Oleh Hasri Harun
Bersyukur adalah satu nilai murni yang sangat tinggi kedudukannya dalam Islam. Ia bukan sekadar ucapan biasa-biasa seperti ‘alhamdulillah’, bahkan satu bentuk pengakuan hati, lafaz lidah dan tindakan atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT wajib mengetahui bahawa segala kebaikan, kelebihan yang dinikmatinya datang daripada Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Oleh itu, bersyukur dengan nikmat Allah SWT bukan sekadar tanda adab, bahkan bukti nyata dan tinggi seseorang itu menjadi hamba yang sedar dan tunduk kepada Penciptanya.
Mari kita fahami makna syukur. Syukur daripada segi bahasa bermaksud mengenang kebaikan dan memuji atasnya. Daripada sudut istilah, syukur merujuk kepada pengiktirafan atas nikmat Allah dengan cara memuji-Nya, menggunakan nikmat itu dengan sebaik-baiknya dan tidak menggunakannya untuk perkara kemaksiatan. Dalam al-Quran Surah Ibrahim ayat 7, Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepadamu dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.'”
Ayat ini jelas menunjukkan betapa pentingnya syukur dalam kehidupan seorang Muslim. Ia menjadi garis pemisah antara perhambaan yang sejati dan kufur nikmat.
Hamba sejati sentiasa bersyukur kerana menyedari dirinya hanyalah makhluk yang bergantung sepenuhnya kepada Allah, sedangkan kufur nikmat membawa kepada kesombongan dan kelalaian terhadap hakikat kehambaan yang sebenar.
Orang yang tidak bersyukur samalah orang yang tidak mengenang budi atas pemberian daripada Yang Maha Esa.
Nikmat tidak terhitung
Sesungguhnya nikmat Allah SWT kepada manusia terlalu banyak untuk dihitung. Allah SWT berfirman dalam Surah Ibrahim ayat 34 bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya…”
Nikmat yang diberikan merangkumi nikmat jasmani seperti kesihatan, pancaindera, makanan dan tempat tinggal; juga nikmat rohani seperti iman, Islam, petunjuk serta ketenangan hati. Malah, nikmat ujian juga adalah rahmat kerana dengannya seorang hamba kembali kepada Tuhan dengan lebih dekat dan sedar akan kelemahan diri.
Sebagai contoh, nikmat Islam dan iman adalah sebesar-besar nikmat. Tanpa iman, seseorang tidak akan mengenali Tuhannya. Tanpa Islam, seseorang akan teraba-raba dalam gelap, mencari jalan kebahagiaan yang hakiki. Maka bersyukur atas nikmat ini mestilah dilakukan dengan menjaga akidah, memperkukuh ibadah dan menjauhi segala yang membatalkan keimanan.
Cara Bersyukur: Hati, lidah dan amal
Ulama menjelaskan bahawa syukur itu terbahagi kepada tiga:
1. Syukur dengan hati bermaksud dengan menyedari dan mengakui bahawa segala nikmat datang daripada Allah, bukan daripada usaha diri semata-mata.
2. Syukur dengan lidah bermaksud dengan memperbanyakkan pujian kepada Allah, menyebut nikmat itu serta mengajarkan kepada orang lain.
3. Syukur dengan perbuatan bermaksud menggunakan segala nikmat itu pada jalan kebaikan, tidak menyalahgunakannya untuk perkara yang dimurkai Allah.
Sebagai contoh, seseorang yang dikurniakan kekayaan mesti bersyukur dengan menunaikan zakat, membantu fakir miskin dan membelanjakan hartanya pada jalan yang halal. Mereka yang diberi ilmu pula perlu menyampaikan ilmunya kepada orang lain, bukan sekadar menyimpannya untuk keuntungan diri sendiri.
Syukur sebagai jalan ketenangan
Seseorang yang sentiasa bersyukur akan memperoleh ketenangan jiwa. Dia tidak mudah berasa tamak, cemburu atau kecewa kerana dia tahu setiap pemberian Allah adalah yang terbaik untuk dirinya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksudnya: “Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripada kamu (daripada segi dunia) dan jangan kamu melihat orang yang lebih tinggi kerana ia lebih utama agar kamu tidak memandang rendah nikmat Allah kepadamu.”(Hadis Riwayat Muslim)
Bersyukur juga membawa kepada pertambahan nikmat sebagaimana janji Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 7 tadi. Allah yang Maha Pemurah akan terus memberi kepada hamba-Nya yang bersyukur, malah melimpahkan rahmat dan keberkatan dalam hidupnya. Sebaliknya, mereka yang kufur akan kehilangan keberkatan dan mudah terjerumus ke dalam kehinaan.
Rasulullah SAW sebagai teladan syukur
Nabi Muhammad SAW adalah contoh hamba yang paling bersyukur. Baginda sering kali menghabiskan malam dengan qiamullail, menangis di hadapan Allah walaupun telah dijamin syurga. Apabila ditanya oleh isterinya, mengapa baginda bersungguh-sungguh dalam ibadah, baginda menjawab: “Tidakkah aku mahu menjadi hamba yang bersyukur?” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jawapan ini membuktikan kesyukuran bukan hanya pada waktu senang atau ketika diberi nikmat tertentu, tetapi sepanjang masa, sebagai bukti pengabdian yang sejati kepada Allah SWT.
Kesyukuran dalam ujian dan kesusahan
Ujian dan musibah juga adalah nikmat dalam bentuk yang berbeza. Ia mendidik jiwa untuk kembali kepada Allah, meningkatkan kesabaran dan memperkuat keimanan. Dalam hal ini, syukur bermaksud menerima ketentuan Allah dengan reda, sambil terus berusaha memperbaiki diri dan keadaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik baginya. Jika dia ditimpa kesenangan, dia bersyukur, maka itu baik baginya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka itu juga baik baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ini membuktikan syukur tidak hanya muncul ketika gembira, tetapi juga ketika sedih dan diuji. Kesyukuran dalam keadaan sukar adalah tanda keimanan yang matang dan penghambaan tulus.
Kesimpulannya, bersyukur atas nikmat Allah adalah bukti nyata penghambaan yang sejati. Ia menandakan bahawa seseorang itu menyedari kedudukannya sebagai hamba, sentiasa bergantung kepada rahmat dan pemberian Allah SWT. Dalam dunia yang penuh dengan ujian, fitnah dan kelalaian, syukur menjadi benteng yang memelihara hati daripada sombong, kufur nikmat serta tamak haloba.
Marilah kita jadikan syukur sebagai sebahagian daripada kehidupan kita bukan hanya dengan ucapan, tetapi melalui tindakan. Gunakanlah segala nikmat yang ada untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperbanyakkan amal dan menyebarkan kebaikan. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba yang bersyukur, dikurniakan rahmat dan keberkatan oleh Allah SWT di dunia serta akhirat.
Penulis Pensyarah Kanan Universiti Selangor dan Timbalan Presiden Wadah
Disiarkan pada: Ogos 3, 2025 @ 7:01am Harian Metro