WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

TINGKAT KETAHANAN SOSIAL DALAM KALANGAN NEGARA ASEAN

Oleh : Ustaz Hasri Harun

Negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Malaysia, Thailand, dan Filipina merupakan contoh negara yang diduduki masyarakat majmuk yang sering berhadapan dengan ketegangan etnik, peminggiran sosial dan ketidaksamaan ekonomi.

Oleh itu, usaha membina masyarakat yang berdaya tahan amat penting agar rantau ini tidak mudah goyah akibat konflik dalam dan luar tekanan luar. Hormat-menghormati dan mempercayai sesama masyarakat dalam negara mahupun luar negara mesti menjadi asas penting membangun negara.

Terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kekuatan ketahanan sosial negara-negara ASEAN, antaranya penerapan pendidikan dan kesedaran awam dalam masyarakat. Kedua, keadaan sosial dan pengukuhan ekonomi. Ketiga, pemerkasaan institusi sosial dan masyarakat sivil selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat sivil dalam membina rangkaian sosial serta memberi bantuan kepada golongan terpinggir tidak boleh dipandang remeh.

Justeru, bagi memperkukuh ketahanan sosial di rantau ini, negara-negara ASEAN boleh melaksanakan beberapa strategi utama, antaranya Penggubalan Polisi Sosial Serantau melalui badan seperti Komuniti Sosial Budaya ASEAN (ASCC). Negara anggota boleh menggabungkan dasar bersama yang menyokong inklusiviti sosial, melindungi minoriti dan memperkasakan belia serta wanita. Contohnya, pelaksanaan rangka kerja Pelindungan Sosial ASEAN.

Kedua, program pertukaran budaya dan pendidikan dengan memperluas pertukaran pelajar, sukarelawan dan kegiatan kebudayaan antara negara ASEAN dapat mengurangkan prasangka masyarakat serta merapatkan hubungan budaya.

Ketiga, pelan dalam kesihatan mental dan komuniti masyarakat yang sihat secara fizikal serta mental lebih berdaya tahan menghadapi tekanan. Negara ASEAN perlu meningkatkan infrastruktur kesihatan mental yang mudah diakses serta memperkasa pusat komuniti di kawasan bandar dan luar bandar.

Keempat, pembangunan ekonomi inklusif memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi luar bandar, pembasmian kemiskinan bandar dan peluang pekerjaan kepada golongan rentan. Ini dapat mengurangkan rasa terpinggir dan meningkatkan solidariti sosial.

Kelima, penglibatan belia dalam dialog sosial. Golongan muda perlu dilibatkan secara aktif dalam wacana sosial dan pembangunan dasar.

Disinilah peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025 dalam memperkukuh kestabilan sosial masyarakat rantau ini.

Dengan keupayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pengalaman beliau dalam NGO dapat membentuk sebuah ketahanan sosial yang kukuh dalam menghadapi cabaran ekonomi serantau terutama mendepani dunia global yang tidak menentu. Ketahanan sosial merupakan aset strategik yang mesti dibina dan dipelihara oleh semua negara ASEAN.

Dalam dunia semakin kompleks dan terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman, kekuatan sosial bukan sahaja menjadi benteng pertahanan dalaman, malah menjadi pemangkin kepada kerjasama serantau yang berkesan.

Melalui pendidikan, dasar yang adil, penglibatan komuniti dan jaringan serantau yang kukuh, negara-negara ASEAN dapat memperkukuh struktur sosial masing-masing serta memperteguh ASEAN sebagai satu entiti yang stabil, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.

Oleh itu, agenda meningkatkan ketahanan sosial wajar diberi keutamaan dalam pelan pembangunan jangka panjang ASEAN.

HASRI HARUN
Universiti Selangor (Unisel)

Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara