WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

MENGUKUHKAN PENGKALAN MELEBARKAN RANGKAIAN

Disediakan oleh;
Dr Abdul Halim el Muhammady, Pengerusi Majlis Istisyari WADAH
Teras Jernang, 9 Ogos 2025 / 15 Safar 1447H

Pendahuluan

ABIM telah menjalankan dakwah melebihi lima dekad berasaskan pemikiran gerakan Islam dari tiga sumber gerakan Islam, Ikhwan Muslimun Mesir, Jamaat Islami Pakistan dan Dewan Dakwah Indonesia.
Selepas mengalami berbagai cabaran daripada pihak pemerintah dan sebahagian masyarakat, ABIM ternyata mempunyai kekuatan intelektual dari kumpulan gabungan aliran agama dan kumpulan aliran akademik serta kekuatan jaringan organisasi. Melalui dua kekuatan ini ABIM dapat menghadapi segala rintangan dan halangan dalam dakwah yang mempengaruhi masyarakat, golongan intelektual dan golongan pentadbiran negara sehingga berjaya memegang tampuk tertinggi negara sebagai Perdana Menteri ke 10. Berbanding dengan gerakan Islam yang lain di dunia gerakan Islam di Malaysia diizinkan Allah dapat sampai ke kemuncak kuasa dalam masa yang singkat tanpa ada sebarang pertumpahan darah melalui sistem pilihanraya berasaskan sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Mengukuhkan Pengkalan
Demi untuk meneruskan kekuatan yang dicapai ini kita perlu membuat persiapan mengukuhkan pangkalan yang ada dengan menyediakan pelapis yang mempunyai komitmen perjuangan setara dengan generasi 70an daripada sudut ilmu, kualiti kepimpinan dan pengurusan organisasi gerakan dan sumber kewangannya. Generasi 70an yang mengendalikan urusan gerakan dan organisasinya semakin berkurang dengan berlakunya kematian golongan al-sabiqun al awwalun yang rata-rata umurnya kebanyakan meninggal dunia dalam umur 60an dan 70an, golongan yang lanjut umurnya 80an terlalu terhad dan jika ada pun penglibatan dalam jamaah sudah agak terhad kerana faktor kesihatan. Bagi menghadapi realiti ini persediaan pelapis untuk meneruskan gerakan yang Allah berkati ini perlu dirancang sebelum berlaku kejutan yang boleh menjejaskan gerakan dakwah kita yang kejayaannya telah sampai ke puncak.

Usaha Penyediaan Pelapis Secepat Mungkin

Persediaan Pelapis dari sudut keilmuan Gerakan mesti berasaskan pengalaman generasi awal yang dilatih dalam usrah dan tamrin dengan sumber-sumber ilmu dan organisasi yang generasi awal lalui yang memberi kesan positif kepada generasi awal yang berterusan menjalankan aktiviti gerakan sehingga akhir hayat. Selain pengisian ilmu Islam dan gerakan, generasi awal 70an merancang program islah masyarakat melalui program dakwah bil hal selain daripada dakwah bil lisan. Ia dilaksanakan melalui empat lapangan kegiatan masyarakat; pendidikan, ekonomi, pembangunan masyarakat dan islah pemikiran siasah serta urusan pentadbiran negara. Dengan dua pendekatan dakwah ini kita dapat menawan hati masyarakat dan dakwah kita dapat berkembang dalam setiap kelompok masyarakat. Maka generasi pelapis perlu melengkapkan diri dengan dua kekuatan ini iaitu dakwah bil lisan dan dakwah bil hal.

Satu aspek lagi kekuatan yang di perlukan selain daripada kekuatan ilmu dan organisasi ialah kekuatan kerohanian yang mengikuti diri apabila sentiasa berterusan berinteraksi dengan al-Qur’an dalam bacaan harian dan amalan-amalan sunat solat, puasa dan zikir yang dapat memantapkan keimanan dan ketakwaan yang mendorong diri seseorang untuk melaksanakan kerja dakwah yang dirancang secara istiqamah dan berlumba-lumba mengejar perintah Allah ﻓﺎ ﺳ ﺗﺑﻘ و ا اﻟ ﺧ ﯾ ر ا

Meluaskan Rangkaian

Kekuatan sesuatu gerakan tidak akan tercapai tanpa ada rangkaian lain yang berada bersama kita. Kita ada kumpulan yang bergerak berasaskan pemikiran dan gerak kerja yang sama dengan ABIM kerana mereka terlatih dengan ABIM. Mereka ini sepatutnya dimasukkan dalam rangkaian jamaah kerana mereka bergerak atas platform ABIM dan kegiatan mereka pun adalah apa yang terdapat dalam ABIM dan pimpinan organisasinya adalah ahli ABIM.

