Oleh Hasri Harun
Keamanan adalah dambaan setiap insan. Tidak ada manusia yang waras inginkan hidup dalam ketakutan, ancaman atau peperangan. Namun, Islam mengajar kita bahawa keamanan hakiki bukan sekadar keamanan fizikal semata-mata, tetapi ia lahir dari kekuatan iman yang kukuh kepada Allah SWT. Keamanan yang berpaksikan iman adalah asas kepada kesejahteraan insan, keharmonian masyarakat dan kemakmuran negara. Tanpa iman, keamanan hanya bersifat sementara, rapuh dan mudah tergugat. Oleh itu, dalam konteks Islam, keamanan adalah suatu nikmat yang lahir dari jiwa yang tunduk kepada ajaran Allah SWT.
Konsep keamanan dalam Islam
Islam membawa risalah keamanan sejagat. Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai rahmat kepada seluruh alam, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami tidak mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al-Anbiya’: 107)
Islam menggariskan bahawa keamanan harus bermula dari hati yang beriman, kemudian diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat dan seterusnya mewujudkan sebuah negara yang aman dan harmoni. Iman kepada Allah SWT menjadi asas utama kerana iman itu yang mendidik manusia untuk menjauhi kezaliman, kekerasan, penindasan dan permusuhan. Orang yang benar-benar beriman sentiasa menginsafi bahawa segala perbuatannya akan dipersoal di hadapan Allah kelak. Maka, mereka memilih jalan damai, adil dan berakhlak mulia dalam setiap tindakan.
Keamanan jiwa berpaksikan iman
Pertama sekali, keamanan menurut Islam bermula daripada keamanan jiwa. Jiwa yang beriman sentiasa merasai kehadiran Allah SWT dalam hidupnya. Orang beriman akan sentiasa tenang kerana mereka meyakini bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah dan mereka berserah serta reda dengan qada dan qadar-Nya. Jiwa yang aman ini terpancar dalam tutur kata, tindakan dan hubungan sesama insan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin. Sesungguhnya segala urusannya baik baginya, dan hal ini tidak didapati melainkan bagi orang yang beriman; sekiranya dia mendapat nikmat, dia bersyukur, maka itu baik baginya; dan sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar, maka itu juga baik baginya.” (Riwayat Muslim)
Jiwa yang beriman dan tenang tidak akan bertindak melulu, tidak mudah marah, tidak suka menimbulkan pergaduhan, bahkan sentiasa mencari jalan penyelesaian yang harmoni. Keamanan hati ini yang akhirnya mewujudkan persekitaran yang damai dan harmoni.
Keamanan berpaksikan iman
Selain keamanan individu, keamanan masyarakat juga berpaksi kepada keimanan. Apabila masyarakat memiliki iman yang kukuh, mereka akan menjunjung tinggi nilai kasih sayang, tolong-menolong, keadilan dan menghormati hak orang lain. Islam amat menekankan kepentingan memelihara hubungan sesama manusia melalui konsep silaturrahim, tolak ansur dan saling memaafkan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhannya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya).” (Surah Al-Baqarah: 208)
Ayat ini menuntut agar umat Islam hidup dalam suasana penuh kedamaian yang merangkumi seluruh aspek kehidupan. Dengan iman, masyarakat akan menjauhi fitnah, hasad dengki, kezaliman, rasuah dan perpecahan. Sebaliknya, mereka akan berusaha menegakkan keadilan, menolong golongan tertindas dan memelihara perpaduan.
Keamanan negara berpaksikan iman
Keamanan sesebuah negara pula bergantung kepada sejauh mana rakyat dan pemimpin berpegang teguh kepada ajaran Islam. Iman menjadikan pemimpin takut untuk melakukan kezaliman kerana menyedari amanah kepimpinan akan dipersoal di akhirat. Dalam masa sama, rakyat yang beriman akan sentiasa mentaati pemerintah selagi tidak disuruh melakukan maksiat serta berusaha mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.
Islam meletakkan asas keamanan negara melalui prinsip keadilan, musyawarah, hormat hak individu dan menghormati undang-undang. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu berlaku) adil dan (berbuat) ihsan…” (Surah An-Nahl: 90)
Apabila pemimpin dan rakyat sama-sama menegakkan keadilan dan ihsan berpandukan iman, maka negara akan sentiasa berada dalam keadaan aman dan makmur.
Cabaran keamanan tanpa iman
Dewasa ini, kita menyaksikan banyak negara yang tidak aman walaupun mempunyai kekuatan ketenteraan dan kekayaan ekonomi. Ini kerana keamanan yang tidak berpaksikan iman akan mudah roboh apabila manusia dikuasai tamak, dendam, permusuhan dan nafsu kuasa. Tanpa iman, manusia mudah menumpahkan darah, memusnahkan harta benda, menindas golongan lemah dan mengkhianati kepercayaan.
Media sosial hari ini juga menjadi medan yang menggugat keamanan kerana sebahagian manusia hilang pedoman iman, menyebarkan fitnah, kebencian dan provokasi yang menyalakan api permusuhan. Justeru, hanya iman yang dapat memandu manusia kembali ke landasan akhlak mulia, menahan diri daripada melakukan perkara yang merosakkan keamanan.
Peranan iman membina keamanan sejagat
Iman bukan sahaja membentuk keamanan individu dan negara, malah menjadi asas keamanan sejagat. Umat Islam diajar supaya memandang manusia lain sebagai saudara insani yang wajib dihormati hak dan maruah mereka. Islam menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk kezaliman, penindasan, peperangan tanpa hak dan diskriminasi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al-Baqarah: 190)
Prinsip keamanan sejagat ini juga dapat dilihat dalam piagam Haji Wida’ Nabi SAW yang menegaskan hak darah, harta dan maruah manusia adalah haram dicerobohi. Oleh itu, masyarakat dunia yang beriman akan sentiasa berusaha mengelak konflik, menegakkan keadilan dan memelihara hak asasi manusia.
Ini terbukti sekali di depan mata kita bagaimana kesungguhan pemimpin iaitu Perdana Menteri yang sudah mengemudi dan memimpin agenda keamanan yang sangat penting dirantau Asia Tenggara ini. Memelihara keamanan adalah asas keharmonian negara-negara kerana ketidakstabilan negara-negara sekitar bukan sahaja menyakitkan, malah boleh menghancurkan semangat kejiranan dan akan merosakan hubungan dua hala dan ini tidak menguntungkan sesiapa.
Kesimpulannya, keamanan yang hakiki menurut Islam hanya dapat dicapai apabila berpaksikan iman kepada Allah SWT. Iman melahirkan jiwa yang tenang, masyarakat yang harmoni dan negara yang aman makmur. Tanpa iman, keamanan hanya ilusi yang mudah diruntuhkan oleh nafsu manusia. Oleh itu, setiap individu Muslim perlu memelihara imannya, mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh dan menyebarkan mesej kedamaian kepada seluruh umat manusia. Sesungguhnya keamanan yang didasari iman bukan sahaja memberi kesejahteraan di dunia, malah menjamin kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.
Firman Allah SWT: yang bermaksud: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), merekalah yang akan mendapat keamanan dan merekalah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-An’am: 82)
Penulis Pensyarah Kanan Universiti Selangor, Timbalan Presiden Wadah
Disiarkan pada: Ogos 7, 2025 @ 7:00am Harian Metro