WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

Dakwah fardiyyah berteraskan tarbiah

Kemaksiatan adalah antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh masyarakat Islam kontemporari. Arus globalisasi, kebebasan tanpa batas, pengaruh media sosial serta krisis nilai telah menjadikan kemaksiatan bukan sahaja berlaku secara terbuka, malah dianggap sebagai perkara biasa dan diterima dalam norma masyarakat. Dalam menghadapi realiti ini, pendekatan dakwah berskala besar semata-mata tidak lagi mencukupi. Justeru, dakwah fardiyyah iaitu dakwah secara individu ke individu, muncul sebagai satu pendekatan yang sangat signifikan dalam membina kesedaran, membentuk akhlak dan membanteras kemaksiatan dari akar umbi. Kerana itu kesedaran individu penting untuk membanteras kemaksiatan bermula daripada diri sendiri. Hadis Nabi SAW bermaksud: “Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu, maka dengan lidahnya; dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Dakwah fardiyyah menekankan sentuhan hati, keakraban hubungan dan pendekatan hikmah yang bersifat berterusan. Ia bukan sekadar menyampaikan teguran, tetapi satu proses tarbiyah yang mendalam untuk mengubah jiwa dan membina kekuatan iman individu secara berperingkat. Sampaikanlah nasihat dengan cara yang baik sebagaimana peringatan Allah Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik.” (Surah al-Nahl: 125)

Ajaklah manusia kepada kebaikan

Dakwah fardiyyah merujuk kepada usaha mengajak manusia kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran melalui hubungan peribadi yang rapat, bersifat langsung dan berterusan. Pendekatan ini telah menjadi manhaj utama Rasulullah SAW pada peringkat awal dakwah Islam, khususnya di Makkah. Baginda memulakan dakwah dengan individu terpilih seperti Saidina Abu Bakar, Khadijah RA dan Ali bin Abi Talib, sebelum Islam berkembang secara meluas. Kepentingan dakwah fardiyyah terletak pada keupayaannya menyentuh aspek dalaman manusia. Kemaksiatan sering berpunca daripada kelemahan iman, kekosongan rohani dan pengaruh persekitaran. Dakwah secara individu memberi ruang untuk memahami latar belakang, cabaran dan konflik dalaman sasaran dakwah. Justeru, nasihat dan bimbingan dapat disampaikan secara lebih tepat dan berkesan. Islam membenci maksiat, bukan memusuhi manusia. Rasulullah SAW menegur sahabat agar tidak melaknat pelaku dosa. Tegur perbuatan, bukan menghina individu. Buka ruang taubat, bukan menutup pintu harapan. Inilah peranan dakwah fardiyyah dalam membendung maksiat berleluasa.

Maksiat sebagai penyakit sosial

Dalam Islam, kemaksiatan bukan sahaja dianggap sebagai pelanggaran hukum syarak, tetapi juga sebagai penyakit spiritual yang merosakkan hati. Rasulullah SAW bersabda apabila seorang hamba melakukan dosa, akan terbit satu titik hitam dalam hatinya. Jika dosa berterusan tanpa taubat, hati akan menjadi keras dan tertutup daripada kebenaran.

Kemaksiatan juga memberi kesan sosial yang besar seperti runtuhnya institusi keluarga, keruntuhan akhlak belia dan peningkatan jenayah. Oleh itu, membanteras kemaksiatan memerlukan pendekatan yang bukan hanya bersifat hukuman atau kecaman terbuka, tetapi satu usaha pembinaan dalaman yang menyeluruh. Di sinilah dakwah fardiyyah memainkan peranan penting sebagai proses penyembuhan jiwa secara berperingkat. Dakwah fardiyyah, iaitu pendekatan satu-ke-satu, membolehkan pendakwah mendengar dengan empati, memahami latar emosi dan pengalaman serta merawat masalah dari akarnya. Rasulullah SAW berdakwah secara peribadi kepada individu seperti Abu Bakar RA, Umar RA dan Mu’az bin Jabal, membina iman sebelum tuntutan hukum. “Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan mencintai kelembutan dalam semua urusan.” (Riwayat Muslim)

Pendekatan fardiyyah tidak memalukan, tidak menghukum di hadapan orang ramai tetapi memulihkan harga diri mad’u. Kasih sayang yang tulus membuka pintu taubat yang selama ini tertutup oleh rasa bersalah dan putus asa. Disinilah kekuatan dakwah fardiyyah dalam membendung maksiat terus berkembang.

Kekuatan pendakwah fardiyyah

Kekuatan dakwah fardiyyah bermula dengan kekuatan pendakwah itu sendiri. Pendakwah perlu memiliki keikhlasan niat, keteguhan iman dan akhlak yang mulia. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik.” (Surah al-Nahl: 125)

Keikhlasan menjadikan dakwah bebas daripada kepentingan diri, manakala akhlak yang baik menjadikan pendakwah teladan hidup kepada sasaran dakwah. Pendakwah juga perlu memiliki kesabaran tinggi kerana perubahan sikap dan meninggalkan kemaksiatan bukan proses yang berlaku dalam masa singkat.

Selain itu, pendakwah fardiyyah perlu mempunyai kefahaman realiti (fiqh al-waqi’). Memahami konteks kehidupan moden, tekanan sosial, cabaran ekonomi dan pengaruh teknologi membantu pendakwah menyampaikan mesej Islam secara relevan dan tidak terpisah daripada realiti sasaran dakwah.

Hikmah dan kasih sayang

Antara kekuatan utama dakwah fardiyyah ialah pendekatan hikmah dan kasih sayang. Islam tidak mengajar umatnya berdakwah dengan kecaman atau penghinaan. Rasulullah SAW sentiasa mendahulukan rahmah, walaupun terhadap pelaku dosa. Dalam satu hadis, Baginda menegur sahabat yang melaknat seorang peminum arak dengan bersabda bahawa lelaki itu masih mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Pendekatan kasih sayang membina kepercayaan (trust) antara pendakwah dan sasaran dakwah. Apabila wujud rasa selamat dan diterima, individu terjebak dengan kemaksiatan akan lebih terbuka berubah. Teguran yang disampaikan secara peribadi dan berhikmah lebih mudah diterima berbanding teguran terbuka yang boleh menjatuhkan maruah.

Proses tarbiyah

Membanteras kemaksiatan melalui dakwah fardiyyah memerlukan pendekatan bertahap (tadarruj). Islam sendiri diturunkan secara berperingkat termasuk dalam pengharaman arak. Prinsip ini menunjukkan perubahan yang kekal memerlukan masa dan bimbingan berterusan. Pendakwah fardiyyah perlu membantu sasaran dakwah membina asas iman, memperbaiki hubungan dengan Allah melalui ibadah dan seterusnya memperkukuh akhlak. Fokus bukan sekadar meninggalkan dosa tertentu, tetapi membina kesedaran takwa yang mendorong individu menjauhi kemaksiatan secara sukarela.

Benteng pencegahan

Selain berperanan membanteras kemaksiatan, dakwah fardiyyah juga berfungsi sebagai benteng pencegahan. Hubungan berterusan antara pendakwah dan mad’u membolehkan nasihat diberikan sebelum individu terjerumus lebih jauh ke dalam dosa. Ia juga membantu membentuk sokongan moral dan spiritual yang amat diperlukan dalam menghadapi godaan nafsu dan tekanan hidup. Dalam konteks masyarakat moden yang individualistik, dakwah fardiyyah mengembalikan nilai ukhuwah dan kepedulian sesama Muslim. Setiap individu bukan sahaja bertanggungjawab ke atas dirinya, tetapi turut memikul amanah menjaga saudaranya daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan.

Kesimpulannya, membina kekuatan dakwah fardiyyah adalah strategi penting dalam membanteras kemaksiatan secara berkesan dan berpanjangan. Ia menekankan pembinaan iman, sentuhan hati dan perubahan dalaman berasaskan hikmah dan kasih sayang. Dalam dunia yang semakin mencabar nilai-nilai Islam, dakwah fardiyyah menjadi pendekatan yang relevan dan berkesan untuk mengembalikan manusia kepada fitrah dan jalan Allah SWT. Usaha membanteras kemaksiatan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa atau dengan pendekatan keras semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan kesabaran, keikhlasan dan komitmen berterusan melalui dakwah fardiyyah yang berteraskan tarbiyah, rahmah dan hikmah.

Penulis Pensyarah Kanan UNISEL, Timbalan Presiden Wadah

Disiarkan pada: Januari 20, 2026 @ 7:00am | MyMetro

Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara