WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

PENGUKUHAN SPIRITUALISME DAN INTELEKTUALISME

Oleh Hasri Harun

Dalam era moden yang sarat dengan cabaran materialisme dan kehilangan arah spiritual, konsep insan kamil menjadi aspirasi penting dalam pembinaan manusia seimbang. Insan kamil merujuk kepada insan yang sempurna menurut pandangan Islam iaitu manusia yang menyelaraskan kekuatan rohani, intelektual, jasmani dan akhlak dalam kehidupannya.

Untuk mencapai darjat ini, dua aspek utama perlu diperkukuh secara seiring dan berimbang iaitu spiritualisme (kerohanian) dan intelektualisme (akal dan ilmu). Tanpa integrasi yang harmoni antara kedua-duanya, insan akan mudah terpesong daripada misi penciptaannya sebagai hamba dan khalifah di muka bumi.

Insan kamil bukan satu status yang dicapai secara automatik, tetapi adalah satu proses pembangunan diri yang berterusan. Ia menuntut pembentukan peribadi mulia, pemikiran yang tajam, emosi yang stabil serta amalan yang berpaksikan syariat.

Dalam al-Quran, Nabi Muhammad SAW sendiri digambarkan sebagai model insan kamil. Firman Allah yang bermaksudnya: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu.” (Surah al-Ahzab: 21)

Spiritualisme asas ketundukan diri

Spiritualisme dalam Islam merujuk kepada hubungan yang mendalam antara hamba dan Pencipta. Ia bukan sekadar ibadah luaran, tetapi kesedaran batin yang melahirkan keikhlasan, rasa tawaduk, muraqabah (merasa diawasi Allah) dan khauf (takut) kepada azab-Nya.

Unsur spiritual membentuk hati yang bersih daripada sifat mazmumah seperti riak, ujub, takbur dan hasad. Firman Allah SWT yang bermaksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwa itu.” (Surah Asy-Syams: 9)

Proses tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa) menjadi langkah utama dalam pembangunan insan kamil. Jiwa yang tidak dibersihkan akan dikuasai oleh hawa nafsu dan syaitan menyebabkan seseorang hilang arah hidup walaupun memiliki kepintaran intelek. Dalam konteks masyarakat, spiritualisme yang kukuh melahirkan insan yang sabar, reda, ikhlas dalam pekerjaan dan tidak tunduk kepada tekanan duniawi. Ia juga memperkuat nilai ihsan dan keinsafan diri yang menjadi teras akhlak mulia.

Insan yang mempunyai kesedaran spiritual yang tinggi tidak mudah diperkotak katikkan oleh sesiapa kerana dirinya sentiasa disirami dengan cahaya kebenaran yang sebenarnya dari Maha Pencipta.

Penyucian jiwa itu datang dari kesedaran adanya Tuhan dalam diri serta tidak mudah digabungkan dengan apa sahaja unsur kuasa lain selain daripada-Nya. Oleh itu, pembersihan jiwa itu penting dalam membangunkan jiwa insan kamil yang akan mencernakan sikap dan tindakan yang baik dalam masyarakat.

Intelektualisme: Peneraju kefahaman dan kemajuan

Islam tidak pernah memisahkan antara akal dan wahyu. Malah, antara ayat terawal yang diturunkan ialah seruan membaca daripada Kalam Tuhan Yang Agung yang bermaksudnya: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Surah al-‘Alaq: 1)

Intelektualisme dalam Islam bermaksud penggunaan akal secara optimum untuk memahami kebenaran, menilai dalil, mengkaji alam dan memajukan kehidupan.

Ilmu menjadi cahaya yang membimbing manusia kepada kebenaran dan mencegah mereka daripada kejahilan dan kesesatan. Umat Islam terdahulu bangkit sebagai tamadun unggul apabila mereka menggabungkan kekuatan rohani dan intelek melahirkan ulama dan saintis seperti Al-Farabi, Ibn Sina, Al-Ghazali, Ibn Khaldun dan ramai lagi.

Mereka tidak melihat ilmu dunia dan ilmu agama sebagai dua entiti yang bertentangan, tetapi sebagai satu kesatuan dalam membentuk insan kamil. Namun, intelektualisme tanpa spiritualisme boleh menjadi bahaya. Ia boleh melahirkan insan yang pintar, tetapi sombong, bijak tetapi tidak bermoral, berilmu tetapi tidak takut kepada Tuhan. Maka, ilmu mesti dibimbing oleh iman dan akhlak.

Mengapa integrasi diperlukan?

Spiritualisme dan intelektualisme adalah dua sayap kepada jiwa manusia. Jika satu sahaja dikuatkan, manusia akan terbang dalam keadaan tempang. Tanpa spiritualisme, manusia mudah terjebak dalam kebendaan dan hilang arah. Tanpa intelektualisme, manusia akan lemah dalam membuat keputusan dan mudah dipengaruhi taklid membuta tuli. Imam al-Ghazali pernah menegaskan: “Ilmu tanpa amal itu gila, amal tanpa ilmu itu sia-sia“. Integrasi kedua-dua ini penting supaya pembangunan diri insan akan terus kekal tanpa sebarang permasalahan.

Insan berilmu tanpa amal dianggap gila kerana ilmu bukan untuk disimpan, tetapi untuk disebar dan dikongsi. Oleh kerana itu sebaliknya amal tanpa ilmu akan membawa kepada manusia yang tiada nilai dan apa-apa makna.

Gabungan dua teras ini melahirkan insan yang bukan sahaja patuh kepada Tuhan, malah mampu memahami syariat secara mendalam, menilai realiti dengan bijaksana dan memimpin masyarakat dengan adil. Untuk membentuk insan kamil, sistem pendidikan perlu menekankan keseimbangan spiritual dan intelek. Pengajian agama harus digabung dengan pemikiran kritis, logik dan aplikasi semasa.

Begitu juga ilmu sains dan teknologi harus diasaskan atas nilai tauhid dan akhlak. Gabungan ini yang akan mampu mengangkat martabat insan ke arah lebih baik selari dengan anugerah Allah akan kemuliaan insan. Ia selaras dengan firman Allah: “Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak cucu Adam dan Kami angkut mereka di daratan dan di lautan dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka di atas banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna.” (al-Isra’ 17:30)

Di peringkat masyarakat pula, pembangunan spiritual dan intelektual mesti menjadi dasar dalam dasar pembangunan negara. Aktiviti keagamaan tidak hanya bersifat ritual, tetapi juga berfungsi mendidik akal dan membina karakter. Program intelektual pula perlu dipandu oleh nilai ketuhanan supaya tidak terjerumus dalam sekularisme yang kosong.

Justeru, pengukuhan spiritualisme dan intelektualisme adalah kunci utama dalam melahirkan insan kamil yang menjadi harapan ummah dan negara. Islam tidak hanya menuntut manusia untuk beribadah, tetapi juga berfikir, memahami dan memimpin dunia dengan rahmat dan keadilan.

Penulis Pensyarah Kanan Universiti Selangor, Timbalan Presiden Wadah

Disiarkan pada: Ogos 11, 2025 @ 7:00am Harian Metro

Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara