WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

HUKUM QAZAF DALAM ISLAM

oleh Prof Dr. Yusuf Qaradhawi

Soalan 1: Jika seseorang yang dikenali oleh khalayak ramai sebagai seorang yang istiqamah, berkeperibadian bersih dan soleh sepanjang hidupnya, tiba-tiba dituduh dengan tohmahan-tohmahan yang keji seperti berzina, melakukan perbuatan kaum Lut, membunuh dan lain-lain. apakah hukuman syariah bagi orang yang menuduh dan orang yang dituduh? Adakah orang yang dituduh wajib membela diri? Dan apakah kewajipan masyarakat Muslim dalam perkara ini?

Jawapan:

Menuduh orang-orang yang bersih dengan tohmahan­-tohmahan, terutama tohmahan-tohmahan yang besar seperti berzina, liwat dan membunuh merupakan satu perbuatan yang diharamkan secara tegas dalam Islam. Bahkan ia termasuk dalam dosa-dosa besar yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T. dan azab-Nya. Ini kerana tohmahan-tohmahan seperti itu berupaya untuk menyerang kemuliaan diri orang-orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan. Ia juga boleh menyebabkan orang ramai buruk sangka terhadapnya.

Orang-orang yang rendah akhlaknya mungkin boleh melakukan tindakan-tindakan yang tidak diinginkan terhadapnya. Perkara sedemikian juga menyebabkan tersebarnya kejahatan di kalangan orang-orang yang beriman. Oleh itu, al-Qur’an mengecam keras perilaku seperti ini dan mengancam para pendusta yang melakukannya dengan seksaan di dunia dan di Akhirat.

Firman Allah S.W.T.:

وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ بِغَيْرِ مَا ٱكْتَسَبُوا۟ فَقَدِ ٱحْتَمَلُوا۟ بُهْتَـٰنًۭا وَإِثْمًۭا مُّبِينًۭا
“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang Mukmin dan Mukminah tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.” (al-Azhab (33): 58)

Firman Allah S.W.T.:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَرْمُونَ ٱلْمُحْصَنَـٰتِ ٱلْغَـٰفِلَـٰتِ ٱلْمُؤْمِنَـٰتِ لُعِنُوا۟ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ (٢٣)

يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ (٢٤)

يَوْمَئِذٍۢ يُوَفِّيهِمُ ٱللَّهُ دِينَهُمُ ٱلْحَقَّ وَيَعْلَمُونَ أَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْحَقُّ ٱلْمُبِينُ (٢٥)

“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita­ wanita yang baik-baik, yang lengah (tidak pernah terlintas untuk melakukan perbuatan keji) lagi beriman, (dengan tuduhan zina) mereka terkena laknat di dunia dan di Akhirat dan bagi mereka azab yang besar. Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. Pada hari itu Allah akan memberikan mereka balasan yang setimpal menurut semestinya, dan tahulah mereka bahawa Allah-lah yang benar; lagi yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya).” (an-Nur (24): 23-25)

Para ulama telah sepakat (Ijma’) mengatakan bahawa dosa dan hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan ke atas lelaki Mukmin adalah serupa dengan dosa dan hukuman terhadap mereka yang melemparkannya ke atas wanita Mukminah. Ayat di atas turun dalam bentuk seperti ini (menggunakan perkataan Mukminat) kerana ayat tersebut diturunkan khas sebagai pembelaan terhadap Ummul Mukminin Aisyah As-Siddiqah binti Abu Bakar As­-Siddiq. Beliau merupakan salah seorang isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah S.A.W. selepas Khadijah r.a.

Peribadi yang suci ini terpaksa berhadapan dengan tuduhan yang keji. Orang-orang munafik menyebarkan khabar angin tentangnya dan melemparkan tohmahan bahawa beliau telah melakukan skandal dengan salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang tidak pernah diragui kebersihan peribadinya. Orang-orang munafik telah menggunakan peluang ini dengan mengobarkan api fitnah. Demikianlah kisah Hadith al-Ifki yang telah mempermalukan dan meresahkan rumah Nabi S.A.W.; rumah Abu Bakar As-Siddiq r.a. serta seluruh bandar Madinah.

Akhirnya turunlah ayat al-Qur’an tersebut secara jelas dan tegas dan mengembalikan keadaan seperti sediakala. Ayat tersebut juga telah membisukan lidah-lidah para pendusta dan membersihkan kembali nama Aishah r.a. yang jujur dan suci daripada segala tuduhan jahat. Selepas turunnya ayat-ayat tersebut, kaum Muslimin pun merasa lega kerana telah terkeluar daripada fitnah yang keras dan pahit itu.

Bacalah Firman Allah S.W.T. dalam surah an-Nur yang berikut:

إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌۭ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّۭا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ ٱمْرِئٍۢ مِّنْهُم مَّا ٱكْتَسَبَ مِنَ ٱلْإِثْمِ ۚ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبْرَهُۥ مِنْهُمْ لَهُۥ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ (١١)

لَّوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًۭا وَقَالُوا۟ هَـٰذَآ إِفْكٌۭ مُّبِينٌۭ (١٢)

لَّوْلَا جَآءُو عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ ۚ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا۟ بِٱلشُّهَدَآءِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلْكَـٰذِبُونَ (١٣)

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu mengira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap­ tiap seorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan sesiapa antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang Mukminin dan Mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu?Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.” ( an-Nur : 11-13)

Inilah hukum Allah yang tegas. Sesiapa yang menuduh orang lain melakukan perbuatan keji seperti berzina maka dia mesti mengukuhkan tuduhannya itu dengan mendatangkan empat orang saksi yang adil dan tidak cacat keperibadiannya. Kesemua saksi itu mestilah telah melihat yang tertuduh sedang melakukan perbuatan zina dengan perempuan secara jelas dengan mata kepala mereka sendiri. Demikianlah sebagaimana yang telah diterangkan secara kiasan dalam undang-undang syariah: seperti besi celak dalam botol dakwat.

Jika orang yang menuduh tidak berjaya mendatangkan empat saksi sebagaimana yang diterangkan di atas maka dia dianggap sebagai seorang pendusta di sisi Allah S.W.T. Allah menegaskan bahawa pendusta ini mesti dikenakan hukuman syariah, bahkan dia terkena tiga jenis hukuman yang tertera dalam al-Qur’an al-Karim, iaitu pada Firman Allah S.W.T.:

وَٱلَّذِينَ يَرْمُونَ ٱلْمُحْصَنَـٰتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا۟ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ فَٱجْلِدُوهُمْ ثَمَـٰنِينَ جَلْدَةًۭ وَلَا تَقْبَلُوا۟ لَهُمْ شَهَـٰدَةً أَبَدًۭا ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ (٤)

“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanitci yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) 80 kali sebatan. Dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang Jasik.” (an-Nur : 4)

Ayat-ayat yang mulia di atas menyebutkan tiga jenis hukuman terhadap jenayah keji itu.

Pertama: Hukuman fizikal, iaitu disebat sebanyak lapan puluh sebatan. Sebatan yang menyakitkan tubuh badannya itu merupakan balasan terhadap perbuatannya menyakiti peribadi orang-orang yang baik. Tuduhan yang telah disebarkannya itu juga boleh memusnahkan kehidupan orang-orang yang dituduh beserta kaum keluarganya.

Kedua: Hukuman moral dan sosial, iaitu dengan menggugurkan segala pertimbangan moral dan sosial orang yang menuduh. Kesaksiannya dalam urusan kewangan, sivil, sosial, politik tidak boleh diterima pakai. Perkataan ‘kesaksian’ dalam ayat di atas diturunkan dalam bentuk nakirah (am) dan berbentuk penafian. Oleh itu, ia mencakupi seluruh jenis kesaksian. Berdasarkan hal ini, orang itu wajib digugurkan haknya untuk mengundi dalam pilihan raya, terlebih lagi hak untuk diundi.

Ketiga: Hukuman agama, iaitu dengan menggelarnya sebagai orang yang fasik dan memasukkannya ke dalam golongan Fasiqun. Al-Qur’an menyebutkan kefasikan sebagai kepada lawan keimanan. Firman Allah S.W.T.:

(أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًۭا كَمَن كَانَ فَاسِقًۭا ۚ لَّا يَسْتَوُۥنَ (١٨

(أَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُمْ جَنَّـٰتُ ٱلْمَأْوَىٰ نُزُلًۢا بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ (١٩

وَأَمَّا ٱلَّذِينَ فَسَقُوا۟ فَمَأْوَىٰهُمُ ٱلنَّارُ ۖ كُلَّمَآ أَرَادُوٓا۟ أَن يَخْرُجُوا۟ مِنْهَآ أُعِيدُوا۟ فِيهَا وَقِيلَ لَهُمْ ذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلنَّارِ ٱلَّذِى كُنتُم بِهِۦ تُكَذِّبُونَ (٢٠

“Maka adakah orang-orang yang beriman serupa dengan orang  yang Jasik? Mereka tidak sama. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, maka bagi mereka syurga-syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan.Adapun orang-orang yang Jasik maka tempat mereka ialah neraka, setiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: rasalah azab neraka yang kamu sentiasa dustakan di dunia dahulu” (as-Sajdah : 18-20)

Dalam satu hadith sahih Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya:

“Setiap Muslim diharamkan baginya darah, harta dan maruah saudaranya sesama Muslim.”

Jika Islam tidak menentukan sikap yang tegas seperti ini tentu akan berlaku perbalahan antara seluruh manusia, manakala kemuliaan serta maruah diri mereka pula akan tertindas. Akhirnya musnahlah seluruh hak dan kebebasan.

Bertolak daripada kesedaran ini pula Islam memerintah kita untuk tidak menceritakan aib orang lain demi menjaga maruah dan peribadinya. Rasulullah S.A.W. telah bersabda kepada seseorang yang menggesa Mais untuk mengaku berzina hingga dijatuhi hukuman rejam: “Jika engkau menutupinya dengan bajumu tentu lebih baik untukmu.” Rasulullah SA.W. juga bersabda: “Seluruh umatku akan memperoleh pengampunan, kecuali orang-orang yang menyebarkan aib orang lain.” Dan baginda bersabda: “Sesiapa yang menutup kesalahan seorang Muslim, nescaya Allah akan menutupi (kesalahan)nya di dunia dan di Akhirat.”

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلْفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ (١٩)

“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di Akhirat.” (an-Nur : 19)

Sumber rujukan : Qazaf- Menjawab Finah

Akal licik Yahudi untuk menangkap ikan pada hari Sabtu dan siksaan bagi para penentang

Ayat 163 hingga 166 beserta terjemahannya. وَسۡ‍َٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara