
Penulis : Dr Isbah Teras Jernang
Ramai yang tidak menyukai pembicaraan tentang kematian. Ianya sebuah kejadian yang senyap, tetapi membawa kesan yang mendalam di seluruh kehidupan kita. Apabila kematian berlaku, segala keni’matan yang kita alami selama ini sirna.
Kenapa perlu berlaku kematian? Kematian adalah sebahagian daripada kitaran kehidupan, dan ia berlaku kerana beberapa sebab yang berbeza, sama ada dari sudut pandang biologi, falsafah, atau keagamaan.
Pandangan al-Quran dan Hadits
Al-Qur’an menekankan bahawa setiap makhluk hidup akan menemui kematian. Ia adalah satu kepastian dan ketetapan Allah.
Surah Al-Imran (3) : 185, “Setiap yang bernyawa akan merasakan mati, dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.”
Surah Al-Ankabut (29) : 57, “Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada Kami kamu dikembalikan.”
Kematian adalah ujian bagi manusia dan menjadi sebab penilaian amal seseorang di dunia. Tujuan hidup di dunia adalah untuk bersiap sedia menghadapi kehidupan abadi.
Surah Al-Mulk (67) : 2, “(Dialah) yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.”
Selepas kematian, manusia akan memasuki alam barzakh. Ini adalah alam perantara di mana roh akan mengalami nikmat atau azab sebelum hari kebangkitan.
Surah Al-Mu’minun (23) : 99-100; “(Demikianlah keadaan orang kafir), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: ‘Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan.’ Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu adalah perkataan yang dia ucapkan saja. Dan di hadapan mereka ada barzakh sampai pada hari mereka dibangkitkan.”
Hadith Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam; “Sesungguhnya kubur itu adalah salah satu taman dari taman-taman syurga, atau salah satu lubang dari lubang-lubang neraka.” (HR. Tirmizi).
Roh seseorang diambil oleh Malaikat Maut (Malakul Maut), dan ia dilakukan dengan penuh hikmah oleh para malaikat berdasarkan amalan manusia.
Surah As-Sajdah (32) : 11; “Katakanlah, ‘Malaikat maut yang diserahi tugas untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan.'”
Rasulullah saw., bersabda dalam sebuah hadith; “Malaikat maut akan mendatangi seorang mukmin dengan wajah yang bercahaya, dan bagi yang tidak beriman, ia akan didatangi dengan wajah yang menyeramkan.” (HR. Ahmad).
Kematian bagi orang mukmin adalah permulaan kepada nikmat, sementara bagi orang kafir ia adalah permulaan azab.
Hadith Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam; “Sesungguhnya roh orang mukmin akan keluar dari tubuhnya dengan lembut seperti setitis air yang keluar dari mulut bekas air, dan roh orang kafir dicabut dengan keras seperti menarik duri dari bulu basah.” (HR. Ahmad).
Kematian mengingatkan manusia untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi akhirat dan hidup dengan penuh tanggungjawab di dunia.
Hadith Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam; “Perbanyaklah mengingati pemutus segala kenikmatan, yakni kematian.” (HR. Tirmizi, An-Nasa’i).
Surah Az-Zumar (39) : 30; “Sesungguhnya kamu akan mati dan mereka pun akan mati.”
Kesimpulan
Menurut Al-Qur’an dan hadith, kematian adalah ketetapan Allah dan peralihan ke alam akhirat. Ia adalah sebahagian daripada ujian Allah untuk melihat amal manusia. Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk selalu mengingati kematian, mempersiapkan diri dengan amal soleh, dan memohon perlindungan daripada azab kubur serta azab akhirat.
Semoga kita selalui mengingati kematian, melaluinya kita selalu yakin bahwa kebaikan akan dibalas dengan pahala dan segala dosa akan mendapat azab yang berkekalan. Aamiin..
DrIsbah, Teras Jernang, 09-02-2025 / 10-SYB-1446H (Ahad).
Rujukan
Al-Qur’an dan Hadits.