oleh Prof Emeritus Dato’ Dr Mohd Yusof Hj Othman.
Analisis ibadah qurban dapat dilihat dari tiga perspektif :
Yang pertama (1) sering dibincangkan di masjid, surau atau pejabat dalam majlis kuliah yang dianjurkan. Kita tidak berhasrat membicara perkara ini di sini.
Yang kedua (2) sudah juga dibincangkan secara meluas. Pembangunan sosial dilakukan melalui mereka yang melakukan ibadah qurban dengan mereka yang layak menerima pemberian daging qurban. Urusetia yang melaksana ibadah qurban berkenaan juga turut terlibat. Perkara ini juga telah dibincangkan secara meluas di kalangan masyarakat kita. Hanya perlu diingat pelaksanaan ibadah qurban dan pengagihan daging korban perbeza dengan amalan aqiqah, sedekah, infak atau hadiah. Kerana ibadah ini hanya
dilakukan selepas solat Eidul Adzha sehingga selesai tiga hari tasyriq berikutnya.
Agama Islam mempunyai pelbagai kaedah untuk membantu fakir, miskin, anak yatim, jiran tetangga, dan ahli keluarga terdekat yang memerlukan. Kita juga mempunyai pelbagai cara untuk menyatakan kesyukuran kita dengan memberi makan, atau mengeluarkan sedekah, zakat dan sebagainya. Hal ini juga tidak dibincangkan di sini kerana kita mempunyai wahana yang lain untuk perbincangan ini.
Yang ketiga (3), ibadah qurban merupakan ibadah yang telah dilaksanakan sekian lama sejak dari zaman Rasulullah SAW. Hanya kaedah pengagihan daging korban dilaksanakan dengan kaedah baru sesuai dengan zaman ini. Pengagihan yang dilakukan merentasi sempadan negeri dan negara yang banyak mendatangkan keuntungan kepada pihak yang mengurus ibadah ini. Sebab itu kita lihat NGO dan mereka yang terlibat dengan mengurus ibadah ini tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Seolah
olahnya mereka bersaing untuk mendapat pelanggan yang ingin menyertai ibadah ini. Sebab di sana banyak “keuntungan” sebagaimana NGO yang ingin membantu rakyat Palestin, Afghanistan, Yaman, Syria dan sebagainya yang mendapat banyak dana infaq
dari Muslim di dunia, dan tak lupa juga di Malaysia.
Mereka juga menggunakan pelbagai media massa dan media sosial untuk mengiklankan perkhidmatan mereka. Disebabkan persaingan mendapatkan peserta untuk berqurban, kadang-kadang kita merasakan mereka seolah-olah melanggar prinsip ibadah qurban itu. Ini dapat diperhatikan daripada iklan yang mereka siarkan di media massa dan media sosial.
Ada banyak perkara yang dirungut oleh masyarakat seperti kos lembu atau kambing dan juga kos perkhidmatan yang dikenakan tidak dinyatakan secara jelas. Seolah-olah terdapat kos tersembunyai, sedangkan qurban adalah ibadah sunat muakkadah.
Bagaimana pula dengan kualiti binatang qurban, sedangkan kualiti binatang ternakan ini amat dipenting dalam ibadah ini. Sejauhmana pula mereka mengamalkan amanah yang diamanahkan oleh mereka yang mengerjakan ibadah qurban ini. Ada yang menawarkan kos satu per tujuh bahagian lembu itu dikongsikan lagi dengan beberapa peserta lain sekiranya peserta tidak mampu dengan kos yang ditawarkan. Ini kaedah ibadah qurbankah? Ada yang menyebut melakukan ibadah korban di luar negara lebih baik daripada dilakukan di mukim sendiri, sedangkan Rasulullah SAW sendiri menyuruh anaknda baginda, Fatimah az-Zahrah ra, melihat proses sembelihan yang dilaksanakan. Semua ini merupakan persoalan peserta ibadah qurban. Ada pula yang mengatakan mereka ditunjukkan gambar yang sembelihan qurban yang sama untuk peserta yang berbeza. Kalau lembu OK la…., tetapi bagaimana dengan kambing?
Walaupun kita merasai masih ramai NGO yang ikhlas untuk membantu saudara Muslim kita di negara yang diuji dengan kemiskinan, peperangan dan musibah yang tidak diundang. Tetapi citra (imej) ini dirosakkan oleh segelintir mereka yang mengambil kesempatan di atas mereka yang ingin melakukan ibadah qurban.
Kita telusuri sedikit bagaimana perkara ini boleh berlaku. Di awal 1980-an unta, kambing dan binatang korban yang telah diqurbankan di biarkan sahaja di Mina, tempat di mana ibadah qurban paling banyak dilakukan. Kita dilarang mengatakan ianya satu pembazaran, sebab ibadah qurban itu sendiri sebahagian daripada ibadah haji yang perlu dilaksanakan. Di tempat lain, termasuk di Malaysia, qurban adalah aktiviti
masyarakat setempat di setiap masjid atau surau.
Apabila berlaku peperangan di Afghanistan, Iraq, Yaman, Syria dan sebagainya, NGO Muslim mula mengkritik kerajaan Arab Saudi kerana membiarkan daging qurban terbazir. Kerajaan Arab Saudi menerimanya dengan positif dan mengetin daging qurban tersebut dan dihantar di negara yang ditimba musibah.
Kemudiannya, umat Islam di negara-negara Islam yang lain turut membantu melaksanakan ibadah qurban di luar negara melalui jaringan antarabangsa NGO tersebut. Umat Islam menerimanya dengan positif. Proses pengagihan qurban dan daging qurban menjadi semakin rancak dan diterima baik oleh umat Islam.
Para pedagang dan pengusaha melihat ini suatu peluang perniagaan yang baik untuk mereka. Di pendek cerita, gambaran umum masyarakat awam ketika ini adalah melakukan ibadah qurban seperti di atas adalah suatu perniagaan baru yang amat menguntungkan.
Untuk mengelak daripada perniagaan ibadah qurban yang tidak beretika berlaku, kita mencadangkan langkah terbaiknya dengan mewujudkan “Tabung Qurban” (TQ) sebagaimana kita menubuhkan “Tabung Haji” (TH) dalam 1960an dahulu untuk memberi perkhidmatan kepada mereka yang mengerjakan ibadah haji.
TQ boleh menjadi wahana dan pilihan baru kepada mereka yang ingin menabung. Mereka tidak perlu terlibat dengan melaksanakan ibadah qurban, tetapi mereka boleh menabung dengan tabung ini. Apabila dana sudah cukup untuk membeli kambing, bebiri, atau berkongsi lembu mereka boleh melaksana ibadah ini.
TQ boleh juga menjadi wahana yang terbaik untuk Keselamatan Makanan (Food Security) negara. TQ boleh juga membantu dalam membangunkan perusahaan ternakan lembu, kambing, bebiri dan binatang ternakan qurban yang lain. Sekiranya dilaksanakan dengan perancangan yang rapi, aktiviti penternakan binatang ternak oleh TQ boleh menstabilkan harga daging negara, sebagaimana yang berlaku kepada Tabung Haji.
TQ juga boleh memasarkan daging halalan toyiban untuk kegunaan harian masyarakat awam. Gelatin yang dihasilkan daripada ladang ternakan ini dapat digunakan untuk menghasilkan gelatin halal untuk pasaran farmasutikal dan yang seumpama dengannya.
TQ juga boleh membuka kolej yang memberi kursus TVET (teknikal) khusus untuk pelajar yang ingin membangunkan kerjaya dalam bidang penternakan dan perladangan seperti kursus penternakan binatang, penyembelihan, pemotongan daging, memilih daging yang baik, mempelbagaikan penggunaan lemak, kulit, usus dan tulang binatang, dan pelbagai bidang yang berhubung dengan penternakan.
TQ juga boleh menyediakan rumah sembelih yang bersih dan teratur terutama untuk masyarakat di bandar. Apatah lagi yang tinggal di rumah kediaman berstrata seperti rumah flat, kondominium, apartment dan sebagainya kerana ruang sembelihan binatang amat terhad.
Di peringkat awal ini, kita memerlukan political will (desakan politik) dan modal yang dibiayai oleh kerajaan atau agensi yang berhubung dengan penternakan untuk merealisasikan gagasan qurban ini.
Wallahua’lam.
* Disampaikan dalam Forum Nahdah, Wadah Pusat, Dewan Kuliah Anjung Rahmat, Bandar Baru Bangi
pada 13 Jun 2024 bersamaan 06 Zulkaedah 1445H.