Oleh Ahmad Azam Ab Rahman
Saya menyertai ABIM pada tahun 1978 di mana waktu itu semangat zamannya atau Zeit Geist ialah generasi muda menuntut agar pengamalan Islam yang banyak bersifat ritual, tanpa ruh Islam berubah kepada penghayatan Islam sebagai Nizamul Hayah, satu sistem kehidupan yang menyeluruh. Perjuangan Islam sebagai Ad Din diperjuangkan dengan penuh semangat oleh anak muda yang majoritinya berpendidikan sekular. ABIM adalah Gerakan Islam yang paling menonjol dan paling berpengaruh di kalangan generasi muda khususnya di kalangan mahasiswa universiti.
Berbicara tentang buku Ustaz Razali Nawawi, Presiden ABIM pertama yang bertajuk “Erti Kehidupan” (2021) adalah berkaitan soal kebangkitan Islam pada tahun 1970an. Buku ini unik kerana ditulis oleh seorang yang terlibat secara langsung dalam kebangkitan ini. Banyak buku yang ditulis mengenai kebangkitan Islam tahun 1970an adalah pengkaji luar, baik dalam atau luar negara yang tentunya mempunyai kecenderungan dan tafsiran yang berbagai-bagai dan seringkali bersifat ‘bias’ atau berat sebelah. Buku ini adalah dari insider perspectives [pandangan yang terbit dari individu yang terlibat langsung dalam gerakan ABIM] yang tentunya lebih menepati naratif sejarah kebangkitan tersebut.
Historical amnesia atau hilang ingatan sejarah adalah senjata ampuh untuk memutuskan generasi muda dari memahami dan menjiwai sejarah bangsa agar mudah mindanya dimanipulasi dengan naratif fitnah dan bohong. Begitulah yang berlaku kepada pelopor penting kebangkitan Islam tahun 70an, iaitu Anwar Ibrahim. Sumbangan besar beliau memperjuangkan Islam sebagai Ad-Din, perjuangan membela rakyat miskin, perjuangan menentang gejala rasuah, perjuangan keadilan sosial cuba dipadam dengan fitnah liwat dan zina setelah beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 2 September 1998. Sejarah kebangkitan Islam tahun 70an yang telah mengubah lanskap Islam dan politik negara cuba dipadam dan dihapuskan dengan naratif fitnah dan bohong, agar generasi baharu lupa dan hilang memori sejarah penting ini.
Naratif Sebenar Sejarah Kebangkitan Islam
Buku ‘Erti Kehidupan’ menceritakan segalanya mengenai sejarah penubuhan ABIM dan peranan penting yang dimainkan oleh Anwar Ibrahim dan Ustaz Razali serta teman perjuangan yang seangkatan dengannya. Naratif sejarah kebangkitan Islam dan kepeloporan ABIM dikupas dengan jujur dengan sandaran peristiwa dan pengalaman sebenar Ustaz Razali yang didedahkan buat pertama kalinya melalui buku ini.
Peristiwa hitam pemecatan Anwar Ibrahim pada 2 September 1998 adalah detik saya mengenali Ustaz Razali dengan lebih dekat. Ketika itu saya sebagai Presiden ABIM agak kebingungan kerana propaganda mengaibkan Anwar Ibrahim dengan tuduhan liwat dan zina sangat meluas di dada akhbar, radio dan televisyen. Ahli-ahli ABIM berada di dalam dilemma dan keliru. Rakyat sudah tentu lagi kebingungan. Justeru, ABIM mengambil keputusan untuk menganjurkan satu Forum Menangani Gejala Fitnah pada 6 September 1998. Forum tersebut adalah bertujuan untuk melihat fenomena fitnah liwat dan zina dari perspektif Islam dan perundangan. Maka Ustaz Razali sebagai Profesor Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa dan Ustaz Haron Din, dua tokoh agamawan terkenal dan dihormati dalam negara telah dijemput sebagai ahli panel untuk mengupas isu ini. ABIM, PKPIM, JIM dan ASASI menjadi penganjur bersama dan kemudiannya telah melancarkan Gerakan Keadilan Rakyat atau GERAK.
Forum ini merupakan titik penting dalam sejarah Reformasi Negara, kerana rumusannya secara tuntas dan tegas menolak fitnah sebagai senjata politik. Manakala sebarang pertuduhan liwat dan zina tanpa menampilkan 4 orang saksi yang adil, maka penuduhnya dijatuhkan sebagai penjenayah Qazaf yang mana kesaksiannya tidak boleh diterima buat selama-lamanya. Berdasarkan rumusan ini, ABIM tanpa menoleh ke belakang lagi telah menjadi penggerak utama Gerakan Reformasi 1998.
Pejuang Pemberi Inspirasi
Begitulah sumbangan besar Ustaz Razali Nawawi dalam mencetuskan Reformasi. Beliau tidak pernah absent dalam perjuangan dakwah, kebenaran dan keadilan sejak zaman pelajar hingga kini. Buktinya, yang terkini, Ustaz Razali menelefon saya bertanyakan tentang status pembelian tanah untuk membina Kompleks Anjung Rahmat sebagai Pusat Dakwah WADAH yang baharu. Saya mengatakan masih lagi belum mencukupi, lantas beliau menyatakan komitmen untuk melunasinya, “Saya ingin membantu memulakan pembangunan kompleks tersebut sebelum saya dijemput pulang oleh Allah ta’ala.” Bayangkanlah Ustaz Razali pada ketika meniti usia 80 tahun sedang diuji Allah SWT dengan masalah kesihatan yang agak serius.
Inilah sosok insan pejuang yang sentiasa memberi inspirasi untuk terus istiqamah dalam perjuangan dakwah yang amat dicemburui oleh banyak pihak. Tentunya generasi pelanjut perjuangan ABIM akan mendapat banyak insight dan inspirasi dari buku ini. ABIM akan terus relevan selagi idealisme perjuangan dengan semangat jihad terus subur dan mengakar sebagai budaya Gerakan yang unggul.
Buku “Erti Kehidupan” ini seharusnya menjadi rujukan wajib bagi setiap pendokong ABIM dan mana-mana pengkaji kebangkitan Islam moden di Malaysia.
Semoga Allah ta’ala menerima segala amal Ustaz Razali dan dikurniakan dengan sebaik-baik ganjaran syurga yang kita semua dambakan.
Penulis ialah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Sesi 2019-2021)