WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

Konsep Pendidikan Haraki dalam Wacana Siddiq Fadzil: Dapatan Awal

Oleh Muhamad Razak Idris

Allahyarham Profesor Dato’ Dr Siddiq Fadzil merupakan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ke-2 (1983-1991). Beliau mengambil alih kepemimpinan ABIM daripada Saudara Anwar Ibrahim (Dato’ Seri) yang telah menamatkan penggal kepemimpinannya setelah 10 tahun sebagai Presiden ABIM (1974-1982)

Pada 3 September 1983/15 Zulkaedah 1402, Dr Siddiq Fadzil telah menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM ke-11 bertajuk “Garis-garis Besar Haluan Perjuangan” bertempat Dewan Al-Malik Faisal, Maktab Pergurusan Islam, Petaling Jaya, Selangor. Teks ucapan ini telah diterbitkan ABIM dalam Koleksi Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM bertajuk “Mengangkat Martabat Umat” (Siddiq Fadzil, ABIM, 1989).

Teks tersebut yang kini berusia 42 tahun amat signifikan dalam kontek gerakan dakwah ABIM di Malaysia. Ini kerana pertama, ia merupakan ucapan terawal oleh Dr Siddiq Fadzil selaku Presiden ABIM. Kedua, ucapan tersebut mengandungi beberapa aspek pemikiran pendidikan dari sudut pandang ABIM sebagai sebuah harakah Islamiah atau gerakan Islam di Malaysia. Ketiga, ia ditulis dan dibentangkan di era ABIM sedang mengorak langkah di fasa kedua pengukuhan pergerakannya setelah menempuh fasa pertama (1972-1982). penubuhannya yang dinamik.

Apa yang lebih utama lagi ialah untuk kita meneliti elemen-elemen kebijaksanaan (al-hikmah) yang terkandung dalam perspektif, tanggapan dan sudut pandang Dr Siddiq Fadzil terhadap situasi serta persekitaran yang harus beliau tempuhi dan tangani selaku seorang pemimpin harakah Islamiah di Malaysia dalam mendepani tuntutan zaman dan tanggungjawab bagi pembinaan semula dunia Islam. Dalam konteks tulisan ini, ia berusaha mengolah semula dimensi-dimensi yang mengandungi pemikiran kependidikan  Dr Siddiq dalam teks dan karya tersebut.


  1. Definisi Gerakan Islam/Harakah Islamiyyah

Pemikiran kependidikan Dr Siddiq Fadzli adalah berlatarbelakangkan tasawwurnya terhadap definisi harakah Islamiah serta peranannya dalam konteks pembinaan ummah pada masa ini. Antara perincian definisi gerakan Islam atau harakah Islamiah oleh Dr Siddiq Fadzil ialah:

(1) gerakan yang komited secara serius kepada cita-cita pendaulatan Islam sebagai ad-Din yang serba sempurna menggenapi segala aspek dan spektrum kehidupan; sesuai dengan sifat sebuah gerakan yang diistilahkan oleh al-Quranu ‘l-Karim sebagai Hizbu’Lah dan Ansaru’Llah .. (ms.1)

(2) golongan Ulu Baqiyyah – golongan istimewa pembanteras kerosakan di dunia (ms.1).

(3) pelanjut risalah perjuangan para anbiya, pewaris risalah perjuangan Rasulu’Lah s.a.w. (alpA’raf:158).

(4)pembawa misi ‘ta’bidu’n-Nasi li Rabbihim – membawa manusia mengabdikan diri seutuh dan setulusnya kepada Allah – mengabdi dalam erti yang setulen dan seluas luasnya, tunduk dan akur sepenuhnya kepada ajaran Samawi, patuh dan setia sebulatnya kepada tatahidup rabbani (ms.2)

(5) penerus misi gerakan besar al-Futuhatu’l Islamiyyah sebagaimana terungkap dalam serangkai kalimat Rab’iyy ibn ‘Amir, jurubicara angkatan mujahidin di pertempuran al-Qadisiyyah.

(6) para pejuang bagi merealisasikan cita-cita sehingga berhasil Islamisasi yang menyeluruh: sakhsiyah Islamiah, keluarga Islamiah, ummah Islamiah, dawlah/negara Islamiah, dunia Islam dan khilafah Islamiah. (ms.4).

(7) gerakan Islam yang mempunyai skima, rencana, program dan organisasi haraki yang rapi dan berkesan.

(8) pelaksana islah – pembaikan di muka bumi sebagaimana firman Allah s.w.t tentang Nabi Shu’ayb ‘a.s:

Terjemahan: “…Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan dan tidak ada taufiq bagiku melainkan dengan pertolongan Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan kepadaNya aku kembali” (Hud:88).

(9) jurubicara umat – gerakan Islam yang kukuh hubungan vertical dan horizontal (hablu’m-mina’Llah wa hablu ‘m-mina’n-nas). Jurubicara umat sentiasa menyuarakan fikiran dan perasan, aspirasi dan cita-cita umat.

2. Ciri-ciri Pendidik Sebagai Intelektual, Daie dan Aktivis Haraki

Berpandukan definisi harakah Islamiah di atas, sejumlah ciri-ciri pendidik haraki dari perspektif Dr Siddiq boleh dirumuskan, seperti berikut:

            (1) pendukung harakah, pembina generasi mukmin dengan ajaran Islam yang tulen, generasi baru “al-jilu’r-Rabaniyyu ‘l-Multazim  – generasi rabbani yang komited, generasi yang menghayati ciri-ciri keunggulan: lemah lembut terhadap orang yang mu’min, yang bersikap keras terhadap golongan kafir, yang berjihad dijalan Allah (Al-Ma’idah:54). (ms.14),

            (2) pembentuk ummah dengan acuan Islam yang sempurna dalam segala aspek kehidupannya (ms.14), generasi barisan ansaru ‘dakwah – mujahid dakwah yang dapat ditampilkan sebagai qudwah – ikutan  dan model tauladan – dalam penghayatan segala cabang ajaran Islam dan hukum hakamnya.

            (3) menguasasi ilmu-ilmu Islam yang serba mencakup, padu dan seimbang – bukan penguasaan serpihan juz’iyy/partial (ms.15)

            (4) golongan mujahidin-ilmuwan yang tafaqquh fi’d-din[memperdalam pengentahuan mereka tentang agama]di tengah-tengah gelanggang perjuangan (rujuk: al-Taubah:122) (ms.15).

            (5) memiliki guiding ideas – idea-idea pengarahan dan kaya dengan gagasan-gagasan segar seterusnya mengatasi permasalahan ‘’umqu’t tajribah wa husnu’l-fiqh” iaitu kekurangan pengalaman dan kedangkalan ilmu – bagi mendepani tuntutan zaman dan mendepani cabaran baru (ms.16)

            (6) pembina generasi mujahid dan ummah yang komited yang memiliki al-janibu’l-imaniyy (aspek pembinaan iman) menerusi ketekunan beribadat – tanassuk taqarrub – mendekati Allah dan menegakkan syiar-syiarNya (ms.16).

            (7) murabbi yang melaksanakan tarbiyyah menyeluruh mencukupi aspek-aspek rohani, jasmani dan akli serta menggenapi segala bidang – politik, sosial, jihad dan lain-lain (ms.16).

            (8) pembina disiplin dan pembangun organisasi yang baik – memiliki qiyadah dan jundiyyah (kewibawaan pimpinan, kesetiaan pengikut), kecekapan, amal jama’iyy dan pemelihara keutuhan dan ketertiban Jemaah, kegiatan berencana, rapi, beperancangan dan bukan secara ad-hoc (ms. 16).

            (9) aktivis praktis, realis, nyata di tengah kancah pengumulan persoalan-persoalan – bukan golongan absurd yang hanyut di alam fantasi. Perancangan berdasarkan realiti, sentiasa menganalisa dan menilai situasi. (ms.17).

            (10) penggerak harakah berpandukan kaedah, uslub bekerja yang serba Islamiah dalam matlamat dan caranya (Islamiyatun bahtah fi ghayatiha wa wasailiha) – bermodelkan uslub perjuangan Rasulu’lLah s.a.w dengan penekanan terhadap kegiatan dakwah, tarbiyah, islah, jihad (ms.17).

            (11) pendakwah – meratakan risalah dan kesedaran Islamiah ke seluruh sektor dan golongan manusia sesuai dengan kesejagatan Islam (hadis: Rasulullah diutus kepada manusia seutuhnya – ila an-nas kaffah) (ms.18).

            (12) pendidik massa – daie yang berorientasikan jamahiriyyah (dakwah menyeluruh), berakar ditengah masyarakat, bukan berpaut di atas – dakwah bersifat berteraskan ummah,  ummah based (bukan rural based atau urban based) (ms.18).

            (13) pendidik ialah pendakwah, bukan penghukum (du’ah bukan qudah) (ms.18).

            (14) murabbi pembentuk as-safwatu’l-mukhtarah –kelompok terpilih – sesuai dengan fungsi Nabi Muhammad s.s.w sebagai rasulu’d-da’wah wa’t-tarbiyah (ms.19).

            (15) murabbi pembina tarbiyyah harakiyyah yang bermodelkan ciri-ciri Madrasah Muhammad s.a.w yang telah berhasil menampilkan para sahabat r.’a.a, angkatan pertama mujahid dakwah yang terunggul dalam sejarah Islam (ms.19).

Dr Siddiq menyebutkan:

“Pembinaan golongan as-safwatu’l-mukhtarah merupakan keperluan asasi bagi gerakan Islam kerana selain dari menjadi penggerak utama, mereka jugalah yang nanti akan menjadi faktor survival harakah ketika dilanda ujian tribulasi besar” (ms.19).

(16) musleh ummah– penggerak perubahan dari fasad kepada salah [soleh], dari keburukan kepada kebaikan, menjurus kepada keadaan yang lebih baik, mengarah kepada pencapaian idealisme “haq” dan nilai-nilai kebaikan yang mutlak, bukan sekadar ‘change for the sake of change’. (ms.20-21).

(17) mujahid dakwah – penyala obor semangat jihad dan pengorbanan sebagai wasilah dan jalan mencapai cita-cita Islamiah, survival ummah (ms.22). Firman Allah s.w.t: Dan berjihadlah dijalan Allah dengan jihad yang setulennya… (Al-Hajj:78).

(18) pejuang isu-isu umat berasaskan pendekatan Islam setulennya – bukan pendekatan bertujuan populis atau pragmatis tanpa dipastikan sah dari sudut pandangan Islam (ms.24).

3. Cabaran dan Peranan Harakah Islam dan Pendidik Haraki Masa Kini

Para pendidik haraki mempunyai banyak cabaran yang mesti dijayakan pada masa kini. Antara peranan para  pendidik haraki hari ini dalam menangani cabaran zaman menurut Dr Siddiq Fadzil antaranya ialah:

(1) Mengurus realiti politik kepartian, persaingan merebut kuasa di kalangan ummah.

            Dr Siddiq menyatakan:

“Bagi kita, Islam adalah padu dan “kompak” yang tidak mengenal pemecahan. Yang nyata kita bukan parti politik dan kerana itu peranan politik kita tidak terbentuk kepartian yang menumpu pada persaingan merebut kuasa dalam proses pilihanraya. Politik kepartian dan seterusnya penyertaan dalam proses demokrasi pilihanraya bukan uslud asasi, bukan jawahar’l-‘amal gerakan Islam, tetapi hanyalah sekadar umur janibiyyah – urusan sampingan yang digarap dalam kadar yang terbatas. Oleh itu, bagi pendukung gerakan Islam, perhitungan politik kepartian tidak seharusnya mengatasi kepentingan gerakan Islam dan jawharu’l-‘amal ‘l-Islamiyy” (ms.25).

(2) Memperluas rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak demi kemaslahatan Islam dan ummah.

            Dr Siddiq menjelaskan:

“Keyakinan kita yang bulat kepada wadah gerakan Islam sebagai wasilah yang paling berkesan kea rah pencapaian cita-cita Islam tidak pula menjejaskan kesediaan kita untuk bekerjasama dengan pihak-pihak lain dalam hal-hal yang membawa maslahah dan kebaikan kepada Islam dan umat atas dasar at-ta’awan ‘ala ‘l-birr – kerjasama dalam hal-hal kebajikan yang memang diizinkan oleh Allah s.w.t (rujuk: An-Nisa’: 114).

(3) Memberi penyelesaian terhadap persoalan masyarakat majmuk, menangani masalah pluralisme atau kemajmukan masyarakat.

            Dr Siddiq menghuraikan:

“Islam adalah risalah sejagat yang merahmati alam; alam dengan segala keragaman bangsa, agama dan budaya penghuninya; merahmati alam menerusi dasar keadilan sejagatnya yang tidak memandang bulu; merahmati alam dengan penghormatannya terhadap karamah insaniyyah (human dignity) (ms.26-27).

(4) Membangun konsep dan model ‘pembangunan dalam Islam’.

Dr Siddiq menjelaskan:

“Pembangunan dalam perspektif Islam adalah pembangunan manusia seutuhnya – menggenapi segala dimensi dan potensi kemanusiaan; pembangunan masyarakat seluruhnya – matai setiap golongan dan lapisannya. Pembangunan adalah bersifat berbilang bidang (multi-dimensional) tetapi sekaligus bersepadu (integrated) – pembangunan yang mencakup dimensi-dimensi kerohanian dan kebendaan dengan hubungan yang padu (integral) dalam kepelbagaian dimensinya, kepaduan yang berpaksikan Tawhid. Pembangunan adalah bersifat goal and value oriented – menuju kea rah matlamat keredhaan Allah dan didasari oleh nilai-nilai murni ajaran samawi” (ms.29). 

(5) Menjayakan Islamisasi sepenuhnya menerusi pemerkasaan institusi dan sistem berteraskan Islam.

            Dr Siddiq menyebutkan:

“Bagaimanapun, kita sedia mengalu-alukan sebarang langkah dan projek yang berfaedah kepada umat Islam seperti Universiti Islam dan Bank Islam sekiranya dilaksanakan dalam bentuk yang dihasratkan oleh ummah. …..[namun] Apa yang sebenarnya dituntut oleh umat Islam adalah Islamisasi menyeluruh – bukan sekadar sebuah atau beberapa universiti Islam tetapi sistem pendidikan Islam, bukan sekadar sebuah atau beberapa buah bank Islam tetapi sistem ekonomi Islam” (30).

(6) Menangani isu dan kemelut kemanusian sejagat.

            Dr Siddiq mengutip pandangan Sayyid Qutb:

“Ketika menggambarkan kemelut kemanusia dalam tamadun masa kini, Sayyid Qutb menggunakan unggapan tadmiru’linsan (penghancuran kemanusiaan)” (ms.30). Ungkapan tersebut adalah gambaran sebuah fenomena penghancuran ciri-ciri kemanusian yang berubah menjadi robot atau haiwan, hilangnya sentimen kemanusiaan, menularnya model economic animal, kegilaan mengejar kemewahan material, rakuskan keuntungan, kediktatoran, kefanatikan faham, penafian konsep manusia sebagai ‘primary being’ di mana manusia selaku makhluk mulia telah kehilangan martabatnya (ms.31-32).

(7) Memperjuangkan Hak Asasi Manusia dari perspektif Islam.

            Dr Siddiq menyebutkan:

“Antara gelaja paling menjolok dari kemelut kemanusian ketika ini termasuklah pencabulan sewenang-wenang terhadap hak asasi manusia yang berlaku di mana-mana di negara-negara yang mengamalkan sistem pemerintahan kuku besi mahupun negara-negara yang kononnya mengamalkan sistem demokrasi” (ms.32).

“Hak asasi dalam Islam bukan carian atau bikinan manusiawi, bukan hasil revolusi dan bukan resolusi konferensi tetapi adalah merupakan piagam samawi anugerah Ilahi. Hak-hak asasi dalam Islam mempunyai kedaulatan yang sentiasa terjamin kerana perkara tersebut adalah ketetapan hukum Allah yang tiada siapa pun boleh memindanya, bahkan adalah piagam yang tetap, mantap dan abadi” (ms.34).

(8) Menawarkan hidayah kepada seluruh warga dunia.

            Dr Siddiq menyatakan:

            “Sebagai pelanjut risalah sejagat, kita harus memandang dan menjelajah ke segala arah – timur dan barat, utara dan selatan – bukan untuk mencari-cari pedoman dan bukan untuk meminta-minta panduan, tetapi untuk menawarkan hidayah kepada seluruh warga dunia yang belum menemukannya. Merekalah sebenarnya lebih memerlukan apa yang ada pada kita (hidayah) dan tidak sebaliknya. Kita adalah khayra ummah (umat terbaik), kita adalah golongan al-‘a’lawn (golongan terunggul) dan kita juga adalah shuhada’ ‘ala’n-nas (saksi ke atas manusia) (m.s 43).

5. Penutup

Pemikiran kependidikan Dr Siddiq Fadzil mengandungi kebijaksanaan hubungan simbiosis antara dakwah dan siasah ummah yang berada secara sepadu sejajar dengan peranan harakah Islam sebagai wasilah bagi pembinaan semula dunia Islam dan kemajuan ummah.

Peranan pendidik haraki adalah luas dan menyeluruh sejajar kedudukannya selaku tonggak dan penggerak harakah Islamiah itu sendiri. Pendidik haraki yang terbina dengan ciri-ciri keunggulan yang dinyatakan akan menjamin survival gerakan Islam dan ketahanannya sebagai benteng dan penyampai risalah Islam ke segenap alam – rahmatan lil alamin.

[Dr Muhamad Razak Idris ialah ahli akademik dan aktivis gerakan Islam di Malaysia]


Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara