatta dalam urusan ukhurawi sekalipun. Ini penting untuk meningkatkan kesedaran semua pihak tentang kepentingan mengurus risiko, dan mencari mitigasi yang bersesuaian dengan kemampuan diri dan kesan risiko yang dihadapi.

Pengurusan risiko adalah sebahagian daripada kehidupan, yang bertujuan menjaga diri kita daripada sebarang kemudaratan, yang boleh membawa kepada kegagalan peranan kita untuk melaksanakan amanah kekhalifahan serta kemudaratan-kemudaratan yang boleh memberikan kesan negatif kepada kebaikan kehidupan kita, di dunia dan akhirat. Pengurusan risiko adalah jambatan kebaikan kehidupan dunia dan akhirat. Kegagalan mengurus risiko dengan baik di dunia ini, boleh memberikan kesan yang tidak baik kepada prestasi kehidupan kita di akhirat kelak, kerana ia boleh menjejaskan kualiti hubungan kita dengan ALLAH SWT dan juga manusia, jika perkara ini diambil mudah.

Sebagai contoh, kegagalan kita mengurus kewangan diri dan keluarga dengan baik, boleh menyebabkan kita mudah terjebak dengan pelbagai hutang yang seterusnya boleh menjerat masa depan, akibat ketidakcukupan sumber pendapatan untuk menampung perbelanjaan diri dan keluarga. Keadaan ini, seterusnya memerlukan kita melakukan beberapa kerja sampingan pada hari yang sama, sehingga masa yang sepatutnya diluangkan bersama keluarga pada malam harinya, perlu diluangkan di tempat kerja. Begitu juga, ruang ibadah juga mungkin akan turut menerima kesan yang sama, di mana malam hari yang sepatutnya kita luangkan untuk solat berjemaah di masjid dan menghadiri majlis ilmu seperti kuliah maghrib. Ruang silaturrahim juga akan turut terkesan akibat kekangan masa untuk saling menziarahi antara satu sama lain. Jika situasi ini terus ditelusri, hakikatnya banyak lagi kesan kepada kehidupan kita, kerana kegagalan mengurusk risiko dengan baik, ia akan membawa kesan berantai kepada perkara-perkara lain dalam kehidupan kita.

Memanusiawi pengurusan risiko akan meletakkan bimbingan, sokongan dan tarbiah serta muhasabah sebagai keutamaan tindakan ketika memitigasi risiko. Tindakan yang bersifat menghukum adalah jalan atau pilihan terakhir. Jika semangat menghukum dijadikan sebagai pintu hadapan sebagai mitigasi risiko, maka bertunaslah ‘fear culture’ dalam institusi, yang akan menjadi antara faktor penghalang kepada pengurusan risiko yang berkesan. Banyak pihak akan hilang ketelusan, keikhlasan dan kesungguhan dalam mengurus risiko, jika sentiasa diselimuti dengan perasaan bimbang dan takut.

Akhirnya, petanda-petanda awal yang boleh membawa kepada risiko, sedikit demi sedikit disembunyikan daripada pengetahuan pihak yang berautoriti; staf menyembunyikan kepada bos, anak menyembunyikan kepada ibu/ayah, suami menyembunyikan kepada isteri dan sebagainya. Dengan kebimbangan, jika perkara tersebut dihebahkan atau dilaporkan, maka tindakan-tindakan tertentu bakal diambil. Jika ini menjadi sebahagian daripada budaya, maka iakan menyuburkan barah kerosakan pada jangka masa panjang, akhirnya kebersamaan semakin hilang, kerana masing-masing akan hanya peka dan mengutamakan keselamatan ‘territory’ masing-masing, sehingga semangat keakuan semakin menebal dan prinsip ‘saya lebih baik’ menjadi bisikan halwa telinga sebagai jalur mengangkat prestasi diri masing-masing. Kemuncaknya, kekuatan semakin hilang, kerana ramainya pelaksana sudah umpama buih-buih di lautan, sekali dilambung ombak hilang entah ke mana. Kelestarian pula hanya sekadar laungan slogan pembakar semangat dan harapan.

Abdul Hadi Bin Jusoh
12 Mei 2025

TINGKAT KETAHANAN SOSIAL DALAM KALANGAN NEGARA ASEAN

Negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Malaysia, Thailand, dan Filipina merupakan contoh negara yang diduduki masyarakat majmuk yang sering berhadapan dengan ketegangan etnik, peminggiran sosial dan ketidaksamaan ekonomi. Oleh itu, usaha membina [...]
Baca Lebih

MENUJU HAJI MABRUR

Ibadah haji adalah antara lima rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang berkemampuan. Ia bukan sekadar satu ibadah fizikal, tetapi juga sebuah perjalanan rohani yang menuntut keikhlasan, ilmu [...]
Baca Lebih

Memanusiawi Pengurusan Risiko

Untuk memanusiawi pengurusan risiko di pelbagai peringkat, elemen dan petanda aras kemanusiaan, empati, dan nilai akhlak perlu menjadi sebahagian daripada kerangka dasar, yang buat masa ini lebih bersifat teknikal dan [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara