WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

MEMBANGUN NEGARA DAKWAH: KOMITMEN KEAGAMAAN KERAJAAN SULAYMAN `A.S. – Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil

(Ayat 20 – 31 surah al-Naml)

  1. Dan dia memeriksa burung-burung lalu berkata, “Mengapa aku tidak melihat
    hudhud (sejenis burung pelatuk), apakah ia termasuk yang tidak hadir?
  2. Pasti akan kuhukum ia dengan hukuman yang berat atau kusembelih ia, kecuali
    jika ia datang kepadaku dengan alasn yang jelas.”.
  3. Maka tidak lama kemudian (datanglah hudhud), lalu ia berkata, “Aku telah
    mengetahui sesuatu yang belum engkau ketahui. Aku datang kepadamu dari
    negeri Saba’ membawa suatu berita yang meyakinkan.
  4. Sungguh, kudapati ada seorang perempuan (Ratu Balqis) yang memerintah mereka, dan dia dianugerahi segala sesuatu serta memiliki singgahsana yang besar.
  5. Aku (burung hudhud) dapati dia dan kaumnya menyembah matahari, bukan
    kepada Allah; dan setan telah menjadikan terasa indah bagi mereka perbuatan
    perbuatan (buruk) mereka, sehingga menghalangi mereka dari jalan (Allah),
    maka mereka tidak mendapat petunjuk,
  6. mereka (juga) tidak menyembah Allah yang mengeluarkan apa yang terpendam
    di langit dan di bumi dan yang mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan
    yang kamu nyatakan.
  7. Allah, tidak ada tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai `Arasy yang
    Agung.”
  8. Dia (Sulaiman) berkata, “Akan kami lihat, apa kamu benar, atau termasuk yang
    berdusta.
  9. Pergilah dengan (membawa) suratku ini, lalu jatuhkanlah kepada mereka,
    kemudian berpalinglah dari mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka
    bicarakan.”.
  10. Dia (Balqis) berkata, “ Wahai para pembesar! Sesungguhnya telah disampaikan
    kepadaku sebuah surat yang mulia.
  11. Sesungguhnya (surat) itu dari Sulaiman yang isinya, “Dengan nama Allah Yang
    Maha Pengasih, Maha Penyayang,
  12. janganlah engkau berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai
    orang-orang yang berserah diri.”

Yang cuba disorot dalam perbincangan ini bukan Sulaiman `a.s. sebagai individu, tetapi kerajaan pimpinan Sulaiman `a.s. yang memiliki segala kelengkapan pemerintahan. Ayat 20 memberikan pemerian tentang seorang ketua kerajaan (Sulaiman `a.s.) yang sangat mengambil berat dan mengambil tahu setiap anggota (kaki tangan) dalam pemerintahannya – yang besar dan yang kecil. Ketidakhadiran staf sekecil hudhud pun disedarinya, dan ditanyakan ke mana perginya. Sulaiman `a.s. sebagai ketua kerajaan tidak dimaklumkan tentang ketidakhadiran hudhud, dan tidak mengeluarkan sebarang izin untuk tidak hadir. Ini suatu yang tidak sewajarnya berlaku. Sulaiman `a.s. memandang serius isu disiplin ini, lalu mengancam akan mengambil tindakan mengenakan hukuman berat atau menyembelih hudhud, kecuali jika ia dapat memberikan alasan yang kuat mengapa tidak hadir. Hukuman ke atas sesuatu kesalahan tidak berdasarkan kecil-besar pelakunya, tetapi berdasarkan sifat kesalahan yang dilakukan.

Keadaan itu tidak berlangsung lama. Hudhud bukan tidak hadir, tetapi terlambat hadir kerana kendala urusan pekerjaan di luar. Ketika ditanya tentang kelewatannya, hudhud menjawab bahawa ia mempunyai maklumat penting yang tidak diketahui oleh Sulaiman `a.s. dan tenteranya. Ia terlambat kerana tugas melakukan tinjauan untuk mendapatkan maklumat dan mencari fakta. Ketika itu ia baru sampai dari negeri Saba’ dengan membawa berita yang sah dan meyakinkan. Hudhud kelihatannya cukup pintar mempertahankan diri. Cara ia membuat penjelasan cukup menarik perhatian dan membangkitkan rasa ingin tahu. Sulaiman `a.s. sendiri tentunya tersentak ketika hudhud berkata, “aku telah mengetahui sesuatu yang belum engkau ketahui.” Memang benar, Sulaiman `a.s. belum mengetahui berita yang dibawa oleh hudhud tentang Saba’ dan Ratu Balqis. Kisah ini memberikan kita suatu petunjuk bahawa seorang pemimpin utama, meskipun seorang nabi, tidak semestinya tahu tetang semua perkara. Maklumat maklumat tertentu mungkin hanya ada pada seseorang yang kedudukannya lebih rendah. Kisah ini juga seharusnya menyedarkan ulama dan para ilmuwan umumnya agar bersikap tawadu`, dan tidak menyombongkan diri. Kisah ini juga memberikan petunjuk bahawa orang kecil berhak untuk berkata kepada orang besar, “aku tahu apa yang kamu tidak tahu” dengan syarat ia benar-benar tahu apa yang dikatakannya.

Berita yang dibawa oleh hudhud memang berita besar. Di negeri Saba’ ia menemukan sebuah kerajaan besar yang dirajai oleh seorang perempuan (Balqis bint Sharahil). Beliau memiliki segala kelengkapan termasuk angkatan bersenjata yang kuat, singgahsana mewah dan megah serta pelbagai kelengkapan lain yang melambangkan kehebatan kerajaannya (ayat 23). Tetapi yang menjadi keprihatinan hudhud ialah segi keagamaannya. Balqis dan kaumnya tidak menyembah Allah, sebaliknya menyembah matahari. Mereka tidak menyedari kesesatan yang mereka lakukan kerana syaitan telah menghiasi kesesatan dan kejelekan mereka sedemikian rupa sehingga tampak dan terasa seperti benar dan indah. Ternyata mereka telah dikuasai syaitan yang berjaya menghadang mereka daripada jalan yang benar, memesungkan mereka daripada menyembah Allah Yang Maha Esa, lalu mereka tidak mendapat petunjuk (ayat 24). Memang demikianlah keahlian syaitan, tukang hias yang luar biasa sehingga yang hodoh tampak cantik, yang batil tampak benar, yang hitam tampak putih.

Gara-gara syaitan, mereka tidak lagi mengenal jalan kebenaran, iaitu ketulusan dan kemurnian sujud kepada Allah semata-mata, bukan kepada makhluk – matahari, bulan, bintang dan lain-lainnya. Dialah (Allah), Tuhan Yang Maha Pencipta, yang menjadikan segala-gala, mengeluarkan segala yang sebelumnya tersembunyi di langit dan di bumi seperti hujan, tumbuhan dan galian.; dan mengetahui segala perbuatan dan percakapan yang tersembunyi dan yang terdedah. Hanya Allah Tuhan yang sebenarnya, tidak ada yang lain, dan kepada-Nya segala makhluk harus tunduk. Hanya Dia yang memiliki kebesaran yang hakiki. Sebesar mana pun kerajaan manusia, dan sehebat mana pun singgahsana manusia, termasuk singgahsana Balqis, nilainya berbanding keagungan `arasy dan kerajaan Tuhan.

Ternyata hudhud bukan cuma petugas yang bekerja sekadar bekerja. Ia adalah petugas yang komited, mendukung dengan sepenuh jiwa raga misi dakwah kerajaan Sulaiman `a.s. Hudhud tidak hanya melaksanakan misi, tetapi meyakini dan menghayati misi yang digalasnya. Ayat 24 – 26 merakamkan suara hati petugas yang beriman dan benar benar komited. Ternyata hudhud adalah kaki-tangan kerajaan yang sekaligus da`I yang berdedikasi tinggi.

Jawapan Sulaiman `a.s. kepada keterangan hudhud menunjukkan ketelitian dan kecermatan seorang pemimpin negara (ayat 27). Sepenting mana dan sebenar mana berita yang dibawa oleh hudhud, ia masih perlu diteliti dan dipastikan. Bukan tidak mungkin keterangan hudhud itu hanya rekaan untuk melepaskan diri dari hukuman. Sesuatu maklumat, dari siapa pun sumbernya tidak boleh diterima bulat-bulat tanpa usul periksa. Bagaimanapun pelaku sesuatu kesalahan harus dibebaskan dari hukuman jika ia memberikan alasan yang munasabah.

Keterangan hudhud disikapi dengan serius. Sebuah kerajaan dakwah tidak boleh membiarkan orang dalam kesesatan. Tindakan Sulaiman `a.s. ialah dengan menulis surat kepada Balqis dan kaumnya, yang kandungannya adalah seruan agar ia menerima iman dan islam. Hudhud diperintahkan membawa surat itu dan meletakkannya di hadapan Balqis. Hudhud juga diberikan arahan agar beranjak setelah meletakkan surat tersebut untuk memberi kesempatan dan keselesaan mereka membincangkan kandungannya (ayat 28).

Balqis segera memanggil para pembesar kerajaannya dan memaklumkan kepada mereka bahawa ia telah menerima surat istimewa, pengirimnya adalah seorang nabi dan raja besar, Sulaiman `a.s. Balqis ternyata sangat terkesan dengan surat tersebut yang disifatkannya sebagai kitabun karim (surat yang mulia/istimewa) kerana isinya menarik, bahasanya indah dan bercap mohor (makhtuman). Di samping itu ada keajaiban dalam penyampaian surat tersebut – dibawa oleh seekor burung yang meletakkannya di hadapan, lalu beranjak dengan cukup sopan. Ini bererti pengirimnya bukan sebarang raja. Raja biasa tidak mungkin mampu melakukannya (ayat 29).

Ada tiga perkara penting yang terkandung dalam surat tersebut:

i. Al-basmalah yang menunjukkan pengisbatan Allah – keesaan-Nya, kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya,

ii. Larangan meninggi diri kerana ia akan menghalang masuknya kebenaran ke dalam jiwa, dan larangan tunduk kepada nafsu, dan

iii. Seruan kepada Islam (yang meliputi segala kebaikan) dan seruan patuh kepada perintah Sulaiman `a.s. (ayat 30-31).

Dikatakan bahawa Sulaiman `a.s. adalah orang pertama menulis Bismi ‘Llahi ‘r-Rahmani ‘r-Rahim. Surat tersebut memang cukup ringkas, tetapi mengandungi erti penting dalam kehidupan keagamaan dan keduniaan. Di dalamnya terumus misi besar sebuah kerajaan dakwah.

Tafsir Mauduiy – 71

Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara