WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

MUTIARA HIKMAH ‘ALLAMAH SYAIKH YUSUF ABDULLAH ALQARADAWIY (R.H) SEBAGAI PEMBINA NAHDAH UMAT (Bahagian Pertama)

Oleh : Prof. Dato’Dr Muhammad Nur Manuty

Mukaddimah:
Sayyid Jamaluddin al-Afghani (r.h), Syaikh Muhammad ‘Abduh (r.h) dan Syaikh Rashid Rida (r.h) dikenali di dunia Islam sebagai tokoh-tokoh islah (reformis) pada abad ke-19 dan ke-20. Ketiga-tiga ulama besar tersebut telah menghabiskan usia mereka berjihad bagi mengembalikan semula maruah umat Islam sebagai pembina tamadun khayru ummah selepas kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah di Istanbul, Turkiye, pada tahun 1924.


Walaubagaimanapun, limpahan rahmat dari Allah SWT pasca kewafatan mereka telah menyebabkan munculnya gerakan islah di Mesir sekali lagi di dunia Islam. Imam Hassan al-Banna telah berjaya mengasaskan gerakan al-Ikhwan al-Muslimun pada tahun 1938. Jasanya besar dalam mendidik anggota-anggota al-Ikhwan al-Muslimun yang menjadi teras kepada kebangkitan Islam di seluruh dunia mulai awal dekad 70-an.


Justeru, selain Imam Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, Muhammad al-Ghazali dan lain-lain tokoh penting al-Ikhwan al-Muslimun, seorang lagi tokoh baru al-Ikhwan al-Muslimun tercatat namanya sebagai seorang reformis dunia Islam. Beliau ialah Yusuf ‘Abd Allah al-Qaradawi (ASYQ) yang lahir dalam sebuah keluarga miskin. Tokoh besar ini meraih gelaran sebagai ‘allamah, imam da’wah, murabbi umat, mujtahid zaman serta seorang penulis yang luar biasa dari segi kepengarangan sehingga boleh digelar keilmuan Islamnya seperti ensiklopedik (mausu’iyyah).

ASYQ telah meninggal dunia pada 8 September 2022 yang lalu dalam usia 96 tahun. Beliau telah mengabdikan seluruh hidupnya dalam dunia keilmuan Islam, gerakan dakwah Islam dan gerakan islah umat bagi meneruskan usaha leluhurnya membangun semula nahdah umat. Tujuan utama kertas ini adalah untuk menggilap beberapa mutiara fikrah ASYQ bersempena dengan Munas WADAH Pencerdasan Umat (WADAH) yang menganjurkan Seminar Nasional Mengangkat Ketokohan ASYQ sebagai tokoh ulama pencetus kebangkitan umat.

ASYQ Pencerah Pemikiran Sarwa Islam (al-tasawwur al-Islamiy)

Akibat proses sekularisasi di dunia Islam dalam beberapa dekad lalu telah menyebabkan berlakunya penjajahan fikiran (al-ghazw al-fikri). Dalam hubungan ini, peranan dan sumbangan ASYQ adalah penting. Beliau antara ulama haraki yang telah mencerahkan minda umat dari kegelapan (zulumat) kepada pencerahan (tanwir). Karya-karya asas tentang Islam membicarakan Islam sebagai al-din dan nizam al-hayat (tatanan hidup). Justeru, karya-karyanya segar dan jelas membahaskan Islam sebagai agama yang syumul (komprehensif). Ini dapat dilihat dalam beberapa kupasannya yang mudah dan menarik. Antaranya: Ma’rifat al-Islam, al-Sahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rushd (2002), al-Islam Allazi Nad’u Ilayhi (1994).


Selain itu, ASYQ berpendapat bahawa seruan Islam yang kita lakukan bukannya Islam yang terikat dengan sesebuah negara, individu, zaman, bangsa atau mazhab, tetapi Islam yang berpegang teguh dengan al-Qur’an, al-Sunnah, Islam yang dibawa oleh Sayyidina Muhammad SAW. Justeru, bagi kita, Islam adalah agama yang terang seperti terangnya matahari pada siang hari, Islam al-Qur’an dan al-Sunnah. Sumber rujukannya terang, usulnya jelas dengan kewujudan apa yang dinamakan qat’iyyat dan zanniyyat. Yang disebut qat’iyyat itu adalah asal usul Islam. Ia membina kesatuan fikrah, perasaan dan tingkah laku umat dari segi ibadat, akhlak, adab dan praktis syari’ah. Perkara-perkara zanniyyat diikat dengan peraturan-peraturan yang bersyarat. Orang-orang Islam dikenali sebagai pencipta satu jenis ilmu yang selama ini tidak pernah wujud dalam mana-mana tamadun manusia. Ilmu tersebut dikenali dengan nama ilmu usul al-fiqh. Kita menyeru kepada Islam yang pertama (al-Islam al-awwal) sebelum berlakunya campur baur pengaruh asing dengan segala macam bid’ah dan perkara-perkara yang tidak Islami. Jadi, kita mahu Islam yang hening bening seperti yang difahami oleh generasi awal Islam. Mereka terdiri daripada para sahabat. Sesungguhnya mereka adalah manusia yang paling faham ruh agama Islam dan maqasid Islam. Jadi, kita berpedoman dengan mereka. Selainnya, kita boleh ambil atau tinggalkan kecuali Sunnah dari Sayyidina Muhammad SAW yang maksum. (al-Qaradawi: 1994, ms. 9–10).


Selanjutnya, Islam yang kita fahami ialah Islam yang bertujuan untuk melakukan pembaharuan (tajdid) dari segi kefahaman, keupayaan berijtihad untuk mengatasi permasalahan semasa. Justeru, kita menolak Islam yang jumud dan tertutup. Kita juga menolak ketaksuban mazhab. Dalam hal ini, kita ambil pandangan semua mazhab. Bukan sekadar mazhab yang empat, tetapi kita hendaklah juga merujuk kepada mazhab para sahabat dan tabi’in. Ratusan para fuqaha telah meninggalkan khazanah yang kaya. Seperkara yang penting, syari’at Islam sifatnya tidak menyempitkan. Sebaliknya syari’at ini telah dapat dilaksanakannya dalam pelbagai tamadun manusia. Ia telah keluar dari bumi Arab dan berjaya dilaksanakan di Parsi dan Rom, di dalam beberapa buah bandar di negara Cina, India dan Mesir. ASYQ yakin bahawa umat Islam boleh menyelesaikan masalah-masalah baharu dengan penggunaan ijtihad Islam yang betul. (al-Qaradawi: 1994, ms. 10–11).

Kritikan ASYQ Terhadap Metode Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Tauhid

ASYQ sebagai seorang ulama yang perihatin dengan islah dalam sistem pendidikan Islam tradisional, menyatakan pengalamannya belajar ilmu akidah sejak di bangku sekolah hingga ke universiti tidak menyentuh ruh dhamir seorang insan, menggerakkan hati, menghidupkan dhamir. Dengan lain perkataan, pengajian aqidah menjadi kering sehingga pembelajaran tentang iman menyimpang dari manhaj al-Qur’an. Inilah manhaj yang mengajak umat untuk melakukan pemerhatian dan renungan berfikir terhadap alam dan diri manusia yang Allah SWT ciptakan. ASYQ merujuk kepada ayat-ayat:

Dan apakah mereka tidak memperhatikan kerajaan langit dan bumi dan segala sesuatu
yang diciptakan Allah, dan kemungkinan telah dekatnya kebinasaan mereka? Maka kepada
berita manakah lagi mereka akan beriman sesudah Al Quran itu? Surah al ‘Araf: 185

    1. Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin.
    2. dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?
      Surah al Zariat: 20 – 21

    Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang
    terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. Ali ‘Imran: 190.

    Selanjutnya, ASYQ tertarik dengan pendekatan salafi yang merujuk langsung kepada al-Qur’an, al-Sunnah dalam memantapkan akidah. Benar seperti kata ‘Allamah Ibrahim al-Wazir (ulama terkenal di Yaman) bahawa pembelajaran aqidah yang kita kehendaki hanya berkesan apabila seseorang itu dapat membebaskan diri dari segala bentuk syirik sama ada kecil atau besar, membebaskan manusia dari sebarang bentuk kongkongan. (al-Qaradawi: 2002, ms. 16–17).

    ASYQ Faqih Shari’ah Yang Unik

    Membaca buku ASYQ berjudul Madkhal li Dirasat al-Shari’at al-Islamiyyah (1990) jelas membuktikan bahawa beliau adalah tokoh ulama syari’ah yang menguasai disiplin ini dengan luas dan mendalam. Memang beliau adalah faqih al-‘asr yang sukar dicari ganti sebelum Allah SWT mengizinkan umatNya mendapat seorang atau beberapa orang lagi al-Qaradawi yang seumpamanya. Selain itu, karya-karya besarnya dalam fiqh banyak dirujuk pada hari ini, antaranya, ialah Fiqh al-Zakat (1967) yang berhalaman di sekitar 800 muka surat dan Fiqh al-Jihad (2009) dengan 1349 halaman. Impak kedua-dua karya besar itu dalam masyarakat Islam sangat mendalam..


    Dalam konteks fiqh zakat, ASYQ telah membuat beberapa ijtihad, antaranya, umat Islam wajib melaksanakan zakat gaji yang diperolehi dari pekerjaan sama ada bekerja dengan pemerintah atau swasta. Meskipun idea al-Qaradawi tentang zakat gaji pernah disuarakan oleh gurunya Shaikh Muhammad Abu Zahrah, tetapi ASYQ juga diingat sebagai seorang faqih yang telah mengupas kepentingan pengurusan zakat secara komprehensif. Kita dapat melihat kesan positif daripada fatwanya itu apabila umat Islam semakin ramai mempunyai kesedaran membayar zakat gaji. Di negara kita, Pusat Pungutan Zakat Selangor dan Wilayah Persekutuan, kedua-duanya melebihi RM880 juta.


    Selain itu, karya penting Fiqh al-Jihad dalam hemat ASYQ bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan fuqaha’ masa kini bahawa tuntutan jihad, pembunuhan (al-qital) dan perang (al-jihad) sangat ditentukan oleh faktor perubahan-perubahan yang besar pada tahap global. Jadi kesedaran membaca realiti adalah mustahak demi kemantapan hukum. ASYQ berpandangan bahawa wujud sunnat al-tadafu’ dalam konteks syari’at jihad di mana al-Qur’an membicarakannya seperti menyediakan pasukan bersenjata yang kuat untuk menentang musuh-musuh Allah SWT. Selanjutnya, umat Islam wajib membalas pembunuhan yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam. Sebaliknya, Islam melarang pembunuhan ke atas orang-orang bukan Islam tanpa sebab yang syar’i. Adalah jelas bahawa keunikan syari’at jihad dalam Islam adalah untuk menggalakkan semangat jihad, pengorbanan jiwa dan harta benda untuk jalan Allah SWT serta mempertahan agamaNya. Namun pada hari ini fiqh jihad berubah dari hukum yang mantap (thabat) kepada hukum yang berubah (mutaghayyirat). Dunia pada hari ini membahaskan keperluan masyarakat manusia benci kepada peperangan. Mereka hendaklah mencari jalan kedamaian untuk hidup bersama. Agensi-agensi dunia seperti PBB, HAM dan lain NGO yang menentang perang nuklear kini bersuara meskipun suara mereka dibatasi oleh kuasa-kuasa besar dunia. Yang jelas, corak perang moden jauh berbeza dengan bentuk peperangan zaman lalu. (al-Qaradawi: 2009, ms. 26–27).


    Selanjutnya, keistimewaan ASYQ juga ialah kerana kewibaan ilmu syariatnya membicara persoalan Islam menangani isu kemiskinan. Jika selama ini isu kemiskinan banyak digarap oleh pakar-pakar ekonomi Barat serta ahli-ahli sosiologi yang menggunakan pendekatan Kapitalisme, Sosialisme dan Marxisme, ASYQ telah menulis sebuah buku yang berjudul Mushkilat al-Faqr wa Kayfa ‘Alajahu al-Islam (1985). Penyelesaian yang terdapat dalam buku ini berfokus kepada imperatif zakat harta dan zakat fitrah yang boleh menjadi wahana penting negara bagi menyelesaikan masalah kemiskinan. Justeru, ASYQ berkata bahawa zakat adalah jaminan kemasyarakatan (al-takaful al-ijtima’i) yang pertama dalam dunia. Dunia Barat hanya mengenal program jaminan sosial dalam masa yang terdekat tanpa dapat memenuhi hajat pelbagai peringkat masyarakat yang memerlukannya. (al-Qaradawi: 1985, ms. 105).

    Kepentingan Maqasid Syari’ah

    Dalam konteks maqasid syari’ah, ASYQ menyatakan bahawa beliau telah mengambil masa yang lama berusaha memahami kepentingan ilmu maqasid syari’ah. Baginya kefahaman yang jelas dan tepat tentang maqasid syari’ah dapat mewujudkan hukum yang sahih. Ia tidak wajar berlegar dalam aspek-aspek luaran nas (teks) yang bersifat juz’i. Justeru, ia boleh menyimpang dari tujuan asal syari’ah dan menimbulkan kefahaman yang menyimpang dari kehendak Allah dan Rasul. Selain itu, ASYQ beriman dengan hikmah Ilahiyyah. Di dalam al-Qur’an, perkataan al-Hakim telah disebut lebih dari sembilan puluh kali. Sesungguhnya Allah SWT adalah Hakim dari segi ciptaan-Nya serta Hakim dalam pewujudan syari’at yang sifatnya tidak sia-sia. (al-Qaradawi: 2006, ms. 11).


    ASYQ telah menelaah dengan mendalam karya-karya penting beberapa orang ulama yang menekuni bidang maqasid syari’ah. Antaranya, Ibn Taymiyyah (728H), Ibn al-Qayyim (751H), al-Syatibi (790H), Waliyullah al-Dihlawi (1176H), Muhammad Ibrahim al-Wazir dan Muhammad Rashid Rida (1354H). Selanjutnya, ASYQ telah dapat berinteraksi dengan rapat beberapa orang guru dan rakan sebayanya yang iltizam dengan maqasid syari’ah. Mereka menolak pemahaman teks-teks al-Qur’an dan al-Sunnah secara literal (lafziyy). Ulama-ulama yang dimaksudkan ialah Mahmud Shaltut, Muhammad Abdullah Darraz, Muhammad Yusuf Musa, Muhammad al-Madani, Muhammad Abu Zahrah, Abdul Wahhab Khallaf, ‘Ali al-Khafif, Muhammad Mustafa Shalabi, ‘Ali Hasbullah, Mustafa Zaid, Mustafa al-Siba’ie, al-Bahy Khuli, Muhammad al-Ghazali, Sayyid Sabiq dan lain-lain (rahimahumullah). (al-Qaradawi: 2006, ms. 12).

    ASYQ melakukan usaha membina manhaj maqasid syari’ah dari segi pemikiran, ijtihad dan tarjih (mencari hujah yang lebih tepat). Beliau mula mendapat tentangan daripada kelompok literal (harfiyyun) yang tidak melihat kepada kepentingan makna (ma’na). Inilah juga kelompok yang beliau namakan sebagai kelompok yang hanya mementingkan struktur (shakliyyun), bukan makna mendalam (jawhar). Selanjutnya, ASYQ juga menyingkap sikap golongan ekstrimis agama (mutanatti’un) yang kononnya berbicara atas nama agama dan tidak kurang hebatnya, beliau telah menemui kelompok liberal yang ingin menghalalkan segala-galanya atas nama syari’ah. (al-Qaradawi: 2006, ms. 12).

    Beriringan dengan keperluan melestarikan maqasid syari’ah dalam masyarakat Islam masa kini, maka ASYQ membicarakan keperluan umat Islam mencipta fiqh baharu (fiqh jadid) yang berpaksi kepada prinsip wasatiyyah dan i’tidal (keseimbangan). Jadi beberapa jenis fiqh yang perlu diwujudkan selain dari fiqh maqasid syari’ah ialah fiqh sunan (peraturan-peraturan Allah SWT dalam alam dan masyarakat), fiqh al-ma’alat (kaji kesan dan natijah yang berdasarkan kepada hukum-hukum juz’i), fiqh al-muwazanat (menyeimbangkan antara kebaikan dan keburukan), fiqh al-awlawiyyat (fiqh keutamaan), dan fiqh al-ikhtilaf. Menurut ASYQ, bahawa ibu kepada semua jenis fiqh tersebut ialah fiqh maqasid syari’ah. (al-Qaradawi: 2006, ms. 14–15).

    Rasional ASYQ Mengenai Kepentingan Fiqh Taysir

    Membicarakan satu persoalan penting bagi membangun nahdah umat, ASYQ melihat keperluan menjadikan ilmu fiqh berkembang ke arah yang lebih mudah atau apa yang diistilahkan sebagai taysir al-fiqh al-Islami. Justeru, ilmu fiqh bukan secara khusus membicarakan hukum-hukum yang berkaitan dengan hal-hal individu atau kekeluargaan, tetapi ia meliputi masyarakat, politik, ekonomi, kewangan, dunia antarabangsa serta lain-lain urusan hidup. Umat Islam dalam zaman kemunduran dan penyelewengan hingga ke hari ini masih bertanya hal-hal haid, nifas, taharah, solat, penyusuan, talak dan sebagainya. Mereka tidak bertanya persoalan-persoalan besar yang berkait rapat dengan nasib umat. Umat Islam tidak mahu bertanya siapa yang menjadi pencacai-pencacai yang khianat kepada kerajaan-kerajaan hari ini. Mereka juga enggan bertanya siapakah pemerintah diktator (al-mustabiddun) ke atas rakyat jelata yang tertekan. Selanjutnya mereka berdiam diri tentang kezaliman. Mereka sunyi sepi melihat penipuan di kotak pilihan raya yang menjadi satu fenomena biasa di dunia Arab dan dunia Islam. Kitalah satu-satunya dunia Islam yang terkenal di mata dunia bahawa pilihan rayanya mencapai peratus pengundian yang tertinggi iaitu 99.999%. Selain itu, kezaliman masyarakat, kezaliman elit kaya ke atas rakyat marhaen yang miskin. (al-Qaradawi, 1996: ms. 100–101).


    ASYQ menyatakan keyakinannya setelah sekian lama mengkaji syari’at bahawa pendekatan keringanan (taysir) adalah satu kewajiban syara’. Hal ini dapat dijustifikasikan dalam beberapa surah dalam al-Qur’an, antaranya, Surah al-Ma’idah: 6, Surah al-Baqarah: 185 dan Surah al-Anbiya’: 107. Dalam perbahasannya, ASYQ menganjurkan para fuqaha zaman ini supaya dapat merealisasikan perkara-perkara berikut:

    a) menulis dalam bahasa yang mudah dan tidak membebankan fikiran pembaca;
    b) mengelakkan penggunaan istilah-istilah yang samar samar;
    c) menggunakan bahasa yang boleh diterima oleh minda masyarakat kontemporari
    seperti penggunaan bahasa moden termasuklah juga bahasa yang mudah difahami
    oleh orang awam;
    d) tidak menyajikan perbahasan perbahasan zaman silam seperti hukum hukum yang
    berkaitan dengan hamba (al-riq);
    e) memanfaatkan kepakaran golongan profesional seperti doctor-doktor perubatan
    ketika perbahasan mengenai hikmah pengharaman sesuatu perkara seperti daging
    khinzir, arak dan sebagainya.

    Selanjutnya, menurut ASYQ, kepentingan taysir pada zaman ini ialah kerana amalan agama zaman sekarang tidaklah kukuh seperti zaman silam, pengaruh kebendaan (materialisme) yang kuat, pengaruh timbal balik masyarakat dunia, kecanggihan komunikasi moden dalam dunia yang kini disebut sebagai sebuah perkampungan kecil, dan manusia tidak boleh mengasingkan dirinya untuk tidak bergantung dengan orang lain. Dengan lain perkataan, ASYQ menjelaskan bahawa perubahan zaman menyebabkan berubahnya fatwa. Justeru, manhaj yang terbaik di dalam amalan fiqh masa kini ialah kekal mempertahankan usul tetapi membuka ruang keringanan seluas-luasnya dalam perkara-perkara ranting (furu’). (al-Qaradawi: 1996, ms. 102–108).

    Bersambung…

    BUKTIKAN SEMANGAT KEMBALI KEPADA FITRAH

    oleh Hasri Harun Kembali Kepada Fitrah Semangat Eidulftri adalah membentuk diri ini agar dekat kepada fitrah kejadian manusia, iaitu bersih dan hilang daripada segala kekotoran. Kejadian manusia ini adalah tanpa [...]
    Baca Lebih
    Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara