WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

VIGILANTISME DIGITAL : ANCAMAN SERIUS KEPADA KEADILAN DAN KESTABILAN NEGARA

Oleh Dr Nur Izura Udzir
Naib Presiden Wadah

Kuala Lumpur: Tindakan segelintir individu ‘menghukum’ dan menyebarkan maklumat tanpa usul periksa di media sosial, terutamanya dalam kes berkepentingan umum, memberi ancaman serius terhadap proses perundangan.

Fenomena yang dikenali sebagai ‘vigilantisme digital’ ini bukan sahaja mencabul privasi, malah berpotensi menggugat integriti siasatan dan kestabilan sosial negara.

Pakar keselamatan maklumat, Profesor Madya Dr Nur Izura Udzir dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, vigilantisme digital merujuk kepada individu yang bertindak atas inisiatif sendiri, tanpa autoriti atau latihan untuk cuba menegakkan keadilan atau membanteras jenayah menggunakan platform digital.

“Niatnya mungkin baik iaitu untuk membantu menegakkan keadilan atau membanteras jenayah.

“Bagaimanapun, tindakan ini dibimbangi boleh membawa kepada perbuatan yang menjadi kesalahan di sisi undang-undang kerana mereka bukan pihak yang mempunyai autoriti atau dilatih untuk membuat siasatan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, dalam keghairahan mencari kebenaran, ada pihak yang sanggup mencipta kandungan yang diragui sumbernya, semata-mata untuk mempengaruhi pandangan masyarakat awam.

“Kadang-kadang, ia dipengaruhi emosi, terutamanya apabila merasakan pihak berkuasa lambat mengambil tindakan.

“Ini boleh membawa kepada ‘publisiti’ dan penciptaan kandungan yang diragui sumbernya, seterusnya membuli pihak yang disasarkan melalui tulisan atau kata-kata di media sosial,” katanya.

Nur Izura menegaskan, vigilantisme digital berpotensi besar untuk mengganggu proses siasatan pihak berkuasa dengan maklumat, pandangan atau telahan yang diragui kebenarannya.

Katanya, lebih membimbangkan, ia boleh membawa kepada ‘mob justice’ atau penghukuman oleh masyarakat awam, tanpa mengikut proses undang-undang yang sah.

“Ini menjadi ancaman serius kerana dalam usaha mencari maklumat, ia boleh mendedahkan maklumat peribadi yang tidak sepatutnya.

“Contohnya dalam kes Zara Qairina Mahathir, gambar wajah individu yang kononnya pelaku dipaparkan di media sosial, padahal belum tentu lagi mereka itu orang yang melakukannya. Ini adalah pencerobohan privasi,” ulas beliau.

Beliau berkata, pendedahan maklumat peribadi ini boleh mengundang risiko keselamatan fizikal dan gangguan kesejahteraan mental.

“Ancaman lain ialah ia boleh menghakis kepercayaan awam terhadap proses undang-undang, siasatan dan kehakiman, yang seterusnya boleh menggugat kestabilan negara.

“Ia juga boleh menyebabkan buli siber menjadi normal dan dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan peribadi.

“Kita sebagai pengguna media sosial bagaikan menzalimi orang yang belum tentu bersalah,” katanya.

Bagi mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kancah vigilantisme digital atau menjadi mangsa maklumat palsu, Nur Izura menasihati orang awam sentiasa mengamalkan verifikasi maklumat yang ketat.

Mengambil contoh dakwaan tular doktor patologi di TikTok mengaku bedah siasat Zara Qairina, beliau menasihati masyarakat umum agar tidak mudah percaya dengan maklumat berlegar di media sosial, sebaliknya menyemak latar belakang pemberi maklumat terlebih dahulu.

“Perkara utama, kita kena tengok siapa orang yang bercakap itu. Adakah dia mempunyai autoriti untuk bercakap tentang perkara yang dia cakapkan? Kita tahu di media sosial banyak akaun palsu yang dicipta hanya untuk kandungan (content).

“Pihak berautoriti ada proses yang perlu mereka lalui dan ikuti. Doktor bedah siasat, jika dia betul-betul terlibat, dia tidak boleh sebarangan mengeluarkan kenyataan atau berkongsi maklumat di media sosial. Di situ pun sudah timbul satu tanda tanya,” katanya.

Justeru, Nur Izura menyarankan masyarakat merujuk sumber rasmi dan tidak berkongsi maklumat sensasi di media sosial tanpa pengesahan rasmi dari pihak berautoriti.

Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mengesan individu di sebalik akaun TikTok “Dato’ Prof Dr Tunku Iskandar” yang menyamar sebagai pakar patologi serta mendakwa terlibat dalam proses bedah siasat kematian Zara Qairina.

Suspek yang ditahan di kawasan Kota Damansara itu kemudiannya disahkan bukan pakar patologi seperti yang didakwa.

Disiarkan pada: Ogos 20, 2025 @ 3:34pm

Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara