
Oleh : Ustaz Hasri Harun
Pada Mei setiap tahun kita akan menyambut Hari Belia Negara dengan meriahnya berserta semangat memacu aspirasi ke arah kemantapan dan kekuatan bagi mendepani masa hadapan lebih mencabar.
Sambutan tahun ini bertemakan Yakin Boleh adalah obor semangat tinggi anak muda yang sentiasa berada pada fasa pengupayaan mental, fizikal dan spiritual. Anak muda pada hari ini perlu sentiasa berfikiran positif dan sentiasa terbuka minda untuk bersaing serta menerajui perubahan diri dan negara.
Yakin dengan segala kekuatan ilmu dan semangat faktor utama untuk menolak sebarang sikap malas serta ketinggalan yang menjadi penghalang kepada kejayaan belia. Tahniah anak muda Malaysia.
Dalam dunia yang semakin mencabar dan berubah pantas, belia memainkan peranan yang amat penting dalam mencorak masa depan sesebuah negara.
Mereka tenaga penggerak dan harapan bangsa. Justeru, dalam usaha membina kekuatan belia hari ini, umat Islam wajar menjadikan kisah Ashabul Kahfi (pemuda al-Kahfi) sebagai inspirasi dan teras kekuatan dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan mempertahankan iman.
Kisah Ashabul Kahfi yang dirakamkan dalam Surah al-Kahfi ayat 9 hingga 26 adalah cerita sekumpulan pemuda yang berani menolak kebatilan dan mempertahankan akidah meskipun terpaksa melarikan diri daripada pemerintah zalim dengan berlindung di dalam gua.
Allah SWT memuji sikap mereka yang tegas dalam mempertahankan tauhid sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.“(Surah al-Kahfi ayat 13)
Satu aspek penting yang boleh dicontohi daripada pemuda al-Kahfi ialah potensi kepemimpinan mereka yang lahir daripada prinsip agama.
Mereka bukan sahaja menolak kezaliman, tetapi juga mengatur tindakan secara kolektif dan strategik. Ini menggambarkan kepemimpinan yang berkesan bukan bermula daripada kedudukan formal, tetapi daripada kesedaran, keberanian dan keteguhan prinsip.
Dalam konteks semasa, belia perlu diberi ruang memimpin masyarakat melalui platform yang sesuai sama ada dalam organisasi pelajar, badan bukan kerajaan (NGO) atau inisiatif komuniti.
Namun, asas kepemimpinan itu mesti digilap dengan ilmu, akhlak dan kefahaman Islam yang syumul agar tidak mudah terpesong oleh kepentingan diri atau pengaruh luar. Menjaga jati diri penting supaya tidak merosakkan dan menghancurkan imej serta akhlak anak muda yang boleh menghancurkan negara.
Sesungguhnya Islam amat menitikberatkan akhlak yang baik dan menolak keburukan kerana impaknya sangat besar. Hadis Nabi diriwayatkan oleh Husin bin Ali RA yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai perkara (akhlak) yang tinggi serta mulia dan Allah SWT membenci perkara (akhlak) keji. ” (Riwayat at-Tabarani)
Sebagaimana pemuda al-Kahfi mendapat taufik dan hidayah Allah, begitu juga belia hari ini perlu sentiasa kembali kepada al-Quran dan sunah sebagai panduan hidup serta kepemimpinan.
Untuk melahirkan belia yang memiliki ciri-ciri pemuda al-Kahfi, sokongan sistemik dan institusi sangat penting. Dalam retetan sejarah, pemuda al-Kahfi menunjukkan perubahan besar boleh digerakkan oleh golongan muda. Begitu juga dalam masyarakat moden, sejarah membuktikan perubahan besar dalam masyarakat sering kali digerakkan oleh golongan muda yang berani, berfikiran terbuka dan penuh semangat.
Keupayaan anak muda untuk mencetuskan pembaharuan menjadikan mereka ejen perubahan yang sangat berpengaruh dalam pelbagai bidang termasuk politik, sosial dan teknologi.
Antara kelebihan utama anak muda ialah tenaga dan idealisme yang tinggi. Mereka berani mencabar status quo dan tampil dengan idea baharu yang segar dan berani. Dalam dunia yang semakin mencabar, keberanian untuk berubah sangat diperlukan dan inilah kekuatan anak muda. Di samping itu, golongan ini lebih celik teknologi dan mahir menggunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat, membina jaringan dan menggerakkan sokongan rakyat.
Anak muda berteraskan al-Kahfi memerlukan jati diri Islam yang mantap agar tidak mudah hanyut dalam arus globalisasi tanpa arah.
Kisah pemuda al-Kahfi bukan sekadar kisah sejarah, tetapi pedoman sepanjang zaman. Ia cerminan betapa pemuda yang teguh imannya, berani menegakkan kebenaran dan bersatu atas dasar keimanan, mampu merubah landskap masyarakat. Atas semangat inilah, anak muda mampu mengangkat kebenaran itu berdasarkan prinsip Islam sebenar.
Semangat al-Kahfi ini perlu diterap agar pembangunan diri dan generasi terus diperkasakan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Ingatlah peristiwa) tatkala serombongan orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: ‘Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berikanlah kami kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.” (Surah al-Kahfi ayat 10)
Belia hari ini tidak kekurangan potensi, tetapi perlu dipandu agar potensi itu disalurkan ke jalan yang benar. Dengan menjadikan pemuda al-Kahfi sebagai model dan inspirasi, umat Islam dapat membentuk generasi muda yang bukan sahaja pintar dan produktif, tetapi juga berakhlak, berani serta berjiwa hamba kepada Allah. Ini generasi harapan yang akan menjulang panji kebenaran dan membina masa depan ummah yang lebih bermaruah dan madani.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya orang Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan dikasihi oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah. Dalam setiap kebaikan berusahalah untuk mendapatkan apa yang mendatangkan kebaikan kepada engkau dan mohonlah pertolongan daripada Allah dan janganlah berasa lemah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Penulis Pensyarah Kanan Universiti Selangor (Unisel) dan Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah)