Oleh Hasri Harun
Perjuangan kemerdekaan membebaskan negara daripada cengkaman penjajah British adalah lambang keberanian, keazaman dan pengorbanan generasi terdahulu. Namun dalam arus moden hari ini, kemerdekaan sebenar bukan hanya terletak pada bebasnya negara dari penjajahan fizikal, tetapi lebih utama pembebasan jiwa daripada segala bentuk perhambaan moden, kejahilan, ketaksuban, dan keruntuhan moral. Jiwa yang merdeka akan melahirkan insan lebih mulia, bertamadun dan sejahtera, sekali gus memakmurkan negara.
Jiwa merdeka ialah asas kekuatan mental, akhlak dan rohani dalam membina peradaban yang seimbang dan harmoni. Walaupun negara sudah lama merdeka, ramai dalam kalangan masyarakat belum benar-benar bebas dari belenggu penjajahan pemikiran, nafsu, serta anasir negatif yang menyesatkan. Merdeka jiwa merujuk kepada keadaan diri seseorang yang bebas daripada segala bentuk perhambaan selain Allah SWT. Ia meliputi kebebasan akal, hati dan perasaan daripada anasir yang mengikat, menyesatkan dan merosakkan. Jiwa yang merdeka tidak tunduk kepada hawa nafsu, tidak diperbudak oleh materialisme dan tidak dijajah pemikiran songsang. Sebaliknya, insan memiliki jiwa merdeka akan sentiasa meletak kebenaran, keadilan, maruah dan ketakwaan sebagai asas hidup. Firman Allah SWT dalam Surah al-Fajr, ayat 27-30:
Maksudnya: “Wahai jiwa yang tenang (mutmainnah), kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan engkau reda dan diredai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”
Jiwa Merdeka
Mereka yang memiliki jiwa merdeka tidak mudah tunduk kepada tekanan, ugutan atau pujukan menyelewengkan akidah dan prinsip hidup. Jiwa yang merdeka mampu menilai sesuatu perkara dengan waras, bertindak adil, berani menyuarakan kebenaran, dan menolak kezaliman meskipun menghadapi risiko besar. Inilah nilai ditunjukkan pejuang kemerdekaan Kemerdekaan jiwa adalah asas pembentukan masyarakat yang hidup harmoni, menghormati hak orang lain, saling membantu dan menjunjung tinggi prinsip keadilan serta kebenaran. Jiwa yang bebas daripada sifat taksub perkauman, kebencian agama dan ideologi sempit akan menyuburkan perpaduan dalam kepelbagaian.
Tanpa jiwa yang merdeka, masyarakat akan terus terbelenggu dengan sikap prejudis, dendam, serta permusuhan memudaratkan negara. Walaupun negara kita bebas penjajahan fizikal, penjajahan bentuk baru seperti hedonisme, liberalisme, Islamofobia dan ketaksuban kepada kuasa besar Barat masih membelenggu pemikiran dan jiwa umat.
Media sosial yang sarat dengan dakyah halus, budaya songsang serta penipuan maklumat menjerat ramai tanpa disedari. Jiwa yang merdeka akan menapis segala maklumat, memilih yang benar dan menolak unsur merosakkan akhlak dan pemikiran.
Cabaran Jiwa Merdeka
Dalam era globalisasi, nilai barat disuntik secara halus melalui media, fesyen, hiburan dan teknologi. Ramai terikut-ikut budaya hidup bebas tanpa sempadan agama, terpesona dengan gaya hidup mewah yang akhirnya menjauhkan diri dari jati diri bangsa dan agama. Jiwa yang belum merdeka akan mudah terjebak, sedangkan Islam menuntut keseimbangan antara dunia dan akhirat. Harta, pangkat, kekayaan dan kedudukan sering menjadi ukuran kejayaan. Jiwa yang lemah terperangkap dalam perlumbaan dunia yang tiada kesudahan.
Tamak, rasuah, penindasan dan penipuan berleluasa kerana manusia diperhambakan oleh cinta dunia. Firman Allah maksudnya: “Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu hanyalah permainan, hiburan, perhiasan, saling berbangga di antara kamu, serta berlumba-lumba dalam kekayaan dan anak pinak.“ (Surah Al-Hadid: 20)
Sebaliknya, orang yang merdeka jiwa melihat harta sebagai amanah, bukan matlamat. Mereka tenang walau tidak kaya, dan bersyukur walau diuji. Media sosial membawa manfaat jika digunakan secara bijak. Namun tanpa jiwa yang merdeka, ramai terperangkap dengan ketagihan perhatian (likes, views, followers), menyebar fitnah, membazir masa dan mempamerkan perkara sia-sia.
Jalan Menuju Jiwa Merdeka
1. Kembali kepada al-Quran dan sunah
Islam menyediakan panduan terbaik bagi manusia membebaskan diri daripada segala bentuk perhambaan selain Allah. Jiwa yang sentiasa dibasahkan dengan bacaan al-Quran, zikrullah, solat dan amalan sunnah akan tenang, kuat dan tidak mudah dipengaruhi nafsu mahupun dunia. Di sinilah kekuatan itu hadir bila jiwa sentiasa disemai dengan kekuatan iman melalui bacaan al-Quran. Firman Allah maksudnya: “Wahai Tuhan yang Maha Pelembut. Allah Maha Lembut terhadap hamba-hambanya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dikehendakinya dan Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah Asy-Syuura ayat 19)
2. Pendidikan jiwa sejak awal
Pembentukan jiwa merdeka perlu bermula dari kecil. Ibu bapa, guru, dan masyarakat perlu memainkan peranan mendidik anak tentang nilai murni, prinsip hidup, keberanian berkata benar dan pentingnya akhlak. Ilmu agama dan ketauhidan mestilah ditekankan agar jiwa tidak mudah goyah di kemudian hari.
3. Berani melawan nafsu dan kebatilan
Jiwa yang bebas sentiasa berani menolak perkara batil meskipun sendirian. Ia tidak gentar untuk berkata ‘tidak’ kepada perkara yang salah. Orang yang merdeka jiwanya sanggup menegur demi kebaikan, sabar dalam ujian dan istiqamah dalam kebenaran. Hidup ini bersifat sementara. Jiwa yang memahami hakikat ini akan meletakkan akhirat sebagai matlamat utama. Ia tidak akan diperbudak oleh dunia, kerana sedar kejayaan sebenar ialah apabila kembali kepada Allah dalam keadaan reda dan diredai.
Kesimpulannya, kemerdekaan negara nikmat besar yang wajib disyukuri. Namun kemerdekaan sebenar ialah kemerdekaan jiwa. Tanpa jiwamerdeka, masyarakat akan terus menjadi hamba nafsu, dunia dan penjajahan pemikiran moden. Jiwa yang bebas akan melahirkan insan bijak, berprinsip, berakhlak dan bertanggungjawab membina negara yang harmoni dan diberkati Allah SWT. Merdeka bukan sekadar menukar bendera penjajah kepada bendera sendiri, tetapi memerdekakan hati dan fikiran daripada belenggu kejahilan, kezaliman dan hawa nafsu. Sesungguhnya jiwa yang merdeka adalah jiwa yang tunduk kepada Allah, bebas dari segala perhambaan dunia. Inilah erti kemerdekaan yang hakiki.
Penulis Pensyarah Kanan
Universiti Selangor (Unisel)
Timbalan Presiden Wadah
Keratan siaran Akhbar Metro pada: July 27, 2025 @ 7:01am