Badan-badan Dakwah yang lain dan NGO yang memperjuangkan Islam dan menjalankan dakwah yang bukannya politik perlu dibuat satu kaedah dan ruang supaya organisasi ini dapat berkerjasama dengan perkara perkara yang dapat dilaksanakan bersama. Demikian juga perhubungan dengan NGO agama agama yang.lain. Melalui Rangkaian Badan-badan Dakwah Islam dapat kita meluaskan aktiviti bermanfaat untuk Islam dan masyarakat Islam. Manakala hubungan kita dengan pertubuhan agama agama bukan Islam dapat membincangkan isu-isu masyarakat dan negara untuk kepentingan bersama dan keamanan negara.

Sinergi

ABIM di masa kini, tertakluk kepada peraturan Pendaftar Pertubuhan Belia telah menghadkan umur ahlinya tidak melebehi 30 tahun. Disamping itu skop kegiatan ABIM juga agak terhad dengan had umur para ahlinya yang muda bagi melaksanakan tanggungjawab ABIM yang asal terutamanya memegang posisi dalam pengurusan dalam empat bidang institusi yang telah dibangunkan oleh generasi awal ABIM.

Maka bagi memenuhi keperluan jamaah dan masyarakat dalam mengangkat tahap pemikiran umat dalam memahami Islam aras tinggi dan isu-isu negara serta pengurusan institusi maka ditubuhkan Persatuan WADAH Pencerdasan Umat untuk meneruskan fikrah gerakan serta mengurus kepentingan institusi ABIM dalam pendidikan, ekonomi, pembangunan masyarakat dan isu siasah serta pentadbiran negara.

Melalui WADAH, ahli ABIM yang melebihi had umur belia berpindah menjadi ahli WADAH dan menjalankan tugas-tugas gerakan yang dimulakan semasa dalam ABIM. Ahli WADAH tidak ada had umur dan majoriti bekas ahli ABIM terus bergerak dalam WADAH dan meluaskan operasinya dalam usrah dengan meningkatkan ilmu dan melebarkan kegiatan masyarakat dalam empat bidang di atas. Mereka tidak pernah ada masa untuk berehat malahan terus istiqamah melaksanakan tanggungjawab berdakwah.

Dengan penubuhan WADAH ia sepatutnya dapat membantu serta berkerjasama dengan ahli ABIM dalam mengukuhkan pergerakan ABIM yang diuruskan oleh generasi muda dan membimbing mereka dalam urusan gerakan supaya mereka cepat matang dalam menjalankan kegiatan gerakan dakwah. Dengan gabungan entiti ini ianya diharapkan akan dapat mengukuhkan kedudukan organisasi di samping dapat meluaskan ruang operasi gerakan dakwah kepada masyarakat menurut wilayah pengaruh dan lingkungan masing-masing.

Kemungkinan juga masa depan gerakan ABIM dengan penetapan had umur perlu dinilai kembali dari sudut pembentukan pemikiran gerakan dan aktivitinya dalam masyarakat yang bersesuaian dengan tahap umur belianya. Tetapi dalam suasana sekarang kita kena terus perkukuhkan asas-asas pemikiran gerakan dakwah dan juga aktiviti masyarakat yang sedia ada sebelum dibuat sebarang perubahan kepada struktur entiti ABIM.

Semoga usaha mengukuhkan Pengkalan dan Melebarkan Rangkaian dapat mengekalkan pengaruh dan kekuatan ABIM dalam masyarakat dan negara.

Dibentangkan di Tamrin Qiyadi WADAH 1447H/2025, Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, Kuala Lumpur.

Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara